{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


JAIN jangan diam diri bendung Syiah

Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah membincangkan Syiah Di Malaysia. Muzakarah itu telah memutuskan bahawa:

l Bersetuju supaya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut: Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan al-Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia dimansuhkan.

l Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Di atas merupakan keputusan terkini Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah dibuat 17 tahun lalu melarang Syiah dalam apa jua aliran diamalkan di Malaysia.

Keputusan itu mengandungi lima lagi ketetapan dan boleh dirujuk di portal rasmi fatwa Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di www.e-fatwa.gov.my/.

Jelas yang keputusan tersebut menunjukkan fahaman Syiah adalah haram dan hanya aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Menurut portal berkenaan 11 negeri telahpun mewartakan larangan mengamalkan Syiah dan tinggal lagi empat negeri yang masih belum membuat demikian. Empat negeri terbabit ialah Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Ringkasnya, 11 negeri telah mempunyai fatwa membanteras fahaman Syiah, oleh itu mereka mempunyai kuasa untuk memeranginya dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang.

Sudah tiba masanya seluruh Jabatan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam negeri-negeri dengan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerak sepenuhnya menggempur markas Syiah di seluruh negara.

Mereka mempunyai hak di sudut undang-undang dan langkah tersebut juga boleh disifatkan sebagai satu jihad demi memelihara kesucian akidah umat Islam daripada dicemari oleh satu fahaman yang terbukti menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Dalam Seminar Mendepani Virus Syiah di Pusat Islam, Ahad lalu Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam), Dr. Zamihan Md. Zain mendedahkan bagaimana markas-markas Syiah yang terdapat di negara ini masih menjalankan aktiviti mereka secara aktif. Bukan itu sahaja katanya, mereka juga bergerak aktif di sebalik beberapa jenis perniagaan yang dijalankan.

Walau bagaimanapun Zamihan berkata, sejak larangan mengamalkan fahaman itu diwartakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa negeri-negeri serbuan yang dilakukan terhadap markas-markas Syiah di negara ini amat kurang.

Terkini terdapat serbuan yang telah dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah markas Syiah di Gombak pada Oktober tahun lalu. Sementara itu antara negeri paling ramai pengikut Syiah yang direkodkan ialah di Selangor, Kedah dan Johor.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataannya sebelum ini pula pernah memberitahu sebanyak 250,000 pengikut Syiah berjaya dikesan di negara ini dengan 10 kumpulan dikenal pasti bergerak aktif.

Berdasarkan perkembangan yang amat membimbangkan itu, mahu tidak mahu pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) perlu bertindak tegas dan bergerak lebih pro aktif terutama melalui langkah-langkah penguatkuasaan supaya fahaman Syiah dapat segera disekat.

Walaupun ada kalanya kes-kes tersebut gugur sebaik-baik sahaja mula dibicarakan di mahkamah disebabkan masalah teknikal, itu tidak seharusnya menjadi halangan kepada pihak JAIN menjalankan tanggungjawab mereka membanteras fahaman songsang itu dengan lebih agresif.

Setiap anggota penguat kuasa agama perlu mempunyai semangat yang berkobar-kobar dalam melaksanakan tanggungjawab agama ini selain pihak pendakwa syarie perlu memperkemaskan lagi kerja-kerja di peringkat pendakwaan supaya kes-kes berkaitan Syiah dapat disabitkan ketika berlangsungnya proses perbicaraan.

Dalam pada itu syor supaya kerajaan mewujudkan semula undang-undang berbentuk pencegahanan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Ordinan Darurat juga wajar dipertimbangkan demi menjaga akidah Islam yang semakin terdedah dengan ancaman Syiah.

Menurut Zamihan undang-undang seumpama itu amat berkesan bagi mencegah penularan fahaman Syiah di peringkat awal dan ia berlaku ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, antaranya ISA telah digunakan untuk menahan pendokong-pendokong Syiah tegar.

Ataupun menurut Zamihan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang ada pada hari ini dijadikan sebagai perisai bagi mencegah ideologi ekstremis termasuk Syiah.

Kembali kepada seminar tersebut terdapat peserta yang mencadangkan supaya murid-murid di peringkat sekolah rendah lagi didedahkan dengan fahaman-fahaman songsang terutama Syiah melalui sukatan pelajaran pendidikan agama Islam.

Syor itu wajar dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan agar murid-murid tahu latar belakang serta kesesatan Syiah sejak kanak-kanak lagi.

Maklumat mengenai kesesatan Syiah itu perlu diperincikan lagi di dalam sukatan pendidikan Islam ketika mereka berada di peringkat sekolah menengah bagi memastikan mereka benar-benar faham mengenai bahaya serta kesan yang dibawa oleh fahaman menyeleweng itu.

Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Islam, Universiti Malaya (UM), Mohd. Hamidi Ismail dalam emelnya kepada penulis berkata, terlalu banyak kesesatan yang ditimbulkan oleh Syiah sama ada untuk anutan pengikutnya atau umat Islam lain.

Yang paling besar ialah mendewakan para imam, sehingga ada yang menyembah Ali r.a dan para imam, bukannya Allah SWT.

Beliau berkata, ini boleh dilihat dalam kitab rujukan utama mereka al-Kafi, bagaimana Ali dan para imam dicatatkan mengaku sebagai hamba Nabi Muhammad SAW dan inilah ajaran membolehkan para pengikut Syiah menyembah para imam walaupun mereka sering menafikan hal ini berlaku dalam ajaran tersebut.

Ditambah lagi katanya dengan kepercayaan bahawa 12 imam itu daripada cahaya Allah dan Ali r.a pernah diberikan sebahagian kuasa kenabian oleh Rasulullah SAW.

Ajaran sesat Syiah itu perlu dibanteras dengan segera dan kerajaan serta pihak berkuasa agama negeri tidak boleh berdiam diri. Mereka perlu bertindak segera dengan menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada sebelum virus Syiah itu menjadi barah sekali gus boleh mengancam kesejahteraan umat dan negara.

Nilai songsang julang penjenayah sebagai wira

Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT

ISLAM adalah agama yang syumul - agama yang holistik. Islam tidak hanya menggariskan urusan hubungan ibadah di antara makhluk dengan Penciptanya, dengan keperluan memenuhi tuntutan fardu ain, malah turut menggariskan atur urusan kehidupan di antara makhluk sesama makhluk, dengan keperluan untuk menyempurnakan pelbagai tanggungjawab fardu kifayah.

Islam adalah agama yang menyeluruh - agama yang mencakupi semua bidang kehidupan. Terkandung di dalam al-Quran perkara-perkara berkaitan pokok agama, norma, hukum, hikmat dan pimpinan untuk menjamin kebahagiaan hidup insan, baik di dunia begitu juga persiapan dan amal untuk bekalan di akhirat. Ia menilai dan menghukum setiap perkara yang dilakukan oleh manusia seperti yang dibayangkan dalam ayat 38 Surah Al-An' Aam yang bermaksud:

"...Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam Al-Kitab, kemudian kepada Tuhan merekalah, mereka dihimpunkan". (6:38)

Islam telah memperkenalkan pelbagai hukum - pelbagai peraturan hidup untuk menjamin berlakunya keadilan dan kesaksamaan, untuk mencegah daripada berlakunya sebarang kezaliman dan penindasan. Pelaksanaan hukum secara tegas yang dituntut oleh Islam untuk dilaksanakan, adalah bagi memastikan terjaminnya kerukunan hidup alam dan kesejahteraan hidup insan.

Di samping menghukum ke atas dosa yang telah dilakukan oleh manusia, prinsip melaksanakan hukuman secara tegas yang diperkenalkan dalam Islam, bertujuan untuk menjadi pengajaran, peringatan, amaran, contoh dan teladan.

Islam amat mementingkan faktor keselamatan dan kesejahteraan ummah. Ucapan Assalamualaikum Warahmatullah yang dianjur untuk dilafazkan sesama ummah, adalah doa yang membawa maksud:

"Selamat sejahtera ke atas kamu dan rahmat Allah serta keberkatan ke atasnya".

Malah, doa memohon selamat sejahtera turut dilafazkan ke kanan dan ke kiri sebaik-baik selesai mengerjakan solat.

Kesedaran manusia terhadap pentingnya keselamatan adalah naluri semula jadi. Keadaan keselamatan mempengaruhi kerukunan alam dan kesejahteraan hidup insan. Seseorang insan tidak dapat melalui hidup harian yang sejahtera dalam persekitaran hidup yang tidak selamat.

Undang-undang dan peraturan diperkenalkan di sesebuah negara dan di bawah sesuatu pemerintahan, bertujuan untuk memastikan keselamatan insan, membolehkan mereka bekerja untuk mencari nafkah tanpa gangguan, tidak merasa bimbang atas keselamatan nyawa, keselamatan ahli keluarga dan keselamatan harta benda, baik ketika berada di dalam atau di luar rumah; membolehkan isteri, anak dan anggota keluarga bergerak selamat ketika melakukan perjalanan, baik ke tempat kerja, ke sekolah atau untuk melakukan pelbagai urusan harian.

Di semua negara, kerajaan bertanggungjawab menubuhkan institusi yang diamanahkan untuk menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam. Di negara kita, pasukan Polis Diraja Malaysia diamanahkan dengan tanggungjawab penting keselamatan dan ketenteraman awam. Sesungguhnya, tugas Polis Diraja Malaysia adalah satu tugas penting negara, tugas untuk memenuhi satu tanggungjawab fardu kifayah.

Berdasarkan laporan akhbar, kejadian jenayah berat terutamanya jenayah bunuh semakin menjadi-jadi berlaku di negara ini. Jenayah bunuh bukan sahaja dilaporkan semakin sering berlaku, malah dilakukan secara ganas - secara kejam - secara mengerikan, hingga ke peringkat berlakunya kes pembunuhan di hadapan ibu tua, di hadapan anak kecil, di dalam rumah ibadat.

Perbuatan sekejam, seganas dan sengeri tersebut, seolah-olah memperlihatkan sifat angkuh pihak tertentu mahu mencabar undang-undang negara serta perlakuan provokasi mencabar penguat kuasa undang- undang.

Jenayah akan berleluasa jika penjenayah beranggapan pihak berkuasa kurang tegas menguatkuasakan undang-undang. Jenayah semakin berani dilakukan jika penjenayah beranggapan bahawa mereka begitu mudah terlepas daripada tangkapan, mudah bebas daripada dakwaan dan jika disabitkan, sekadar dijatuhkan hukuman yang ringan.

Terkandung dalam lirik sebuah lagu popular pada tahun enam puluhan berbunyi, "dunialah sekarang - sudahlah terbalik, pemudi berbaju belang - pemuda berbaju batik". Lirik lagu tersebut ada unsur-unsur nasihat dan peringatan. Penulis lirik tersebut, mengingatkan bahawa nilai yang songsang boleh merosakkan kehidupan alam.

Betapa nilai songsang, kini kelihatan berlaku, apabila penjenayah dijulang sebagai wira sementara penjaga keamanan dianggap melakukan kezaliman. Nilai sedemikian adalah songsang dan perlu ditolak secara tegas.

Nilai sedemikian, jika diterima akan memberi galakan kepada lebih ramai pihak untuk lebih berani melakukan jenayah, bersifat riak mencabar autoriti, bertindak ganas, terus melakukan jenayah membunuh menurut hawa nafsu.

Negara ini bukan tempat yang boleh membenarkan berlakunya budaya cowboy yang memberi lesen kepada mana-mana pihak sesenang hati menembak dan membunuh.

Usaha membanteras jenayah hendaklah dijayakan secara kolektif. Penjenayah adalah penjenayah; penjenayah harus dilihat dari lensa sedemikian, tanpa dikait paut dengan faktor kaum, tanpa dikait paut dengan motif politik kepartian.

Tugas polis wajib dibantu. Moral anggota polis menegakkan keamanan, berkorban nyawa dan keselamatan diri, wajib dipertahankan dan diberikan sokongan padu oleh setiap warga yang mahukan keamanan.

Tugas membanteras jenayah adalah tugas fardu kifayah. Ia wajib disokong - diambil tanggungjawab secara bersama oleh setiap ummah, demi memastikan keselamatan nyawa, harta benda dan anak isteri. Para penjenayah jangan sama sekali dilindungi, jauh sekali daripada diiktiraf sebagai wira.

Merancang, membantu atau memberi upah untuk melakukan pembunuhan adalah ditegah dalam Islam. Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam menempelak mereka yang membantu serta mendorong berlakunya pembunuhan. Sabda Baginda: "Jika seluruh penduduk bumi bersekongkol untuk menumpahkan darah seorang mukmin, nescaya Allah akan campakkan mereka ke dalam neraka". (Riwayat Tarmizi).

Usaha membanteras jenayah memerlukan kesungguhan usaha dan penumpuan sumber. Jawatankuasa masjid dan surau sewajarnya mempamerkan contoh teladan, mengambil langkah membantu meringankan tugas-tugas polis.

Kesedaran untuk membanteras jenayah perlu ditingkatkan. Anggota polis wajar dijemput menyampaikan taklimat dan penerangan keselamatan dalam sesi-sesi tazkirah yang dianjurkan di masjid dan di surau.

Kesedaran ummah terhadap langkah- langkah preventif mencegah jenayah perlu ditingkatkan melalui kandungan khutbah di mimbar Jumaat. Jawatankuasa masjid, jawatankuasa surau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung hendaklah tampil ke hadapan membantu polis dalam tugas-tugas kawalan serta menyampaikan maklumat keselamatan dan perlakuan jenayah kepada pihak polis dari masa ke masa.

Dalam kawasan-kawasan yang dianggap kritikal, program pengawalan oleh pihak awam (civilian policing) mungkin perlu difikirkan dan diperkenalkan, agar tugas polis dapat diringankan.

Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan memberikan perlindungan terhadap agama Islam, negara, ummah, kaum keluarga dan harta benda kita daripada sebarang ancaman. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberikan petunjuk kepada Beta serta ahli-ahli Majlis dapat merumus dan menghasilkan keputusan yang bermanfaat dalam persidangan ini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat