Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Kambing muda rahsia sajian lebih enak Posted: Kambing muda rahsia sajian lebih enakHIDANGAN Asia Barat seperti nasi mandi, kabshah dan maqlubah disukai oleh kebanyakan rakyat di negara ini kerana keunikannya. Malah, ada antara penggemarnya yang sanggup berkompromi dengan harga yang tinggi asalkan mereka dapat menikmati masakan tersebut. Menyedari trend selera masyarakat Malaysia kini, Pengarah Restoran Marhaba, Zamriwalikram Abd Ghani, 43, membuka restoran makanan Arab di ibu kota. Hakikatnya, restoran Marhaba berbeza dengan restoran makanan Arab lain. Rahsianya, ia menggunakan rempah-ratus asli. Perkara tersebut diakui penggemar masakan Arab yang juga pelakon dan penyanyi, Nor Azzarima Zawari atau lebih dikenali sebagai Azza, 34. Azza yang pernah popular bersama kumpulan Elite berkata, dia sering mengunjungi restoran-restoran Arab di ibu kota tetapi keenakan makanan di Marhaba sukar ditandingi. Dia yang baru pertama kali merasai makanan di situ selepas menemani kawan-kawannya tertarik dengan roti mulawah (roti Arab) yang boleh dinikmati oleh tiga orang. "Ia garing dan sedap dicicah dengan gulai kambing (saltah falsah) atau sambal udang. Apabila menikmati roti itu dengan kuah tersebut, sememangnya terdapat kelainan terutamanya ramuan rempah-ratusnya. "Sebelum ini, saya pernah menikmati hidangan yang sama di tempat lain tetapi, rasanya tidak seperti di sini," katanya yang mencadangkan orang ramai mencuba sendiri hidangan tersebut kerana keenakannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Menurut Azza yang kini turut mengusahakan perniagaan bedak sejuk, dia telah mengesyorkan restoran itu kepada rakan-rakan artis yang lain. Menyentuh mengenai lokasi restoran mewah itu yang terletak di Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, Azza berkata, ia bersifat privasi. "Ruang makan di sini lebih tertutup. Ia menggabungkan suasana mewah dan santai serta sangat sesuai buat seisi keluarga untuk menjamu selera," tuturnya lagi sambil menyifatkan tawaran harga di restoran tersebut adalah berpatutan. HIDANGAN makanan Arab selalunya akan disertai minyak zaitun dan sayur-sayuran mentah yang segar. Pelanggan Istimewa Sementara itu, bagi ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Richie, 40, dia gemar makan nasi mandi kambing kerana hidangan itu dikatakan terbaik dari segi kualiti, tekstur dan rasanya. Apatah lagi, penggunaan daging kambing muda yang teksturnya lembut dan halus. "Saya boleh dikatakan telah merasai kebanyakan makanan Arab di Kuala Lumpur tetapi hampir kesemua pengusaha restoran gemar menggunakan kambing dewasa. "Rasa kambing muda dan dewasa adalah berbeza terutama dari segi kelembutan dagingnya," jelasnya. Dalam pada itu, Richie juga tidak risau untuk memakan daging kambing dalam kuantiti yang banyak memandangkan kandungan kolesterolnya lebih rendah berbanding daging lembu atau kerbau. Berbicara lanjut mengenai kunjungannya ke Marhaba, Richie berkata, dia juga sering menjadikan restoran itu sebagai lokasi untuk melayan pelanggan-pelanggannya. "Pada kebiasaan, saya hanya membawa pelanggan-pelanggan istimewa ke restoran yang memiliki satu kelainan. "Melihat kepada keunikan restoran Marhaba khususnya dari segi makanan dan suasana, saya kini menjadikan ia sebagai lokasi tetap untuk menjamu selera," katanya yang kadangkala membawa keluarga makan-makan di situ. Tambahnya, kedudukan restoran itu agak strategik kerana terletak di laluan utama ke pusat bandar raya. ZAMRIWALIKRAM mempertaruhkan hidangan nasi mandi kambing hanith sebagai makanan signatur restoran Marhaba. Lebih 100 menu Bercakap tentang rahsia memikat pelanggan, pengarah restoran, Zamriwalikram berkata, dia mengutamakan kualiti dan keenakan makanan di samping harga yang berpatutan. Menurutnya, pada awal pembukaan, hampir 80 peratus pengunjung terdiri daripada keturunan Arab dan selebihnya orang tempatan, namun kini keadaannya berbeza apabila semakin ramai warga tempatan yang meminati masakan jenis itu. "Mungkin pengunjung sukakan cita rasa Arab yang lebih menyihatkan kerana tidak menggunakan minyak dan dimakan dengan sayur-sayuran mentah yang segar," katanya yang baru sebulan membuka restoran itu. Selain itu, katanya, faktor perkhidmatan yang cekap dan tidak perlu menunggu lama membuatkan makanan Arab sangat sesuai dinikmati oleh mereka yang sibuk lebih-lebih lagi untuk makan tengah hari. Menurut anak jati Rembau, Negeri Sembilan itu lagi, dia menyediakan lebih 100 menu Yemen di restoran tersebut. Antaranya, nasi mandi ayam dan kambing, ikan panggang, udang panggang, roti mulawah, hati kambing goreng dan pelbagai jenis pencuci mulut. Kesemua menu itu disediakan dengan menggunakan rempah-ratus asli yang diimport dari Yemen dan bahan mentah yang segar. Malah, pihaknya juga menggunakan beras basmathi gred A untuk menyediakan nasi mandi. Zamriwalikram memberitahu, restoran yang boleh memuatkan lebih 120 pelanggan itu popular dengan hidangan nasi mandi kambing hanith. Daging kambing itu disediakan dengan daging kambing disalut rempah-ratus selama dua jam dan direbus terlebih dulu. Kemudian, ia akan dibakar di dalam sebuah bekas tanah yang dilengkapi dengan batu-bata. "Cara penyediaan itu yang menyebabkan kambing hanith di sini berbeza daripada restoran Arab lain," katanya yang menggunakan kambing hidup seberat antara 8 atau 9 sekilogram sahaja. Zamriwalikram memerlukan kira-kira 10 ekor kambing yang diimport dari New Zealand setiap hari dan menggunakan bahagian tulang rusuk kambing itu sahaja.
Sementara itu, Ketua Chef dari Yemen, Abdul Wahab Abdo Norman Ashaa Na'im berkata, tulang rusuk merupakan bahagian yang paling bagus untuk menyediakan nasi kambing hanith kerana rasa keaslian seekor kambing terletak di bahagian tersebut. "Selain nasi mandi kambing hanith, restoran tersebut juga popular dengan hidangan roti mulawah yang diperbuat menggunakan jintan hitam. Kebanyakan pelanggan gemarkan roti tersebut kerana rasanya rangup," ujarnya. Suasana santai Dilatari sentuhan moden kontemporari, tetamu berpeluang menjamu mata dengan dekorasi eksklusif di restoran bertaraf lima bintang ini. Terdapat tiga ruang makan disediakan iaitu ruang makan utama yang dilengkapi kerusi dan meja serta pojok makan bersila yang dihias dengan bantal serta sudut makan di kawasan terbuka. Bagaimanapun, bagi pelanggan yang mahukan ruang makan tertutup, mereka boleh mendapatkan bilik VIP tetapi perlu ditempah awal kerana ia mampu menampung seramai 16 orang pelanggan sahaja pada satu-satu masa. | |
Posted: Larian pelangidi WashingtonSEORANG kanak-kanak duduk di atas bahu lelaki dewasa di garisan permulaan teruja dengan acara yang disertainya. BANDAR Metropolitan Washington D.C yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat (AS) bertukar atmosfera menjadi bandar penuh warna-warni berikutan sambutan larian Warna Dalam Gerakan 5K (Color in Motion) yang berlangsung pada Sabtu lalu. Tubuh badan 12,000 peserta bagai disaluti letusan warna terang yang dilemparkan oleh sukarelawan larian di beberapa lokasi di sepanjang laluan sejauh lima kilometer yang bermula dari Stadium Robert F. Kennedy. Larian Warna Dalam Gerakan 5K sebenarnya merupakan acara tahunan yang diperbaharui dengan idea mewarnakan peserta menggunakan kanji jagung pelbagai warna. Warna-warna tersebut terdiri daripada warna-warna pelangi yang terang. Setiap peserta perlu mengenakan baju-T berwarna putih pada awal perlumbaan dan mengakhiri larian dengan badan yang penuh warna dari hujung rambut ke hujung kaki. Mereka dikehendaki membayar yuran penyertaan sebanyak AS$50 (RM162.80) seorang dalam usaha mengutip dana untuk Yayasan Make A Wish. Larian pelangi tersebut mendapat sokongan rakyat AS sejak ia mula diperkenalkan pada Januari 2012. Sepanjang tahun 2012, sejumlah 600,000 peserta terlibat dalam 50 acara Warna Dalam Gerakan 5K dan dijangka meningkat kepada 1 juta orang pada tahun ini. Antara bandar lain yang akan turut menjayakan larian berkenaan ialah Austin dan Houston di Texas, Atlanta (Georgia), Las Vegas (Nevada) dan Orlando (Florida). Ternyata acara paling berwarna-warni di AS itu berjaya mempengaruhi rakyatnya menjalani kehidupan yang sihat dan menggembirakan. Ada antara peserta yang mengakui tidak pernah menyertai mana-mana acara larian sebelum ini menjadi teruja apabila menyertai acara tersebut kerana berpeluang berlari dalam lemparan warna ke atas badan mereka. Khabarnya, acara tersebut diilhamkan perayaan festival Holi di India yang kebiasaannya disambut pada bulan Februari dan Mac setiap tahun. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |