Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Kisah pemilik rambut etnik Afrika-Amerika Posted: Kisah pemilik rambut etnik Afrika-AmerikaOleh ALIF ABU BAKAR GELARAN negro pernah melekat pada diri Nur Akmal Mohd. Pada segelintir individu, panggilan itu sekadar gurauan kepada seseorang yang mempunyai paras fizikal saling tak tumpah bak orang kulit hitam. Namun realitinya, ia gelaran kasar dalam kalangan komuniti Afrika-Amerika khususnya di Amerika Syarikat (AS). Sepanjang bersekolah menengah, nama 'manja' itulah yang membentuk identitinya, gara-gara mempunyai rambut jenis kembang yang sukar diuruskan. Luah lelaki berumur 27 tahun itu: "Bukanlah marah orang kaitkan saya dengan gelaran itu, cuma rasa tidak selesa dan rimas dijadikan bahan jenaka. "Saya akui, rambut saya mewujudkan rasa rendah diri dalam diri sehingga saya ambil keputusan untuk meluruskan rambut. Kesannya tidak begitu memuaskan dan saya memilih untuk botak sahaja." Pengalaman ditempuhi Nur Akmal itu seumpama yang dialami masyarakat Afrika-Amerika di AS pada sekitar tahun 1960-an. Kontranya, Nur Akmal tidak diancam sinis secara perkauman, malah lebih sekadar perbandingan rawak kepada golongan kulit hitam. Trauma Lembaran sejarah pula membuktikan bahawa rambut afro sememangnya pernah menjadi hukuman dahsyat kepada etnik Afrika-Amerika. Igauan trauma itu terjadi pada zaman penghambaan etnik Afrika-Amerika di AS sekitar tahun 1960-an. Majoriti orang kulit hitam sedaya upaya mengubah gaya rambut asli mereka menyerupai orang kulit putih. Mereka yang dianugerahkan dengan rambut tekstur afro dianggap melanggar standard kecantikan yang ditetapkan orang Eropah dan Amerika. Rambut afro yang keriting, kasar, kembang dan tidak terurus menerima kritikan negatif sehingga memaksa etnik yang tertindas ketika itu meluruskan rambut masing-masing. Amalan itu kemudiannya menjadi popular dalam kalangan kumpulan Afrika-Amerika. Bagaimanapun Pergerakan Hak Asasi Awam Afrika-Amerika yang bermula pada tahun 1955 sehingga 1968 bagi memperjuangkan penghapusan amalan pemisahan antara kaum di AS banyak memberi ruang kepada etnik Afrika-Amerika mengekspresikan karakter semula jadi mereka, termasuk gaya rambut afro. Apresiasi terhadap kecantikan orang kulit hitam dan stail estetik yang didukung pergerakan Black is Beautiful lebih lima dekad tahun dulu juga banyak membantu memulihkan skeptikal kritikal yang dialami etnik Afrika-Amerika.
Pergerakan berteras kebudayaan dan kesenian itu mengembalikan semula gaya rambut natural. Afro mula menjadi simbol politik berpengaruh yang mewakili maruah orang kulit hitam kepada penolakan orang kulit putih terhadap konsepsi asimilasi dan integrasi kaum. Bawa tuah Keterbukaan masyarakat terhadap identiti asli etnik Afrika-Amerika itu memuncak pada permulaan 1970-an. Introduksi stail rambut unik itu ke dalam aliran fesyen arus perdana perlahan-lahan diadaptasi individu luar kelompok Afrika-Amerika. Peminjaman identiti tersebut secara langsung menyingkirkan fungsi afro sebagai penggerak kepentingan politik yang radikal. Secara kebetulan, transisi menarik rambut afro dalam peradaban dunia juga mengisi rentetan hidup istimewa kepada Nur Akmal. Tamat sekolah, pereka grafik itu tekad membiarkan rambut aslinya tumbuh secara semula jadi. Genetik rambut afro yang diwarisi daripada bapanya itu mula dihargai Nur Akmal. Malah ibunya turut memberi galakan kepada Nur Akmal supaya menyimpan rambut kembang atas alasan sesuai dengan wajahnya. "Rambut bapa saya jenis keriting halus, saya pula keriting kasar. Apabila menyambung pengajian di universiti, saya tetap menyimpan rambut ini, cuma saya kerap memakai topi jika ke kelas kerana malas hendak mengemaskan rambut," kata anak sulung daripada tiga adik-beradik itu. Nur Akmal menasihatkan individu berambut keriting atau afro bersyukur dengan keistimewaan itu kerana setiap ciptaan Allah sesuai bagi makhluknya. Keyakinan Nur Akmal juga meningkat selepas menemani seorang sahabatnya ke sesi uji bakat untuk sebuah drama TV bersiri. "Saya saja mencuba nasib, tak sangka pula boleh terpilih. Ia merupakan platform komersial pertama saya dan segalanya kerana tuah rambut afro ini," ceritanya yang terpilih membawa watak Budi dalam drama bersiri Goda yang disiarkan di 8TV pada tahun 2008. Sejak itu, pelbagai tawaran drama menghujani Nur Akmal tetapi ditolak bagi memberi fokus kepada pelajaran. Pemilik Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Grafik), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu kemudiannya menjayakan beberapa iklan TV dan poster bagi jenama-jenama terkenal. Antaranya ialah Digi, Coca-Cola, Pizza Hut, Proton Preve, Munchy's dan banyak lagi. Ujar Nur Akmal jujur: "Rezeki saya banyak disumbangkan oleh rambut afro ini. Setiap kali diberi tawaran, mereka ingat saya sebagai budak rambut kembang. Jadi ia telah menjadi signatur akrab kepada diri saya."
Penjagaan Dikurniakan rambut afro satu pemberian, mengurus stail separa eksentrik itu pula satu tanggungjawab. Pada mata kasar, ia seperti sukar dirapi, namun Nur Akmal menyangkal dakwaan itu. Penjagaan mudah tanpa sebarang penggunaan produk rambut seperti gel, minyak rambut atau wax membuatkan rambut kembangnya sihat sehingga ke hari ini. "Amalkan penggunaan rawatan perapi dalaman dan syampu setiap hari. Dua langkah ini sudah memadai untuk menjaga tekstur dan bentuk rambut saya. Seminggu sekali pula saya sikat rambut dalam keadaan basah menggunakan sikat jarang bagi mengeluarkan rambut putus dan mengelakkan ia berbau sekali gus membuka rongga-rongga kulit kepala. "Sebulan sekali saya potong hujung rambut sepanjang dua inci. Saya selesa mengemaskan sendiri dan jarang pergi ke salon kerana tidak gemar orang memegang rambut saya. Jadi kos penjagaan rambut saya tidaklah mahal dan tidak sampai RM200 untuk tempoh dua bulan," rangkum Nur Akmal yang meminati gaya rambut Bo (Bedroom Sanctuary) dan Solange Knowles. | ||
Inovasi seluar jean wanita Levi's Posted: Inovasi seluar jean wanita Levi'sPOTONGAN jean yang mampu melekap secara sempurna dengan pelbagai potongan badan si pemakai antara tarikan teknologi baharu yang diketengahkan Levi's Revel. TIDAK kira lelaki mahupun wanita, seluar jean merupakan item penting dan menjadi pilihan utama ketika ingin menampilkan gaya kasual. Ia mudah dipadankan dengan sebarang jenis pakaian selain dapat menonjolkan aura sensasi seseorang. Ketika memilih seluar jean, kesesuaian dengan bentuk tubuh merupakan faktor yang menjadi keutamaan setiap pengguna. Ia tidak terlalu longgar atau sempit agar selesa dipakai dalam tempoh yang lama. Memahami keinginan wanita untuk memiliki jean yang selesa dan menyerlahkan bentuk badan selain menonjolkan ciri-ciri feminin, Levi's memperkenalkan koleksi baharu untuk kaum Hawa, Levi's Revel. Jean Levi's Revel menggunakan teknologi pembentukan cecair eksklusif yang dilakurkan dalam fabrik denim melalui teknik reka bentuk inovatif. Teknologi tersebut dapat mengawal regangan fabrik bagi menghasilkan lekapan pada bahagian-bahagian tertentu untuk menyokong bentuk tubuh dan hasilnya, bayangan tubuh tampak cantik dan menarik.
Tahap keselesaan menjadi titik penting koleksi baharu ini melalui anjalan cecair yang melekap pada tubuh badan dan memberi rasa selesa maksimum kepada wanita. Denim Levi's Revel dengan ciri regangan empat hala menyerlahkan bentuk badan wanita selain menganjal mengikut gerak-geri si pemakai. Selain itu, kelembutan tersebut dapat membantu mengekalkan bentuk jean. Kemasan berkontur, kelim memanjang dan tampalan kocek direka secara strategik untuk menyerlahkan penampilan. Mempunyai tiga pilihan iaitu Slight, Demi dan Bold Curve, Levi's Revel direka khas untuk setiap wanita. Terdapat juga berjenis-jenis kemasan, warna dan tona dalam potongan kurus dan lurus untuk pilihan pemakai. Levi's Revel dijual pada harga RM299 dan boleh didapati di Original Levi's Stores terpilih seluruh negara bermula bulan ini. - HAFIZ AHMAD | ||
Posted: Atasi rambut gugurOleh HAFIZ AHMAD DAISUKE (kanan) berpendapat menukar syampu secara kerap tidak membantu masalah keguguran rambut. KEGUGURAN rambut menjadi masalah utama yang dialami oleh sebilangan orang dewasa hingga mengakibatkan mereka hilang keyakinan diri apabila berhadapan masyarakat. Peningkatan usia dan perubahan hormon merupakan antara faktor yang menyebabkan helaian rambut rapuh dan hilang daya tahan. Jika dilihat, golongan lelaki mengalami masalah keguguran rambut lebih awal berbanding wanita. Disebabkan itu, langkah pencegahan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan masalah tersebut menjadi mimpi ngeri. Menurut Pengurus Pemasaran Rantau ASEAN Menard, Catherine Lim, rawatan penjagaan rambut sebaik-baiknya dilakukan oleh lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan wanita dalam peringkat umur 30-an. "Rawatan tersebut merangkumi pemeriksaan kesihatan kulit kepala dan rambut. Kita sering mengambil remeh perkara tersebut dan tidak membuat penjagaan yang rapi," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran jenama penjagaan rambut dari Jepun itu di sini baru-baru ini. Kajian yang dilakukan oleh Menard mendapati sel-sel rambut terhasil di bahagian atas folikel yang juga merupakan mekanisme penting pertumbuhan setiap helaian rambut. Disebabkan itu, bagi mengekalkan rambut tumbuh secara konsisten, tebal dan kuat, mereka yang mengalami masalah keguguran rambut perlu meningkatkan jumlah pertumbuhan sel-sel rambut. Melalui penyelidikan makmal, Lim berkata, Menard menemui kebaikan ekstrak tumbuhan Great Mullein (Verbascum thapsus) yang membantu dalam meningkat sel-sel rambut manakala ekstrak daun lokuat (Eriobotrya japonica) berkeupayaan melancarkan peredaran darah ke kulit kepala. "Kedua-dua bahan itu menghasilkan dua produk iaitu Syampu Yakuyou Menard dan tonik pertumbuhan rambut, Menard Yakuyou Ikumoueki Z, yang hanya boleh didapati di beberapa salun rambut terpilih," ujarnya. SYAMPU Yakuyou Menard dan tonik pertumbuhan rambut Menard Yakuyou Ikumoueki Z ini boleh didapati di beberapa salun terpilih. Perbezaan Pemilik Daisuke Salon De Coiffure, Daisuke Suzuki berkata, syampu baharu itu mampu membersihkan lebihan sebum yang terhasil daripada pori-pori rambut. "Ia dapat mengelakkan berlakunya masalah kelemumur dan kegatalan yang merupakan simptom-simptom awal keguguran rambut. Syampu tersebut mengekalkan jumlah helaian rambut tanpa meninggalkan kesan berminyak," ujarnya. Tambahnya, menukar produk penjagaan secara kerap tidak membantu masalah keguguran, malah menjadikan situasi bertambah teruk. "Saya menasihatkan orang ramai supaya menggunakan produk sama untuk satu tempoh masa bagi melihat hasilnya. Untuk produk seperti Syampu Yakuyou, pengguna akan mula merasai perbezaan selepas menghabiskan satu botol yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan," kongsi Daisuke. Selepas proses pembersihan menggunakan syampu tersebut, tonik Menard Yakuyou Ikumoueki Z disapukan pada kulit kepala bagi mengembalikan pertumbuhan, menjadikan rambuat kuat dan tidak mudah putus. Cara penggunaan adalah mudah iaitu meletakkan beberapa titisan tidak melebihi 1.5 milimeter terus ke kulit kepala secara konsisten pada waktu pagi dan malam. Fokuskan pada bahagian yang mengalami keguguran dan lakukan urutan supaya mempercepatkan penyerapan tonik tersebut. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |