Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Pandangan rakyat diambil kira
- Mutiara Taman Negara Resorts rai pengamal media
- Cari kaedah proses hasil pertanian
Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT Oleh ALI MAHMOOD WAN Rosdy Wan Ismail (kanan) menerima cenderamata daripada Ahmad Daud selepas merasmikan majlis pelancaran Publisiti Awal Tanah Rancangan Daerah Cameron Hihglands di Kelab Golf Sultan Haji Ahmad Shah Tanah Rata, baru-baru ini. CAMERON HIghLANDS 17 Sept. - Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) meminta penyertaan orang ramai terutama penduduk di kawasan terbabit memberi pandangan dan pendapat mengenai perancangan masa depan pusat peranginan tanah tinggi itu. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pandangan rakyat akan diambil kira oleh kerajaan negeri bagi memastikan daerah tersebut terus membangun dan pada masa sama tidak menjejaskan alam sekitar. Menurut beliau, melalui cara itu kerajaan negeri berharap dapat mewujudkan persekitaran lebih mampan bagi kepentingan penduduk dan alam sekitar. "Sebelum membuat sesuatu pembangunan kerajaan negeri membuka peluang kepada orang ramai untuk memberi pandangan. "Daerah ini memerlukan perancangan yang lebih sistematik berasaskan pembangunan semasa memandangkan tempat ini menjadi tumpuan pelancong selain kawasan pertanian," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Publisiti Awal Tanah Rancangan Cameron Hihglands di Kelab Golf Sultan Haji Ahmad Shah Tanah Rata dengan dihadiri Yang Dipertua MDCH, Datuk Ahmad Daud di sini baru-baru ini. Menurut beliau, Cameron Highlands menjadi daerah pertama dipilih di negeri ini untuk menjalankan kajian Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Penggantian. Katanya, publisiti awal itu merupakan kajian penggantian kepada RTD 2003-2015 terdahulu dan kajian dibuat bertujuan menyusun semula guna tanah di daerah tersebut. "Banyak pihak sebelum ini meminta kerajaan negeri bertindak tegas menangani penerokaan tanah haram secara tidak terkawal bagi tujuan pertanian kerana berlaku ketidakseimbangan alam sekitar sehingga menyebabkan banjir. "Selain itu, kehadiran pelancong yang bertambah setiap tahun menyebabkan Cameron Highlands berhadapan dengan kesesakan jalan raya terutama setiap hujung minggu, musim cuti persekolahan dan perayaan," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, kini jalan masuk ke pusat peranginan itu lebih mudah menerusi Jalan Sungai Koyan, Lipis; Tapah dan Simpang Pulai (Perak) serta Gua Musang di Kelantan. "Ini memudahkan pelancong tempatan dan asing mengunjungi Cameron Highlands berbanding 10 tahun lalu yang hanya menggunakan satu pintu masuk sahaja iaitu melalui Tapah," ujarnya. |
Mutiara Taman Negara Resorts rai pengamal media Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT JERANTUT 17 Sept. - Mutiara Taman Negara Resorts (MTNR) meraikan 12 pengamal media dari Kuala Lumpur yang menyertai program lawatan ke Taman Negara Kuala Tahan di sini baru-baru ini. Mereka yang mengikuti lawatan selama tiga hari dua malam itu disambut oleh warga MTNR dengan diketuai oleh Pengurusnya, V. Nathan dan Pengurus Pelancongannya, Sabri Abdullah. Menurut Nathan, pihaknya menaja penginapan kepada kumpulan tersebut dalam usaha mempromosikan Taman Negara untuk menarik pelancong tempatan mengunjungi destinasi itu. "Sasaran kami, setiap pelawat domestik dan pelancong antarabangsa mesti mengunjungi taman negara setidak-tidaknya sekali seumur hidup. "Kami berharap menerusi promosi media ini membolehkan syarikat swasta dan korporat di seluruh negara memilih Taman Negara serta MTNR sebagai lokasi percutian kerana sebelum ini kurang memperoleh maklumat mengenai destinasi percutian taman ini," katanya kepada pemberita di sini. Katanya, bagi merancakkan promosi pemasaran, MTNR bekerjasama dengan pengusaha resort dan restoran tempatan termasuk bot penambang untuk memperolehi manfaat dengan kehadiran ramai pelancong. Dalam pada itu, Sabri berkata, promosi tersebut akan dilaksanakan secara berterusan membabitkan pengamal media tempatan dan antarabangsa. "Kita mula menggiatkan promosi bersama kumpulan media ini setelah MTNR selesai membaik pulih chalet dan beberapa kemudahan hospitaliti di sini," ujarnya. |
Cari kaedah proses hasil pertanian Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT KUANTAN 17 Sept. - Pengusaha buah-buahan tempatan perlu mencari kaedah dalam memberi nilai tambah termasuk memproses hasil pertanian itu menjadi produk makanan yang mampu dipasarkan di luar musim sepanjang tahun. Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutan (FAMA) negeri, Ibrahim Mahmood berkata, cara itu mampu menjana pulangan kepada mereka walaupun berlaku lambakan atau kejatuhan harga buah-buahan di pasaran. Menurut beliau, pihaknya bersedia membimbing pengusaha tempatan dalam menghasilkan produk makanan daripada buah-buahan tempatan. "Perkara itu telah kita mulakan di Pusat Pemasaran FAMA Jerantut apabila durian kampung yang kurang mendapat permintaan dikumpul dan diproses menjadi tempoyak. "Buah itu kemudian diproses menjadi pes atau dibungkus bagi tujuan eksport," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Kempen Bulan Buah-buahan Tempatan peringkat negeri di tapak Pasar Tani Mega di pekarangan Pusat Transformasi Bandar di sini kelmarin. Pelancaran tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Mohamad Fakhruddin Mohd. Ariff. Ibrahim berkata, proses penghasilan itu bagaimanapun perlu mematuhi aspek ditetapkan supaya kualitinya terjamin dan mampu menembusi pasaran luar. "Bagi musim buah-buahan tahun ini, tiada masalah lambakan berlaku dan harganya masih stabil serta mampu memberi pulangan baik kepada pemilik dusun atau peniaga,'' katanya. Menurutnya, kempen makan buah-buahan tempatan masih perlu dipergiatkan terutama kepada generasi muda supaya golongan itu mengenali jenis buah-buahan tempatan. "Sebab itu kita adakan kempen ini supaya golongan itu mengamalkan pemakanan sihat dengan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan sebagai makanan harian," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |