Utusan Online - Pendidikan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pendidikan |
Pidato bentuk keterampilan murid Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT Oleh Norizan Abdul Muhid Pelbagai pihak mempertikaikan usaha yang diambil bagi membentuk sahsiah murid sama ada di sekolah rendah atau menengah berkaitan dengan keterampilan diri. Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pendidikan, Datuk Sufa'at Tumin (gambar) berkata, bagi meningkat dan memperkukuh sahsiah dan keterampilan murid, beberapa aspek berkaitan ciri-ciri itu digariskan pada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diperkenalkan baru-baru ini. "Menyedari kepentingan hasrat tersebut, usaha diambil agar sekolah dapat dijadikan medan membina keterampilan murid sebagai seorang yang berani berhujah dengan lancar, sesuai dengan nada, menyakinkan, menunjukkan gaya yang menarik, boleh mempengaruhi dan dapat memukau audien serta pengolahan isi yang tertib dan ber kesinambungan. "Oleh itu, salah satu pengisian untuk merealisasikannya adalah melalui penganjuran pertandingan Pidato Piala Diraja kali ke-29 peringkat kebangsaan pada 21 hingga 24 September ini. "Pertandingan tersebut merupakan salah satu usaha kementerian melahirkan murid yang berketerampilan dan puitis sejajar dengan matlamat PPPM," jelasnya ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini. Menurutnya, pertandingan itu bukan sahaja dapat meningkatkan penyertaan murid dalam aktiviti bahasa di luar kelas malah berupa penggalakan bahasa, pemupukan dan pemantapan bahasa khususnya dalam memperkasakan Bahasa Melayu. "Malah, dalam semua aktiviti atau program koakademik yang dilaksanakan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, bahasa Melayu akan digunakan dalam pertandingan ini. "Kementerian berharap melalui penganjuran ini akan dapat melahirkan murid yang mempunyai semangat perpaduan, jiwa yang muhibah dan mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara selaras dengan matlamat kementerian sekali gus menepati keperluan PPPM," katanya. Usaha itu, menurut beliau, secara langsung memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bersesuaian dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Hal ini kerana, katanya, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa serta memenuhi hasrat 1Malaysia. Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Pidato Piala Diraja kali ini, Sufa'at memberitahu, buat pertama kali peringkat akhir pertandingan akan diadakan di Istana Negara Lama manakala lokasi perdebatan pula diadakan di Kuala Lumpur International Hotel. Antara objektif pertandingan itu diadakan termasuklah melahirkan murid-murid yang bakal menjadi pemimpin yang berani dan berfikiran tajam serta mempunyai kemahiran berhujah secara spontan. Selain itu, murid dapat menggunakan daya fikir dalam berhujah dengan cepat, tepat dan kritis serta kreatif selain bertujuan memberi peluang kepada murid menyerlah bakat dan kepetahan bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih, yakin, kreatif, kritis dan berhemah. Murid juga dapat membina keyakinan diri dan sedia bersaing secara sihat dalam pertandingan itu selain berhasrat menyokong dasar MBMMBI dalam memartabatkan bahasa Melayu. Setiap negeri akan diwakili seorang murid sekolah rendah Tahap 2 dan murid tingkatan empat atau lima dengan seorang guru pembimbing, bermakna seramai 16 murid sekolah rendah dan menengah akan menyertai pertandingan itu. Dijangkakan kira-kira 600 tetamu termasuk 360 murid akan memenuhi Dewan Serbaguna Istana Negara sempena pertandingan tersebut yang dijadual dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. Juara murid sekolah menengah akan menerima hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan, hadiah iringan dan sijil manakala tempat kedua RM800 dan RM600 pula untuk tempat ketiga. Bagi tempat pertama murid sekolah rendah pula akan menerima wang tunai RM800, kedua RM600 dan ketiga RM400. |
Kelantan terus jadi tumpuan Sekretariat Malaysia Prihatin Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT PESERTA program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP di Kok Lanas, Kelantan baru-baru ini. SEBANYAK 200 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari enam buah sekolah sekitar Daerah Ketereh di Kelantan mengikuti program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SPM, yang dikendalikan oleh guru pakar yang dipilih penganjur - Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP). Unit Pendidikan Utusan Malaysia merupakan perunding program dan pengisian yang dilantik oleh pihak SMP. Pelajar merupakan yang terpilih dan berpotensi untuk merangkul trofi kecemerlangan dalam setiap kertas yang diduduki. Pengisian oleh guru pakar - diselangselikan oleh kata-kata nasihat dan motivasi - turut dimantapkan oleh suntikan kata semangat oleh pakar motivasi Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain - merupakan program yang keenam pada tahun ini di seluruh negara. Di Ketereh, sekolah yang bertuah terpilih mengikuti program berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas - terpilih sebagai tuah rumah, SMK Pangkal Kalong, SMK Kampung Chengal, SMK Melor, SMK Ketereh dan SMK Kadok. Menurut Pembantu Penyelidik dan Projek Pendidikan SMP, Ahmad Buhari Marzuki, program kali ini disertai oleh 200 pelajar terpilih daripada enam buah sekolah. "Di Kelantan, program kali ini merupakan yang kedua untuk tahap SPM di Kelantan pada tahun 2014," katanya. Menurut Ahmad Buhari, pihak SMP juga menawarkan program jangka pendek di Kolej Komuniti bagi lepasan SPM yang sedang menunggu tawaran atau yang gagal memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi awam atau swasta. "Pihak SMP akan menaja yuran pengajian mengikut bidang yang diminati," katanya. Pada tahun depan, pihak SMP akan melaksanakan program pendidikan yang lebih berfokus kepada mata pelajaran yang lemah untuk sesuatu jajahan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai persiapan awal, kata Ahmad Buhari. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |