Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Tiada kad pengenalan dikeluarkan di bawah 'Projek Mahathir' Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT KOTA KINABALU 10 Sept. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menafikan mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing di negeri itu di bawah projek dipanggil 'Projek Mahathir'. Ketua Pengarah JPN Datuk Jariah Mohd Said memberitahu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah bahawa dakwaan yang terkandung dalam sebuah buku ditulis oleh MD Mutalib itu adalah tidak benar. "Kenyataan itu adalah tidak benar, tiada kad pengenalan dikeluarkan di bawah 'Projek Mahathir'," kata saksi ke-208 itu ketika menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka memberi keterangannya esok. Ketika ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai 'Projek IC', Jariah yang dilantik sebagai Ketua Pengarah JPN pada Jun 2011 berkata: "Saya ada dengar tapi saya tidak tahu kebenaran mengenainya". Jariah memberitahu, suruhanjaya bahawa mengikut statistik JPN sehingga 31 Ogos tahun ini, sebanyak 68,703 pendatang asing yang sah di negeri itu diberi taraf kewarganegaraan dan sejumlah 67,675 daripada jumlah itu telah menukar kad pengenalan biru mereka. Dirujuk kandungan buku itu bahawa terdapat sejumlah 750,000 daripada 1.75 juta warga asing di negeri itu memegang kad pengenalan palsu, Jariah berkata, JPN tidak mengeluarkan kad pengenalan palsu kepada pendatang asing. Jariah juga berkata, permohonan kad pengenalan mestilah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan sekiranya mendapati pemohon memalsukan keterangan diri mereka, JPN akan menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat dalam pengeluaran kad pengenalan yang tidak mengikut undang-undang. "Baru-baru ini ada satu tangkapan oleh polis di Sabah, polis telah buka fail terhadap pegawai JPN dan tindakan setakat ini diambil di mana pegawai itu telah ditahan kerja," katanya. Beliau juga berkata, penggunaan sijil akuan bersumpah untuk menggantikan sijil lahir bagi permohonan kad pengenalan di Sabah adalah sah tetapi penggunaan sijil itu telah dimansuhkan pada 1987. Mengenai keterangan saksi pendatang asing dalam suruhanjaya sebelum ini bahawa mereka telah memalsukan tempat kelahiran dengan menyatakan mereka lahir di Sabah bagi permohonan kad pengenalan, Jariah mencadangkan supaya mereka ini tampil ke JPN bagi mengaku maklumat yang diberikan terdahulu adalah tidak betul. "Itu adalah pendapat saya. Pada pandangan saya maklumat dalam rekod JPN perlu dibetulkan kerana ia dokumen kerajaan, mereka mesti datang, seharusnya mereka bertanggungjawab atas apa yang mereka tulis," kata Jariah. Jariah menegaskan, sekiranya mereka yang terlibat ini tidak hadir untuk membetulkan maklumat tempat lahir mereka dalam masa setahun atau dua tahun taraf kewarganegaraan mereka boleh ditarik balik dan kad pengenalan mereka boleh dibatalkan. "Ini pandangan saya, kalau mereka tidak tampil dalam tempoh itu saya sarankan JPN perlu ada task force untuk mencari mereka, tarik balik kewarganegaraan dan batalkan kad pengenalan," katanya lagi. Semasa ditanya mengenai kes pegawai atasan dan kakitangan JPN yang terlibat dalam pengeluaran kad pengenalan secara tidak teratur kepada warga asing, Jariah memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berulang lagi. "Perkara ini tidak boleh berlaku lagi kerana untuk kelulusan taraf warganegara, ia telah dibuat secara berpusat di ibu pejabat dan ada jawatankuasa yang memantaunya dan prosedur pengeluaran juga telah diseragamkan sejak 1990," katanya. Jariah juga berkata, dari tempoh 1979 hingga 1984 sebanyak 51,300 kad pengenalan bermasalah dikenal pasti dikeluarkan di negeri itu manakala dari 1984 hingga 1988 pula 62,550 kad. "Pada 1990 hingga 1996 pula sebanyak 16,699 kad pengenalan telah dibatalkan kerana bermasalah. Sebanyak 113,850 permohonan diterima Panel Jawatankuasa Khas Kad Pengenalan di Sabah, daripada jumlah itu 8,887 permohonan untuk menukar kad pengenalan kepada Mykad dan 3,695 telah diluluskan," katanya. - BERNAMA |
Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT KUALA LUMPUR 10 Sept. - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mendakwa difitnah dalam satu forum di Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun lalu. Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil dengan kos RM5,000 untuk dibayar kepada Jamil Khir. Peguam Adnan Seman @ Abdullah yang mewakili Jamil Khir memberitahu pemberita, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang memutuskan demikian di kamar hakim turut menetapkan 13 November ini pengurusan kes saman tersebut. Perbicaraan kes itu pula akan didengar selama empat hari bermula 4 Februari 2014. Pada prosiding hari ini, Shamsul Iskandar selaku pihak defendan diwakili peguam Fahda Nur Ahmad Kamar. Jamil Khir memfailkan saman itu pada 11 Mei 2012, setelah Shamsul Iskandar yang dijemput menjadi ahli panel forum yang membincangkan tajuk 'Pengurusan Persepsi' pada 30 Mac 2012 telah mengulas mengenai isu sumpah dakwaan liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada 2 Oktober tahun lalu, Shamsul Iskandar, 39, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dengan alasan tuntutan berkenaan adalah cacat kerana tidak mematuhi aturan dan kehendak undang-undang bagi membuktikan ucapan itu berunsur fitnah. Adnan bagaimanapun memberitahu, mahkamah dalam keputusannya berpendapat ketidakpatuhan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 itu boleh diterima kerana tidak menimbulkan sebarang prejudis kepada Shamsul Iskandar. Menurut beliau lagi, defendan juga mendakwa pihaknya gagal untuk menyatakan unsur niat jahat dalam pernyataan tuntutan tersebut namun mahkamah berpendapat sebaliknya. Dalam pernyataan tuntutan terpinda bertarikh 8 November 2012, Jamil Khir mendakwa, Shamsul Iskandar secara tidak benar dan berniat jahat memfitnah beliau ketika menjawab persoalan dan mengulas tentang isu sumpah dakwaan liwat yang dibuat ke atas Anwar. Menurut Jamil Khir, dalam program yang disiarkan pada pukul 9.41 malam hari tersebut, Shamsul Iskandar didakwa memberi kenyataan fitnah yang antaranya membawa maksud beliau seorang yang menentang serta menghalang pelaksanaan undang-undang syariah berkaitan qazaf di negara ini. Beliau selaku pihak plaintif berkata, kenyataan fitnah itu juga menggambarkan dirinya sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam, telah campur tangan menghalang pendakwaan qazaf seperti yang dituntut oleh Anwar. Disebabkan pernyataan fitnah tersebut menurut Ahli Parlimen Jerai itu, reputasi beliau telah terjejas dan mengalami kerugian selain dipandang negatif oleh rakyat di negara ini. Plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk serta ganti rugi pengajaran serta perintah injunksi terhadap defendan. Dalam pernyataan pembelaan bertarikh 17 Julai 2012, Shamsul Iskandar menyatakan, pernyataan yang dibuat olehnya mengandungi butiran fakta dan komen yang adil serta menyifatkan tuntutan plaintif sebagai tidak munasabah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |