Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Gagal permohonan batal pertuduhan Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT Oleh MARZITA ABDULLAH Tian Chua KUALA LUMPUR 26 Sept. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membatalkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya terhadap insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah. Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak permohonan Tian Chua, 50, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, setelah mendapati tiada merit dalam permohonan tersebut. Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah tidak berpuas hati bahawa terdapat asas yang memadai semata-mata dalam penegasan yang terdapat dalam afidavit Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu itu. Menurut beliau, terpulang kepada pihak pendakwaan untuk membuktikan sama ada perkataan 'kerajaan UMNO' itu dirujuk kepada UMNO atau kerajaan sekarang dan hal ini akan diputuskan dalam perbicaraan di mahkamah. Hakim Amelia juga menegaskan, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Akta Hasutan akan dimansuhkan namun akta itu masih terpakai sehingga benar-benar dimansuhkan secara teratur. Pada 14 Mac lalu, Tian Chua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kononnya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO dalam portal lidah rasmi PKR, Keadilan Daily. Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 1 Mac lalu di No. 62-2-A, Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu persimpangan, Jalan Loke Yew di sini. Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara sehingga lima tahun bagi kesalahan berikutnya. Tian Chua diwakili peguam-peguam, Eric Paulsen dan Latheefa Koya manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farizul Hassan Bakri. Perbicaraan kes berkenaan akan bermula pada 16 dan 17 Oktober ini. Dalam pada itu, Latheefa mengemukakan permohonan secara lisan untuk menggantung perbicaraan berkenaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. Walau bagaimanapun, mahkamah mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan secara rasmi bagi tujuan tersebut. Berdasarkan kertas pertuduhan, pemimpin parti pembangkang itu dituduh telah menyebut perkataan menghasut dengan membuat kenyataan: n Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat; n Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO; n Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah; n Ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama daripada isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing. |
Pegawai jabatan hutan didakwa lagi Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT Amir Sharifud-din IPOH 26 Sept. - Seorang pegawai hutan Daerah Hulu Perak yang sebelum ini menghadapi 13 tuduhan rasuah, hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, kali ini atas tuduhan gagal menyerahkan pernyataan bersumpah bagi menjelaskan mengenai harta berlebihan yang dimilikinya. Amir Sharifud-din Aliman, 59, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Madihah Hairullah. Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh semasa disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah yang dihadapinya. Pada 1 Februari lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM390,000 daripada dua kontraktor balak sejak tiga tahun lalu. Tindakan lelaki itu yang memakai jaket hitam dan seluar jean warna sama serta memakai bandana ala bintang rock dan memakai rambut palsu juga turut mencuri perhatian mereka yang berada di mahkamah ketika itu. Mahkamah juga membenarkan permohonan peguam tertuduh untuk merujuk anak guamnya itu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemeriksaan psikiatri setelah dia hanya menjawab 'saya tidak faham' dan 'saya tidak ingat' selepas setiap pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa. Bagaimanapun, hari ini, Amir Sharifud-din dilihat berpakaian kemas dengan berkemeja lengan panjang hitam putih dan berseluar hitam serta rambutnya sudah dipotong pendek. Dia juga berkata 'tidak bersalah' ketika ditanya pengakuannya oleh jurubahasa mahkamah. Mengikut pertuduhan, dia sebagai orang yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya SPRM didakwa telah gagal menyerahkan pernyataan bersumpah atau berikrar bagi menjelaskan mengenai harta berlebih-lebihan yang dimilikinya dalam masa yang ditetapkan. Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 30 Ogos lalu. Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Kevin Morais mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 36(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi. Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan 11 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu. Sementara itu, Kevin selepas prosiding kes itu memberitahu, tertuduh berada di Hospital Bahagia atas kehendaknya sendiri. Menurut beliau, pemerhatian yang dibuat pakar psikiatri menunjukkan tertuduh hanya mengalami kemurungan dan dia layak untuk membela diri dan dibicarakan. ''Meskipun pemerhatian terhadapnya telah selesai, namun tertuduh tetap mahu terus berada di situ (Hospital Bahagia),'' katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |