Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Pertahankan kedaulatan daripada jadi negara komunis Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT BETA bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya dapat beta bersama-sama dengan pegawai dan warga KD Sri Semporna sempena lawatan operasi beta ke pangkalan-pangkalan TLDM di Sabah timur. Sesungguhnya beta telah lama berhasrat untuk bertemu dan beramah mesra dengan tuan-tuan dan puan-puan serta warga KD Sri Semporna namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana masa tidak mengizinkan. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah salah satu cabang Angkatan Tentera yang memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan kedaulatan negara di negeri Sabah ini, yang mana perairannya adalah luas. TLDM telah menjalankan tugas mereka dengan penuh azam dan dedikasi untuk memastikan perairan kita ini tidak dicerobohi oleh musuh-musuh negara dan pendatang haram. Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Panglima Tentera Laut dan warga TLDM kerana telah berjaya menghadapi cabaran-cabaran yang sengit sepanjang Ops Daulat dilancarkan. Dalam mempertahankan kedaulatan negara, beta berharap semua yang terlibat, sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hendaklah bekerjasama dan sentiasa berkomunikasi supaya segala pergerakan dan hala tuju yang hendak dilakukan dapat berjalan dengan lancar serta meraih kejayaan yang berkesan dan juga memberi hasil yang mantap dan cemerlang dalam mempertahankan kedaulatan negara. Di sini beta mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada ATM dan juga PDRM yang telah bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan Operasi Daulat ini. Beta menyeru kepada semua angkatan bersenjata di Malaysia ini supaya menanamkan kesetiaan dan rasa cinta kepada negara yang kita kasihi ini. Jalankan tugas yang telah diamanahkan dengan hati yang cekal. Berjuanglah mempertahankan negara yang kita kasihi ini dan janganlah berundur walau setapak pun sehingga titisan darah yang terakhir. Dengan menanam sumpah dan tekad inilah, maka seluruh angkatan bersenjata yang mempertahankan negara ini akan berjuang bersungguh-sungguh dalam apa jua yang dihadapi. Beta mengingatkan kepada mereka yang cuba menjadi petualang dan menggadaikan negara kita ini kepada pihak luar hendaklah berwaspada dan menginsafi diri mereka supaya tidak lagi melakukan perkara yang durjana ini. Beta mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Chin Peng adalah petualang negara. Sebagai Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng telah berjuang dan berazam untuk menjadikan tanah air kita yang dikasihi ini sebuah negara komunis. Sejarah telah menunjukkan bahawa semasa perjuangan mempertahankan kedaulatan negara kita ini daripada menjadi negara komunis, kerajaan telah banyak mengeluarkan belanja bagi menghalang tujuan tersebut. Nyawa anggota tentera dan polis banyak yang telah terkorban, begitu juga orang awam yang terbunuh dan mengalami kesengsaraan disebabkan perbuatan Chin Peng dan pengganas komunis. Beta berharap rakyat Malaysia mempelajari dan memahami sejarah negara kita dengan sebaik-baiknya dan janganlah oleh kerana untuk mendapatkan sokongan dan populariti sanggup menggadaikan maruah bangsa dan negara. Beta percaya rakyat Malaysia tidak lupa sejarah hitam semasa darurat dahulu. Oleh kerana para perajurit yang bertugas di pangkalan hadapan ini, berkhidmat jauh dari kampung halaman mereka, beta percaya ia tidak akan melemahkan semangat untuk terus mempertahankan negara. Beta mengambil kesempatan di sini untuk menyeru kepada isteri-isteri dan keluarga-keluarga yang ditinggalkan di rumah supaya hendaklah terus menjalankan tugas- tugas mereka dalam mendidik anak-anak dengan pelajaran akademik mahupun agama. Janganlah menunggu sehingga pulangnya perajurit-perajurit yang bertugas untuk memberi bimbingan kepada anak-anak. Dengan cara ini perajurit-perajurit yang bertugas akan merasa tidak terbeban dengan tugas yang dijalankan. Para pegawai pula hendaklah menjaga kebajikan anggota bawahan mereka agar moral anggota bawahan sentiasa dipertingkatkan. Beta juga menasihatkan agar seluruh anggota dan perajurit supaya sentiasa menjaga kecergasan diri dan kesihatan rohani dan jasmani serta sentiasa berdisiplin dan mematuhi arahan-arahan daripada pegawai-pegawai mereka. Beta menyeru kepada mereka yang beragama Islam supaya sentiasa mematuhi ajaran agama dan beriman kepada Allah SWT. Jauhilah perkara-perkara yang negatif yang boleh bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi juga nama baik Angkatan Tentera. Pangkalan TLDM KD Sri Semporna selaku Pangkalan Hadapan haruslah sentiasa mengekalkan tahap kesediaan yang tinggi bagi menghadapi kemungkinan ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara. Perkara ini menuntut komitmen yang sangat tinggi dari warga KD Sri Semporna dari pelbagai aspek untuk mempertahankan tanah air yang tercinta ini. Akhir kata, beta sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga TLDM di atas pengorbanan dan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan perairan maritim negara khususnya dan keamanan negara amnya. Sesungguhnya TLDM sentiasa berada dekat di hati beta dan beta sentiasa mengikuti apa sahaja perkembangan yang berlaku di dalam TLDM ini. Oleh yang demikian, beta mendoakan semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan memberkati perjuangan warga TLDM serta memberi petunjuk dan kekuatan jati diri ke arah kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan di hari-hari mendatang. Insya-Allah. |
UMNO wajib bebas belenggu politik wang Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa mata wang yang paling penting dalam perniagaan dan perdagangan adalah kepercayaan manakala dalam berorganisasi ataupun berpolitik adalah dapat menunaikan janji kepada rakyat sebagai ukuran tertinggi keberkesanan sesuatu kepimpinan. Tentunya dalam memenuhi tanggungjawab kepada rakyat, integriti dan prinsip kebertanggungjawaban itulah yang sentiasa menjadi pengukur mutlak penolakan atau penerimaan rakyat untuk tempoh selanjutnya. Dalam memenuhi tuntutan itu, disebabkan seseorang pemimpin berada di puncak kuasa, maka ia akan menjadi lebih mudah terjebak dengan salah guna kuasa dan rasuah. Ketika berucap di Syarahan Kelab Komanwel di San Francisco, Amerika Syarikat Isnin lalu, Najib bertekad untuk menjadikan rasuah sebagai sebahagian daripada perkara yang sudah berlalu bagi Malaysia. Dalam kerajaan, tekad tersebut sudah ditunjukkan menerusi peningkatan autoriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas yang setiap tahun wajib membentangkan laporannya di Dewan Rakyat berbanding sebelumnya hanya melaporkan kepada Perdana Menteri. Selepas PRU-13, pembaharuan terus dilaksanakan dengan melantik bekas Presiden Transparency International cawangan Malaysia menganggotai Kabinet dan seterusnya menggalakkan pelbagai agensi melakukan baiah memerangi rasuah menerusi pemeterian memorandum persefahaman dengan SPRM. Sehingga kini, sebanyak 23 agensi dan institusi kerajaan, swasta, universiti dan badan bukan kerajaan berazam menjauhi rasuah agar ia terkeluar daripada etos kerja dan budaya masyarakat yang sedang cergas menuju ke tahap negara berpendapatan tinggi. Tahun ini, buat pertama kalinya UMNO menterjemahkan makna demokrasi secara lebih meluas apabila memberikan ruang kepada 146,500 perwakilan memilih pemimpin mereka. Dalam situasi melibatkan pertandingan, sama ada dua penjuru ataupun lebih, setiap calon yang bertanding akan berusaha menarik sokongan ramai bagi menentukan kemenangan. Ia mungkin berlaku dalam situasi terbuka ataupun tertutup. Penglibatan secara tertutup atau rahsia inilah memungkinkan berlakunya tawar menawar, termasuk politik wang atau rasuah. UMNO tidak rela parti yang bertunjangkan perjuangan Melayu menjadi hancur kerana dibelenggu rasuah, maka itulah tidak pernah cuba menyembunyikannya daripada dikenakan tindakan meskipun pemimpin terbabit memenangi jawatan tertinggi dalam parti. Ini membuktikan UMNO berusaha untuk menolak amalan buruk itu kerana ia boleh melemahkan parti, dan dalam setiap pemilihan yang dilaksanakan, suatu jawatankuasa dibentuk khusus bagi meneliti sebarang tindakan yang boleh meruntuhkan integriti parti. Kebiasaannya orang yang melakukan rasuah adalah disebabkan lahirnya segelintir manusia yang tidak percaya kepada keupayaan sebenar yang ada dalam dirinya. Bila kurang yakin dengan kebolehan, tetapi masih berpendapat dirinyalah yang paling layak itulah telah membuka ruang persaingan yang tidak sihat kerana sanggup menggunakan apa sahaja tindakan asalkan meraih kemenangan. Tentunya, untuk melayakkan dirinya bertanding, seseorang itu memerlukan wang untuk membiayai kempen manakala sesetengahnya mempunyai penajanya tersendiri. Penaja pula mengharapkan calon yang disokong dan dibantu itu menang besar dengan harapan selepas kemenangan itu, penaja akan memperoleh keuntungan kebendaan berganda. Itulah sebabnya ada segelintir pihak sanggup mengeluarkan dana jutaan ringgit semata-mata mahu menjadikan calon yang dipercayai boleh menang itu meraih kejayaan, kerana kejayaan itu dikaitkan pula dengan kuasa dan proses membina kekayaan. Islam memandang rasuah seperti memakan daging sendiri yang sudah busuk. Pelakunya, sama ada pemberi atau penerima terdiri daripada mereka yang rosak peribadinya. Mereka yang rosak peribadi, meskipun dianggap kaya dan mempunyai kekuatan intelektual, tidak layak untuk memimpin kerana cenderung melanggar makna amanah dan tanggungjawab. Pemberi dan penerima dikategorikan sebagai orang yang berdosa manakala balasannya adalah dicampakkan ke dalam neraka. Hanya mereka yang jujur, ikhlas dan kuat imannya yang wajib diangkat sebagai pemimpin, dan menjauhkan diri daripada memilih mereka yang rosak akhlaknya. Orang yang rosak akhlak bersikap oportunis dan meletakkan kepentingan peribadi mengatasi tanggungjawab memperkuatkan organisasi. Mereka berorganisasi hanya disebabkan meraih keuntungan peribadi. Melakukan penyelewengan dalam hukum bererti melanggar perintah Allah. Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayat oleh Al-Tarmizi yang bermaksud: Rasuah dalam urusan yang berkaitan dengan hukum adalah kufur." Sementara itu, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasullullah bersabda: Allah melaknat orang yang memakan riba, pemberi, kerani dan saksinya. Mereka itu adalah sama." Rasulullah SAW juga pernah menolak permintaan seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan dalam pemerintahan. Baginda bersabda yang bermaksud: Kami tidak akan memberikan jabatan pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan bercita-cita untuk mendapatkannya." Alasan penolakan itu kerana bimbang orang yang bercita-cita tinggi seperti itu akan berani melakukan apa sahaja demi mendapatkan jawatan tersebut. Ada yang memberi alasan mengenai sesetengah pemimpin menggunakan pengaruh wang untuk mendapat jawatan dengan niat yang kukuh iaitu untuk membangunkan masyarakat dan negara. Padahal niat yang baik tidak boleh menghalalkan kaedah atau perbuatan yang tidak baik. Lebih-lebih lagi merasuah orang untuk mendapat jawatan. Islam menetapkan niat dan perbuatan mesti betul iaitu kerana Allah. Kalau kita ikhlas untuk membantu masyarakat tanpa niat yang serong insya-Allah, Allah akan tolong orang yang ikhlas. UMNO perlu melihat rasuah itu sebagai musuh paling berbahaya kerana jika dibiarkan, pertubuhan yang diasaskan sebagai perjuangan memperkuatkan kedudukan Melayu dan Islam dalam persada politik akan lenyap sebagaimana hilangnya burung-burung garuda - burung raksasa yang suatu ketika dahulu amat besar dan digeruni. Kini, burung-burung garuda itu hanyalah tinggal nama sahaja. Pengalaman sejarah turut memberikan pengajaran besar, sebuah organisasi yang kuat pada suatu ketika runtuh kerana adanya sikap tamak dan haloba. Tamak dan haloba inilah dikenal pasti sebagai pendorong terbesar kenapa terjadinya rasuah, maka, setiap orang UMNO perlukan iltizam yang bersungguh-sungguh kalau mahukan UMNO terus dipercayai sebagai pertubuhan politik yang kuat dan disegani. UMNO hendaklah tidak hanya tahu mengatakan rasuah atau politik wang itu ditentangnya tetapi dalam masa yang sama, ada pemimpinnya bertindak sebagai pemberi atau penerima dengan apa pun alasannya. Tekad itu mesti disusuli dengan tindakan agar pemilihan kali ini benar-benar boleh dikategorikan sebagai sejarah pemilihan yang bebas daripada sebarang bentuk politik wang. Jika ini dapat dicapai, keyakinan rakyat kepada UMNO akan meningkat naik, dan pencapaian dalam PRU-14 akan menjadi lebih hebat daripada kemenangan PRU-13. PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |