Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Amaran kepada GLC negeri
- Pertanian akuaponik jadi alternatif baharu
- Ekspedisi Jalur Gemilang 2013 singgah di Muar hari ini
Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY JOHOR BAHRU 1 Sept. - Syarikat milik kerajaan (GLC) negeri perlu bersedia berdepan dengan sebarang tindakan sekiranya didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI). Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, setiap GLC negeri ini sudah pasti sedar dengan dasar dan undang-undang ditetapkan kerajaan berhubung perkara berkenaan. Beliau berharap tiada mana-mana syarikat terutamanya yang memiliki ladang didapati melanggar kesalahan tersebut terutama dalam operasi memburu PATI yang sedang dijalankan. "Saya harap mereka (GLC negeri) sendiri patut tahu dan tidak terlibat kerana saya percaya siapa pun didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan tegas oleh Kementerian Dalam Negeri. "Mereka patut sedar dan ia tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika diminta mengulas sama ada GLC negeri terutama yang mempunyai ladang bersedia memberi kerjasama dalam operasi besar-besaran memburu PATI bermula hari ini. Mohamed Khaled ditemui pemberita dalam majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Tebrau di Savanna Hill Resort di sini. Kementerian Dalam Negeri akan membuat gerakan besar-besaran memburu PATI yang masih berada di negara ini bermula hari ini dengan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada lagi kompromi diberikan. |
Pertanian akuaponik jadi alternatif baharu Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT ABDULLAH Rashidi (kanan) menunjukkan hasil pertanian bandar dengan kaedah akuaponik yang lebih mesra alam dan menjimatkan yang diperkenalkan oleh Pejabat Pertanian Ledang ketika ditemui di Ledang, Johor, baru-baru ini. LEDANG 1 Sept. - Kesukaran mendapatkan tapak pertanian berskala kecil kini bukan lagi satu masalah buat penduduk bandar malah ia boleh dikomersialkan menerusi pertanian baharu dengan kaedah akuaponik yang lebih mesra alam dan menjimatkan. Dibangunkan oleh Pejabat Pertanian Ledang, teknik pertanian moden itu boleh menjimatkan wang dapur sekeluarga terutama bagi belanja membeli sayur dan ikan segar dan boleh diusahakan di mana-mana saja seperti di laman rumah dengan hasil boleh dituai dalam tempoh yang singkat. Berkonsepkan 4T iaitu tanam, ternak, tinggal dan tuai, akuaponik yang menggabungkan penanaman dan pemeliharaan ikan dalam satu bekas bertingkat menjurus kepada pertanian bandar dengan hasil tuaian bersifat organik kerana ia tidak menggunakan bahan kimia. Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, menerusi kaedah berkenaan pengusaha boleh menanam pelbagai jenis sayur seperti salad, sawi, cili, terung, bendi dan pada masa sama memelihara ikan air tawar atau udang galah dalam bekas khas. Katanya, menerusi kaedah itu, air daripada bekas takungan ikan berkenaan akan disalurkan ke bahagian atas untuk memberikan baja kepada sayur-sayuran menerusi mesin dan injap khas yang juga bertindak membersihkan kotoran. "Pokok memerlukan baja daripada ikan iaitu ammonia nitrat dan kaedah ini secara automatik menyalurkan air ke bahagian yang memerlukan tanpa perlu pemilik menjaganya. Ia amat mesra alam dan tidak perlu dijaga dengan rapi seperti sayur-sayuran biasa. "Air ternakan ikan atau udang akan naik ke bahagian atas (tanaman) menerusi pam air yang dipasang bagi membekalkan nutrien yang diperlukan oleh pokok menerusi najis ikan berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di bandar Tangkak, kelmarin. Abdullah berkata, kaedah pertanian itu sudah lama diperkenalkan dan dengan wujudnya peralatan baharu seperti injap mampu melaksanakan tugas tanpa perlu pemantauan seterusnya memberi lebih ruang penyesuaian terutama bagi yang tidak memiliki kawasan tanah pertanian. Beliau menjelaskan, penanaman dan pemeliharaan ikan itu dibuat dalam bekas khas dua tingkat sebesar kira-kira satu meter yang diisi dengan hidraton atau guli tanah liat atau batu sungai yang mampu bertahan selama 10 tahun serta mesin penyedut air dan injap. Katanya, hasil boleh dituai dalam tempoh kira-kira dua minggu bergantung kepada jenis tanaman manakala ikan atau udang galah memerlukan tempoh lima bulan. "Sebenarnya kami mulakan program ini untuk memberi ruang kepada penduduk bandar khususnya yang mahu bertani tetapi kekurangan tanah, sekurang-kurangnya ia mampu menjimatkan banyak wang untuk membeli sayur-sayuran dan ikan setiap minggu," katanya. Abdullah menjelaskan, kaedah itu boleh dibuat sendiri oleh mereka yang berminat mengikut kesesuaian, namun pihaknya juga menawarkan peralatan pada harga RM600 dan RM900 setiap unit bergantung kepada saiz. Kata beliau, pihaknya juga menyediakan khidmat nasihat kepada yang berminat mengusahakan kaedah pertanian berkenaan dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 06-9786570. |
Ekspedisi Jalur Gemilang 2013 singgah di Muar hari ini Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT MUAR 1 Sept. - Ekspedisi Jalur Gemilang 2013 yang bermula dari Pulau Langkawi, Kedah dijadual singgah ke Jeti Polis Marin Muar di sini pada pukul 9 pagi esok sebelum meneruskan perjalanan ke sebuah jeti di Mersing. Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar, Asisten Supritendan Nordin Osman berkata, peserta ekspedisi itu akan singgah selama satu jam sebelum meneruskan perjalanan dalam satu majlis disempurnakan Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim pukul 10 pagi. "Selepas di Muar, mereka akan berlepas ke Mersing, kemudian kumpulan ekspedisi itu akan singgah ke Sematan, Sarawak dan akan berakhir di Tawau, Sabah. Ekspedisi ini mengambil masa 17 hari bermula 30 Ogos lalu yang diketuai adik beradik kembar, Azhar dan Ahmad Ariffin, 53. "Turut mengiringi mereka, dua krew dan empat peserta jemputan. Mereka belayar sambil mengibar Jalur Gemilang di sepanjang pesisir pantai dari Kedah hingga ke Sabah," katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini malam tadi. Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob; Timbalannya, Supritendan Shahadan Jaafar dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Muar, Asisten Supritendan Abdul Ghani Talib. Dalam majlis itu, Azman menyerahkan enam kerusi roda sumbangan Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Polis (Perkip) Kontinjen Johor kepada enam anggota polis di IPD Muar termasuk dua daripadanya yang sudah bersara. Azman turut menyerahkan sijil penghargaan kepada 11 anggota polis dan trafik yang berkhidmat cemerlang tanpa mengambil cuti selama lima tahun berturut-turut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |