{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Kimma diminta jadi lidah kerajaan

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan perwakilan ketika hadir untuk merasmikan Konvensyen Kimma Johor 2013 di Johor Bahru, kelmarin. - Utusan/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU 9 Sept. - Kerajaan negeri berharap Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) akan terus menjadi lidah dan mata kerajaan untuk berinteraksi dengan kaum tersebut supaya dasar kerajaan dapat dijelaskan dengan lebih baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu amat penting supaya segala dasar dan polisi kerajaan tidak disalahertikan atau diputar belit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, Kimma selama ini juga banyak membantu dalam keseimbangan pola dan struktur pembangunan sosial selain memainkan peranan aktif menjaga kepentingan kaum berkenaan.

"Kerajaan negeri bersedia duduk semeja untuk mendengar segala masalah, pandangan dan cadangan demi kesejahteraan kaum India Muslim yang ada di negeri ini.

"Malah kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan kepada Kimma dalam usaha memenuhi keperluan serta membabitkan parti itu dalam program anjuran kerajaan negeri," katanya semasa merasmikan Konvensyen Kimma Johor 2013, di sini semalam.

Yang turut hadir, Presiden Kimma, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader; Penasihat Kimma negeri, Datuk Shahul Hamid Abdul Kadir dan Pengerusi Kimma negeri, Mohamad Raffi Beran.

Hingga kini, Kimma Johor mempunya 14 bahagian dengan 54 cawangan yang telah didaftarkan dengan ahli seramai 7,500 orang.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri kini giat untuk membawa Johor ke arah yang lebih dinamik menerusi gagasan 'Merakyatkan Kerajaan, Pembangunan Pro Rakyat dan Muafakat Johor'.

"Kita akan pastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan dan menjamin semua kaum di negeri ini tidak kira agama atau bangsa, pasti akan dibela dan mendapat hak yang saksama.

"Oleh yang demikian, saya menjemput Kimma turut serta mengambil bahagian dalam usaha kita membangunkan negeri kerana kerajaan negeri yakin kehadiran Kimma mampu memberi suntikan semangat dan kerjasama yang kukuh untuk kebaikan rakyat," katanya.

Peruntukan naik taraf jalan kampung ditambah

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

PONTIAN 9 Sept. - Kerajaan negeri dijangka menambah peruntukan kepada setiap Pejabat Daerah bagi tujuan menaik taraf jalan-jalan kampung berbanding RM400,000 yang diterima sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad (gambar) berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan semasa pembentangan Bajet 2014 nanti.

Beliau berkata, kini terdapat 3,623 batang jalan kampung sepanjang 5,173 kilometer dengan daerah Batu Pahat mempunyai 1,087 batang jalan, diikuti Pontian 557, Kluang (534), Muar (345), Segamat (316), Ledang (233), Johor Bahru (215), Mersing (164) Kota Tinggi (129) dan Kulaijaya (43).

"Memandangkan terdapat keperluan serta permintaan daripada setiap Pejabat Daerah di negeri ini, kami akan menimbangkan supaya peruntukan dapat ditambah mulai tahun depan," katanya selepas menghadiri program Merdeka Raya UMNO Cawangan Kampung Lama, Benut di sini semalam.

Menurutnya, peruntukan itu boleh digunakan bagi tujuan menaik taraf jalan tanah merah kepada jalan berturap, membuat jalan baharu dan menambah bahu jalan.

"Keutamaan akan diberikan bagi membina jalan baharu, manakala kerja-kerja penyelenggaraan di bawah Infra Desa Johor (IDJ) yang diberikan tanggungjawab untuk memastikan jalan-jalan kampung selesa bagi pengguna," katanya.

Selain IDJ, empat lagi agensi yang bertanggungjawab terhadap jalan-jalan kampung ialah Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hasni berkata, langkah yang diambil itu bagi menunaikan janji kepada rakyat terhadap masalah jalan kampung supaya mereka juga dapat menikmati apa yang disediakan di kawasan bandar.

"Kami berharap penduduk dapat memberi kerjasama sekiranya jalan-jalan kampung di tempat mereka dibuat pelebaran jalan bagi memudahkan pihak kontraktor melaksanakan kerja-kerja tersebut," katanya.

Katanya, rangkaian perhubungan yang baik juga mampu meningkatkan lagi pembangunan ekonomi di sesuatu kawasan, sekali gus dapat memajukan sesebuah kampung yang sebelum ini sukar untuk dihubungi.

PPK Pontian Timur sambut baik Skim Pinjaman Rakyat

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

PONTIAN 9 Sept. - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pontian Timur menyambut baik penubuhan Skim Pinjaman Rakyat bagi memajukan sektor pelancongan berasaskan pertanian atau agro tani.

Skim tersebut yang diperkenalkan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) memperuntukkan pinjaman sebanyak RM1 juta kepada mereka yang ingin melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.

Pengerusi PPK Pontian Timur, Selamat Othman berkata, pihaknya akan mengambil peluang tersebut dengan menggalakkan ahlinya menceburi bidang baharu bagi menambah pendapatan mereka.

Menurutnya, kawasan seluas 40 hektar yang dibangunkan dengan tanaman nanas di Kayu Ara Pasong akan dibangunkan sebagai kawasan agro pelancongan di bawah seliaan pihaknya.

"Sebagai kawasan yang termasuk di dalam Iskandar Malaysia, PPK Pontian Timur bersedia untuk bersama-sama mengambil bahagian bagi memajukan sektor pelancongan di daerah Pontian yang berasaskan pertanian.

"Kawasan Pekan Nanas juga merupakan salah sebuah lembah buah-buahan terutamanya di Kampung Sawah, Kampung Maju Jaya, Kampung Melayu Raya dan Kampung Bakar Arang yang boleh menarik kehadiran pelancong," katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya serta penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM13,900 kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor di Dewan Kampung Parit Pasir, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon dan Naib Presiden Kanan IRDA, Nor Hisham Hussin.

Selamat berharap dengan penerokaan dalam bidang baharu, pihaknya dapat menambahkan keuntungan PPK pada masa depan, sekali gus memberi pulangan yang baik kepada 2,000 ahlinya.

"PPK menyasarkan keuntungan sebanyak RM300,000 dapat dicapai pada tahun ini berbanding RM280,000 pada tahun lalu dengan aktiviti memasarkan buah kelapa sawit sebagai aktiviti utama," katanya.

Beliau optimis dapat mencapai sasaran itu dengan adanya penglibatan dalam bidang lain seperti pengangkutan, pusat timbang dan penjualan bahan input pertanian.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat