Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Pemilihan UMNO: Calon Sabah optimis rebut jawatan Posted: 22 Sep 2013 09:19 PM PDT KOTA KINABALU 23 Sept. - Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Hamisa Samat optimis mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 1993 meskipun dicabar naib ketua wanita bahagian itu Cahaya Sulaiman. Hamisa yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri berkata, ini merupakan kali kedua beliau dicabar untuk jawatan itu pada pemilihan UMNO peringkat negeri. "Pemimpin yang ada hala tuju adalah pemimpin yang mampu menerajui perjuangan parti demi memperkasakan kekuatan wanita di negeri ini dan bukannya yang hanya menumpang nama pemimpin," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin. Hamisa berkata, menerusi gandingan bersama Saleha Tahir yang menawar diri bertanding jawatan nombor dua, agenda wanita khususnya di kawasan Kalabakan akan terus dibangunkan. Sementara itu, bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Dr. Patawari Patawe yang menawarkan diri mencabar Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan menyifatkan hasrat bertanding semula pada pemilihan kali ini ialah untuk membawa transformasi politik di bahagian itu. "Umno bahagian (Kalabakan) perlu ada perubahan seiring dengan usaha transformasi yang dijalankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian bagi tempoh 2005-2008. Selain Patawari, seorang calon wanita Mir Duraman turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu. Sementara itu dalam kenyataan berasingan, calon yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Kota Belud, Fadli Juanas, 34, berkata beliau mahu memperjuangkan misi dan visi parti untuk menarik semula minat dan sokongan golongan muda terhadap UMNO. Suami Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin itu, akan berhadapan dua calon muka baharu iaitu Mohd. Nazaruddin Raskhin dan Mohd Shafeh Sital. Naib Ketua Pemuda UMNO Kota Belud, Arsyad Bastari melepaskan jawatan itu atas faktor had umur. - BERNAMA |
Muhasabah diri, elak agenda peribadi Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT RANAU 22 Sept. - Calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti Oktober ini diingatkan supaya bermuhasabah diri dan jangan mengutamakan agenda peribadi semata-mata, sebaliknya memberi keutamaan kepada kepentingan parti. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, landasan demokrasi yang subur di dalam parti hendaklah digunakan sebaik mungkin, berlandaskan prinsip kekeluargaan, seterusnya mengelak daripada menimbulkan suasana yang tidak tenteram. "Saya berharap jangan gunakan peluang dan ruang ini semata-mata untuk melemahkan parti UMNO. Hendak menawarkan diri meskipun tahu tidak akan berupaya menang tetapi sengaja menimbulkan keadaan yang boleh melemahkan parti, sedangkan yang untung adalah pembangkang, bukannya parti kita," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian projek menaik taraf Jalan Kibbas-Mohimboyon di sini hari ini. Yang turut hadir Pemimpin Kemajuan Rakyat Ranau, Jahidin Lumat. Selain berhadapan dengan pertandingan enam penjuru merebut jawatan Naib Presiden UMNO, Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berhadapan pertandingan tiga penjuru dalam mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Semporna. Menurut beliau, sistem pemilihan parti yang diamalkan oleh UMNO menunjukkan parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional itu cukup demokratik. Tegasnya, ini membuktikan bahawa demokrasi dalam UMNO adalah subur dan parti itu sentiasa bergerak seiring dengan kehendak semasa bagi memastikan terus relevan. Sementara itu, ditanya tentang pertandingan tiga penjuru di peringkat bahagian, beliau berkata, cabaran itu diterima baik kerana merupakan hak individu untuk menjadi calon bagi merebut mana-mana jawatan. "Biasalah itu lumrah politik, memang ada lawan, malah ini menampakkan bahawa demokrasi dalam UMNO ini subur dan tidak ada sekatan, halangan kepada mana-mana pihak," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |