Kosmo Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pemotoran |
Posted: Dinamik pemanduan sebenarOleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN BAGI para peminat kereta, gabungan huruf G, T dan I memberi maksud yang istimewa. GTI sebenarnya bermakna Grand Touring Injection atau Gran Turismo Iniezione dalam bahasa Itali. Kuasanya begitu hebat sehinggakan mereka yang menampal pelekat GTI pun seakan-akan berasa kereta menjadi semakin laju. Pada peringkat awal, huruf-huruf itu biasanya digunakan oleh kereta-kereta mewah berprestasi tinggi atau Grand Tourer, sebelum ia mula diaplikasikan pula ke atas model-model hatchback. Pada tahun 1961, Maserati 3500GTI menjadi jentera pertama yang menggunakan nama GTI. Emblem itu kemudian dipopularkan oleh Volkswagen menerusi model Volkswagen Golf GTI (Golf GTI) sejak tahun 1976. Selain Proton Satria GTI, salah satu model GTI yang menjadi dambaan ramai di Malaysia pastinya Golf GTI. Model itu mula mendapat perhatian apabila generasi kelimanya banyak dibawa masuk oleh pihak grey importer. Sedar tentang kecenderungan tersebut, pengedar rasmi kenderaan Volkswagen di Malaysia, Volkswagen Group Malaysia (VGM) memulakan tawarannya menerusi model Golf GTI MK6. Kini, kesinambungan itu diteruskan dengan generasi terbaharunya, Golf GTI MK7. VGM menawarkan Golf GTI MK7 dalam dua varian iaitu Golf GTI Advanced lima pintu dan GTI Pure tiga pintu. Ia juga hadir bersama beberapa pilihan aksesori mengikut kemahuan anda. Jika anda berasakan rim standard itu kurang cantik, sediakan RM3,000 untuk mendapatkan set rim aloi bersaiz 19 inci yang lebih bergaya. Pakej Tech Pack pula ditawarkan pada harga tambahan RM10,000. Mahal? Mungkin ia satu pelaburan berbaloi kerana Tech Pack meliputi sistem Dynamic Chassis Control (DCC) yang menawarkan mode pemanduan Comfort, Normal, Sport dan ECO, tempat duduk kulit dan banyak lagi. PRESTASI yang ditawarkan oleh hatchback ini tidak akan mengecewakan sesiapa pun. GTI Pure GTI Pure bagaimanapun tidak disertakan dengan banyak aksesori yang menjadi item standard pada varian Advanced. Sebagai contoh, ia menggunakan lampu halogen, rim 17 inci dan sistem audio dengan empat pembesar suara. Ia juga tidak dipasang dengan sensor mengundur, penggilap dan pendingin hawa automatik serta banyak lagi. GTI Pure hanya dibina berdasarkan kepada tempahan. Bagi menguji keupayaannya, VGM menjemput sekumpulan wartawan untuk memandu uji Golf GTI MK7 menuju ke Singapura. Perjalanan dimulakan dari Subang Skypark, sebelum jentera mula memecut sebaik sahaja memasuki lebuh raya menuju ke arah selatan tanah air. Sama seperti model-model baharu Volkswagen yang lain, Golf GTI MK7 dibina di atas kerangka MQB yang terbukti tegar, ringan dan dinamik. Kuasa hatchback itu diekstrak daripada unit enjin bersesaran 2.0 liter dengan pengecas turbo dan teknologi BlueMotion. Ia mampu menjana kuasa sehingga 220PS, lebih 10PS berbanding enjin generasi Golf GTI sebelum ini. Torknya pula mencecah 350Nm, kenaikan 60Nm daripada enjin terdahulu. Tujahan kuasa tersebut dialihkan ke roda hadapan melalui kotak gear berkembar DSG enam kelajuan. Menawarkan penukaran gear yang pantas dan lancar, DSG turut menjadi penyumbang kepada kemampuan Golf GTI MK7 mencatat kelajuan dari 0 hingga 100 kilometer dalam tempoh 6.5 saat sahaja. Sementara kelajuan maksimum yang mampu dicapai adalah 246 kilometer sejam! Litar Pasir Gudang Maka tidak hairanlah jika jentera itu memberi maklum balas pantas setiap kali pedal minyak ditekan. Kuasanya cukup mengasyikkan sehingga tidak sedar jarum meter sudah jauh meninggalkan takat kelajuan 110km/j. Pada kelajuan melebihi 150km/j tahap kesenyapan ruang kabin masih boleh diterima. Dengan tempat duduk dibalut kulit Vienna atau fabrik tartan Clark (untuk varian standard), keselesaan yang ditawarkan adalah memuaskan. Perjalanan ke Singapura disambut dengan hujan lebat. Dalam keadaan itu juga pemandu boleh merasakan bahawa pengendalian Golf GTI MK7 adalah meyakinkan, walaupun dipandu sedikit laju. Keupayaan Golf GTI MK7 diuji sekali lagi dengan lebih serius di litar Pasir Gudang, Johor. Sedia maklum bahawa litar itu terkenal dengan selekoh-selekoh tajam dan laluan lurus untuk memecut. Namun. sedikit mengecewakan apabila penganjur meletakkan kon di beberapa lokasi supaya semua peserta tidak terlebih teruja dan memecut tanpa mengukur kemahiran sendiri. Golf GTI MK7 nyata meletakkan satu penanda aras baharu dari segi kualiti pengendalian dan kawalan menerusi ciri sistem differential lock elektronik yang dikenali sebagai XDS+. Secara ringkasnya, XDS+ berfungsi mengalihkan kuasa tork kepada roda yang memerlukannya. Maka, jentera boleh memasuki selekoh tajam dengan lebih meyakinkan. REKA letak butang kawalan dan tempat duduk kini lebih ergonomik. Kualiti XDS+ dipertingkatkan dengan mode ESC Sport. Saya yakin ciri itu pasti disukai ramai kerana dengan hanya menekan satu butang, fungsi ESC Sport membolehkan kawalan cengkaman ASR dilambatkan. Kesannya, jentera boleh tergelincir sedikit sebelum ia dapat dikawal sepenuhnya. Keseronokan inilah yang ingin diberikan oleh Golf GTI MK7 kepada pemiliknya. Ciri XDS+ disempurnakan lagi dengan sistem Stereng Progresif. Pertama kali dipasang pada Golf GTI MK7, ia membolehkan stereng berasa berat atau ringan secara sewajarnya mengikut setting pemanduan yang dipilih, lebih tepat dan tidak memerlukan pemandu memusing stereng terlalu banyak ketika membelok. Sesi pandu uji di Litar Pasir Gudang diakhiri dengan senyuman dan rasa puas. Inilah jentera yang wajar ada sekiranya anda tahu menghargai prestasi sebuah GTI, memiliki kemahiran memandu yang baik dan paling penting berpoket tebal. Golf GTI MK7 Advanced boleh menjadi milik anda pada harga RM217,888 seunit, tidak merangkumi pakej-pakej lain. Sementara hatchback tiga pintu ditawarkan pada harga lebih murah iaitu RM209,888. Harus tahu bahawa kedua-dua harga itu tidak termasuk insurans dan caj-caj lain. |
Posted: Wilayah 4X4 IsuzuOleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN TRAK pikap ini perlu dipandu perlahan di atas laluan berbatu. PROMOSI datang dalam pelbagai bentuk. Bagi pengeluar kenderaan, impak promosi atau pendedahan produk terbaharu kepada kumpulan sasar adalah amat kritikal. Jika tidak kena cara, produk yang bagus pun tiada orang mahu membelinya. Sama ada siri jelajah, kempen jualan secara bermusim atau sesi pandu uji dengan media, semuanya mempunyai matlamat yang sama. Apa lagi kalau bukan untuk menyerlahkan segala keistimewaan atau keunikan kenderaan berkenaan kepada para pengguna dengan cara paling efektif. Sesi pandu uji bersama media adalah salah satu aktiviti biasa yang dilakukan. Cuma apa yang membezakannya adalah sejauh mana ia benar-benar berkesan dan sesuai dengan kenderaan yang ingin diketengahkan. Apabila menyentuh tentang perkara ini, saya perlu memberi kredit kepada Isuzu. Ia merupakan salah satu pengeluar kenderaan yang tidak pernah gagal dalam menganjurkan sesi pandu uji yang mampu menyerlahkan kemampuan sebenar jenteranya. Terbaharu, sekumpulan wartawan dijemput ke negara jiran Thailand untuk memandu dan menguji sendiri keupayaan trak pikap Isuzu D-Max yang baru. Malah semua D-Max yang dipandu uji itu dibawa khas dari Malaysia bagi memastikan tidak ada pertikaian mengenai spesifikasi. Selepas memandu selama beberapa jam di lebuh raya dari Bangkok, kami akhirnya sampai di lokasi ujian sebenar untuk D-Max iaitu di Isuzu 4X4 Land. Terletak berhampiran Litar Bira di Pattaya, lokasi itu bukanlah baru. Ia sudah lama dibina dan ditambah baik dua tahun lalu sempena pelancaran D-Max baharu di Thailand. Sudah nama pun Isuzu 4X4 Land, jadi tidak boleh diragui ia memang lokasi terbaik untuk menguji D-Max, tetapi dalam setting yang lebih terkawal dan selamat. Semua elemen berkaitan kenderaan pacuan empat roda ada di sana. Cuma berani atau tidak sahaja untuk menguji trek tersebut ke tahap maksimum. Pandu uji dimulakan dengan sesi menyesuaikan diri dengan trek ujian oleh sekumpulan pakar 4X4 Isuzu. Selepas yakin (ramai juga yang kurang yakin pada awalnya), kami mengambil giliran untuk memandu. Saya perlu beritahu bahawa trek itu memang ekstrem bagi mereka yang bukan peminat tegar 4x4. Jadi, saya memilih untuk memandu unit bertransmisi automatik. Alasannya mudah, bukan sesuatu yang menyeronokkan jika kenderaan tiba-tiba terundur ketika menaiki bukit buatan yang begitu tinggi dan boleh membuatkan sesiapa sahaja berasa gayat. UJIAN di laluan ini terpaksa dibatalkan bagi tujuan keselamatan. Secara ringkasnya, pemandu perlu melalui pelbagai halangan seperti laluan berbatu, berpasir, lecak yang dalamnya hampir setengah meter dan cerun atau tebing setinggi 40 darjah. Atas faktor keselamatan, kami tidak dibenarkan untuk melalui satu kawasan ujian yang kelihatan seperti jungkang-jungkit gergasi. Lega. Memandangkan kebanyakan daripada kami tidak mempunyai pengalaman luas dalam pemanduan off-road, pemanduan dilakukan dengan penuh hati-hati dan mengikut segala arahan yang diberikan. Walaupun jaraknya tidaklah jauh, tetapi laluan yang mencabar membuatkan keseluruhan sesi di Isuzu 4X4 Land sangat memuaskan dan memberi satu pengalaman baru. Keupayaan D-Max diuji sepenuhnya tanpa kasihan. D-Max baharu nyata boleh mengharung semua cabaran itu dengan mudah. Dengan rekaan luaran yang lebih menarik, ruang kabin selesa dan enjin berkuasa, D-Max mempunyai pakej lengkap sebagai sebuah trak pikap yang ideal. Jadi, tidak hairanlah ia mendapat sambutan memberangsangkan di Thailand dan Malaysia. Berbalik kepada Isuzu 4X4 Land, is sebenarnya bukanlah didedikasikan untuk ujian yang formal seperti ini sahaja. Lapangan itu dikatakan turut dibuka untuk para pemilik D-Max di Thailand pada hujung minggu. Pada hari-hari biasa, lokasi itu digunakan sebagai tempat latihan kakitangan Isuzu atau kelab 4X4 di sana. Setelah penat mengharung sesi ujian, kami diberikan hospitaliti terbaik warga Thailand. Selain daripada menikmati buah-buahan seperti durian dan mata kucing, para peserta juga berpeluang untuk menerima urutan daripada tukang urut profesional. Mereka yang berminat boleh mendapatkan tatu sementara. Akhirnya, semua nampak macam ahli kumpulan gangster 04. Apa pun, sesi pandu uji itu memberi satu pengalaman berbeza. Ia juga mencerminkan kesungguhan Isuzu untuk menguar-uarkan keupayaan jenteranya menerusi cara yang betul dan menyeronokkan. |
Versatiliti Nissan Grand Livina Posted: Versatiliti Nissan Grand LivinaSEBANYAK tiga varian Grand Livina ditawarkan untuk pilihan pengguna tempatan. EDARAN Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini memperkenalkan model naik taraf kenderaan pelbagai guna (MPV) kompaknya, Nissan Grand Livina ke pasaran tempatan. Jentera dengan kapasiti tujuh tempat duduk itu menerima 50 sentuhan baharu dari aspek reka bentuk luaran dan dalaman. Pembaharuan itu melibatkan varian 1.6 liter dan 1.8 liter. Bahagian hadapan Grand Livina melibatkan pemasangan gril berwarna krom dan lampu hadapan baharu. Bampar hadapan kini diberikan beberapa garis yang menyerlahkan lagi sifat agresifnya. Bahagian belakang kelihatan sedikit lebar ekoran penggunaan set lampu yang mendatar dan beberapa unit pemantul cahaya. Ruang kabin diserikan dengan aplikasi dua tona warna dan material fabrik pada bahagian tempat duduk. Stereng Grand Livina kini dipasang butang kawalan untuk unit audio 2DIN dan skrin Paparan Pelbagai-Maklumat (MID). Bagi varian 1.8 liter, ia menggunakan sistem kemasukan tanpa kunci yang dinamakan sebagai i-Key. Varian itu juga dilengkapi lampu isyarat membelok LED pada bahagian cermin pandang sisi dan lampu kabus pada bahagian bampar hadapan. Bagaimanapun, kedua-dua varian Grand Livina masih menggunakan enjin lama iaitu HR16DE (versi 1.6 liter) dan MR18DE (1.8 liter). Bagi menyerlahkan gaya Grand Livina, ETCM menawarkan pelbagai pakej aksesori dan versi talaan IMPUL. Pilihan warna disediakan ialah biru, hitam, emas, perak dan putih. ETCM berhasrat merekodkan jualan sebanyak 2,500 unit model Grand Livina baharu menjelang akhir tahun ini. Nissan Grand Livina didatangkan dengan pilihan transmisi 1.6L manual, selain 1.6L dan 1.8L automatik. Jaminan yang diberikan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer (mana-mana tiba dulu). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |