Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Mahu segera timang anakTERKENA buatan orang, gosip putus tunang dan ditipu perancang perkahwinan adalah antara cerita panas yang mengisi perjalanan cinta penyanyi Black Hanifah dan pasangannya, Cira atau Naquia Yasirah Mohamad Khairi, 28, sebelum mereka sah bergelar suami isteri pada pukul 12.06 tengah hari Jumaat lalu. Usai majlis pernikahan selesai dengan sekali lafaz di Zebra Square, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, terpancar kelegaan pada wajah Black kerana akhirnya, wanita berasal dari Pulau Pinang itu menjadi suri hidupnya. "Alhamdulillah, saya gembira tidak terkata kerana majlis pernikahan berjalan lancar. Sekarang, saya masih menyesuaikan diri dengan panggilan suami dan memanggil Cira dengan panggilan isteri," katanya yang tersasul menyebut perkataan tunang ketika ditemu bual pihak media selepas majlis pernikahan selesai. Walaupun detik perkenalan mereka cukup singkat, hanya dua bulan sebelum mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 26, yakin dia tidak tersalah pilih. "Saya memang mencari wanita yang tidak mengenali saya sebagai penyanyi sebaliknya sebagai lelaki biasa. Ketika pertama kali bertemu dengannya, dia langsung tidak tahu saya penyanyi, reaksinya itu yang menambat hati saya. "Sejak pertemuan yang diaturkan oleh rakan saya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu, saya berusaha menambat hatinya kerana bagi saya sukar untuk bertemu dengan wanita yang tidak kisah tentang glamor dan status saya sebagai penyanyi," ujarnya. Isterinya yang duduk di sebelah mengakui cerita Black itu kerana ketika Black menyertai program realiti Mentor, dia terbang ke Melbourne, Australia untuk menyambung pelajaran dan menguruskan restoran milik ibu saudaranya di sana. "Memang saya tidak kenal siapa Black, saya tahu lagu-lagunya tetapi saya tidak sangka dialah penyanyi tersebut. "Dia seorang yang kelakar, manis, penyayang dan sangat menjaga keluarganya, sebab itu saya tertarik kepadanya dan rasa dia mampu menjaga saya dengan baik," ucapnya sambil tersipu malu. PASANGAN mempelai cukup berseri-seri ketika melangkah masuk ke dalam dewan persandingan. Tidak sorok isteri Meskipun majlis pertunangan mereka berlangsung senyap-senyap dan tidak dihebohkan kepada pihak media, Black menjelaskan dia tidak pernah mahu menyorokkan identiti isterinya itu. Majlis pertunangan mereka tidak dihebahkan atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak, selain Black bimbang andai perhubungan mereka tidak kekal lama. "Keluarga minta pertunangan tidak dihebahkan dan saya juga kalau boleh tidak mahu kecoh-kecoh. Kalau tidak jadi kahwin nanti apa orang akan kata, akhirnya saya juga yang malu. "Saya langsung tidak berniat untuk sorok identiti isteri saya, cuma ketika itu waktunya belum tepat. Saya minta maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak. Saya tunaikan janji dengan kongsi berita perkahwinan kerana ketika itu sah kami akan berkahwin," ceritanya. Cira yang merupakan anak saudara kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, suami aktres Datin Paduka Umie Aida pula memberitahu, dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan identitinya kerana tidak mahu menganggu kerjaya Black. "Saya bukannya menyorok dan saya juga bukannya selebriti, jadi buat apa saya mendedahkan diri kepada peminat suami dan media. "Ketika itu memang saya tidak mahu masuk campur langsung dengan urusan kerjayanya. Saya tidak mahu dengan kehadiran saya nanti menyebabkan wujudnya halangan antara dia dengan peminat," balasnya tegas. Disoal sudah bersedia untuk menghadapi segala dugaan selepas bergelar isteri kepada penyanyi popular, Cira hanya tertawa dan berkata, dia tidak akan berkahwin dengan Black andai dia tidak bersedia. "Sebelum kami berkahwin pun sudah dengar macam-macam cerita. Selagi kami percaya antara satu sama lain dan saya sokong kerjayanya bagi saya tidak ada masalah," katanya. Anak Bercakap tentang perancangan keluarga, terus-terang Black memberitahu dia inginkan sebuah keluarga yang besar kerana mereka berdua lahir daripada keluarga yang kecil. "Kalau boleh saya inginkan anak segera dan tidak mahu tangguh. Bagi saya anak adalah rezeki daripada Allah. Saya anak bongsu daripada tiga adik-beradik dan Cira anak kedua juga daripada tiga adik-beradik, jika boleh saya mahu anak yang ramai (ketawa)," tuturnya. Justeru, Black sedar dia harus memantapkan ekonomi keluarga selepas berkahwin. "Perancangan saya tentang kerjaya pula adalah bekerja dengan lebih keras. Saya akan bekerja seperti biasa selepas majlis perkahwinan ini kerana sekarang sudah ada keluarga sendiri yang ingin ditanggung. KEPERCAYAAN terhadap satu sama lain menjadi tiang seri dalam mengukuhkan hubungan suami isteri yang baru dibina oleh Black dan Cira. "Bagaimanapun, saya bukanlah cari duit sebab ingin terlalu kaya. Cukuplah bersederhana, asal cukup makan, pakai itu sudah memadai buat kami," katanya jujur. Black merancang membawa isterinya berbulan madu sambil menunaikan umrah di Mekah bersama ahli keluarganya awal tahun depan. "Jika tiada aral melintang kami mahu tunai umrah dahulu sebelum bercuti. Cara itu lebih baik pada pandangan saya," ucapnya mengakhiri bicara. Penyanyi yang popular dengan lagu Teman Pengganti itu memberi mas kahwin sebanyak RM80 serta wang hantaran berjumlah RM12,000 kepada pengantin perempuan. Rombongan pengantin lelaki memberi tujuh dulang hantaran berbalas sembilan. Barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah minyak wangi, cincin, telekung, set kosmetik, iPad mini dan sepersalinan baju. Barangan hantaran pihak perempuan pula ialah jam tangan, kasut, sirih junjung, al-Quran, songkok, tali pinggang dan dompet, cincin serta minyak wangi. | ||
Hanez enggan dedah identiti lelaki misteri Posted: Hanez enggan dedah identiti lelaki misteriOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
DIAM tak diam ketika Hanez Suraya menegaskan untuk lari seketika daripada terikat dengan komitmen cinta mana-mana lelaki, terkini timbul pula khabar angin menyatakan pelakon itu sedang menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang tidak diketahui identiti. Gosip itu mula tersebar apabila sebuah portal hiburan memaparkan beberapa keping gambar Hanez bersama jejaka tersebut ketika bercuti di Pulau Tioman baru-baru ini. Timbul tanda tanya akan pendirian Hanez yang terlalu cepat bertemu cinta baharu selepas putus kasih dengan penyanyi Awi Rafael beberapa bulan lalu. Kosmo! lantas menghubungi pelakon drama Autum Di Hatiku itu untuk mendapatkan komen lanjut mengenai spekulasi yang timbul. Kosmo!: Bagaikan tidak menjangka tiba-tiba muncul gosip mengenai Hanez sedang bercinta dengan seorang jejaka misteri. Siapakah lelaki itu dan apa komen Hanez mengenai gosip yang telah tersebar? HANEZ: Mana ada apa-apa. Dia kawan saya dan saya enggan mendedahkan lebih lanjut identitinya. Dia bukan orang dalam industri dan kami berkenalan melalui kawan. Bukan mahu berahsia tapi akibat keterbukaan saya sebelum ini telah memakan diri sendiri, jadi saya memilih untuk tidak berkongsi atau memperbesar-besarkan perkara ini. Cukup orang tahu kami sedang mengenali hati budi masing-masing. Kenapa mahu berahsia lagi sedangkan gambar antara Hanez dan jejaka itu telah pun tersebar di internet? Bukan nak berahsia tapi saya tidak mahu terlalu terbuka berkongsi kisah peribadi sebab boleh menjejaskan fokus saya. Lagipun, kami baru berkawan tidak sampai sebulan dan saya harap peminat faham. Takut nanti hubungan jadi separuh jalan lagi. Kalau bukan serius tidak mungkin dapat meluangkan masa bercuti bersama-sama ke Pulau Tioman? Itu bukan bercuti tapi saya sedang terbabit dengan penggambaran rancangan sukan ekstrem, Cool untuk siaran RTM. Saya bertindak sebagai hos dan dia datang ke sana pada hari terakhir penggambaran. Saya pun terkejut!
Cepat betul Hanez bertemu pengganti Awi Rafael padahal baru beberapa bulan berpisah? Hati saya masih terluka dan jujur saya akui saya belum bersedia. Tapi apa salahnya kalau dia betul-betul mahukan saya. Saya cuba membuka peluang untuk menerima orang lain dalam hidup saya. Bagaimanakah persediaan dia untuk menerima Hanez sebagai seorang artis yang pasti kisah cinta kalian akan menjadi perhatian suatu masa nanti? Saya sudah nasihatkan dia agar bersedia malah saya akui kami tidak sorok hubungan kami. Kami tetap keluar bersama-sama ke mana-mana dan dia tiada masalah. Dia tahu saya seorang selebriti. Sampai bilakah Hanez akan menyimpan penjelasan ini? Saya tidak mahu orang fikir saya seorang 'player' (gemar bertukar pasangan), lelaki boleh datang sekali petik jari. Saya bagi peluang untuk dia kenal diri saya dulu tapi saya tidak tahu adakah hubungan kami ke arah yang lebih serius. Ada sekeping gambar memaparkan Hanez dan lelaki itu berpelukan di tepi pantai dalam keadaan sangat mesra. Jika tidak serius mana mungkin sanggup bergambar sedemikian? Gambar itu dirakamkan secara kandid (tanpa sedar), saya tidak boleh tutup mulut orang untuk membuat spekulasi bukan-bukan. Apa yang boleh saya cakap, saya kenal dan tahu dia bagaimana. Tapi sampai bila Hanez mahu menyimpan rahsia hubungan itu? Apabila saya benar-benar sudah bersedia saya akan berkongsi dengan peminat saya. Lagipun, ini perkara baik tapi hubungan kami masih baru, malah ada yang tidak tahu saya telah putus cinta dengan Awi. Buat masa sekarang, kami sering keluar bersama-sama dan doakan yang terbaik untuk kami. Saya tidak mahu main-main lagi dalam perhubungan dan saya mencari lelaki untuk menjadi suami saya. Apakah kriteria yang dia ada sehingga membuatkan Hanez mahu meneruskan hubungan bersamanya? Kami kenal tiba-tiba dan dia tidak berputus asa untuk terus mencuba mengenali saya. Saya pernah menetapkan pendirian untuk tidak mahu mengenali mana-mana lelaki dalam masa terdekat dan karakter saya pun bertukar kasar. Saya takut juga apabila terlalu baik dia rasa ada peluang. Tapi jujur saya katakan dia seorang lelaki romantik! | ||
Posted: Muzik rock masuk DFPOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
MEWAKILI legasi rock tanah air, Ella, Mus May dan Man Kidal bakal berpadu tenaga untuk sebuah konsert sulung MPO Rocks di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur sempena Festival Seni DFP pada 21 September depan. Pemilihan ketiga-tiga otai rock Malaysia itu dibuat berdasarkan pengalaman, pencapaian dan warna muzik yang dipersembahkan sepanjang pembabitan dalam dunia seni. Lebih menarik, konsert itu bakal dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose dan Datuk Ramli MS bertindak sebagai pengarah artistik. Kata Muriz, beberapa lagu popular Ella dan Mus digubah semula dan disusun bersama 75 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk memberikan kelainan daripada konsert-konsert rock sebelum ini. "Kita tidak akan mengulangi konsert-konsert rock sebelum ini dan pemilihan dibuat berdasarkan faktor luar biasa yang dilihat sepanjang karier mereka. "Ella, Mus dan Man Kidal mewakili putera, puteri dan pemuzik generasi rock," ujarnya pada sidang akhbar MPO Rocks di Hotel Traders Kuala Lumpur baru-baru ini. Etika Ketiga-tiga legenda rock tanah air itu bakal menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu malar segar mereka. Antaranya Standing In The Eyes Of The World, Layar Impian, Dua Insan Bercinta, Pelayaran, Hakikat Perjuangan, Sinar, Sentuhan Kidal dan sebuah lagu cover Srikandi Cintaku. Sepanjang proses perbincangan sejak awal tahun ini, pemilihan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan telah dipersetujui oleh ketiga-tiga pihak iaitu DFP, pengarah muzik dan artis. Tambah Muriz, dia berdepan cabaran besar untuk memilih beberapa lagu terbaik daripada koleksi diskografi Ella, Mus dan Man Kidal memandangkan ketiga-tiga artis itu memiliki terlalu banyak lagu hits. Sementara itu, kata Ramli MS, pihaknya telah berbincang bersama DFP untuk memberikan kelonggaran kepada penonton yang akan hadir ke konsert MPO Rocks pada hari Sabtu depan.
"Seperti mana kita tahu DFP sangat mementingkan etika pemakaian tapi kami telah mengutarakan kepada pihak DFP agar melonggarkan syarat berpakaian nanti. "Sudah pasti penonton yang datang mahu meraikan muzik rock yang pertama kali bakal bergema di dewan berprestij ini tapi penonton juga harus mematuhi etika asas di dalam DFP serta tidak memakai pakaian selekeh," tambahnya. Gementar Vokalis kumpulan terkenal May iaitu Mus menyandarkan harapan tinggi untuk menjayakan konsert pertamanya di DFP. Kata Mus, persiapan stamina dan mental telah mula dibikin demi memastikan kelancaran persembahannya nanti. "Walaupun saya sudah biasa membuat persembahan atau konsert, kali ini suasananya amat berbeza. Sukar untuk seorang artis rock mendapat peluang beraksi di pentas DFP jadi persiapan saya lebih daripada kebiasaan. "Walaupun saya akan menyanyikan beberapa buah lagu rakaman semula, saya mesti memberikan persembahan terbaik untuk konsert itu," ujarnya yang telah dimaklumkan tiga bulan lalu. Berkongsi perasaan gemuruh, Man Kidal berkata, dia akan beraksi bersama-sama Ella dan Mus. Namun Man Kidal juga akan diberikan slot solo untuk menampilkan bakat petikan gitarnya. "Persembahan di DFP ini sudah pasti sangat istimewa dan untuk konsert kali ini, saya akan mengiringi kedua-dua penyanyi itu selain mungkin nanti akan ada segmen solo untuk saya," katanya. Tiket berharga RM150 hingga RM300 boleh didapati di kaunter Box Office DFP atau hubungi 03-2051 7007. Maklumat lanjut di laman sesawang www.mpo.com.my. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |