Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Malaysia jejak finalOleh TAUFIK SALIMIN
MALAYSIA mengesahkan slot ke final pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2013 selepas menewaskan Pakistan 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam tadi. Kemenangan itu meletakkan Malaysia di kedudukan teratas liga selepas mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan dan akan melengkapkan aksi terakhir menentang India, Sabtu ini. Pada aksi malam tadi, Pakistan terlebih dahulu mengejutkan Malaysia apabila Muhammad Dilber menjaringkan gol pertama pada minit ke-25 sebelum Mohd. Zulhairi Hashim mengikat kedudukan selepas bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti tiga minit kemudian. Malaysia bermula garang pada babak kedua dan pemain berbisa, Muhd. Shahril Saabah menambah jaringan hasil satu lagi pukulan sudut penalti untuk Malaysia mendahului 2-1 pada minit ke 40. Muhammad Tousiq sekali lagi mengikat kedudukan hasil satu pukulan penalti pada minit ke-48. Bagaimanapun, anak-anak buah Muhammad Dhaarma Raj kembali menguasai permainan, hasilnya kapten pasukan, Mohd. Fitri Saari menambah jaringan ketiga pada minit ke-52. Mohd. Syamim Mohd. Yusof menambah derita Pakistan apabila mencipta jaringan keempat menerusi pukulan padang pada minit ke-63. Dhaarma Raj mengakui berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain-pemain sepanjang empat perlawanan yang diharungi berbanding prestasi tahun lalu. "Justeru, saya mahu pemain saya memberi tumpuan pada baki perlawanan kerana kami perlu mencapai kemenangan pada edisi kali ini," katanya. Beliau turut berharap agar pemain-pemain dapat mengurangkan risiko kecederaan pada aksi terakhir peringkat kumpulan. "Kami harap, pemain-pemain bebas daripada kecederaan supaya dapat beraksi dengan baik pada final nanti," katanya. Pada perlawanan lain, India membelasah Korea 6-1, manakala Argentina mencatat kemenangan pertama selepas menundukkan England 3-0. | |
Posted: 'Terserah kepada SPRM'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE "HANYA satu prosedur biasa." Itu cerita ringkas pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas selesai memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bandar Meru Raya, Ipoh kelmarin. Meskipun dikatakan mengambil masa sehingga lapan jam apabila hanya selesai memberikan keterangan kira-kira tengah malam, Azraai kekal tenang dan mengakui tidak tertekan dengan situasi itu. "Ia mengambil masa yang agak lama tetapi itu perkara biasa... saya perlu menjelaskan banyak perkara terutamanya mengenai kesebelasan pemain dalam perlawanan tertentu dan sebagainya. "Kini, segala-galanya terserah kepada SPRM," katanya kepada Kosmo! semalam. Polemik mula tercetus dalam kalangan peminat fanatik skuad Seladang ekoran tindakan drastik Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membekukan khidmat Azraai, pegawai dan petugas pasukan itu berkuatkuasa Isnin lalu. Ia gara-gara pihak PAFA mengesyaki wujudnya isu rasuah dan sabotaj dalam skuad Seladang selepas tersingkir dalam kempen Piala Malaysia musim ini terutamanya apabila dibelasah Sarawak 1-6 dalam aksi terakhir Kumpulan D di Kuching pada 21 September lalu. Mengulas lanjut, Azraai memberitahu, beberapa lagi pemain Perak juga telah diambil keterangan masing-masing oleh SPRM semalam bagi membantu siasatan. "Saya tidak tahu bila siasatan akan selesai, cuma saya harap ia dapat diselesaikan segera," jelasnya. Pada masa sama, Azraai juga menafikan fokus anak-anak buahnya kini terjejas teruk ekoran siasatan itu. "Pemain tetap menjalani latihan seperti biasa," katanya. | |
Posted: Pahang lebih bersemangatOleh SHAHRULANOOR ISHAK PAHANG bertekad untuk mempamerkan persembahan terbaik pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2013 menentang Selangor PKNS di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini. Skuad bimbingan Dollah Salleh itu mahu menjadikan perlawanan tersebut sebagai penebus maruah selepas dibelasah 0-4 oleh Kelantan pada aksi terakhir Kumpulan C di Kota Bharu minggu lalu. Pemain tengah Pahang, Mohd. Saiful Nizam Miswan berkata, kekecewaan di Kota Bharu tidak wajar menjadi penghalang untuk beraksi lebih baik dan para pemain sudah bersedia menanti kunjungan PKNS. Saiful atau lebih dikenali dengan panggilan Poyeng mengakui bahawa, dia dan rakan-rakan sepasukan akan memanfaatkan peluang yang terhidang sebagai bekalan untuk menghadapi aksi kedua di gelanggang lawan nanti. "Selepas kalah di Kota Bharu, semangat para pemain menurun sedikit tetapi untuk malam esok (hari ini), kami akan manfaatkan setiap peluang yang diperoleh. "Kami perlu membawa bekalan yang selesa sebelum bertandang ke tempat lawan pada 4 Oktober depan," kata pemain berusia 32 tahun itu. Dalam pada itu, Poyeng menambah, mereka perlu lebih berhati-hati untuk berdepan PKNS kerana corak serangan pasukan berstatus kelab itu sering bertukar dalam setiap perlawanan. Sementara itu, penjaga gol utama Pahang, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid pula berkata, dia akan berusaha sedaya upaya menjaga gawang skuad Tok Gajah supaya tidak mudah dibolosi seperti mana di Kota Bharu lalu. "Kekalahan di Kota Bharu sudah dilupakan. Sekarang, saya dan rakan-rakan sepasukan sudah belajar sesuatu dan bersiap sedia menutup semua peluang supaya tidak mudah dibolosi pemain-pemain PKNS. "Bagi perlawanan esok (malam ini), Pahang tidak boleh cuai dan perlu menang dengan menjaringkan banyak gol," kata Mohd. Khairul Azhan. Penjaga gol berusia 24 tahun itu menyeru para penyokong setia skuad Tok Gajah membanjiri stadium untuk memberi semangat kepada para pemain bagi menghadapi aksi suku akhir itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |