Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Hulu Tembeling kurang kemudahan asas
- Naik taraf Jalan Kuantan-Kuala Lumpur
- Laluan sesak di Bandar Lipis
Hulu Tembeling kurang kemudahan asas Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT WAN ANTROPOLOGI RUMAH papan yang uzur milik penduduk berpendapatan rendah memberi gambaran penduduk Hulu Tembeling masih berada pada tahap kemiskinan. Saudara Pengarang, Saya rasa terpanggil untuk membuat ulasan apabila terbaca rencana mengenai kemiskinan penduduk Hulu Tembeling, daerah Jerantut seperti yang tersiar di ruangan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini. Adakah kemiskinan mereka dikategorikan sebagai miskin tegar jika dibandingkan dengan senario mereka berpendapatan rendah tinggal di bandar besar dan tempat lain. Hulu Tembeling mempunyai keunikan alam sekitar termasuk sumber khazanah yang sering difokus oleh pelawat serta pihak berkepentingan dalam ekonomi dan sosial. Saya pernah menjelajah ke Hulu Tembeling beberapa tahun lalu mendapati rata-rata penduduk bekerja sebagai nelayan sungai, mencari sumber hutan, menoreh getah dan bot penambang. Pendapatan hasil usaha mereka yang agak lumayan tidaklah boleh dikategorikan sebagai miskin kerana pendapatan daripada mata pencarian itu mampu menampung perbelanjaan kebajikan keluarga dan persekolahan. Memang tidak dinafikan ada segelintir penduduk di situ dan bukan berasal dari Hulu Tembeling yang berkahwin dengan penduduk tempatan berada di jalur kemiskinan apabila dinilai menerusi pendapatannya. Rata-rata golongan ini boleh dibilang dengan jari berikutan ada tergolong dalam kemiskinan relatif dan pewaris daripada ibu bapa atau keluarga terdahulu kerana tidak mempunyai harta menumpang membina kediaman di tanah orang lain. Bagi saya, kehidupan di kampung berasaskan sumber yang ada dalam sektor pertanian, getah dan lain-lain mampu menghasilkan pendapatan bernilai empat angka, malah ada sesetengah penduduk berkenaan tinggal di bandar atau tempat lain. Saya berpendapat kemiskinan yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak bukanlah disebabkan oleh punca pendapatan, tetapi lebih kepada kekurangan kemudahan asas utama iaitu jalan raya yang menjadi pemangkin sektor pertanian dan pelancongan. Kemudahan inilah melambatkan pertumbuhan ekonomi dan sosial penduduk khususnya mengisi kebajikan masing-masing menerusi ruang pemasaran dan keselesaan perhubungan antara kawasan pedalaman itu dengan bandar. Saya mengulas hal ini bukanlah untuk merendahkan akauntabiliti, tanggungjawab dan integriti pihak tertentu, tetapi impaknya pasti akan mencalarkan geopolitik pada masa akan datang. Menerusi ruangan ini, senario kehidupan penduduk Hulu Tembeling sama seperti di tempat lain berikutan ketiadaan kemudahan asas utama menyebabkan mereka dilabelkan miskin, orang pedalaman dan dianggap tersisih dari tempat lain. |
Naik taraf Jalan Kuantan-Kuala Lumpur Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT PEMANDU BIJAK Jambatan sempit di laluan Temerloh-Kuala Lumpur perlu dinaik taraf bersesuaian dengan kepesatan ekonomi dan sosial di Temerloh selari dengan pelebaran jalan di kawasan berkenaan. Saudara Pengarang, Dengan jarak sejauh 150 kilometer itu tetap menjadi pilihan pengguna walaupun berselekoh, rosak dan sebagainya. Jalan alternatif kepada lebuh raya itu tetap sibuk hampir setiap masa apatah lagi jika pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha dan cuti persekolahan. Ramai pengguna mengadu tentang kualiti jalan ini dan perlu dinaik taraf oleh kerajaan kerana memberi kesedaran lonjakan pembangunan yang lebih terarah dan moden menjelang 2020. Satu aspek yang perlu dilaksanakan segera ialah melebarkan lebih 20 jambatan di laluan tersebut kerana didapati sempit berbanding jalan sedia ada dan boleh menyebabkan kemalangan maut. Saya masih ingat lagi kemalangan di atas jambatan sempit di Temerloh beberapa tahun lalu menyebabkan satu keluarga maut apabila kereta dinaiki tersepit di atas jambatan sempit dengan sebuah treler. Oleh itu, pihak berkuasa perlu peka untuk menaik taraf dan membina jambatan baharu untuk kepentingan pengguna jalan tersebut yang berulang alik mengikut laluan berkenaan. |
Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT MAT JELAI Jalan Bandar Lama Kuala Lipis perlu dilebarkan berikutan ramai pengguna yang melalui jalan ini sehingga menyebabkan kesesakan lalu-lintas. Saudara Pengarang, Kesesakan itu juga termasuk laluan ke Bandar Baharu Seberang Jelai yang saban waktu dikunjungi ramai penduduk berbelanja, berurusan di pejabat kerajaan dan pelawat ke sini. Senario kesesakan itu bukan sahaja berlaku pada waktu puncak, tetapi waktu lain memandangkan cuma sebatang laluan sahaja memasuki bandar lama Kuala Lipis termasuk Bandar Baharu Seberang Jelai. Kesesakan itu kerap bermula berdekatan bulatan jalan memasuki bandar ini sehingga ke pusat bandar dan keadaan semakin kritikal sejak akhir-akhir ini ketika waktu puncak. Kesesakan berpunca apabila kedudukan dua persimpangan lampu isyarat berdekatan, iaitu di persimpangan jalan ke Bandar Baharu Seberang Jelai dan bandar lama di sini. Sementara lampu isyarat berdekatan juga wujud di persimpangan masuk ke Hospital Lipis, pusat berbelanja, masjid, stesen kereta api dan hotel di situ. Lokasi tersebut dipercayai antara punca kesesakan lalu-lintas dan kadang-kadang kenderaan terpaksa berbaris sehingga di hadapan balai polis dan bulatan masuk ke Bandar Baharu Seberang Jelai. Saya berharap pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri mencari alternatif terbaik menaik taraf laluan baharu termasuk melebarkan jalan masuk serta keluar dari bandar itu supaya mengurangkan kesesakan itu. Kekurangan tempat meletak kereta juga antara punca kesesakan khususnya sesuatu acara membabitkan perayaan di setiap lokasi bandar ini sehingga mereka meletakkan kenderaan sesuka hati dan mengganggu lalu-lintas. Saya bersama masyarakat Lipis berharap perubahan baharu berlaku di bandar bersejarah ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |