Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Kerja naik taraf Jalan Lima selesai
- Cerucuk punca tanah mendap
- Pameran fotografi Jepun di Perpustakaan Kuala Lumpur
Kerja naik taraf Jalan Lima selesai Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Keadaan persimpangan Jalan Lima, Jalan Chan Sow Lin selepas kerja pembaikan selesai. KUALA LUMPUR 11 Sept. - Memandu di Jalan Chan Sow Lin kini terasa lebih selesa setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyelesaikan projek menaik taraf dan membaiki permukaan jalan, terutama di persimpangan Jalan Lima. Persimpangan berlampu isyarat itu kini telah diturap semula dengan menggunakan blok konkrit yang lebih lasak dan mampu menahan bebanan yang dibawa kenderaan berat yang banyak menggunakan jalan itu. Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL, Tan Keng Chok berkata, sudah tiba masa jalan berkenaan dinaik taraf kerana jalan itu sering rosak, berlubang selain dicemari oleh tumpahan konkrit dan batu kerikil sejak sekian lama. Menurutnya, sebanyak RM100,000 dibelanjakan untuk kerja-kerja kerja-kerja menurap semula kawasan tersebut, yang sepanjang kira-kira 30 meter dan membabitkan tiga buah laluan di persimpangan lampu isyarat berkenaan demi keselesaan para pengguna. "Jalan tersebut sering rosak yang berpunca daripada tekanan beban oleh kenderaan muatan berat yang sering keluar masuk di situ. Selain itu, pihak DBKL juga telah beberapa kali menurap jalan tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. "Penurapan dan pembaikan jalan itu adalah dengan menggunakan kaedah interlocking concrete paving block (ICPB) atau blok konkrit bagi memperkukuhkan lagi permukaan jalan tersebut daripada tekanan kenderaan berat," tambah beliau. Selain itu, beliau turut memberikan jaminan bahawa DBKL akan membaiki dan menurap jalan yang rosak di kawasan Jalan Chan Sow Lin. Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, selain memperbaiki persimpangan Jalan Lima, DBKL juga telah menurap semula Jalan Enam dan beberapa tempat yang rosak di sepanjang Jalan Chan Sow Lin. Sementara itu, Keng Chok berkata, tumpahan konkrit di permukaan jalan adalah disebabkan lori simen membawa muatan lebih daripada had yang dibenarkan. "Kebiasaannya, had yang dibenarkan adalah sebanyak 4.6 meter isipadu tetapi lori-lori terbabit membawa muatan melebihi had sehingga menyebabkan konkrit tumpah di jalan raya," jelasnya. Oleh itu, cabaran yang dihadapi oleh DBKL sekarang ialah bagaimana untuk menangani masalah ini daripada terus berulang agar perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membaiki jalan-jalan yang rosak akibat lori simen konkrit membawa muatan berlebihan tidak berulang. |
Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Ahmad Phesal Talib (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh (kanan) tertarik melihat hasil fasa pertama projek 'Light Up KL' selepas melancarkannya di perkarangan Galeri Kuala Lumpur malam tadi. KUALA LUMPUR 11 Sept. - Pihak pemaju dan kontraktor sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan di kawasan kejadian tanah mendap di sebahagian projek pembinaan pangsapuri servis di Jalan 1/76, Desa Pandan dekat sini yang berlaku kelmarin. Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, beliau berharap agar kerja- kerja pembaikan terbabit dapat disiapkan petang esok. Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti punca kejadian adalah disebabkan oleh cerucuk yang gagal berfungsi sekali gus menyebabkan struktur tanah menjadi mendap. "Kami (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) telah mengeluarkan arahan supaya pihak kontraktor terbabit menghentikan kerja-kerja pembinaan buat sementara waktu. "Semalam kami telah berbincang dengan pihak pemaju dan kontraktor untuk mengadakan kerja-kerja pembaikan semula. Ia berikutan cerucuk yang tumbang lalu menyebabkan tanah mendap. "Pada masa sama, air dari parit mengalir masuk ke kawasan pembinaan. Jadi, pihak kontraktor telah mengambil tindakan menimbus dan memampatkan tanah di kawasan berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan 'Light Up KL' di Galeri Kuala Lumpur di sini malam ini. Kelmarin, penduduk Desa Pandan digemparkan dengan kejadian tanah mendap di tapak projek itu. Kejadian itu turut menyaksikan jalan raya di hadapan tapak projek berkenaan merekah dan mendap. Menurut Ahmad Phesal, pada masa sama, pihak DBKL telah meminta pihak perunding untuk melaksanakan pemantauan secara berterusan supaya kerja-kerja tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna. "Projek itu boleh diteruskan kerana tidak melibatkan struktur bangunan. Pada masa sama tidak menimbulkan bahaya kepada penduduk sekitar. "Cuma cerucuk sahaja yang mengalami masalah dan selepas kerja-kerja itu siap, jalan raya di hadapan tapak projek itu akan diturap semula," jelasnya. |
Pameran fotografi Jepun di Perpustakaan Kuala Lumpur Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT Salleh Yusup (kiri) tertarik dengan gambar yang dipamerkan sambil diberi penerangan oleh Shigeru Nakamura pada majlis perasmian pameran 'Gazing At The Contemporary World, Japanese Photography From The 1970's To The Present', di Perpustakaan Kuala Lumpur semalam. KUALA LUMPUR 11 Sept. - Berita baik buat peminat seni fotografi kerana buat kali pertama sebuah pameran yang menampilkan foto-foto dari Jepun dipamerkan di Perpustakaan Kuala Lumpur di sini, bermula hari ini hingga 30 Oktober. Pameran 'Gazing At The Contemporary World, Japanese Photography From The 1970's To The Present' itu merupakan anjuran Yayasan Jepun Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan terbuka kepada orang ramai. Masuk adalah percuma. Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup berkata, pameran tersebut merupakan satu cara untuk masyarakat di negara ini dan pelancong asing mengenali dengan lebih dekat perubahan serta perkembangan negara Matahari Terbit itu melalui foto-foto yang dipamerkan. "Sebanyak 76 keping gambar yang diambil dan diterjemahkan oleh sebanyak 23 jurugambar profesional dari Jepun dipamerkan. Ini dapat memberi peluang kepada warga kota mengenali dengan lebih mendalam terhadap seni fotografi. "Selain itu dapat mempromosikan Kuala Lumpur kepada pelancong-pelancong asing khususnya kepada peminat fotografi dari negara tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pameran tersebut hari ini. Yang turut hadir, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura; Pengarah Yayasan Jepun Kuala Lumpur, Toyoda Shoichi; Pengerusi Persatuan Perpustakaan Kuala Lumpur, Datuk Seri Mat Shah Safuan; dan Pengarah Perpustakaan Kuala Lumpur, Rosidah Ismail. Menurut Salleh, pameran berkenaan diharap sebagai satu langkah dalam usaha kerajaan melaksanakan pelbagai program bersama di antara dua bandar berkembar, Kuala Lumpur dan Osaka selain merapatkan hubungan dua hala. "Saya berharap pameran ini akan memberi cetusan idea dan menarik minat pengunjung serta golongan belia yang ingin menjadi jurufoto profesional pada masa hadapan," katanya. Sementara itu, ketika ditanya mengenai kejadian tanah mendap yang berlaku di sebahagian projek pangsapuri di Jalan 1/76, Desa Pandan malam kelmarin, beliau mengingatkan pihak pemaju dan kontraktor agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh DBKL. "Kami sentiasa mengambil pendekatan serius terhadap pihak terbabit supaya mematuhi peraturan-peraturan ketika menjalankan kerja-kerja pembinaan bagi mengelakkan insiden sedemikian berulang," ujarnya. Kejadian itu turut menyebabkan sebahagian jalan raya di hadapan tapak projek berkenaan merekah dan mendap. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |