Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Difitnah kena tangkap khalwat
- Yasmin Hani teringin buat fotografi dalam air
- Anuar tolak media sosial
Posted: Difitnah kena tangkap khalwatMEMANG menarik apabila menceritakan detik perkenalan membabitkan pelakon Tasha Shilla dengan Mahali Jasuli yang terkenal sebagai pemain bola sepak kebangsaan. Semuanya bermula dengan luahan Mahali yang menyatakan dirinya sebagai peminat tegar Tasha, sehinggalah pertemuan kedua-duanya dalam satu majlis hari jadi pelakon itu yang diaturkan oleh peminat pada bulan April lalu. Sejak itu, hubungan kedua-duanya dilihat semakin erat apabila masing-masing berbalas pesanan di laman sosial Twitter, malah sudah beberapa kali Tasha dilihat berada di stadium ketika perlawanan yang membabitkan pasukan bola sepak Malaysia. Melihat kepada kemesraan yang wujud antara dua orang figura yang menjadi pujaan dalam lapangan kerjaya masing-masing, timbul persoalan tentang sejauh mana hubungan mereka sekarang ini. Apatah lagi, pemilik nama sebenar Natashasheila Abd. Razak pernah membuat kenyataan bahawa Mahali merupakan lelaki yang paling rapat dan mereka dalam proses mengenali hati budi sebelum ini. Berkesempatan bertemu dengan pelakon tersebut dalam majlis pertunjukan fesyen Oriental Rhapsody di The Weld, Kuala Lumpur pada Selasa lalu, Tasha hanya tersenyum apabila diajukan pertanyaan tentang hubungannya itu.
"Setakat ini kami masih lagi berkawan seperti biasa, cuma sekarang agak jarang bertemu kerana komitmen masing-masing. Lagipun sekarang ini tawaran lakonan yang diterima agak banyak. "Berkenaan dengan hubungan pula, saya dan Mahali tidak lebih daripada sekadar teman biasa. Tentang jodoh pula, saya hanya berserah kepada Allah," jelasnya. Tegas Shila, dia menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan mereka bercinta dan tidak mahu hubungan rapat yang terjalin menimbulkan salah faham peminat. Selain itu, pelakon berkenaan turut meluahkan kekecewaan kerana dikatakan sebagai punca kemerosotan prestasi Mahali dalam beberapa aksinya di padang. "Kadang-kadang agak hairan pula apabila ada yang mengaitkan prestasi Mahali merosot berpunca daripada saya. Sudah tentu ia suatu perkara yang agak mustahil dan melucukan. "Kalau hendak tahu tentang punca yang berlaku, rasanya lebih baik tanya sahaja terus dengan jurulatih Datuk K. Rajagobal kerana beliau yang lebih tahu tentang situasi sebenar," jelasnya. Mengakui bahawa tiadanya sebarang hubungan cinta yang terjalin, namun sebagai seorang teman, Tasha tetap menyatakan sepenuh sokongannya agar kerjaya Mahali semakin berkembang dan prestasinya kembali memuncak. "Saya tidak kisah kalau orang hendak memperkatakan tentang hubungan saya dengan Mahali tetapi apabila dikaitkan dengan dengan cerita yang negatif sebegini, ia memang sesuatu yang agak mengecewakan," luanya.
Terkejut Pada minggu lalu, peminat bola sepak Malaysia dikejutkan dengan berita tentang dua pemain bola sepak yang telah ditangkap khalwat di sebuah hotel di Kuantan, Pahang. Menariknya, ada pula segelintir pihak yang telah mengaitkan bahawa salah seorang pemain tersebut merupakan Mahali yang telah ditangkap bersama Tasha. "Sudah tentu saya berasa sangat terkejut apabila ada rakan-rakan yang bertanya mengenainya tetapi ia tidak benar kerana yang ditangkap adalah pemain pasukan Pahang, sedangkan Mahali pula bermain untuk Selangor. "Jadi, saya meminta supaya mereka yang telah mengaitkan kami supaya selidik terlebih dahulu dan tidak elok sekiranya membuat tuduhan melulu dan mereka-reka cerita yang tidak benar," tegasnya. Menyatakan dirinya tidak mahu ambil pusing tentang dakwaan yang dibuat, namun Tasha mengakui perkara yang timbul itu sesuatu yang memalukan dirinya apabila namanya tiba-tiba dikaitkan. "Saya tidak tertekan sangat tentang perkara ini kerana sudah nyata saya memang tidak bersalah. Yang lebih penting, ahli keluarga tahu yang saya di pihak yang benar," tegasnya.
Solo Setelah menyatakan tentang status hubungannya dengan Mahali sekadar teman biasa, Tasha turut ditebak dengan persoalan tentang jejaka yang bertakhta di hatinya sekarang ini. Jelasnya, sehingga kini dia masih lagi solo dan belum berjumpa dengan mana-mana lelaki yang sesuai untuk dijadikan sebagai teman hidup. "Selain berkawan rapat dengan Mahali, saya juga mempunyai ramai lagi rakan-rakan lelaki. Cuma, kesibukan sebagai seorang pelakon membuatkan saya tidak terlalu fokus sangat tentang mencari teman istimewa. "Bagaimanapun, saya akui dalam berkawan itu ada beberapa lelaki yang saya cuba mengenali dengan lebih rapat. Kalau boleh, saya kenal lebih rapat dahulu sebelum mengambil keputusan untuk hubungan yang serius," ujarnya. Biarpun pernah membuat kenyataan yang dia sudah sedia bergelar seorang isteri, Tasha memberitahu, pada usianya sekarang yang sudah mencecah 26 tahun, persediaan untuk ke alam rumah tangga perlu ada. "Dengan usia yang semakin meningkat pastinya menuju ke alam perkahwinan merupakan salah satu impian tetapi saya perlu berhati-hati membuat pilihan yang terbaik untuk mencari teman hidup," ungkapnya. | ||||
Yasmin Hani teringin buat fotografi dalam air Posted: Yasmin Hani teringin buat fotografi dalam airOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
BEBERAPA hari lalu di blog-blog dan laman sosial tersebar beberapa keping gambar pelakon berdarah kacukan Melayu dan Inggeris, Yasmin Hani yang mendedahkan lukisan pokok pada perutnya. Akibat daripada penyebaran gambar tersebut, pelakon berusia 34 tahun yang kini sedang mengandung 32 minggu itu dikritik hebat oleh orang ramai. Ada yang memberi komen geli melihat perut Hani dilukis sedemikian rupa. Ada juga komen mengatakan dunia di akhir zaman apabila Hani berani bergambar dalam keadaan seperti itu dan yang paling teruk, ada yang menyifatkan perbuatan bakal ibu itu sebagai sesuatu yang menjijikkan. Kesan daripada penyebaran dan komen-komen negatif itu, pelakon dan juga pengacara itu berasa sedih. Perasaan sedih dan terkilannya itu dikongsikannya bersama Kosmo!. Kosmo!: Boleh Hani komen mengenai penyebaran gambar perut anda yang tertera lukisan pokok? HANI: Sebenarnya ia adalah gambar fotografi mengandung yang sepatutnya menjadi simpanan peribadi saya. Sejujurnya, bukan saya yang memuat naik gambar tersebut di Instagram. Jadi, bagaimana gambar tersebut boleh tersebar? Kalau boleh, saya tidak mahu soal ini diperbesar-besarkan lagi. Sebenarnya, anak saudara saya yang muat naik gambar itu di Instagramnya tetapi dia tidak berniat menyebarnya. Dia seorang pelukis yang telah melukis gambar tersebut di perut saya. Selepas menyedari gambar tersebut, saya telah menegurnya dan dia sudah memadamkan kesemua gambar-gambar itu. Namun, ada pihak yang mengambil kesempatan mencuri gambar tersebut di Instagramnya lalu menyebarkannya di alam maya. Apakah perasaan Hani selepas mendapat tahu mengenai penyebaran gambar tersebut? Saya berasa sangat sedih dengan sikap orang yang cuba membuka aib orang lain. Barang siapa yang membuka aib orang lain nescaya Allah akan membalasnya. Orang yang tiada akal sahaja yang melakukan perbuatan tersebut.
Ada yang beranggapan untuk apa Hani melakukan fotografi seperti itu? Sebagai seorang yang bakal menjadi ibu buat pertama kalinya, saya sangat gembira dan teruja untuk melakukan fotografi seperti itu. Ia adalah hak saya dan tiada kena-mengena dengan hidup orang lain. Kalau boleh, saya teringin hendak buat fotografi dalam air atau letakkan tanah liat di atas perut. Namun, saya tidak mahu terlalu teruja dan akhirnya cuma melakukan lukisan pokok di atas perut sahaja. Apakah kata-kata yang boleh Hani sampaikan kepada pihak yang dapat akses gambar-gambar anda itu? Sesiapa yang sudah berkongsi atau menyebarkan gambar tersebut tindakan mereka adalah salah. Saya akan mengambil tindakan. Bagi mereka yang dapat gambar tersebut, saya mohon agar tidak menyebarkannya lagi di laman sosial masing-masing. Begitu juga pihak media, saya berharap sangat supaya tidak memperbesar-besarkan isu ini. Bagaimanakah penerimaan keluarga mengenai gambar tersebut? Keluarga saya tiada masalah kerana ia adalah untuk simpanan peribadi sahaja. Beralih pada soalan lain, bilakah Hani dijangka bersalin? Sekarang kandungan saya sudah mencecah 32 minggu. Saya dijangka bersalin pada bulan November nanti. Sudah tahu apakah jantina bayi tersebut dan sudah buat sebarang persiapan? Kalau boleh, saya tidak mahu beritahu lebih lanjut mengenai kandungan saya. Mengenai persiapan, adalah sikit-sikit buat masa ini. Apakah projek anda buat masa ini? Buat masa ini saya berhenti berlakon seketika. Siapa mahu ambil ibu mengandung berlakon? Bagaimanapun, dalam masa terdekat ini saya akan terlibat dalam satu dokumentari khas tentang kehamilan. Ia adalah terbitan syarikat Blublack Production milik suami saya, Sha'arin Razali. | ||||
Posted: Anuar tolak media sosialOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
TIDAK sepertimana kebanyakan artis sekarang yang rata-ratanya menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram untuk berinteraksi dengan peminat, Anuar Zain beranggapan medium itu sebenarnya boleh menjatuhkan karier dan peribadi seseorang. Bukan sahaja artis tetapi kata Anuar, dia pernah berdepan pengalaman rakan- rakan baiknya bercerai-berai gara-gara laman sosial. "Saya suka keupayaan medium sosial terutama dalam aspek berinteraksi dengan peminat tapi saya fikir hidup saya sudah sempurna dan saya tidak berani untuk berkongsi lebih lanjut. "Orang sudah tahu hidup peribadi saya, keluarga saya dan di mana saya selalu melepak," tegasnya yang hanya memiliki akaun Facebook Anuar Zain Network yang diuruskan oleh pasukannya. Bukan gusar hilang nilai eksklusif tetapi pelantun lagu Sedetik Lebih itu khuatir dari segi keselamatan diri sendiri seandainya terlalu terbuka di laman sosial. "Sudah terlalu banyak orang tahu mengenai dunia saya dan interaksi itu kadang-kadang bertimpa-timpa. Saya bimbangkan keselamatan saya sebab pernah ada pengalaman peminat fanatik yang tahu kedudukan saya, datang serbu. "Perkara begini adakalanya merimaskan saya. Itu tidak termasuk kes kutuk- mengutuk di Twitter dan menyebarkan perkara yang negatif. "Secara tidak langsung perkara begini mengganggu emosi saya. Kalau mahu menggunakan medium ini, jangan menjatuhkan maruah orang dan fikir perasaan orang lain," katanya yang pernah gambarnya dirakam secara candid sebelum disebarkan secara negatif. Rumah orang tua Lali diasak pertanyaan mengenai kisah peribadi dan soal jodoh, Anuar menegaskan yang dia tidak risau sekiranya membujang sampai ke tua.
"Jodoh itu kerja Allah dan saya tiada hak untuk bertanyakan bilakah saya akan berkahwin? Saya tidak bimbang kerana itu urusan Tuhan," ujarnya. Anuar memberitahu, dia bersedia memasuki pusat penjagaan orang tua suatu masa nanti seandainya tidak berdaya. "Kenapa perlu sedih untuk tinggal di pusat penjagaan orang tua? Saya tidak bimbang dan saya sanggup kerana kita akan dijaga rapi di sana. "Kalau saya ada anak pun kenapa saya perlu mengharapkan mereka menjaga saya sampai tua melainkan saya sendiri perlu menabung untuk diri sendiri buat bekalan masa akan datang," ujarnya. Ditanya mengenai kesanggupan Anuar mengambil anak angkat, dia masih belum terfikir ke arah itu. Kata Anuar, dia sendiri sudah memiliki kehidupan bahagia bersama keluarganya. "Alhamdulillah, saya ada keluarga yang sangat prihatin dan sentiasa mengambil berat tentang diri saya setiap hari. Malah, saya seronok melayan kerenah 12 orang anak buah saya yang sudah seperti anak sendiri," tegas adik kepada penyanyi Ziana Zain itu. Jalinan kasih Sementara itu, Anuar berkongsi keterujaan untuk menjayakan Malam Jalinan Mesra Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia di Pusat Konvensyen Telekom, Kuala Lumpur pada 19 Oktober depan. "Ramai yang telah mempelawa saya untuk mengadakan persembahan tetapi memandangkan saya pun usai mengadakan konsert besar awal tahun ini, lebih elok saya memberikan ruang sedikit kepada diri sendiri," katanya yang dipelawa bulan lalu. Anuar bakal mempersembahkan lima buah lagu popular dan akan meluangkan waktu untuk berinteraksi serta beramah mesra dengan peminat sempena majlis itu. Harga meja yang bermula RM3,000 hingga RM30,000 telah dibuka untuk tempahan. Maklumat lanjut boleh hubu- ngi 03-6206 4756 atau 017-3577 537. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |