Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Posted: 25 Sep 2013 10:42 PM PDT Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Datuk Danny Tan (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien (kiri) merasmikan kempen Sunshine September di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Lebih istimewa mereka adalah kumpulan koir anak-anak autisme pertama di Malaysia. Selain kanak-kanak dan ibu bapa mereka, orang yang patut diberi penghargaan ialah guru yang membimbing kumpulan ini, Joanne Poh Yuet Foong. Joanne merupakan seorang guru vokal dan telah dipilih Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) untuk menjadi guru pembimbing kepada kumpulan koir yang diberi nama Nasom Maestros itu. Wanita muda ini mengakui cabaran membentuk kumpulan koir autisme memang sangat besar. "Mereka ini terdiri daripada penghidap autisme spektrum, yang mana mempunyai kebolehan luar biasa dan anak-anak autisme ini juga sebenarnya sangat genius. "Dalam kumpulan ini mereka dipilih berdasarkan minat dan kecenderungan. Seperti yang diketahui anak-anak autisme ini jika mereka minat melakukan sesuatu mereka akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh," jelas Joanne yang ditemui di pusat beli-belah Suria KLCC di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Walaupun kali pertama mengajar kanak-kanak autisme, Joanne, mendapat pengalaman luar biasa untuk dirinya. "Setiap kanak-kanak autisme ini berbeza. Ketika berbicara, mereka tidak mempunyai eye contact (pandangan dua hala). Pertama kali diminta mengajar perasaan saya bercampur-baur antara teruja dan bimbang. "Saya bimbang terhadap harapan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa mereka dan tidak mampu saya zahirkan," ujar Joanne yang memiliki kelas vokal di Pelangi Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Katanya, ahli kumpulan termuda berusia lima tahun manakala yang paling besar, 15 tahun. Joanne mengakui, tidak mempunyai skil komunikasi tertentu dengan anak-anak ini, sebaliknya semua dilakukan sama seperti berinteraksi dengan kanak-kanak normal. "Seperti anak-anak lain, anak-anak autisme juga sukakan pujian dan kalau susah mendisiplinkan diri, mereka juga akan dimarah. "Tidak keterlaluan kalau saya katakan, saya layan mereka seperti anak-anak normal, cuma saya perlu banyak bersabar dengan kerenah mereka kerana anak-anak ini kadang kala sukar memberikan tumpuan. "Kumpulan ini sebenarnya telah ditubuhkan pada tahun 2013 oleh Nasom. Saya sendiri telah melibatkan diri sepenuhnya sejak dua tahun lalu. "Saya melatih anak-anak ini selama sejam sekali seminggu di studio latihan vokal saya. Komitmen ibu bapa memang penting kerana jika tidak memang sukar menubuhkan kumpulan ini," jelasnya. Antara persembahan yang telah dilakukan kumpulan Nasom Maestros ialah ketika program mengisi dana Nasom, koir bersama penyanyi Ning Baizura dan beberapa persembahan dalaman. Bagi Joanne, menubuhkan kumpulan koir ini bukanlah untuk mendapat tempat dalam industri hiburan tetapi ia adalah untuk pembangunan diri kanak-kanak itu sendiri. "Melalui kumpulan koir ini anak-anak dapat belajar untuk berinteraksi dengan orang ramai dan melatih mereka untuk berdisiplin. "Untuk pengetahuan, sebenarnya kumpulan ini turut dianggotai oleh adik Umar Hasfizal, 15, yang terlebih dahulu merekodkan albumnya sendiri yang diberi nama The Best of Me. "Selain itu kumpulan ini turut dianggotai oleh Clarence Kang, 15, yang juga berbakat bermain piano. Dia pernah mewakili Malaysia dan memenangi pertandingan di Piano Art Recital di Korea pada tahun 2011. "Latihan untuk membentuk mereka sebenarnya memerlukan masa yang lebih panjang sebab itulah harus dimulakan sejak dari kanak-kanak," katanya yang memberitahu kumpulan ini juga dalam proses untuk melahirkan album koir mereka sendiri. Sunshine September Sementara itu, pusat membeli-belah Suria KLCC berganding bahu dengan Alamanda Purajaya dan Mesra Mall di Kerteh, Kelantan, berusaha untuk membawa sinar baharu kepada mereka yang menghadapi autisme di Malaysia. Menerusi kempen yang diberi nama Sunshine September bermula dari 19 hingga 30 September ini, dijangka bakal mengumpul dana untuk Nasom sebanyak RM400,000. - NOOR FAZRINA KAMAL |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |