{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Pantau pembalakan, perlombongan

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

MOHD. SOFFI ABD. RAZAK
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri

KUALA LIPIS 2 Sept. - Agensi penguatkuasaan di bawah kerajaan negeri diminta memantau aktiviti pembalakan dan perlombongan supaya tidak berlaku pencemaran sungai sehingga menyebabkan airnya amat tercemar serta menjejaskan kesihatan penduduk sekitarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, kualiti air di beberapa sungai utama di negeri ini seperti Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Semantan menjadi sumber utama bekalan air yang disalurkan kepada rakyat di negeri ini.

Menurut beliau, air sungai yang tercemar tidak boleh diproses oleh Pengurusan Air Pahang (Paip) kerana akan menyebabkan gangguan kesihatan kepada pengguna seperti keracunan dan sebagainya.

"Saya berharap agensi kerajaan seperti Jabatan Tanah dan Galian, Jabatan Hutan dan Jabatan Geosians dan Mineral lebih kerap memantau aktiviti pembalakan dan perlombongan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan serta garis panduan ditetapkan.

"Pengawasan perlu dijalankan dengan lebih kerap bagi mengelak berlakunya hakisan tanah atau membuang sisa kimia ke dalam sungai yang akhirnya mengakibatkan air tersebut tercemar dan tidak boleh diproses," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta di Pekan Benta, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta mengulas tentang pencemaran air Sungai Pahang dan Jelai sehingga menyebabkan loji Paip di Jerantut terpaksa dihentikan sementara akibat air terlalu keruh.

Katanya, pencemaran Sungai Pahang baru-baru ini menyebabkan air menjadi keruh, berkelodak dan mengandungi kimia yang mencecah tahap bacaan 4,100 Nephelometic (NTU) iaitu melebihi kadar 1,000 NTU.

Menurut Mohd. Soffi, bacaan NTU yang melebihi bacaan 1,000 tidak boleh diproses dan perlu dihentikan bagi mengelak pengguna terdedah kepada ancaman kesihatan.

Katanya, Paip tidak mempunyai kuasa untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebabkan berlakunya pencemaran air sungai.

Halang individu burukkan institusi Diraja - Tengku Muda

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

BERA 2 Sept. - Hubungan raja dan rakyat perlu dierat dan diperkukuh kerana kedua-duanya saling memerlukan dalam menghadapi cabaran global masa kini.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bertitah, ikatan tersebut membawa gambaran sebenar betapa rapat hubungan keluarga Diraja Pahang dengan rakyat di negeri ini.

Baginda bertitah, kemesraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dengan rakyat sudah terbukti sejak dahulu lagi malah mendapat pujian daripada segenap lapisan masyarakat di negara ini.

"Sebarang elemen memburukkan institusi Diraja oleh segelintir individu perlu dihalang daripada menjadi wabak yang sukar dibendung.

"Pemilihan tema Malaysia Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku bagi sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 tahun ini adalah tepat dalam manifestasi kepada semangat patriotik rakyat," titah baginda.

Tengku Abdul Rahman bertitah demikian dalam majlis Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai di Kampung Batu Papan, di sini hari ini.

Yang turut berangkat, Cik Puan Muda Pahang, Datuk Seri Julita Aishah Abdul Latif.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin; Speaker DUN Pahang, Datuk Ishak Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Guai, Norol Azali Sulaiman.

Dalam majlis itu, lebih 5,000 pengunjung hadir dan dihiburkan dengan persembahan artis terkenal seperti Amy Search, Adlin Shauki, Fara Fauzana dan penyanyi terkenal Indonesia, Rossa.

Tengku Abdul Rahman bertitah, tema sambutan hari kemerdekaan tersebut memberi peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara.

ECERDC ubah landskap Pahang

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

ECERDC turut bertanggungjawab membangun dan menyelenggarakan kawasan pekan Kuala Tahan dekat Taman Negara, Jerantut.

TEMERLOH 2 Sept. - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bukan sahaja berperanan penting dalam menarik pelaburan dan pembangunan di negeri-negeri pantai timur tetapi turut bertindak sebagai badan yang menjaga kemudahan asas dan infrastruktur.

Pahang, antara salah satu negeri diletakkan di bawah agensi itu sejak ditubuhkan lima tahun lalu mengambil alih peranan dan tugas yang sebelum ini dilaksanakan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) Dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ).

Sejak Dara dan LKWJ dibubarkan, kawasan di bawah pentadbiran kedua-dua agensi itu seperti Temerloh, Bera, Maran, Jerantut, Pekan dan Rompin dipinggirkan daripada aspek pembangunan serta penyelenggaraan.

Hasil kajian dijalankan, ECERDC mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mendapati perlunya peruntukan khusus bagi menggerakkan pembangunan, penyelenggaraan serta operasi di daerah terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John berkata, setelah mengambil alih tanggungjawab kedua-dua agensi terbabit, pihaknya membelanjakan lebih RM200 juta dalam membangunkan semula semua kemudahan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, peruntukan itu disalurkan melalui setiap pejabat daerah bagi memastikan kawasan tersebut terus membangun secara mapan dan keperluan operasi serta penyelenggaraannya terurus seperti mana dilakukan agensi terdahulu.

"Semua projek penyelenggaraan dan operasi serta kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam telah dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan khusus tersebut serta memberi manfaat kepada penduduk kawasan terlibat.

"Sejak 2010 sehingga berakhir Julai lalu, sebanyak 448 projek dilaksanakan di daerah-daerah berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Jebasingam berkata, kesemua projek tersebut merangkumi 117 infrastruktur, kemudahan awam (240) penyelenggaraan dan operasi (42), kampung tradisi (33) projek strategik (10) dan enam projek lain.

Menurut beliau, dalam tempoh tersebut, sebanyak 107 projek dilaksanakan meliputi projek penyelenggaraan, menaik taraf dan pembangunan.

"Dari 2011 sehingga kini, sebanyak 114 projek dilaksanakan termasuk projek penyelenggaraan jalan, kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam meliputi pusat komuniti kampung tradisi dan perkampungan Orang Asli.

"Antara infrastruktur yang dikendalikan ECERDC ialah membina pusat komuniti dan menyelenggarakan infrastruktur di kampung tradisi dan penempatan Orang Asli di Jerantut serta Bera," jelasnya.

Menurutnya, bagi Jerantut pula, pihaknya menyelenggarakan pusat permainan kanak-kanak Kampung Orang Asli Sungai Bangkong, membina pusat komuniti di Kampung Labu, menyelenggara kemudahan asas dan kebersihan kawasan Kuala Tahan serta membina lampu-lampu jalan.

Selain itu, Jebasingam memberitahu, pihaknya turut membina pusat komuniti di Kampung Labu dengan membina jeti dan pusat persinggahan bagi pelancong yang menaiki bot dalam perjalanan dari Kuala Tembeling ke Taman Negara, Jerantut.

"Kedudukan Kampung Labu di tengah-tengah Kuala Tahan dan Taman Negara turut menyediakan kemudahan seperti surau, tandas dan gerai makanan sebagai kawasan rehat sebelum mereka meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Bangkong, Koboi Awang berkata, penduduk kampung tersebut yang terdiri daripada 140 keluarga amat menghargai usaha ECERDC dalam menjaga kebersihan taman permainan kanak-kanak, membaik pulih jalan dan longkang.

"Sebelum agensi berkenaan mengambil alih penyelenggaraan taman permainan ini, kami bimbang anak-anak di sengat serangga berbisa atau ular mungkin ada di celah-celah lalang yang panjang kerana sudah lama terbiar.

"Sejak ECERDC mengambil alih peranan tersebut, para penduduk di sini tidak bimbang lagi keselamatan anak-anak semasa bermain di taman itu," katanya dari suku kaum Semahberi yang tinggal di kampung tersebut sejak 40 tahun lalu.

Bagi Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadon Zubir, usaha yang dijalankan itu dapat membantu penduduk Kampung Labu meningkatkan pendapatan menerusi sektor pelancongan seperti menghasilkan produk kraftangan dan inap desa.

"Kita tidak boleh mengharapkan bot yang singgah di sini semata-mata berikutan jumlah pelancong dan penduduk kampung semakin berkurangan menggunakan laluan sungai.

"Sejak adanya jalan raya akan memudahkan perjalanan mereka sama ada untuk ke bandar Jerantut atau ke Taman Negara," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat