Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Antara emosi dan memori Yuna
- Erra tunggu masa jelas masalah rumah tangga
- Farid, Diana dedah nama anak di TV
Posted: Antara emosi dan memori YunaOleh Khairul Amri Hassan AUDIENS disajikan montaj lima minit sekitar perjalanan Yuna bersama label antarabangsa Verve Records dan persiapan menjelang konsert Yuna & Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang telah membuka tirainya kelmarin. Berdiri ampuh menyarung persalinan merah jambu telus rekaan Hatta Dolmat, Yuna membuka langkah dengan single hits Decorate bersama susunan muzik segar sentuhan Mustafa Fuzer Nawi. Bagi yang kurang serasi dengan balada muzik pop indie yang diperjuangkan pemilik nama penuh Yunalis Zarai, ada antara lagu-lagu yang ditampilkan dalam segmen pertama belum cukup ranum. Bagaimanapun, Gadis Semasa, Dan Sebenarnya serta Terukir Di Bintang berjaya menyelamatkan penonton daripada terus tenggelam dibawa arus leka dalam mood dua buah lagu awal - Favourite Thing dan Young yang jarang mengisi corong radio sebelum ini. Berlalu dalam format persembahan ala teater bermain siluet bulan mengambang, Yuna meneruskan persembahan dengan lagu Coffee yang dipetik daripada album EP Decorate tiga tahun lalu. TARIKAN Yuna terletak kepada profesionalisme kariernya. Yuna memecahkan empat segmen konsert solonya kali ini, bermula dengan Boardwalk disusuli Classic Cinema yang menyelitkan sebuah lagu cover Allahyarham P. Ramlee berjudul Gelora Jiwa, seterusnya Dusk dan disimpul kemas dengan segmen Night Lights. Antara lagu lain yang melengkapi konsert itu adalah tiga buah lagu yang pertama kali diperdengarkan kepada peminatnya di Malaysia daripada album terbaharu, Sixth Street iaitu I Wanna Go, Musician dan Right Again. Selain itu, Live Your Life, Remember My Name, Stay, Lullabies dan mash up dua buah lagu No Diggity (nyanyian Blackstreet) dan Let Love Come Through antara 20 buah lagu yang dipersembahkan Yuna penuh bergaya. Mike Einziger Memendam kejutan luar biasa kepada peminatnya di Malaysia, Yuna menghadiahkan gitaris band Incubus, Mike Einziger beraksi di pentas bersamanya dalam rendisi beberapa buah lagu gubahan baharu antaranya Deeper Conversation dan sebuah lagu band terkenal Amerika Syarikat itu, I Miss You. Kata Yuna, kejutan itu dirancang pada saat-saat akhir dan hakikatnya Mike sendiri yang menawarkan diri untuk berkunjung ke Malaysia untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya. "Masih saya ingat pada tahun 2007 ketika itu hanya mampu melihat gitaris ini mempersembahkan bakatnya di pentas dan kali ini dia berada di sebelah saya. "Menariknya, idea untuk berkolaborasi ini muncul ketika saya memperkenalkan anggota kumpulan saya The Palauans kepada Mike ketika di Los Angeles. "Sedang kami rancang bersembang mengenai konsert yang bakal berlangsung, Mike dengan sukarela menawarkan diri untuk membuat persembahan. "Rancangan itu terhenti seketika apabila tiada susulan dibuat dan tiba-tiba Mike menghantar e-mel yang mengesahkan dia bakal datang ke Malaysia baru-baru ini," tambah Yuna. YUNA membuat kejutan apabila muncul diiringi oleh pemain gitar Incubus, Mike Einziger. Latihan jarak jauh Berada di Los Angeles, Amerika Syarikat tapi pada masa sama perlu menguruskan perihal penting sebelum berlangsungnya konsert, Yuna meluahkan rasa lega. "Ketika berita gembira ini dikhabarkan, saya segera memanggil kru Yuna Room Records dan mungkin kerana pengalaman mengadakan persembahan serta gigs lebih tujuh tahun, mereka mampu melaksanakan tugas ini dengan sempurna. "Di LA (Los Angeles) tugas saya memberikan kelulusan, memilih senarai lagu dan berlatih bersendirian. Selepas hari raya Aidilfitri barulah saya memulakan raptai bersama band dan empat malam lepas bersama orkestra," jelas Yuna mengakui berdepan sedikit kesukaran. Kata Yuna, seandainya dia dijemput untuk mengadakan persembahan di pentas Istana Budaya tiga tahun lalu, dia tidak mampu untuk melakukannya seperti sekarang. "Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya, sejak 10 tahun lalu inilah cita-cita saya terbesar dan akhirnya telah menjadi realiti. "Pengalaman saya mengadakan siri jelajah di Amerika Syarikat sebenarnya banyak membantu menaikkan keyakinan saya," katanya yang bakal mengadakan persembahan di Australia dan Singapura sebelum berangkat pulang ke Amerika Syarikat tidak lama lagi. Yuna mengakhiri konsert Yuna & Orkestra Simfoni Kebangsaan menerusi lagu yang pernah melakar sensasi tahun lalu iaitu Penakut sebelum menamatkan kembaranya dengan single hit terbaharu, Lelaki. Tiada tersirat sebarang makna kata Yuna, bukan ditujukan kepada sesiapa sebaliknya konsert, memori dan emosi hanyalah buat peminat. Konsert Yuna & Orkestra Simfoni Kebangsaan masih akan bergema di Istana Budaya pada malam ini dan esok. Bagaimanapun, bagaimana penangan sewaktu dia mula membadai dunia hiburan tempatan dengan kemunculannya pada awal pembabitan lalu, fenomena di Istana Budaya menyaksikan sebanyak 4,000 tiket habis dijual tanpa sisa. Ya, Yuna, gadis kurus tinggi lampai yang punya kuasa luar biasa hanya dengan sentuhan karya dan lunak merdu suaranya. | ||||
Erra tunggu masa jelas masalah rumah tangga Posted: Erra tunggu masa jelas masalah rumah tanggaOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
PADA saat suhu industri seni tempatan sedang dilanda kisah kontroversi kes penceraian pelakon Rita Rudaini dan pemain bola sepak Aidil Zafuan, kemelut rumah tangga pelakon jelita Erra Fazira tidak terlepas menjadi buruan. Seringkali menolak untuk memberikan jawapan konkrit mahu pun menyimpulkan status rumah tangganya bersama Engku Emran Zainal Abidin, Erra sebelum ini sekadar memberikan kenyataan secara umum dan menyifatkan rumah tangga mereka masih stabil. Kesempatan bertemu dengan bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu ketika pelancaran wangian terbaharu Estee Lauder di Hotel Ritz Carlton Kuala Lumpur, Kosmo! mendapatkan kenyataan lanjut mengenai status terkini mahligai Erra. Ini kerana, sehingga kini, kestabilan rumah tangga mereka terus menjadi tanda-tanya. Erra, saat ditemui tenang menjawab soalan daripada pihak media, namun pintanya, jangan terlalu dikorek kisah rumah tangganya kerana saat tiba masanya, dia sendiri yang akan memberitahu kepada umum. Ikuti temu bual tersebut. Kosmo!: Bagaimanakah kehidupan peribadi Erra sekarang? Erra Fazira: Saya sentiasa menyibukkan diri dengan bekerja, tapi tanggungjawab terhadap anak dan sebagai ibu masih berjalan seperti biasa. Saya juga akan pastikan jadual sebagai artis dan kepada keluarga seimbang sebaik mungkin. Umum sudah tahu kisah rumah tangga anda dan Engku Emran yang didakwa sedang bergolak masih belum diperjelaskan dengan lebih mendalam. Sekuat manakah ikatan perkahwinan kalian hingga hari ini? Kuat tidak kuat, kita sudah ada anak bersama-sama dan ikatan itu tetap ada disebabkan dia merupakan bapa kepada anak saya. Dia juga seorang bapa yang baik. Komen anda mengenai status rumah tangga anda terkini? Sudah beberapa tahun saya mendengar gosip rumah tangga saya yang goyah dan saya melalui perkara ini dengan tenang dan normal. Sama ada betul atau tidak, saya ketepikan cerita-cerita buruk mengenai saya sebab sudah terlalu penat. Saya mahu lalui kehidupan dengan tenang dan aman. PERSOALAN tentang rumah tangga Erra dengan Emran bukan isu baharu, namun kini ia semakin dibangkitkan apabila Erra hanya banyak memuat naik gambarnya bersama anak sulungnya, Engku Aleesya berbanding gambar mereka sekeluarga. Tidakkah semakin lama dipendam, semakin banyak asakan daripada orang sekeliling yang mahu mengetahui mengenai kesahihan cerita itu. Sampai bilakah anda akan simpan penjelasan itu? Saya rasa saya berhutang penjelasan, tapi saya ada sebab kenapa saya berbuat demikian. Sehingga hari ini saya masih bertahan walaupun suatu masa nanti saya terpaksa leraikan juga. Tidak baik juga untuk saya menggantung orang (masyarakat) tidak bertali dan saya pun ada sebab kenapa tidak bersuara. Jadi, bagaimana boleh anda simpulkan tentang rumah tangga anda? Suatu hari nanti apabila sudah sampai masa yang sesuai saya akan jelaskan. Baiklah, difahamkan baru-baru ini anda baru pulang daripada menjalani penggambaran di sekitar Eropah. Sudikah dikongsikan pengalaman menarik sepanjang di sana? Penggambaran itu dilakukan di sekitar Jerman, Itali dan Belanda selama dua minggu. Menariknya, sepanjang di sana kami mengembara menaiki motorhome caravan dan ini adalah pengalaman baharu saya serta benar-benar mencabar. Apabila menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan drama pada satu-satu masa, tidakkah sukar untuk membeza-bezakan karakter sepanjang tempoh singkat itu? Memang sukar kerana kita bimbang watak-watak itu mungkin terjejas dan senang terkeliru, tapi pengarah ada untuk memperbetulkan watak kalau sedikit tersasar. | ||||
Farid, Diana dedah nama anak di TV Posted: Farid, Diana dedah nama anak di TVOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SETELAH bergelar bapa selama dua bulan, pengarah dan pelakon terkenal Farid Kamil masih berteka-teki berhubung nama anak lelakinya yang masih lagi dirahsiakan sehingga sekarang. Ketika bertemu dengan Farid semasa majlis pratonton filem Dampak baru-baru ini, suami kepada pelakon Diana Danielle itu hanya tersenyum apabila diajukan pertanyaan mengenai nama anaknya. Meskipun masih lagi terus berahsia dan sekadar memberitahu Muhammad sebagai pangkal nama cahaya mata sulungnya itu, Farid menyatakan ia hanya akan diumumkan dalam satu majlis khatam Al-Quran dan akikah yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat. Menurutnya, ketika ini isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat dan kedua-duanya berada di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah bersama kedua-dua ibu bapanya. Kosmo!: Sehingga kini ramai yang masih tertanya-tanya tentang nama anak Farid setelah dua bulan bergelar bapa. Adakah Farid masih lagi mahu berahsia mengenainya? FARID: Buat masa ini saya masih belum bersedia untuk mendedahkan nama sebenar anak saya. Apa yang boleh dijelaskan sekarang, namanya akan didedahkan dalam sebuah majlis nanti. Mengikut perancangan saya dan isteri serta ahli keluarga yang lain, kami akan mengadakan majlis khatam Al-Quran dan akikah. Namun begitu, kami masih belum memilih tarikh yang sesuai lagi.
Mengapakah Farid memilih majlis tersebut untuk mengumumkan nama anak? Sebenarnya majlis itu nanti akan diberi hak eksklusif kepada Astro untuk menyiarkannya di kaca televisyen. Bagi kami, ia merupakan masa yang paling sesuai untuk umumkan nama sebenar anak saya. Bagaimanapun, perkara tersebut masih lagi dalam peringkat perbincangan antara Astro dan Metrowealth. Jadi, kami menyerahkan segala urusan kepada Metrowealth dan kami bersetuju dengan segala perancangan yang dibuat. Sudah tentu Farid dan Diana mendapat tawaran yang lumayan daripada pihak Astro untuk hak eksklusif berkenaan. Adakah Farid boleh dedahkan jumlah bayaran yang akan diterima? Tentang bayaran itu saya dan isteri memang tidak tahu-menahu mengenainya. Semuanya bergantung kepada Metrowealth apabila melakukan rundingan dengan pihak Astro. Bagaimanakah dengan keadaan Diana dan anak? Beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri, isteri dan anak sudah pulang ke Malaysia dan kini mereka berada di kampung halaman saya di Alor Setar. Kedua-duanya berada dalam keadaan sihat dan anak saya kini semakin aktif, manakala Diana pula masih lagi dalam berpantang dan dijaga sepenuhnya oleh ibu saya. Adakah Diana sudah menamatkan pengajiannya di Australia? Kalau diikutkan masih lagi ada enam bulan untuk Diana menamatkan keseluruhan pengajiannya dalam bidang penerbitan di National Institute of Dramatic Art (NIDA) di Sydney. Namun, keputusan masih belum dibuat sama ada dia sambung atau tidak. Bagaimanakah kehidupan Farid sekarang setelah bergelar seorang ayah? Sekarang ini saya perlu menjadi seorang individu yang lebih bertanggungjawab. Kalau dahulu saya bebas untuk melakukan apa sahaja perkara yang diinginkan, sekarang semuanya lebih kepada tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |