{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Ops raya: JPJ keluar 82 saman

Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

JOHARI Yusof (dua dari kanan) melihat anggota Jabatan Pengangkutan Jalan memeriksa tayar bas dalam operasi di Larkin Sentral, Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU 4 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri telah mengeluarkan sebanyak 82 saman bagi tujuh kesalahan sepanjang tempoh tiga hari bermulanya Ops Penguatkuasaan Hari Raya Aidilfitri 2013.

Pengarahnya, Johari Yusof berkata, sejak Khamis lalu, sebanyak 27 saman dikeluarkan bagi para pemandu yang gagal mematuhi lampu isyarat dan 39 saman bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 10 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar manakala enam lagi bagi pemandu yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

"Kita menempatkan anggota penguat kuasa yang tidak beruniform di beberapa lokasi berisiko bagi mengesan mereka yang melakukan kesalahan dan merakamkan gambar mereka," katanya kepada pemberita di Larkin Sentral, di sini semalam.

Ops Penguatkuasaan Hari Raya Aidilfitri 2013 yang bermula 1 hingga 18 Ogos ini turut disertai beberapa agensi penguatkuasaan lain termasuk Puspakom Sdn. Bhd., Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar.

Johari memberitahu, selain penyamaran bergambar, pihaknya turut menjalankan tujuh aktiviti penguatkuasaan lain seperti pemeriksaan bas ekspres di depot bagi memastikan kenderaan digunakan dalam keadaan baik.

Katanya, selain itu, pemeriksaan buku log bagi memastikan pemandu tidak memandu melebihi lapan jam dalam tempoh 24 jam, terdapatnya pemandu kedua dan permit bas.

"Pemeriksaan ini dilakukan di Terminal Larkin Sentral, Bentayan dan Muar. Kita juga melakukan penyamaran sebagai penumpang bagi mengesan pemandu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Tumpuan diberikan kepada lima laluan utama iaitu Johor Bahru (JB) menuju Muar, JB ke Kluang, JB ke Mersing, JB menuju Batu Pahat dan laluan JB ke Segamat," ujar beliau.

115 kes salah guna diesel subsidi RM2.4j

Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT

JOHOR BAHRU 4 Ogos - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri berjaya merekod sejumlah 115 kes penyalahgunaan diesel bersubsidi bernilai RM2.4 juta sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, dalam tempoh sama pihaknya juga sedang menjalankan siasatan ke atas tiga stesen minyak berhubung ketirisan bekalan diesel bersubsidi.

Katanya, lesen perniagaan ketiga-tiga stesen minyak tersebut akan digantung sekiranya didapati bersalah.

"Masalah ini berlaku kerana ada pihak yang ingin mengaut keuntungan menjual harga diesel bersubsidi yang dibeli dengan harga RM1.80 kepada pihak lain pada harga RM2.61," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Siew Kiong berkata, peningkatan jumlah kenderaan dagangan untuk penghantaran barangan bagi musim perayaan juga turut menyumbang kepada masalah kekurangan bekalan diesel ketika ini.

Beliau turut memberi jaminan bekalan diesel bersubsidi mencukupi sepanjang musim perayaan ini dan menggariskan beberapa langkah bagi membendung masalah ketirisan yang berlaku pada waktu ini termasuk meningkatkan pemantauan penguatkuasaan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi membanteras kegiatan itu.

"Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan para pengusaha stesen minyak di negeri ini bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian seperti itu terus berlaku," katanya.

Halfest, CIMB Islamic dan PBSMM sumbang kerusi roda

Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT

RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (tengah) bergambar bersama penerima bantuan dalam majlis Program Tanggungjawab Sosial Halfest 2013 Bersama CIMB Islamic dan PBSM di Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 4 Ogos - Sekretariat Halal Fiesta Malaysia (Halfest), CIMB Islamic dan Jawatankuasa Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia menyampaikan bantuan berupa alat bantuan sokongan kepada 21 warga emas di Hotel Puteri Pacific, di sini semalam.

Majlis penyampaian sumbangan berupa kerusi roda itu disempurnakan Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang juga Penasihat Diraja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).

Turut berangkat ke majlis tersebut, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan, Bulan Sabit Merah Malaysia.

Yang hadir sama, Anggota Jawatankuasa Khidmat Masyarakat PBSMM, Datuk Syed Hussein Al-Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Badlisyah Abdul Ghani.

Menurut Badlisyah, bantuan tersebut merupakan salah satu daripada program khidmat masyarakat (CSR) yang dianjurkan bersama ketiga-tiga pihak berkenaan.

"Setakat ini program CSR seumpama ini yang dianjurkan CIMB telah membantu kira-kira 400 orang di seluruh Johor termasuk penerima hari ini. Diharap alat bantuan sokongan ini dapat digunakan penerima sekali gus memudahkan mereka bergerak dan melakukan urusan harian," katanya dalam majlis penyampaian tersebut.

Sementara itu, penerima, Abdul Rahman Manas, 70, dari Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini, melahirkan kesyukuran menerima bantuan kerusi roda berkenaan.

Beliau yang menghidap strok sejak lima tahun lalu kini sudah tidak mampu berjalan seperti biasa dan hanya menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

"Syukur dapat bantuan seumpama ini apatah lagi Tuanku Raja Zarith Sofiah yang sampaikan. Dapatlah saya gunakan pada perayaan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Seorang lagi penerima, Abu Bakar Adam, 68, berkata, sumbangan kerusi roda tersebut memudahkan urusan hariannya memandangkan fizikalnya yang semakin uzur.

"Awal tahun ini saya terjatuh di bilik mandi rumah di Flat Larkin, sejak itu saya sudah tidak dapat berjalan dengan sempurna. Dengan kerusi roda ini, mudahlah saya berjalan dan tidak perlu terlalu bergantung kepada orang lain," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat