Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Pastikan loji, lori ikut had
- Tujuh pemaju dipilih bangunkan IWSS
- PKNS nafi berkaitan kolam di Taman Tasik Bangi
Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN LEE LAM THYE KUALA LUMPUR 13 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa melaksanakan pemantauan ke atas lori simen bermula dari loji membancuh sebagai langkah menyelesaikan masalah tumpahan simen konkrit di atas jalan. Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dengan cara itu DBKL dapat memastikan pemandu lori simen membawa muatan mengikut had dibenarkan selain memastikan pihak syarikat loji pembancuhan simen menjalankan tanggungjawab mereka mengikut garis panduan. Katanya, jika perkara tersebut dilaksanakan nescaya, masalah tumpahan konkrit di permukaan jalan raya dapat di atasi. Beliau juga mendakwa, sering terlihat kemalangan membabitkan penunggang motosikal akibat terlanggar 'busut konkrit' di jalan raya. "Perkara ini sering dibincangkan dan beberapa kali dilaporkan oleh akhbar. Tetapi, saya lihat tumpahan konkrit masih bertaburan di permukaan jalan sekitar ibu kota," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengambil contoh laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung persimpangan Jalan Lima-Jalan Chan Sow Lin yang kembali dicemari oleh tumpahan simen konkrit daripada lori yang mengangkutnya daripada loji pembancuh di Jalan Emas ke tapak-tapak pembinaan. Kerosakan itu berlaku hanya sehari selepas Utusan Malaysia melaporkan bahawa DBKL telah menyiapkan kerja-kerja pembaikan persimpangan itu dan sekitarnya dengan kos RM100,000. Lam Thye bagaimanapun memuji usaha DBKL membaiki semula permukaan Jalan Lima di Jalan Chan Sow Lin dan kawasan sekitarnya. "Jalan itu berada dalam keadaan tidak memuaskan sebelum ini kerana merupakan laluan utama bagi kenderaan berat. Selepas diturap, jalan kembali dicemari oleh tumpahan simen, berlubang dan rosak selain mengundang bahaya lebih-lebih lagi waktu hujan. "Tindakan DBKL menggunakan kaedah interlocking concrete paving block (ICPB) dalam membaiki jalan itu dipuji kerana lebih tahan lasak, sekali gus memperkukuhkan lagi permukaan jalan daripada tekanan kenderaan berat," ujarnya. |
Tujuh pemaju dipilih bangunkan IWSS Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT KUALA LUMPUR 13 Sept. - Sebanyak tujuh syarikat pemaju telah dipilih oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyiapkan pembinaan Skim Perpaipan Air Bersepadu (IWSS) sepanjang 12 kilometer dari Bukit Maxwell ke tangki takungan Kompleks Pantai. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, projek membabitkan kos yang dianggarkan sebanyak RM60 juta itu dijangka bermula awal bulan depan. Menurutnya, kesediaan pemaju projek tersebut membangunkan IWSS dilihat mampu memberi pulangan pelaburan sehingga RM20 bilion pada masa akan datang. "Saya melihat ini satu usaha yang baik kerana pihak swasta memberi kerjasama kepada DBKL dalam menyediakan fasiliti seperti ini. "Projek ini dijangka mampu membekalkan air sehingga 8.7 juta gelen sehari kepada 150,000 hingga 175,000 penduduk, sekali gus memberi impak besar kepada pembangunan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Tambahnya, IWSS yang dijangka siap sepenuhnya pada suku tahun pertama 2015 itu akan membabitkan kerja pemasangan paip di sekitar Jalan Tun Ismail, Jalan Sultan Salahuddin, Lebuhraya Mahameru, Jalan Damansara, Jalan Travers, Jalan Bangsar dan Jalan Pantai Baru. "Bagi mengurangkan kesan ke atas penduduk dan lalu lintas, kontraktor yang dilantik akan melakukan kerja pengorekan dan pemasangan paip setiap 50 meter. "Selepas siap kerja pada jarak 50 meter, barulah mereka akan menyambung semula kerja pada 50 meter seterusnya dan kerja-kerja juga akan dijalankan pada sebelah malam," jelas beliau. Katanya lagi, DBKL juga menetapkan kontraktor yang dilantik perlu membayar deposit sebanyak RM35 juta bagi menampung perbelanjaan atau ganti rugi sekiranya berlaku musibah ekoran kecuaian mereka sepanjang menjalankan pemasangan paip di situ. Difahamkan, IWSS ini akan diletak di bawah pengawasan kontraktor selama dua tahun sebelum diserahkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) untuk kerja penyenggaraan pada masa akan datang. Tujuh pemaju tersebut adalah Paramount Propeties Sdn. Bhd., KL Eco City Sdn. Bhd., Sentosa Jitra Sdn. Bhd., Amona Development Sdn. Bhd., Estet Perkasa Sdn. Bhd. dan Keystone Land Development Sdn. Bhd. |
PKNS nafi berkaitan kolam di Taman Tasik Bangi Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT KUALA LUMPUR 13 Sept. - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan kolam takungan di Taman Tasik Bangi, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dekat sini di bawah tanggungjawab mereka. Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, merujuk kepada surat daripada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kepada Roniaga Sdn. Bhd. pada 2 Julai 2008, MPKj dengan jelas mengakui mengambil alih kawasan dan taman perumahan tersebut pada 1 Ogos 2008. "Adalah dimaklumkan Roniaga Sdn. Bhd. merupakan pemaju hartanah kawasan tersebut manakala PKNS adalah tuan tanah. "Surat yang sama juga menyebut sehubungan dengan pengambilalihan tersebut maka MPKj bertanggungjawab berkaitan kerja-kerja mengutip sampah dan penyenggaraan kebersihan kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan akhbar hari ini Kenyataan tersebut adalah bagi mengulas mengulas laporan Utusan Malaysia pada 12 Ogos lalu berhubung masalah bau busuk dan sampah sarap yang mengganggu penduduk berhampiran berpunca daripada tasik itu. Walau bagaimanapun, MPKj menafikan kolam takungan terbabit berada di bawah pengawasannya, sebaliknya berkata kolam itu di bawah tanggungjawab PKNS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |