Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Kuil di Jalan P. Ramlee tidak akan dirobohkan
- PDRM mungkin dapat peruntukan tambahan
- Projek pembangunan rakyat ikut kemampuan - PM
Kuil di Jalan P. Ramlee tidak akan dirobohkan Posted: 02 Sep 2013 03:13 AM PDT KUALA LUMPUR 2 Sept. - Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P. Ramlee di sini tidak akan dirobohkan. Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, malah pihaknya akan mencantikkan dan membina pagar bagi melindungi kuil berusia 101 tahun itu untuk memudahkan penganutnya melakukan upacara keagamaan. Katanya, hanya struktur kantin dan restoran yang dibina secara haram di sebelah kuil itu akan dirobohkan. "Kami tahu kuil ini merupakan tempat suci bagi masyarakat India di sekitarnya, kami bukan sahaja akan melindunginya malah akan membina pagar dan mencantikkan kawasan kuil," katanya kepada pemberita selepas melawat Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di sini, hari ini. Turut hadir Timbalannya Datuk Dr J. Loga Bala Mohan, Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Datuk Maglin Dennis DCruz dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan Datuk A. Chandrakumanan. Semalam sekumpulan pegawai DBKL dihalang oleh anggota komuniti kuil itu serta beberapa pemimpin parti kaum India daripada cuba merobohkan penyambungan struktur haram di sebelah kuil itu. - BERNAMA |
PDRM mungkin dapat peruntukan tambahan Posted: 02 Sep 2013 03:11 AM PDT PUTRAJAYA 2 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemungkinan besar akan mendapat peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2014 bagi membanteras jenayah di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata kekangan dihadapi PDRM dalam melaksanakan tugas, antaranya ialah daripada segi aset dan perkakasan. Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dijangka membentangkan Belanjawan 2014 pada 25 Oktober ini. Ditanya mengenai cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membeli helikopter bagi kegunaan Unit Udara PDRM, Ahmad Zahid berkata beliau menyokong cadangan itu dan berharap peruntukan untuk tujuan itu diluluskan. "PDRM amat memerlukan helikopter bagi tujuan operasi...kekangan kita ialah aset dan perkakasan," katanya. - BERNAMA |
Projek pembangunan rakyat ikut kemampuan - PM Posted: 02 Sep 2013 03:07 AM PDT PUTRAJAYA 2 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan projek-projek pembangunan dalam usaha memenuhi permintaan rakyat, namun masih bergantung kepada kemampuan kewangan negara. Perdana Menteri berkata kriteria tertentu akan dinilai sebaik-baiknya sebelum projek-projek pembangunan dilaksanakan. "Bukan bererti bahawa semua permintaan boleh kita tunaikan. Mesti ada batas kewangan. Bagaimana cara pun ada batas kewangan. Kalau kita berbelanja terlalu berlebihan, ekonomi kita akan merosot. "Kalau kita tidak belanja maka ekonomi kita tidak berkembang. Jadi belanjalah secara berhemah dan cubalah mendapatkan nilai yang maksimum bagi setiap ringgit yang kita belanjakan," katanya. Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis Hari Raya Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Dalam pada itu, Perdana Menteri percaya ICU akan terus memainkan peranan sebagai sebuah jabatan yang sangat penting dalam menyokong usaha-usaha kerajaan untuk membangunkan negara dan melakukan transformasi yang besar kepada negara. Sambil berterima kasih kepada jabatan itu kerana memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada kerajaan, Najib turut mengakui bukan mudah untuk ICU berada di barisan hadapan. "Saya tahu bukan mudah berada di barisan hadapan mengendalikan begitu banyak permintaan, kadang-kadang kerenah orang ramai, kerenah wakil rakyat juga. "Tetapi semua kita lakukan kerana permintaan rakyat, daripada segi projek-projek pembangunan adalah sentiasa berada pada paras yang tinggi," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |