Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Singgah di Muar, Batu Pahat
- Lapan PDK baharu bela golongan OKU - Asiah
- Lima premis makanan dikompaun tidak jaga kebersihan
Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK SHAFIE Apdal (tengah) mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh Ab. Aziz Kaprawi (kiri) sambil diperhatikan oleh Saipolbahri Suib (kanan) dalam Majlis Meraikan Bakal Haji DUN Bukit Naning di Kampung Tengah dekat Air Hitam, Muar, Johor, malam kelmarin. MUAR 17 Sept. - Penduduk di Muar dan Batu Pahat akan menikmati kemudahan sistem pengangkutan moden dan bersepadu apabila Projek Kereta Api Laju (HSR) antara Singapura dan Kuala Lumpur dijadual mempunyai transit di kedua-dua daerah itu. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, HSR tersebut akan menghantar dan mengambil penumpang di Muar dan Batu Pahat sekali gus memberi banyak manfaat kepada penduduk terlibat serta di sepanjang laluannya. "Dengan adanya pengangkutan kereta api laju ini, jika orang Muar mahu pergi Kuala Lumpur akan ambil masa lebih kurang setengah jam atau 40 minit sahaja. Ini memberi kelebihan kepada orang Muar atau Batu Pahat dengan kemudahan ini. "Ini adalah perkembangan terbaru dalam sistem pengangkutan kita," katanya ketika berucap pada Majlis Meraikan Bakal Haji Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning di Dataran Kampung Tengah, Air Hitam, Bakri, dekat sini malam semalam. Yang turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta ADUN Bukit Naning, Datuk Saipolbahri Shuib. Projek HSR tersebut yang dijadual siap menjelang 2020, kini dalam proses rundingan antara Malaysia dan Singapura sebelum pengeluaran tender diumumkan akhir tahun ini dan sejurus itu projek mega tersebut akan dimulakan. Sementara itu, Shafie ketika berucap mengingatkan penduduk Bukit Naning supaya menghargai keamanan yang dikecapi negara pada hari ini sehingga mereka bebas melakukan kegiatan harian termasuk meraikan perayaan-perayaan penting. Beliau berkata, Sabah dan Sarawak turut merasai nikmat dan rahmat tersebut selepas menyertai Tanah Melayu dalam pembentukan Malaysia pada 1963 serta menyifatkan pilihan kedua-dua negeri itu untuk bergabung sebagai tepat. Shafie mengingatkan mereka supaya mengambil iktibar keadaan dan konflik yang berlaku di negara Islam seperti Iraq serta Syria apabila rakyat tidak berdosa menjadi korban dan kesannya negara menjadi tidak maju dan aman. Dalam perkembangan lain, Saipolbahri yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengingatkan lebih 50 bakal haji supaya menjaga kesihatan dan mengharapkan mereka berjaya menunaikan rukun Islam kelima itu. |
Lapan PDK baharu bela golongan OKU - Asiah Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT KONTINJEN Kelantan muncul juara keseluruhan Fiesta Sukan dan Kesenian JKM 2013 di Stadium Tertutup MBJB di Johor Bahru, Johor, kelmarin. JOHOR BAHRU 17 Sept. - Kerajaan negeri bercadang membina sekurang-kurangnya lapan buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada 2014 agar nasib golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini tidak diabaikan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Asiah Md. Ariff berkata, kemudahan prasarana tersebut perlu diberi perhatian supaya golongan OKU tidak tersisih dan mendapat perhatian secukupnya. Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM250,000 bagi membina sebuah PDK baru dan ada juga PDK yang diubah suai daripada premis sedia ada. "Sehingga kini, terdapat 66 buah PDK yang berada di seluruh negeri ini dan semuanya dikendali dan diselenggara dengan baik oleh JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) negeri," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Fiesta Sukan dan Kesenian JKM 2013, di Stadium MBJB, di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKM, Datuk Norani Mohd. Hashim Tambah Asiah, lokasi tapak pembinaan PDK baharu pada tahun hadapan masih lagi di peringkat awal perbincangan dan belum diputuskan. Sementara itu, Norani memberitahu, fiesta berkenaan yang julung kali dianjurkan itu diharap mampu menjadi pemangkin kepada warga JKM untuk saling berhubungan dengan lebih erat. "Sukan dan seni sememangnya satu aktiviti yang mempunyai ramai peminat dan berharap fiesta ini mendapat respons yang baik di kalangan warga JKM yang terlibat secara langsung ataupun tidak. "Walau apa pun, syabas diucapkan kepada kontinjen Kelantan yang menjuarai edisi kali pertama ini dan tahniah juga kepada pasukan lain kerana sama-sama menjayakannya," kata beliau. Dalam majlis yang sama turut diumumkan JKM Kedah akan menjadi tuan rumah bagi edisi kedua fiesta tersebut pada 2015 selepas Johor dipilih sebagai tuan rumah kali pertama. |
Lima premis makanan dikompaun tidak jaga kebersihan Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT PONTIAN 17 Sept. - Sebanyak lima daripada 36 premis menjual makan dan minuman yang diperiksa dalam operasi bersepadu oleh Pejabat Kesihatan dan Majlis Daerah Pontian (MDP) baru-baru ini dikenakan kompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan membabitkan kebersihan. Pegawai Kesihatan Kanan, Pejabat Kesihatan Pontian, Dr. Norashikin Mahadan berkata, pemeriksaan dibuat bagi memastikan peniaga sentiasa menjaga aspek kebersihan di premis masing-masing kerana soal kebersihan premis menjual makanan melibatkan kepentingan orang ramai yang perlu diberikan keutamaan. "Seorang peniaga dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana membiarkan lantai premisnya dalam keadaan kotor serta keadaan dapur yang tidak terurus. Peniaga itu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 33 (11) Akta Makanan 1983 Peraturan 14 kerana gagal mencapai tahap kebersihan yang sepatutnya. "Peniaga juga diingatkan bahawa haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing tidak boleh diletakkan di dalam premis walaupun bertujuan menghalau tikus dan sebagainya kerana bimbang berlaku jangkitan penyakit yang menjejaskan kesihatan orang ramai," katanya ketika ditemui pemberita. Menurut Norashikin, peraturan tersebut terkandung di dalam Akta Makanan 1983 bagi melindungi orang ramai terhadap bahaya penyediaan makanan yang mungkin tercemar disebabkan persekitaran yang tidak bersih. Menurut beliau, peniaga perlu mencari kaedah lain bagi menghalau tikus atau perosak lain dengan tidak menggunakan haiwan seperti anjing atau tikus yang boleh memberikan masalah lain kepada pengguna. "Bagi mengatasi masalah tersebut, peniaga perlu sentiasa mematuhi aspek kebersihan serta melakukan kerja pembersihan sekurang-kurangnya sebulan kali secara sukarela. Saya dan penguat kuasa MDP akan sentiasa memantau premis makanan di daerah ini sama ada menerima aduan atau pemeriksaan secara berkala," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |