Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT KUALA LUMPUR 11 Sept. - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman hari ini mengumumkan tidak akan bertanding merebut kerusi Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam pemilihan parti itu, Oktober ini. Abdul Ghani berkata, keputusan itu bukan disebabkan merajuk, tetapi bagi memberi peluang kepada muka baharu sesuai dengan hasrat Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin melaksanakan transformasi dalam parti. "Saya buat keputusan ini sudah lama iaitu dua hingga tiga tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, lagipun saya sudah lama berkecimpung dalam politik iaitu 28 tahun, sudah tiba masanya saya bersara," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini. Terdahulu beliau mengulas pelancaran inisiatif-inisiatif terbaharu dalam memperkasakan ekonomi Melayu dan bumiputera yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu ini. Abdul Ghani berkata, beliau kini ingin menumpukan tugas baharunya sebagai Pengerusi Sime Darby Berhad. |
Shahrizat, Khairy kekal jawatan? Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT Oleh ZULKIFLEE BAKAR KUALA LUMPUR 11 Sept. - Apakah mungkin Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan mengekalkan jawatan masing-masing dalam pemilihan parti Oktober ini? Persoalan ini timbul apabila sehingga hari ini belum ada mana-mana pemimpin yang mengumumkan keputusan untuk menentang kedua-dua pemimpin tersebut biar pun borang pendaftaran menjadi calon akan mula diedarkan Sabtu ini. Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang sebelum ini beria-ia hendak mencabar Shahrizat akhirnya membuat keputusan menarik diri atas alasan bagi mengelakkan perpecahan dalam pergerakan itu. Walaupun ada desakan supaya Azalina bertanding namun ia hanya ibarat cabaran 'ajak-ajak ayam' sahaja kerana mereka yang membuat desakan tersebut memahami sejauh mana keupayaan Azalina untuk meraih sokongan dalam Wanita UMNO. Apatah lagi kenyataan demi kenyataan menyokong Shahrizat oleh pemimpin-pemimpin Wanita UMNO dikatakan turut 'menggerunkan' mana-mana pemimpin pergerakan itu untuk mencabar kedudukan beliau. Selain itu Shahrizat sudah lama melaksanakan pelbagai aktiviti bertemu pemimpin-pemimpin Wanita di akar umbi dan sekali gus mampu meraih sokongan mereka. Bagi jawatan Ketua Pemuda pula, setakat ini tidak ada mana-mana pemimpin Pemuda yang memberi isyarat akan mencabar Menteri Belia dan Sukan tersebut. Kedudukan Khairy di dalam Kabinet dan kemampuan beliau memimpin Pemuda sejak 2004 telah memungkinkan wujudnya satu track record yang agak sukar ditandingi oleh mana-mana pemimpin Pemuda lain. Kegigihan Khairy yang terus berkhidmat untuk parti biar pun tidak menduduki jawatan dalam Kabinet sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada beliau untuk terus kekal memimpin Pemuda UMNO. Bagi kerusi Ketua Puteri pula, setakat ini dua calon sudah mengumumkan akan bertanding iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Puteri UMNO Petaling Jaya, Jamilah Hanim Othman. Apa pun pemilihan sayap kali ini dilihat cukup penting bagi membariskan barisan kepemimpinan yang mampu menarik generasi muda untuk menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti. Justeru adalah penting pemimpin dan ahli-ahli di ketiga-tiga sayap itu membuat keputusan sebaik-baiknya bak kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz, "Ada yang memang popular dalam UMNO tetapi kalah di hati rakyat, ini semua perlu diambil kira." |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |