Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Belum tiba masa 'goyang kaki'Oleh NOR AZIRAN YUNUS
HARIMAU Muda tampil sebarang tekanan ketika menentang Thailand pada aksi ketiga Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini. Bagaimanapun, skuad Bawah 23 (B-23) tahun kendalian Ong Kim Swee itu tetap memburu tiga mata berharga, sekali gus mengekalkan rekod bersih dalam saingan peringkat kumpulan yang dijalankan secara round robin. Bagi Kim Swee, kejayaan Harimau Muda mengesahkan slot ke final lebih awal tanpa perlu mengambil kira keputusan menentang Thailand merupakan satu rahmat buat para pemainnya. "Walaupun telah melangkah ke final, ini tidak bermakna kami akan memberi laluan mudah kepada Thailand kerana bagi saya, kemenangan dalam setiap perlawanan adalah satu kemestian. "Saya akui kami akan turun tanpa tekanan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan malam esok (malam ini). Namun, kami tetap mahukan kemenangan," jelas Kim Swee pada sidang akhbar di Kuantan semalam. Kim Swee berkata, beliau kini dalam pertimbangan untuk merehatkan beberapa tonggak utama atas beberapa faktor termasuk masalah kecederaan dan keletihan. "Saya mungkin akan menurunkan pemain-pemain yang masih belum diturunkan sebelum ini kerana kami memerlukan para pemain yang cergas dalam aksi final Sabtu nanti. "Jika saya menurunkan pemain-pemain simpanan, bukan bermakna mereka adalah skuad kedua. "Ini kerana semua pemain yang berada dalam skuad Harimau Muda adalah yang terbaik dan bersedia diturunkan pada bila-bila masa," jelasnya. Kim Swee sudah pasti tidak dapat menurunkan khidmat penyerang utama, A. Thamil Arasu yang akan menjalani penggantungan perlawanan selepas mengutip dua kad kuning. Pemain sayap lincah, Wan Zack Haikal Wan Nor pula dilapor terseliuh buku lali manakala tonggak pertahanan kental, K. Reuben mengalami bengkak di bahagian kaki. "Saya mengharapkan para pemain yang akan saya turunkan nanti terutama yang masih belum berpeluang bermain sebelum ini membuktikan kepada saya bahawa mereka sememangnya layak untuk berada dalam pasukan. "Mereka seharusnya konsisten dan sentiasa memberikan komitmen terbaik kepada pasukan. "Saya juga mahu tegaskan, para pemain yang beraksi pada Pestabola Merdeka kali ini tidak seharusnya berasa selesa kerana saya akan sentiasa menilai prestasi mereka sebelum Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini. "Walaupun jika kita menjuarai Pestabola Merdeka tetapi mereka tidak mengekalkan prestasi terbaik sebelum Disember nanti, saya tidak teragak-agak untuk menggugurkan mereka," katanya lagi. | |
Posted: Harimau Muda membaraOleh NOR AZIRAN YUNUS IRFAN (tengah) bersama rakan-rakan sepasukannya meraikan jaringannya ketika menentang Myanmar di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin. MORAL serta semangat Harimau Muda kini berada pada tahap terbaik. Kapten Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail berkata, mereka semakin mendapat keserasian selepas mengharungi dua aksi pada Pestabola Merdeka 2013 setakat ini. Menurut Irfan, situasi itu sudah pasti melonjakkan semangat barisan pemain Harimau Muda bagi memburu kejuaraan dalam kempen kali ini. "Persefahaman antara para pemain kini semakin meningkat walaupun ada beberapa muka baharu dalam pasukan. "Hasil perbincangan serta komunikasi yang berterusan menjadikan hubungan kami di dalam mahupun di luar padang menjadi semakin baik. "Saya juga melihat motivasi rakan-rakan sepasukan sangat tinggi dan mereka begitu bersemangat setiap kali bermain," kata Irfan kepada Kosmo! semalam. Paling menggembirakan Irfan apabila Harimau Muda kini telah mencapai sasaran awal dengan melayakkan diri ke pentas final tanpa perlu menunggu hingga aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Thailand malam ini. Bagaimanapun, Irfan mengakui, Harimau Muda tidak boleh dibuai mimpi dengan kejayaan itu yang mungkin akan menyebabkan mereka bermain sambil lewa pada aksi seterusnya. "Kami perlu sentiasa berfikiran jauh ke hadapan dan tidak boleh sentiasa puas dengan prestasi sebelum ini. "Saya berharap dalam aksi bertemu Thailand esok (malam ini), saya dan rakan-rakan sepasukan akan terus menampilkan peningkatan serta memperbaiki beberapa kelemahan yang ada. "Sebelum memikirkan aksi final, kami harus fokus kepada perlawanan menentang Thailand kerana kami tetap memburu tiga mata maksimum," jelasnya. Dalam pertemuan menentang Myanmar kelmarin, Irfan dianggap antara nadi Harimau Muda yang bangkit daripada ketinggalan sebelum melakar kemenangan 2-1. Selepas Myanmar membuka tirai jaringan menerusi Nay Lin Tun, Harimau Muda tampil lebih bertenaga pada babak kedua sebelum memperoleh dua gol hasil sumbangan Irfan dan Wan Zack Haikal Wan Nor. Kemenangan itu sudah cukup untuk memastikan Harimau Muda melangkah ke final selepas meraih enam mata maksimum. "Kejayaan melangkah lebih awal ke final merupakan satu motivasi buat kami untuk memberi persembahan lebih bertenaga dalam perlawanan selepas ini. "Saya tidak kisah sama ada bertemu Thailand atau Myanmar pada aksi final nanti. "Namun, secara peribadi saya memilih untuk bertemu Myanmar kerana mereka telah tewas kepada kami pada peringkat kumpulan dan mereka pasti akan bermain lebih baik untuk membalas dendam pada final. "Saya juga tidak boleh memperkecilkan kemampuan Thailand kerana seperti kita sedia maklum, Thailand sebuah pasukan yang sangat mantap," jelasnya. | |
Posted: Serang habis-habisanOleh NOR AZIRAN YUNUS
THAILAND akan menampilkan corak permainan secara menyerang ketika berdepan Harimau Muda pada aksi terakhir peringkat kumpulan Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini. Biarpun hanya memburu satu mata bagi mengesahkan tiket ke final, Thailand tidak rela berputih mata pada saat-saat akhir kerana menyedari Myanmar turut mengintai peluang yang sama. Justeru, jurulatih Thailand, Kairung Threejagsang dijangka menurunkan barisan terbaiknya malam ini bagi mengelak anak-anak buahnya pulang dengan tangan kosong. Selain mahu memperkukuh jentera serangannya, Threejagsang berkata, beliau akan memperkemas benteng pertahanannya kerana sedar Harimau Muda amat merbahaya ketika melancarkan serangan. "Malaysia merupakan satu pasukan yang mantap di setiap posisi. Bagaimanapun, saya tetap akan menurunkan barisan terbaik. "Saya berharap kami sekurang-kurangnya mampu mencuri satu mata untuk layak ke final," kata Threejagsang pada sidang akhbar di Kuantan semalam. Threejagsang mengakui, beliau sangat bimbang jika pemain sayap lincah Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Nor diturunkan kerana menganggap pemain kelab Ryukyu FC itu mampu memberi masalah besar kepada benteng pertahanan Thailand. "Pemain No. 10 Malaysia (Wan Zack Haikal) jika diturunkan sangat merbahaya. Dia terlalu pantas, memiliki teknik yang bagus dan mampu menghasilkan jaringan. "Jadi kami harus lebih berwaspada dengan pemain itu jika dia diturunkan nanti," jelasnya. Threejagsang berkata, Thailand akan tampil dengan kehadiran penyerang utama, Kasidech Wattayawong yang pulih daripada kecederaan. "Saya juga berasa lega kerana (pemain sayap) Pakorn Parmpak yang terpaksa dikeluarkan selepas menjaringkan gol kemenangan ketika bertemu Singapura semalam (kelmarin) tidak mengalami kecederaan serius dan akan diturunkan," ujarnya. Dalam pada itu, Threejagsang berkata, para pemainnya tidak risau jika ribuan penyokong Harimau Muda membanjiri Stadium Darul Makmur dalam pertemuan malam ini. "Para pemain saya sudah biasa dengan situasi begitu dan mental mereka begitu kuat. Jadi ia tidak begitu memberi kesan kepada corak permainan kami," katanya. Sebelum Pestabola Merdeka 2013 berlangsung, terdapat dakwaan yang mengatakan Thailand tidak menghantar skuad kebangsaan sebenar mereka tetapi sekadar menghantar para pemain gabungan dua kelab terkemuka dari negara itu. Bagaimanapun, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelaskan bahawa situasi itu bukan satu isu yang harus diperbesarkan. "Saya tidak kisah mereka sekadar pasukan kelab atau apa pun. Yang penting mereka tampil dengan kualiti tersendiri "Saya menjangkakan kesukaran buat kami dalam pertemuan dengan Thailand sama seperti aksi menentang Myanmar," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |