Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Tiada kompromi lantik jurulatih Posted: Tiada kompromi lantik jurulatihOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berkompromi dalam usaha melantik jurulatih baharu Harimau Malaya selepas ini. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, badan induk itu bersedia membuat pelaburan besar termasuk mendapatkan jurulatih asing sekiranya ia membawa kebaikan terhadap kemajuan Harimau Malaya. Ini kerana menurut beliau, setiap pelaburan memainkan peranan yang penting terutamanya apabila membabitkan kos yang tinggi bagi mendapatkan khidmat jurulatih asing. "FAM tidak akan berkompromi daripada segi kualiti, jika mahu menggantikan jurulatih (Datuk K. Rajagobal), calon itu perlulah lebih baik dan berwibawa. "Jika ia boleh membawa kebaikan (khidmat jurulatih asing), tidak salah kerana ia salah satu pilihan yang dimiliki FAM bagi meningkatkan mutu pasukan kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Watsons Piala Malaysia di Renoma Cafe Gallery, Bukit Bintang di ibu kota semalam. Masa depan Rajagobal sebagai ketua jurulatih menimbulkan tanda tanya sekiranya beliau gagal membantu Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 sebaik kontraknya tamat pada 31 Disember depan. Spekulasi pengganti Rajagobal semakin tersebar luas apabila FAM mengesahkan telah menerima permohonan daripada tiga pengendali bertaraf dunia yang berminat mengisi jawatan tersebut. Selain bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier, turut berada dalam radar FAM termasuklah bekas jurulatih skuad utama Liverpool, Alex Miller selain legenda Jerman, Rudi Voller. Mengulas lanjut, Hamidin berkata, pihaknya juga menyokong penuh saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya memenuhi tuntutan mana-mana jurulatih asing termasuk gaji yang tinggi. "Jika ia dipersetujui Ahli Jawatankuasa FAM, tidak timbul masalah. "Kami akan mengkaji kewangan dan kemampuan FAM terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. "Jika perlu, FAM akan beriktiar mendapatkan sumber kewangan (bagi membayar gaji jurulatih asing)," jelas beliau. | |
Pestabola Merdeka gamit nostalgia Posted: Pestabola Merdeka gamit nostalgiaMILIK KAMI... Para pemain dan pegawai skuad Harimau Muda meraikan kejayaan muncul juara Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu lalu. GEGAK gempita Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang sepanjang final Pestabola Merdeka ke-41 antara Malaysia dan Myanmar Sabtu lalu memberi bayangan betapa kejohanan paling berprestij di rantau Asia itu sudah kembali menggamit hati peminat tempatan. Tahniah buat barisan Harimau Muda bimbingan Ong Kim Swee kerana memenuhi harapan peminat di seluruh negara dengan persembahan bertenaga di tengah padang bagi membenam Myanmar 2-0 menerusi jaringan Rozaimi Abdul Rahman dan Junior Eldstal. Kejayaan itu disaksikan lebih 27,000 peminat tempatan yang bersorak kegembiraan di segenap ruang stadium meraikan detik penuh istimewa itu. Kemenangan itu menyaksikan Harimau Muda meraih hadiah AS$50,000 (RM150,000) manakala Myanmar terpaksa berpuas hati dengan AS$30,000 (RM90,000). Singapura yang muncul pemenang tempat ketiga pula membawa pulang AS$20,000 (RM60,000) manakala Thailand meraih AS$10,000 (RM30,000). Disuntik nafas baharu selepas tidak dianjurkan sepanjang tempoh lima tahun lalu, Pestabola Merdeka kini akan menjadi acara tetap dalam kalendar bola sepak negara. Ia hasil usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Astro dan ProEvents International (M) Sdn. Bhd. yang berusaha keras untuk menjayakan kejohanan itu buat semua warga Malaysia yang menyimpan kenangan atas kejohanan yang dekat di hati mereka. Edisi ke-42 Pestabola Merdeka dijangka dilangsungkan di negeri yang lain tahun depan kerana ia mengikut sistem penggiliran yang diilhamkan FAM dan rakan komersial, Astro dan ProEvents baru-baru ini. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mendedahkan, Pestabola Merdeka bakal melalui beberapa pembaharuan dengan penyertaan lebih banyak pasukan pada edisi akan datang. "Kami menjemput beberapa negara tetapi ramai tidak dapat mengesahkan penyertaan mereka pada edisi Pestabola Merdeka kali ini disebabkan liga mereka yang masih berlangsung. "Namun, kejohanan tahun ini di Kuantan dilangsungkan dengan jayanya berikutan 27,000 peminat yang hadir pada final dan ini memberikan gambaran baik mengenai kepentingan Pestabola Merdeka kepada negara," jelas Hamidin. Ketua Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ProEvents, Julian Kam juga teruja dengan nostalgia dan tarikan Pestabola Merdeka sambil berazam untuk membawa kejohanan itu ke tahap lebih tinggi. "Astro gembira kerana dapat membabitkan diri dalam usaha untuk menghidupkan semula Pestabola Merdeka menerusi jalinan kerjasama rapat kami dengan FAM. "Ia adalah detik istimewa buat kami semua di Kuantan dan kami begitu teruja dengan sokongan menakjubkan daripada peminat," kata Choong Kay. ProEvents yang sinonim dengan jelajah pramusim membabitkan kelab gergasi England di rantau Asia, kini tidak sabar untuk menganjurkan edisi Pestabola Merdeka seterusnya. "Ia adalah usaha yang baik dalam menghidupkan semula Pestabola Merdeka selepas lima tahun. "Peminat begitu hebat dan semuanya berjalan lancar. Kami berharap untuk membawa kejohanan ini kepada satu tahap yang lebih tinggi tahun depan," kata Kam. | |
Buat laporan jika ada maklumat Posted: Buat laporan jika ada maklumatOleh TAUFIK SALIMIN SEBAHAGIAN penyokong Johor berkumpul di pekarangan Stadium Perbandaran Pasir Gudang Selasa lalu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 yang dicatat Johor ketika menentang Sime Darby pada kempen Piala Malaysia. "JANGAN hanya tahu buat kecoh, tampil buat laporan jika ada sebarang maklumat." Demikian tegas jurulatih Johor, Ederis Selamat kepada segelintir penyokong Johor berikutan dakwaan mengenai penglibatan bookie pada aksi Piala Malaysia menentang Sime Darby di Stadium Perbandaran Pasir Gudang Selasa lalu. Menurut Ederis, penyokong menggunakan saluran yang betul untuk membantu Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) membanteras kegiatan mengatur perlawanan dan bukannya mencetuskan kekecohan. "Saya minta kerjasama semua pihak untuk tampil memberikan maklumat dan kita akan mengambil langkah berhati-hati supaya perkara ini dapat dielakkan. "Saya harap, penyokong bersikap lebih matang dan sekiranya mempunyai mempunyai maklumat, maklumkan perkara ini kepada PBNJ," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang semalam. Kosmo! semalam melaporkan kira-kira 2,000 penyokong setia Johor membuat kecoh di pekarangan stadium terbabit selepas dikatakan kecewa dan tidak berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Sime Darby. Dipercayai, kekecohan terbabit timbul kerana penyokong Johor beranggapan keputusan seri tersebut telah diatur memandangkan ia telah tersebar menerusi laman sosial Facebook sejak seminggu lalu. Dalam pada itu, Ederis mengakui, beliau telah mengadakan pertemuan dengan penyokong terbabit bagi mendapatkan cerita sebenar. "Bagaimanapun, saya tetap berharap mereka (penyokong) akan terus memberikan sokongan kepada pasukan dalam kempen Piala Malaysia," katanya. Sementara itu, pengurus Johor, Onn Jabbar mengalu-alukan segala bentuk siasatan terhadap barisan pemainnya yang dikaitkan dengan bookie. Katanya, segala bentuk siasatan boleh dilakukan bagi menjernihkan semula keadaan serta memastikan pemainnya bebas daripada masalah terbabit. "Saya mengalu-alukan siasatan daripada pihak berwajib termasuk Jawatankuasa Integriti bagi menyiasat dengan lebih terperinci berhubung isu ini," katanya. Menurutnya, tindakan penyokong yang mencetuskan provokasi semasa perlawanan begitu mengecewakan dan memberi kesan besar kepada para pemain yang sedang beraksi. Bagi tonggak Johor, Mohd. Ezaidy Mohd. Khadar, dia mengakui berasa terkilan dan sedih selepas dimaki beberapa penyokong. "Saya sedih dengan kejadian itu hingga menyebabkan moral dan semangat saya turun. "Saya tidak tahu mengapa kami menjadi mangsa. Saya bersedia untuk disiasat sekiranya dipanggil pihak berkuasa nanti," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |