{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Feminin

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Feminin


Wani pilih jururawat

Posted: 18 Sep 2013 02:20 AM PDT

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.myGambar IHSAN ADI D'SAYANG (012-3689462)

Noor Zawani Che Shop atau lebih mesra disapa wani.

KERJAYANYA tidak sekadar menuntut kesabaran dan kecekalan yang tinggi tetapi perlu sentiasa bersedia menghadapi pelbagai ragam dan kerenah pesakit.

Kesabaran yang ada kadangkala diuji tetapi memikirkan semula kerjaya yang disandangnya kini adalah pilihannya sendiri, maka anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang, ini terus menanam niat untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan.

Kini setelah lima bulan menjalani kehidupan sebagai seorang jururawat di Wad Bersalin sebuah hospital swasta di ibu negara, Noor Zawani Che Shopi teruja dan gembira kerana dia sememangnya gemarkan kanak-kanak.

Mengakui pada awal pengajian dia sememangnya takut kepada darah, tetapi bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa' kini Noor Zawani atau lebih mesra disapa Wani sudah lali dengan situasi tersebut.

Baru mencecah usia 22 tahun, dia sesekali tidak pernah menyesal dengan kerjaya pilihan malah mampu membuatkan dirinya insaf apabila melihat ibu-ibu bertarung nyawa melahirkan anak.

Begitu tersentuh dengan pengorbanan seorang ibu serta 'penderitaan' yang ditanggung seorang wanita hamil, Wani memberitahu bahawa pengalaman yang paling bermakna sepanjang lima bulan kerjayanya bermula, apabila dia berpeluang menyambut kelahiran seorang bayi bersama seorang jururawat kanan.

Menceritakan detik tersebut, Wani berkata, ketika itu doktor dalam perjalanan untuk melihat keadaan ibu tersebut tetapi kuasa tuhan, ibu tersebut telah melahirkan anaknya tanpa sempat doktor sampai. dia yang bertugas ketika itu bersama seorang jururawat kanan telah menyambut bayi tersebut.

"Alhamdulillah, kenangan tersebut tidak mungkin akan luput dari ingatan kerana itulah kali pertama saya menghadapi situasi seperti itu (menyambut kelahiran bayi tanpa doktor) walaupun pada hakikatnya gemuruh dalam dada tuhan sahaja yang tahu.

"Ini kerana sebelum ini saya hanya membantu doktor yang menyambut kelahiran bayi dan tidak pernah pula menyambut bayi yang baru lahir.

"Bagaimanapun ia satu memori sungguh indah untuk diingati selama-lamanya," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Atas alasan tersebut juga, gadis yang memiliki ketinggian 151 sentimeter ini berazam untuk lebih berdedikasi dalam kerjayanya hari ini.

Begitupun, dia yang masih bujang mengakui sedikit fobia melihat ibu-ibu bersalin dan mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mengembalikan semangat apabila tiba harinya kelak.

Yang pasti, setiap kali selesai menjalankan tugas (menyambut kelahiran bayi), dia pasti menghubungi ibunya untuk berbual dan secara tidak langsung melepaskan sayu di hati.

Wani yang juga bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, bagaimanapun terpaksa menangguhkan dahulu keinginannya kerana syarat untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah memerlukan seorang jururawat itu memiliki pengalaman sekurang-kurangnya setahun.

Untuk itu, Wani berazam untuk mencari pengalaman sejauh mungkin dan pasti akan mengotakan janji kepada dirinya satu hari nanti.

Juga amat berterima kasih kepada keluarga yang cukup menyokong dan menjadi pendorong utama dalam menentukan masa depannya, Wani memberitahu bahawa dia tidak akan menghampakan harapan mereka untuk melihat kejayaan dirinya.

Kegigihan serta kesanggupannya untuk menjadi seorang jururawat seharusnya diberi pujian kerana hari ini generasi muda kurang berminat menceburi bidang tersebut dan menjadikannya sebagai pilihan terakhir.

Namun jelasnya, kerjaya tersebut telah berjaya merubah dirinya menjadi seorang individu yang lebih bertanggungjawab dan menghargai pengorbanan seorang ibu.

Perkembangan fesyen

Selain bercerita tentang kerjaya, seperti remaja lain, Wani juga gemar mengikuti perkembangan fesyen.

Seorang individu yang gemar mengumpul beg tangan, kasut, dan aksesori, dia turut memasang keinginan untuk bergelar seorang pelakon satu hari nanti.

Gadis yang murah dengan senyuman ini sememangnya kini bergelar model sambilan dan kerjaya tersebut telah bermula sejak berada dalam semester dua pengajian kejururawatannya.

Turut mengakui suka mengambil gambar sendiri, Wani juga pernah menyertai peraduan Gadis iPad melalui laman sosial Facebook pada tahun 2011.

Bermula daripada situ dia mula berjinak-jinak dalam dunia peragaan, malah pernah berlakon sebagai pelakon tambahan dalam drama bersiri Si Capik dan Cahaya Cinta.

Yang pasti, anak sulung daripada dua beradik ini pandai membahagikan masa agar ia tidak bertembung dengan tugasnya.

"Saya hanya menerima tawaran untuk memperagakan fesyen hanya pada hari minggu kerana pada hari itu saya tidak bekerja.

"Seboleh-bolehnya saya tidak akan mencampur-aduk kerjaya peragaan dengan kerjaya tetap dan disebabkan itulah saya hanya menerima tawaran peragaan pada hari minggu.

"Saya sayangkan kedua-dua kerjaya ini dan kalau boleh biarlah ia seiring," katanya lagi.

Berbicara pula mengenai rutin hariannya dalam penjagaan kulit wajah, Wani menjelaskan dia tidak pernah berpeluang untuk ke salon atau spa bagi memanjakan diri.

Ini kerana jadual kerjanya yang tidak menentu, membuatkan dia hanya berpeluang mengamalkan penggunaan bahan-bahan asas dalam penjagaan kulit.

"Setakat ini saya amat bersyukur kerana kulit wajah tidak mempunyai masalah serius.

"Jadi buat masa sekarang saya memang tidak mengamalkan apa-apa petua dalam penjagaan kecantikan malah menggunakan bahan-bahan asas seperti orang lain," tuturnya menutup bicara.

Sukses Kelir SriWijaya

Posted: 18 Sep 2013 02:20 AM PDT

Raja Rezza Shah (baju melayu kuning) bersama para pereka fesyen dari Malaysia dan Indonesia bersama tetamu kehormat.

CERITANYA, ketika membuat kajian tentang pemakaian Islam, dia menemui banyak keindahan tentang agama tersebut lalu mengambil keputusan memeluk Islam.

Pereka fesyen bertaraf antarabangsa ini telah membuktikan kredibilitinya dan kreativitinya sebagai pereka fesyen sebenar dengan menghasilkan fesyen yang menepati tema Islamic Fashion Festival (IFF) itu sendiri.

Mungkin sebelum ini ramai yang melihat IFF dari satu sudut sahaja sehingga pelbagai kritikan diterima pengasasnya, Datuk Seri Raja Rezza Shah.

Beliau menelan segala tohmahan dan menganggap itu semua sebagai ruang untuk dirinya memperbaiki kelonggaran yang ada sepanjang penganjuran IFF tersebut.

Atas dasar itu jugalah, Rezza Shah mahu rakyat Malaysia melihat IFF sebagai satu medan yang bukan hanya sekadar mempertontonkan fesyen semata-mata malah ia lebih dari itu.

Beliau yang ditemui di Palembang, Indonesia baru-baru ini berkata, IFF bukan sahaja berfungsi sebagai medan dakwah bagi menarik orang bukan Islam untuk mendekati agama ini, malah ia juga medan silaturrahim yang nilainya amat besar di sisi Allah SWT.

"Apa yang kita lihat hari ini sambutan yang diterima di Palembang begitu meriah. Masyarakat fesyen di Palembang berbesar hati menerima penganjuran IFF di sini.

"IFF adalah medan silaturrahim dan jalinan kemesraan antara Malaysia dengan negara lain. Selepas Palembang, kami akan ke Padang yang sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi lokasi IFF seterusnya," jelas Rezza Shah yang ditemui di Galeri Dian Pelangi di Palembang, baru-baru ini.

Bagi Rezza Shah, IFF juga merupakan sebuah 'sekolah' yang mana dalam tempoh enam tahun penubuhannya semakin berjaya menghasilkan 'pelajar' iaitu pereka yang semakin memahami konsep Islamik itu sendiri.

"Pereka yang baru menyertai IFF tentu tidak sama prestasinya dengan pereka yang sudah enam, tahun bersama IFF.

"Kriteria pemilihan pereka fesyen sudah tentulah mengikut tuan rumah di mana acara dianjurkan kerana mereka lebih memahami apa yang mahu diterapkan dalam koleksi masing-masing.

"Pada saya IFF yang dulu memang tidak sama dengan yang sekarang, pereka kami juga lebih memahami apa yang perlu ditonjolkan dan tidak.

"Melalui IFF ini kami mahu menarik peminat fesyen bukan Islam untuk mengetahui fesyen Islam itu indah, tidak hanya terhad kepada warna hitam sahaja.

"Pada 22 September ini kami juga telah diberi peluang oleh pihak berkuasa di Perancis untuk menyertai pertunjukkan fesyen di kota fesyen tersohor dunia.

"Seperti yang diketahui walaupun Perancis mempunyai penduduk Islam melebihi angka empatjuta orang, rata-rata penganutnya masih belum dapat mempraktikkan pemakaian bercirikan Islam sebenar.

"Mungkin selepas IFF di sana kelak, para pemimpin di Perancis akan lebih terbuka minda tentang pemakaian bercirikan Islam," jelas beliau yang telah menganjurkan IFF di beberapa kota di Indonesia seperti, Jakarta, Bandung dan Bali.

Kelir Sriwijaya

Sementara itu, IFF di Palembang telah mencapai misinya dengan penglibatan pereka fesyen tempatan dan Indonesia.

Antara yang mengambil bahagian kali ini ialah pereka dari Malaysia, Datuk Tom Abang Saufi, Nora dari Galeri Muslimah dan Calvin Thoo. Dari Indonesia pula, Jeny Tjahyawati, Dian Pelangi, Ade Listiani dan Zainal Songket.

Masing-masing memperkenalkan koleksi menarik dan hebat.

Tidak lari daripada tema IFF kali ini yang diberi nama Kelir Sriwijaya atau warna warni Sriwijaya, kesemua rekaan sedikit sebanyak mempamerkan identiti Melayu yang berasal dari Palembang.

Zainal Songket yang memang terkenal dengan Songket Palembang juga memperkenalkan koleksi yang sopan berteraskan warna merah hati.

Penggunaan motif songket Zainal juga lebih jelas dan terang sehingga identiti dirinya yang juga berasal dari Palembang terserlah dalam setiap koleksi.

Tidak kurang hebat koleksi Calvin Thoo yang mempertaruhkan rekaan kurung Pahang dan digabungkan dengan litup kepala ala Minangkabau. Calvin juga lebih suka menggunakan warna lembut seperti biru muda.

Dian Pelangi yang membuka tirai persembahan pada Majlis Minum Petang IFF anjuran Tourism Malaysia juga tidak pernah mengecewakan dengan koleksi yang praktikal dan formal.

Jeny Tjahyawati pula mengetengahkan keindahan selendang yang menjadi sebahagian pakaian rasmi wanita Indonesia dan Malaysia dalam koleksi yang diberi nama Selendang Sayang.

Ade Listiani yang berasal dari Padang pula menghasilkan busana yang sangat sesuai dipakai para pengantin muslimah atau ke majlis formal.

Di sebelah malamnya pula iaitu Makan Malam Gala, sekali lagi para pereka fesyen terlibat memperkenalkan 10 lagi koleksi masing-masing yang lebih menarik dan bergaya.

IFF di Palembang telah diserikan dengan kehadiran bakal Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan isteri; Gabenor Palembang, Alex Nordin, Sultan Palembang Mahmud Badaruddin dan isteri, para delegasi dari Malaysia dan tetamu kehormat dari Indonesia. - Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat