Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- 11 buah kedai musnah terbakar
- Loji Rawatan Kumbahan ke-3 Melaka siap 2015
- Teka-teki Ab. Rauf, Rahim rebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah
Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR Beginilah keadaan sederet kedai yang musnah dalam kebakaran yang berlaku di Pekan Baru Titi, Jelebu, Negeri Sembilan, kelmarin. JELEBU 20 Sept. - Seramai 11 peniaga di Pekan Baru Titi dekat sini terpaksa berputih mata selepas kesemua premis peniagaan separuh kekal milik mereka musnah dalam kebakaran petang semalam. Seorang peniaga, Siaw Sing Kui, 52, berkata, ketika kejadian pukul 6.40 petang, dia tiada di kedainya kerana keluar dan sejurus pulang terkejut apabila melihat beberapa premis di pekan itu terbakar. Menurut Sing Kui yang menjual peralatan sembahyang, dia gagal menyelamatkan barangan di kedainya kerana api marak dengan terlalu pantas. "Saya tidak mampu berbuat apa-apa selain hanya mampu melihat kedai yang saya usahakan sejak dua tahun lalu musnah terbakar," katanya di sini semalam. Seorang lagi peniaga yang hanya dikenali sebagai Steven, 23, memberitahu, ketika kejadian dia berada di kedai telefon bimbit miliknya sebelum mendengar bunyi bising di luar. "Apabila keluar saya lihat beberapa buah kedai berhampiran sudah terbakar, tanpa berlengah saya masuk semula ke dalam kedai untuk mengambil beberapa barangan berharga yang mampu diselamatkan. "Api marak dengan cepat dan tidak sampai beberapa minit semua kedai termasuk kedai saya turut musnah," katanya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.09 petang dan tiba di lokasi dua minit kemudian. "Kebakaran ini menyebabkan lapan kedai sederet dan tiga kedai terletak di bahagian belakang musnah termasuk sebuah restoran. "Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya sejam kemudian dan operasi ditamatkan pada pukul 11 malam," katanya. Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan. |
Loji Rawatan Kumbahan ke-3 Melaka siap 2015 Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT MELAKA 20 Sept. - Projek pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau ketiga Melaka di Tambak Laut, Tengkera di sini, yang menelan belanja sebanyak RM86.66 juta dijangka siap sepenuhnya pada 2015. Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee berkata, projek itu yang dibina dalam tempoh dua tahun antara 29 Ogos lalu hingga 28 Ogos 2015 dijangka mampu merawat aliran kumbahan sehingga 120,000 penduduk setara (P.E.). Menurutnya, aliran kumbahan bagi loji yang mempunyai ketahanan struktur antara 50 hingga 60 tahun itu boleh dipertingkat sehingga 360,000 P.E menjelang 2035. "Usaha berterusan ini telah dimulakan sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dengan membelanjakan sebanyak RM149 juta bagi melaksana projek-projek pembentungan antaranya program membaik pulih dan menaik taraf 134 loji rawatan kumbahan sedia ada yang kritikal di negeri ini. "Ini termasuklah pembinaan kemudahan sistem pembentungan serantau di Alor Gajah dan Sungai udang," katanya. Beliau berucap dalam majlis menandatangani kontrak projek itu antara kementerian yang diwakilinya dengan kontraktor terpilih, Asia Baru Construction Sdn. Bhd., yang diwakili Pengarah Urusannya, Law Kee Kit di sini semalam. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembantungan, Mohd. Akhir Mohd. Jiwa dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Sazali Muhd. Din. Took Gee berkata, projek yang dibina di atas tapak seluas 4.04 hektar itu adalah yang ketiga antara lima loji rawatan kumbahan serantau seperti dicadangkan di negeri ini. Tambahnya, dua projek yang sudah beroperasi adalah di Alor Gajah pada 2011 dan Sungai Udang (2008) manakala dua lagi yang bakal dibina adalah di Batu Berendam dan Balai Panjang. Katanya, pembinaan loji itu memberi pelbagai manfaat kepada penduduk di negeri ini antaranya sistem kawalan bau, sistem loji dengan unit pemprosesan bertutup serta menerapkan nilai teknologi hijau dengan menggunakan semula air kumbahan yang telah dirawat. |
Teka-teki Ab. Rauf, Rahim rebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT Kiri Ab. Rauf Yusoh, Abdul Rahim Tamby, Ismail Othman MELAKA 20 Sept. - Pertandingan tiga penjuru jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah disifatkan paling sengit berbanding persaingan di lima bahagian lain di negeri ini kerana menemukan tokoh politik terkenal dan berpengaruh. Setakat ini, tiga calon menawarkan diri bertanding jawatan yang dikosongkan penyandangnya, Datuk Abu Seman Yusop iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik, Setiausaha Kerja UMNO, Ab. Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman. Tidak sampai 24 jam sebelum semua calon menyerahkan borang pendaftaran kepada Badan Perhubungan UMNO di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) esok, hanya Ab. Rauf sehingga kini belum mengesahkan bertanding jawatan itu. Utusan Malaysia difahamkan Ab. Rauf akan membuat kenyataan selepas beliau menyerahkan borang pendaftaran di MITC esok bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Walau bagaimanapun, kalangan penyokong Ab. Rauf begitu yakin AJK Cawangan Jeram itu akan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah. Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, keputusan sama ada beliau akan bertanding jawatan itu atau sebaliknya hanya akan diketahui esok. "Saya enggan komen tentang persaingan tiga penjuru ini takut ada yang salah faham. Tunggulah esok jika saya hadir di MITC atau saya tidak datang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Sementara itu, Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan. Apa pun, esok menjadi penentu sama ada tiga calon berpengaruh itu akan bertanding selepas masing-masing perlu menghantar borang pendaftaran di MITC. Jika menjadi realiti, sudah tentu pertandingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah paling sengit dalam pemilihan UMNO di negeri ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |