{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Projek pelabuhan wujud 8,650 pekerjaan

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 4 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan merasmikan Projek Peluasan Pelabuhan Kuantan di Gebeng di sini Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John (gambar) berkata, majlis perasmian projek itu akan diadakan pukul 2.30 petang dan akan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Projek ini adalah hasil kerjasama antara IJM Corporation Berhad dan syarikat dari China, Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co. Ltd membabitkan pelaburan awam sebanyak RM1 bilion dan pelaburan swasta RM3 bilion," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, projek itu dijangka dapat menjana pelaburan melebihi RM15 bilion apabila siap sepenuhnya pada akhir 2015 dan mewujudkan 8,650 peluang pekerjaan.

"Peluasan pelabuhan ini akan meningkatkan lagi aktiviti eksport dan import negara kerana lokasinya yang strategik antara persimpangan perjalanan kapal di Laut China Selatan," katanya.

Katanya, setakat ini kerja-kerja pembinaan pemecah ombak fasa satu telah bermula pada Mac lalu dan dijangka siap November ini.

Sementara itu, Jebasingam berkata, dalam majlis itu juga, pihaknya akan menyerahkan Loji Rawatan Air Panching yang baru dibangunkan dengan kos sebanyak RM170 juta kepada Menteri Besar.

Katanya, loji itu dibina bagi menyelesaikan masalah gangguan air di daerah ini, selain menyalurkan bekalan itu ke kawasan Perindustrian Gebeng.

"Dengan adanya loji baharu ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi di kawasan sekitar Kuantan dan Gambang," katanya.

Penuntut IPTA perlu berfikiran matang

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Shafik Fauzan Sharif (depan, lima dari kanan) dan Mustapa Long (depan, empat dari kanan) bersama-sama penuntut UiTM Shah Alam selepas penyerahan keluarga angkat di Kampung Chegar Perah, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 4 Sept. - Penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu berfikiran matang dan tidak mudah diperalat pihak tertentu untuk memperlekeh masyarakat, pemimpin, agama Islam dan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, mereka perlu memberi tumpuan terhadap pengajian yang menjanjikan masa depan lebih cerah.

Menurut beliau, pihak tertentu sanggup menggunakan golongan itu dalam mencari jalan memburukkan kerajaan serta pemimpin negara.

"Sikap memihak perjuangan pembangkang serta diperalat pihak tertentu menunjukkan penuntut terbabit tidak mengenang budi kerajaan yang banyak membantu mereka khususnya pinjaman pelajaran serta peluang pendidikan tinggi di negara ini," katanya.

Beliau berucap dalam majlis pelancaran Gerakan Obor dan Operasi Khidmat Masyarakat (Gokim) penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor di Kampung Chegar Perah, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Kampung Chegar Perah, Rahimi Ismail.

Program itu turut mendapat kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM.

Shafik Fauzan berkata, sikap penuntut berkenaan bukan sahaja mengecewakan kerajaan tetapi menghampakan ibu bapa masing-masing yang mahukan anak mereka menuntut ilmu dengan lebih cemerlang.

"Sepatutnya, mereka perlu menunjukkan teladan baik kepada masyarakat dan bukannya menjadi telunjuk kepada pihak tertentu yang sentiasa memperlekehkan kerajaan," ujarnya.

Katanya, golongan itu perlu merebut peluang melanjutkan pengajian di mana-mana IPTA di negara ini untuk membentuk kepimpinan matang dan integriti sebagai penuntut harapan bangsa.

Perlu patriotik bina negara disegani

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Adnan Yaakob melepaskan peserta Konvoi Kembara Jalur Gemilang semasa Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pahang di Dataran Jam, Bandar Tun Razak, Jengka Pahang, baru-baru ini. Turut kelihatan Shahaniza Shamsuddin (kiri).

MARAN 4 Sept. - Generasi muda perlu menghayati dan menyokong aspirasi kerajaan dalam membina sebuah negara bangsa disegani serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Pengerusi majlis pelancaran Kibaran Jalur Gemilang negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, Malaysia memerlukan warganegara yang patriotik, produktif dan komited membangunkan tanah air.

Katanya, kerajaan kini melalui kepimpinan pemimpin Barisan Nasional (BN) meletakkan standard dalam mewujudkan sebuah negara bertaraf dunia, selari dengan Wawasan 2020.

"Dalam mencapai sasaran itu, setiap warganegara, khususnya generasi muda perlu mengambil pendekatan proaktif membantu kerajaan dalam pelbagai perkara.

"Golongan itu harus meletakkan status diri dengan menjadi rakan kerajaan yang baik tanpa menimbulkan pelbagai kerenah sehingga menjejaskan kemajuan negara.

"Rakyat harus berbangga kerana tinggal di sebuah negara aman dan perpaduan pelbagai kaum yang semakin kukuh sehingga membolehkan kita menjalankan aktiviti dengan lancar," katanya.

Beliau berucap dalam majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Dataran Jam, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini baru-baru ini.

Shahaniza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri menegaskan, sebagai rakyat yang patriotik, mereka perlu mempamerkan kasih sayang terhadap negara dengan membuang sifat-sifat anti nasional.

Katanya, tanggungjawab paling mudah yang perlu dibuat rakyat adalah menyahut saranan kerajaan supaya setiap mereka mengibar Jalur Gemilang di premis perniagaan, kediaman, pejabat, kenderaan dan pejabat.

"Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan, maruah bangsa dan negara yang perlu dikibarkan dengan megah.

"Mana-mana pihak yang cuba menghina Jalur Gemilang secara langsung menjatuhkan maruah serta kesabaran rakyat yang cintakan negara ini," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat