Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Isu gajah liar ke Dewan Rakyat
- Persepsi bidang pertanian perlu diubah
- Perhimpunan nilai kekuatan parti
Isu gajah liar ke Dewan Rakyat Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT Oleh M.RIZAL NOR AHMAD Nazlan Idris melihat pokok kelapa sawit yang dirosakkan oleh sekumpulan gajah liar di Kampung Som, Jerantut, semalam. JERANTUT 15 Sept. - Masalah gajah liar yang sering mengganggu penduduk di daerah ini akan dibentangkan di Parlimen bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, ancaman kumpulan haiwan itu bukan satu fenomena baharu kerana kerap berlaku setiap tahun. "Penduduk sekitar Hutan Simpan Kampung Som dan Taman Negara Kuala Tahan semakin tidak senang duduk kerana kumpulan gajah sering mengganggu ketenteraman mereka. "Bukan setakat memusnahkan tanaman malah kumpulan gajah itu semakin berani menghampiri kediaman mereka terutama waktu malam," katanya ketika membuat tinjauan tanaman penduduk yang musnah akibat serangan kumpulan gajah di Kampung Binjai, di sini baru-baru ini. Menurutnya, senario ancaman haiwan tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan kerana melibatkan nyawa dan periuk nasi penduduk. Ahmad Nazlan berkata, pembentangan di Parlimen dibuat supaya semua pihak terutama kementerian terlibat dapat mencari jalan penyelesaian segera bagi memastikan masalah berkenaan tidak berlarutan. "Saya harap penduduk di sini bersabar dan sentiasa menjaga keselamatan masing-masing serta segera melaporkan ancaman gajah kepada pihak berkenaan," ujarnya. Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Binjai, Mohd. Arif Abdul Manaf, 52, berkata, sebanyak tujuh ekor gajah liar yang datang dari Hutan Simpan Som menyerang kampung mereka minggu lepas. Beliau berkata, ancaman tersebut semakin menakutkan penduduk kerana haiwan itu menghampiri kediaman mereka untuk mencari makanan. "Kumpulan gajah itu juga masuk ke kawasan Felcra Jaya Putra dan memusnahkan lebih 1,000 pokok getah melibatkan tanaman seluas 1.6 hektar. "Kami merayu pihak terlibat menangani masalah ancaman ini dengan segera kerana sudah tidak tahan dengan kerugian dialami apabila banyak tanaman musnah," katanya. |
Persepsi bidang pertanian perlu diubah Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kanan) bergambar bersama penyampai zakat perniagaan dalam majlis Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-40 Pasfa di Kuantan, kelmarin. KUANTAN 15 Sept. - Persepsi bidang pertanian sebagai industri tidak menguntungkan perlu diubah dengan suntikan perubahan minda supaya lebih ramai khususnya golongan muda menceburi sektor itu. Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid berkata, anjakan baharu itu perlu seiring dengan aspirasi keusahawanan dan teknologi yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara. Menurutnya, pertanian merupakan agenda peladang yang perlu diberikan tempat dan pengiktirafan kerana bidang tersebut adalah punca kekuatan ekonomi di luar bandar serta menjamin keselamatan negara daripada sudut pengeluaran makanan. "Pasfa tetap menyokong terutama merealisasikan Wawasan 2020 dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju. "Dalam mencapai hasrat itu pertubuhan ini menyediakan pelan perniagaan termasuk transformasi pertanian sehingga 2020," katanya ketika berucap dalam majlis Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-40 Pasfa yang dirasmikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di sini semalam. Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. Dalam majlis itu, Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Muip menerima zakat perniagaan yang disampaikan Mustaffa Kamal mewakili Pasfa manakala Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Saipolbahari Shuib. |
Perhimpunan nilai kekuatan parti Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT KUANTAN 15 Sept. - Seluruh ahli perlu menjadikan mesyuarat cawangan, persidangan bahagian serta perhimpunan UMNO kali ini sebagai peluang untuk menilai kekuatan sebenar parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, persidangan di semua peringkat juga perlu menjawab persoalan kemerosotan semangat juang dalam kalangan ahli parti, khususnya kenapa UMNO perlu dokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sebagai pendorong ketegasan membela martabat orang Melayu. "Kegagalan memenuhi korum mesyuarat yang hanya satu perempat daripada keahlian, adalah petanda kemerosotan keghairahan di arus perjuangan UMNO itu sendiri. "Sebarang usaha melindungi kelemahan ini yang cuba diperkemaskan oleh Majlis Tertinggi (MT) melalui jawatankuasa pemantau pemilihan adalah pengkhianatan terhadap perjuangan," katanya dalam kenyataan di sini semalam. Ahmad Tajuddin berkata, persidangan di semua peringkat juga perlu menjawab persoalan kemerosotan semangat juang di kalangan ahli parti, khususnya kenapa UMNO perlu dokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sebagai pendorong ketegasan membela martabat orang Melayu. "Jika PRU-13 adalah ibu kepada perjuangan, PRU-14 merupakan persimpangan antara UMNO kekal parti keramat pembela Melayu, pentadbir berwibawa atau tinggal dalam lipatan sejarah negara," katanya. Beliau sehubungan itu berkata, pimpinan parti semua peringkat yang akan dipilih pada pemilihan kali ini menjadi penentu tegak atau rebahnya sesebuah institusi yang dibina oleh pemimpin terdahulu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |