Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
Posted: 28 minit ke KLIAOleh NADIA SHAIFUL BAHARI DUDUK di kokpit tren selama 28 minit tanpa henti kedengaran seperti satu tugas mudah yang digalas oleh pemandu tren berkelajuan tinggi, KLIA Ekspres. Namun, gangguan kecil seperti keadaan perut yang memulas secara tiba-tiba sewaktu bertugas antara pengalaman lucu bagi seorang pemandu Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL), Denny Putra, 40. "Hendak buat macam mana, tren tidak boleh dihentikan dan kami perlu bertahan sehingga sampai di destinasi. "Tetapi, ia bukanlah suatu yang kerap berlaku kerana sebagai pemandu kami semua memang menjaga pemakanan dan tidak makan secara sembarangan sebelum memulakan tugas," ujarnya yang sudah berkhidmat selama 11 tahun bersama ERL. Perkhidmatan KLIA Ekspres sudah banyak menjimatkan masa perjalanan penumpang yang ingin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor dari KL Sentral di Kuala Lumpur. Tempoh bagi perjalanan sejauh 57 kilometer itu hanya mengambil masa 28 minit berbanding lebih sejam jika menggunakan perkhidmatan bas atau teksi. Harga tiket yang ditawarkan masih kekal seperti ia mula-mula beroperasi pada April 2002 iaitu RM35 bagi perjalanan sehala. TREN milik ERL menyediakan perkhidmatan yang cekap dan ruang dalaman yang luas serta selesa. Faktor keselamatan Menurut Denny, pemandu mengawal halaju tren tersebut berpandukan sistem Perlindungan Keretapi Automatik (ATP). ATP merujuk kepada satu daripada dua pelaksanaan sistem perlindungan yang dipasang di sesetengah tren. Sistem tersebut membantu mengelakkan pertembungan disebabkan kegagalan pemandu untuk melihat isyarat atau sekatan kelajuan. Kelajuan maksimum tren berkelajuan tinggi milik ERL adalah 160 kilometer sejam (km/j) dan bergerak pada kelajuan 100 km/j di kawasan-kawasan koridor berkongsi. Jelasnya, koridor berkongsi bermaksud stesen yang berkongsi perkhidmatan dengan KTM Komuter atau sistem Transit Aliran Ringan. Difahamkan, jumlah pemandu ERL ialah seramai 60 orang, di mana 20 hingga 30 orang daripadanya akan bertugas secara bergilir-gilir setiap hari. Selain daripada memastikan perjalanan penumpang menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres berjalan lancar, pemandu kereta api bertanggungjawab memastikan segala barangan penumpang dibawa bersama sewaktu meninggalkannya. "Memang banyak kejadian penumpang tertinggal barang di dalam kereta api berlaku sungguhpun pengumuman peringatan telah dibuat berulang kali. Rakan setugas saya pernah menjumpai sebatang tongkat penumpang sewaktu melakukan pemeriksaan. "Jika difikirkan kembali, kejadian itu adalah suatu yang melucukan kerana bagaimana penumpang berkenaan masuk ke dalam kereta api dengan bertongkat tetapi keluar tanpa menggunakannya," kata Denny tersenyum. Antara barangan lain yang biasa ditinggalkan di gerabak tren milik ERL ialah beg tangan, dompet, gitar, kamera digital, telefon bimbit dan komputer riba. PENUMPANG KLIA Ekspres dan KLIA Transit boleh membeli tiket perjalanan ke destinasi pilihan menggunakan kios tiket yang disediakan dengan menggunakan kad kredit atau debit sahaja. Pengalaman penumpang Dalam pada itu, seorang penumpang, Raja Muhammad Raja Omar, 32, mengakui dia selesa menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres sebagai laluan terpantas ke KLIA. Beliau yang merupakan pekerja sektor awam di Sabah menggunakan perkhidmatan itu selang dua bulan sekali apabila ke Kuala Lumpur untuk melawat keluarganya. "Naik KLIA Ekspres lebih menjimatkan masa terutamanya ketika sedang mengejar masa pelepasan penerbangan. Saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan kerana ia amat selesa dan mudah," katanya ketika ditemui di KL Sentral pada cuti Syawal baru-baru ini. Sementara itu, seorang lagi penumpang, Adilah Ahmad, 35, pernah beberapa kali menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres ke KLIA. Baginya, perkhidmatan yang diberikan amat efisien dan berbaloi dengan harga yang dibayar iaitu RM35. "ERL berjaya mengekalkan keselesaan kepada penumpang dan perjalanan menepati masa seperti pada jadual yang dipaparkan. "Pada mulanya, saya agak berkira untuk membayar tambang yang ditetapkan dan menaiki bas untuk ke lapangan terbang kerana ia lebih murah. Tetapi tempoh perjalanan menggunakan bas agak lama dan membuatkan saya beralih kepada perkhidmatan KLIA Ekspres," jelasnya. | |
Penginapan eksklusif di Fraser Place Posted: Penginapan eksklusif di Fraser PlaceOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
BAGI kebanyakan warga kota, mereka gemar bercuti di kawasan peranginan desa yang jauh daripada hiruk-pikuk hutan batu sambil menikmati pemandangan alam yang mendamaikan jiwa. Namun, sesekali jika mahu bertukar angin, apa kata anda menikmati percutian serba mewah dengan gaya hidup metropolitan di Fraser Place Kuala Lumpur (Fraser Place). Terletak di Jalan Perak, bangunan setinggi 30 tingkat itu tersergam megah dan menjadi salah satu aset kebanggaan Frasers Hospitality Pte. Ltd. (Frasers Hospitality). Pengurus Besar Fraser Place, Shirley Lai berkata, terdapat 316 unit kediaman pelbagai variasi yang disediakan bagi pilihan pengunjung. Antaranya unit studio moden dan emper (penthouse) dengan dua hingga empat bilik. Setiap unit kediaman mempunyai keistimewaan tersendiri dengan perabot di ruang tamu, bilik tidur dan dapur yang berbeza. Ia juga turut dilengkapi peralatan elektrik bermutu tinggi untuk menjalani kehidupan harian seperti periuk nasi, mesin basuh, pengering rambut, televi- syen paparan hablur cecair (LCD), peti sejuk dan sistem hiburan yang komprehensif. Selain itu, semua lokasi di Fraser Place disediakan perkhidmatan WiFi percuma. "Unit-unit kediaman ini boleh disewa sama ada untuk semalam, sebulan, enam bulan atau lebih dari setahun. Ia sesuai sebagai destinasi percutian seisi keluarga. KOLAM renang dengan panorama ibu kota memberikan pengalaman yang santai dan mendamaikan jiwa. "Malah, kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada golongan ekspatriat yang menetap dalam satu tempoh masa yang lama," ujar Lai kepada Kosmo!. Beliau memaklumkan, Frasers Hospitality terkenal sebagai salah satu pemain utama pasaran hartanah dengan memiliki 44 rangkaian hartanah di seluruh dunia. "Apa yang pasti, keunggulan perkhidmatan dalam industri hospitaliti bertaraf antarabangsa di semua pusat penginapan kami membuatkan pelanggan yakin dengan syarikat ini," jelas Lai yang mengakui pihaknya sentiasa komited untuk menawarkan perkhidmatan dan keselesaan yang optimum kepada para pelanggan. Tidak ketinggalan, pelbagai kemudahan lain disediakan untuk kemudahan pelanggan seperti sebuah gimnasium, bilik dobi, kolam renang, sauna dan bilik permainan video yang terletak di aras 18 bangunan tersebut. Jika bosan berada di bilik, anda boleh berehat di ruang lobi yang dihias indah yang turut menempatkan beberapa unit komputer untuk kegunaan pengunjung. Fraser Place juga menyediakan kemudahan bilik mesyuarat untuk mereka yang mahukan satu lokasi perbincangan dalam suasana dan eksklusif. | |
10 destinasi beli-belah terbaik Asia Posted: 10 destinasi beli-belah terbaik AsiaKAWASAN berhampiran gereja Around Quiapo di Manila menjadi tumpuan para pelancong dan penduduk tempatan untuk mencari herba dan ubat-ubatan tradisional. SEBAHAGIAN besar negara-negara di Asia terkenal dengan pembangunan ekonomi yang pesat membangun. Kewujudan beberapa bangunan pencakar langit di benua terbesar di dunia ini ternyata merupakan satu kejayaan yang membuka mata negara-negara maju. Pelbagai destinasi pelancongan ikonik dan eksotik di Asia menjadi salah satu tarikan pelancong untuk datang melihat keunikan negara-negara Asia. Sekiranya anda bercadang untuk bercuti dan membeli-belah di rantau ini, berikut merupakan antara 10 bandar yang dianggap sebagai syurga membeli- belah kepada pelancong. 1) Bangkok, Thailand Kedai-kedai, pusat beli-belah dan pasar terbuka merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan pelancong di ibu negara Thailand itu. Pasar Minggu Chatuchak merupakan pasar terbuka terbesar di Bangkok. Keluasan pasar itu dianggarkan seluas 11 hektar dan dibahagi kepada 27 bahagian. Pasar tersebut merangkumi 15,000 gerai yang menjual barangan seperti ukiran kayu antik, hiasan bunga buatan tangan, seramik, pakaian, sutera dan pelbagai produk tempatan. Bagi yang menggemari gaya beli-belah mewah, Central World merupakan destinasi yang wajib dikunjungi. 2) Kuala Lumpur, Malaysia Ibu negara Malaysia ternyata menjadi tumpuan terutama pada penghujung tahun. Jalan Petaling menjadi destinasi tumpuan pelancong yang gemarkan suasana beli-belah santai di kawasan terbuka. Pelbagai barangan seperti pakaian, aksesori lelaki dan wanita serta makanan dijual di situ. Deretan pusat membeli-belah di sepanjang Jalan Bukit Bintang pasti membuatkan pelancong rambang mata. Pavilion, Lot 10, Plaza Sungei Wang dan Berjaya Times Square di Jalan Imbi merupakan lokasi tumpuan bagi pelancong dalam dan luar negara. 3) Hong Kong Teluk Causeway yang terletak di dae- rah timur Hong Kong merupakan antara tumpuan pelancong ke wilayah yang terkenal dengan industri perfile- man itu. Jalan Tsing Fung, Pasar Teluk Causeway dan Taman Victoria merupakan kawasan yang menempatkan pulu- han pusat beli-belah mewah. Kowloon pula menjadi destinasi tumpuan pelancong yang berminat untuk membeli barangan di kawasan terbuka. Terdapat pelbagai barangan kaca yang berwarna- warni dijual dan menarik perhatian mereka yang melalui kawasan tersebut. DERETAN hotel-hotel bajet dan mewah di Jalan Nanjing menjadi destinasi penginapan wajib bagi pelancong-pelancong yang membeli-belah di Shanghai, China. 4) Shanghai, China Membeli-belah di Shanghai ternyata memerlukan bajet yang besar jika dibandingkan dengan Hong Kong. Kebanyakan pelancong ke Shanghai membeli barangan secara pukal untuk dijual di negara asal pelancong. Kawasan membeli- belah di bandar itu dibahagi- kan kepada Empat Jalan dan Empat Bandar (Four Streets and Four Cities). Jalan Nanjing merupakan pusat komersial terbaik di China yang menjadi kunjungan pelancong ke negara itu. 5) Seoul, Korea Selatan Membeli-belah di Seoul menjanjikan dua pengalaman berbeza. Anda dapat membeli barangan yang cantik dan eksklusif tetapi dengan harga yang mahal. Gangnam merupakan kawasan popular untuk membeli-belah eksklusif kepada pelancong ke negara itu manakala Myeongdong menjadi tumpuan pelancong yang inginkan pakaian dan perhiasan diri berkualiti pada harga yang berpatutan. 6) Manila, Filipina Manila menawarkan pelbagai barangan murah yang dihasilkan oleh penduduk tempatan. Kawasan berhampiran gereja Around Quiapo, terdapat puluhan gerai yang menjual ubat-ubatan dan barangan herba tradisional seperti batu ukiran yang dipercayai mempunyai kuasa ajaib. 7) Tokyo, Jepun Bagi penggemar fesyen pelik dan terkini, Tokyo merupakan destinasi terbaik untuk anda. Walaupun pakaian yang ditawarkan lebih mahal tetapi keunikan fesyen di sana ternyata mencuri tumpuan pelancong. Shinjuku, Shibuya, Harajuku dan Ginza merupakan kawasan yang meriah di Tokyo untuk para pelancong membeli-belah. 8) Bangalore, India Bandar yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk ketiga tertinggi di India ini terkenal dengan jualan pakaian, sutera dan permaidani. Garuda Mall merupakan pusat beli-belah yang terkenal di bandar itu dan menjadi salah satu destinasi wajib untuk dikunjungi bagi merasai pengalaman membeli-belah di India. 9) Singapura Singapura mempunyai pelbagai desti- nasi yang meriah untuk membeli-belah. Orchard Road menjadi tumpuan pelancong untuk membeli pakaian fesyen terkini. Bagi yang gemarkan cara tradisional, Kampong Glam, Little India and Chinatown merupakan destinasi ideal. Barangan antik, perhiasan diri dan tekstil menjadi buah tangan wajib dibawa pulang apabila berkunjung ke tiga destinasi itu. 10) Guangzhou, China Guangzhou terkenal dengan barangan seramik. Dianggarkan ratusan kedai menawarkan pelbagai produk seramik rekaan moden dan tradisional seperti pasu bunga dan patung di sekitar di bandar itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |