Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Kaji semula aliran trafik
- AJM perunding pembangunan Kg. Baru
- One Asia Pass dijangka galak lebih ramai pelancong ke KL
Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT Oleh Muhamad Aimy Ahmad KAWASAN Persiaran Mergastua di Kepong, Kuala Lumpur yang didakwa penduduk sering berlaku kesesakan terutama pada waktu puncak. KUALA LUMPUR 6 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta mengkaji semula aliran trafik di Persiaran Mergastua, Kepong Baru dekat sini yang sering mengalami kesesakan ketika waktu puncak. Penduduk mendakwa, jalan dua lorong bagi kedua-dua hala di situ tidak lagi dapat menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah terutamanya ketika orang ramai menghantar anak ke dua buah sekolah berdekatan. Seorang penduduk, Ahasrap Khan Mohd. Aslam (gambar), 53, berkata, dia memerlukan kira-kira 30 minit untuk melepasi jalan sepanjang kira-kira satu kilometer itu untuk menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi. "Saya menghantar anak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong Baru dan kesesakan sering berlaku bermula dari lampu isyarat di simpang Jalan Metro Prima sehingga ke Bulatan Petaling Kepong. "Tambahan pula, jalan ini digunakan sebagai jalan pintas oleh orang ramai untuk ke Bukit Maluri, Bandar Menjalara, Sungai Buloh dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Seorang lagi penduduk, Loh Kok Wai, 48, berkata, bas awam juga jarang melalui jalan tersebut ekoran masalah kesesakan yang teruk pada waktu puncak. "Ramai penduduk di Taman Kepong Baru dan Taman Petaling Kepong menggunakan perkhidmatan KTM Komuter di Stesen Kepong Sentral tetapi sukar untuk mendapatkan bas dari kawasan rumah," katanya. Kata Kok Wai, selain dua buah sekolah yang terletak berhampiran jalan itu, kewujudan pasar pagi dan pasar malam pada setiap Ahad menyebabkan kesesakan bertambah teruk. Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, jalan tersebut boleh dilebarkan menjadi dua lorong sehala kerana masih mempunyai rizab yang mencukupi. "Kami sudah mengkaji agar petak letak kereta di jalan ini dianjakkan sedikit ke kawasan lapang bersebelahan jalan untuk membolehkan pelebaran jalan kepada empat lorong dibuat. "Pelebaran jalan juga perlu kerana tidak lama lagi Jalan 1/40 dari bandar Kepong akan siap dan bersambung dengan Bulatan Petaling Kepong yang akan menyebabkan jumlah kenderaan bertambah," katanya. Dalam pada itu, Jurutera Jabatan Perancang Infrastruktur DBKL, Mohd. Redzuan Ali berkata, pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu cadangan tersebut termasuk kajian terhadap status tanah. |
AJM perunding pembangunan Kg. Baru Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT GAMBARAN artis mengenai projek pembangunan akan dijalankan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. KUALA LUMPUR 6 Sept. - Arkitek Jururancang Malaysia (AJM) Sdn. Bhd dipilih oleh Lembaga Perolehan, Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai perunding untuk menyediakan pelan induk terperinci pembangunan Kampung Baru 2020. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Naharudin Abdullah berkata, pemilihan tersebut dilakukan berdasarkan pertandingan yang dianjurkan pihaknya bermula Januari lalu. "AJM dipilih daripada sembilan penyertaan yang diterima berdasarkan kepada idea terbaik yang direka bentuk oleh mereka terhadap rancangan pembangunan di Kampung Baru. "Bagaimanapun, ini hanya idea sahaja kerana bagi pelaksanaan pelan induk, kita akan memastikan idea terbaik daripada penyertaan yang lain turut diambil kira," katanya ketika ditemui selepas Sesi Dialog Menteri Wilayah Persekutuan bersama penduduk Kampung Baru di sini semalam. AJM kini dalam peringkat kajian untuk melengkapkan pelan induk yang bakal siap sepenuhnya pada April 2014, sementara draf pertama dijangka siap pada Oktober ini untuk dibentangkan kepada penduduk terlebih dahulu. Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Persatuan Pembangunan Kampung Baru, Nor Shamsul Rizal Mohammad Jalani dipilih menganggotai PKB bagi menggantikan bekas pengerusi terdahulu iaitu Dr. Mohd Yusof Ismail. Sementara itu, Datuk Astaman Abdul Aziz kekal sebagai Pengerusi PKB bagi penggal 2013 hingga 2015 dan anggota perbadanan lain turut dikekalkan dalam jawatan masing-masing. |
One Asia Pass dijangka galak lebih ramai pelancong ke KL Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT KUALA LUMPUR 6 Sept. - Ibu negara dijangka akan mendapat manfaat daripada pengenalan One Asia Pass yang akan menggalakkan kedatangan lebih ramai pelancong. One Asia Pass adalah pas yang menawarkan pelbagai insentif kepada pelancong dan inisiatif oleh Majlis Promosi Pelancongan Asia (CPTA) itu disertai oleh lapan buah bandar raya di Asia. Selain Kuala Lumpur, bandar raya lain adalah Tokyo, Seoul, Taipei, Hanoi, Bangkok, Jakarta dan New Delhi. Majlis pelancaran One Asia Pass disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop di ibu negara baru-baru ini. "One Asia Pass merupakan salah satu usaha CPTA dalam menggalakkan kedatangan pelancongan ke negara mereka termasuk Malaysia. "Melalui kerjasama ini kita mampu menghasilkan satu produk yang dapat dinikmati oleh semua pelancong," katanya. Beliau berkata demikian selepas persidangan CPTA ke-12 dan majlis pelancaran One Asia Pass, yang turut dihadiri perwakilan dari enam negara lain. Mengulas mengenai persidangan CPTA ke-12, Salleh berkata, pelbagai topik dibincangkan dalam meningkatkan kedatangan pelancong di negara masing-masing. "Turut dibincangkan adalah aktiviti-aktiviti yang perlu diadakan oleh setiap perwakilan CPTA ke-12 ini untuk dijalankan di bandar masing-masing dalam usaha menarik pelancong asing," katanya. Sementara itu, pengerusi CPTA ke-12, Yuji Tsukada berkata, pelancong boleh menikmati promosi One Asia Pass itu dengan mendaftar di laman web www.welcometoasia.jp untuk memuat turun pelbagai tawaran dan kupon yang disediakan. "Melalui promosi ini saya percaya pelancong tidak akan terlepas peluang untuk menikmati pelbagai pengalaman menarik di setiap negara yang dikunjungi," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |