Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
50 penghuni hilang tempat tinggal Posted: 08 Sep 2013 12:00 PM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam api dari bahagian atap dalam kebakaran membabitkan sembilan rumah teres dua tingkat di Lorong Serkam 1, Jalan Hassan, Muar, kelmarin. MUAR 8 Sept. - Kira-kira 50 penduduk hilang tempat tinggal apabila sembilan rumah teres dua tingkat musnah dalam kebakaran di Lorong Serkam 1, Jalan Hassan di sini semalam. Kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 1.50 petang ketika kebanyakan penghuni rumah berkenaan keluar bekerja dan yang tinggal kebanyakannya adalah warga emas. Bagaimanapun mereka yang tinggal sempat menyelamatkan diri termasuk beberapa barangan perkakas rumah sempat diselamatkan dalam kebakaran dikatakan berpunca dari sebuah rumah di bahagian tengah. Pegawai Operasi Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 2.16 petang dan tiba lima minit kemudian dengan 18 anggota dan tiga buah jentera. "Api dapat dikawal kira-kira pukul 2.40 petang dan dipadam sepenuhnya pukul 4 petang. Kami mengalami sedikit kesukaran memadam api kerana tekanan air rendah walaupun mempunyai tiga pili bomba di kawasan berdekatan. "Api cepat merebak kerana rumah-rumah terlibat kebanyakan bahagian atasnya papan dan barangan kitar semula dalam rumah seperti surat khabar lama dan rak kayu mempercepatkan lagi api merebak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Beliau berkata, keadaan diburukkan lagi dengan keadaan angin yang bertiup kencang semasa kejadian dan setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. Sementara itu, mangsa, Tan Mui Kiaw, 61, yang menghuni rumah di bahagian tengah berkata, dia sempat melarikan diri apabila terlihat api marak dan mendengar bunyi letupan. "Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk dokumen penting, anak perempuan juga tidak dapat berbuat apa-apa apabila sampai ke rumah kerana keadaan api sudah membakar hampir keseluruhan rumah kami," katanya. Seorang pekerja kedai peralatan kereta di sebelah deretan rumah terbakar itu, Goh Chia Yuen, 21, berkata, dia terdengar bunyi kuat seakan mercun dan tergamam apabila melihat bahagian rumah di salah sebuah rumah tersebut terbakar. "Saya dan penduduk termasuk orang yang lalu lalang cuba memadam api dengan alat pemadam api dan sumber air yang ada tetapi tidak berjaya kerana api menjulang dengan cepat sehingga membuatkan kami tidak dapat menghampiri kawasan kebakaran," katanya. |
Melayu, bumiputera digesa aktif dalam perniagaan Posted: 08 Sep 2013 12:00 PM PDT JOHOR BAHRU 8 Sept. - Orang Melayu dan bumiputera di negeri ini digesa melibatkan diri secara aktif dalam bidang perniagaan dan keusahawanan supaya dapat bersama-sama menikmati pembangunan ekonomi. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan dengan memberi penekanan pada aspek pengagihan dan penyertaan kaum Melayu dan bumiputera bersama-sama kaum lain. "Misalnya seperti di Iskandar Malaysia dan Pengerang dengan pembangunan sektor minyak dan gas, kita sudah sediakan rancangan untuk membangunkan peniaga tempatan, begitu juga dengan agensi kerajaan negeri yang membantu memupuk kesedaran menyertai perniagaan," katanya. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pandan Uptown dan Majlis Sambutan Aidilfitri 2013 anjuran Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru (PPPPIKMJB) di Pandan Uptown, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir ialah Datuk Bandar Johor Bahru, Ismail Karim; Pengerusi JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim; Naib Pengerusi Eksekutif KPRJ, Datuk Md. Othman Yusof; Penaung Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung), Daeng Abdul Malek Daeng Abdul Rahman; Penasihat Gabung, Datuk Nooh Gadut dan Yang Dipertua PPPPIKMJB, Abdullah Md. Yusof. Menteri Besar turut menasihatkan golongan usahawan supaya bekerja keras dan memberi tumpuan supaya perniagaan mereka mencapai kejayaan dan mempunyai daya tahan serta daya saing. "Setiap peluang mesti kita sendiri yang menjaya dan melaksanakannya. "Saya nasihatkan kepada peniaga yang mendapat tapak dan lesen agar mengelolakan sendiri perniagaan supaya ilmu dan pengalaman berniaga menjadi asas dalam usaha memantapkan dan membesarkan operasi perniagaan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |