Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Strategi pasukan jadi keutamaan Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Mohd. Rozaimi Abd. Rahman KUANTAN - Walaupun sudah menjaringkan dua gol, masih belum ada sebarang jaminan buat penyerang dari Sabah, Mohd. Rozaimi Abd. Rahman untuk mendapat tempat secara automatik dalam kesebelasan utama menjelang perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 berdepan Myanmar di sini, esok. Bukan mahu menganggap aksi seorang lagi penyerang, A. Thamil Arasu lebih bermutu, namun jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee mahu melihat Rozaimi memperbaiki lagi kemampuan terutama daripada aspek bertahan semasa pasukan sedang diserang oleh pasukan lawan. Jelasnya, Rozaimi memang seorang penyerang yang baik, cuma apabila memikirkan strategi pasukan daripada segi keseluruhan, dia perlu membuat keputusan berdasarkan kekuatan pasukan lawan. "Rozaimi yang kita kenali memang mempunyai sentuhan gol yang cukup baik tetapi setiap perlawanan adalah berbeza kerana kekuatan pasukan sentiasa berlainan. "Banyak perkara yang saya akan ambil kira seperti berapa peratus seseorang pemain itu membantu pasukan dalam situasi bertahan kerana itu cukup penting bagi memastikan pasukan sentiasa beraksi dengan baik sepanjang masa. "Saya tahu mungkin dia (Rozaimi) kecewa, tetapi tidak ada jalan pintas buat dirinya atau sesiapa pun untuk berada dalam kesebelasan utama, mereka kena berusaha gigih dan tidak menunjukkan sikap cepat berputus asa," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar, kelmarin. Tidak dinafikan sebahagian peminat pasti menagih aksi Rozaimi menjadi penggempur utama Harimau Muda pada pentas akhir Pestabola Merdeka selepas dua jaringannya membenam Thailand 3-0 pada aksi menentang Thailand. Berbanding Thamil, pemain itu sekadar menjaringkan satu gol ketika berdepan Singapura pada perlawanan sulung, namun golnya itu sudah cukup memastikan Harimau Muda membawa tiga mata penuh dengan kemenangan tipis, 1-0. Selain Thamil dan Rozaimi, Kim Swee juga mempunyai seorang lagi penyerang, Mohd. Ferris Danial yang boleh disandarkan harapan jika kedua-dua pemain itu mendapat kecederaan. Menjelang perlawanan dengan Myanmar, difahamkan pemain tengah, Junior Eldstal, mengalami masalah cirit-birit, namun keadaan itu tidak serius dan dia mampu pulih sebelum esok. Mengulas kemenangan dengan Thailand, Kim Swee mengakui dia berasakan sukar untuk memilih kesebelasan terbaik selepas lima muka baharu yang diturunkan ketika bertemu Thailand menunjukkan prestasi yang mengagumkan. "Ini satu situasi yang pasti membuatkan saya sukar membuat keputusan terhadap siapa yang akan diturunkan pada aksi akhir nanti namun saya suka sebenarnya apabila pening kepala sebegini. "Saya ada banyak pilihan pemain yang boleh diturunkan dan menunjukkan sesiapa sahaja dalam pasukan ini ada kemampuan bila-bila masa untuk berada dalam kesebelasan utama," katanya. |
Harimau Muda jangan leka - Tengku Abdullah Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT Oleh Shahrinnahar Latib KUANTAN - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan pemain Harimau Muda agar tidak leka dengan kemenangan sebelum ini jika mahu menewaskan Myanmar pada perlawanan akhir aksi Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, esok. Tengku Abdullah berkata, beliau berkesempatan melihat perlawanan Harimau Muda dengan Thailand, kelmarin dan gembira para pemain menunjukkan mutu permainan yang baik. "Mudah-mudahan mereka tidak leka dan riak dengan kemenangan itu kerana apa yang lebih penting adalah mewujudkan satu sistem permainan yang lebih baik pada perlawanan akhir nanti. "Saya harapkan para pemain harus bersungguh-sungguh untuk mengalahkan Myanmar nanti dan jangan merasa megah dengan kejayaan sebelum ini," kata Tengku Abdullah pada sidang akhbar selepas majlis kesyukuran dan penghargaan Pusat Kutipan Zakat di sini, semalam. Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM itu melihat skuad Harimau Muda sudah bersedia untuk menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember ini. "Jika bermain seperti ini saya yakin mereka mampu pergi jauh pada Sukan SEA nanti. Saya lihat segala perancangan oleh pengendali skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee nampaknya berjaya," ujarnya. Sementara itu, Tengku Abdullah hampa dengan sambutan daripada penyokong-penyokong yang hadir dalam setiap perlawanan aksi Pestabola Merdeka. "Mungkin ada sebab yang menyebabkan penyokong tidak datang seperti harga tiket dan cuaca yang tidak menentu sekarang. "Saya harap penyokong dapat datang ke Stadium Darul Makmur untuk memberi sokongan pada perlawanan akhir ini supaya dapat memberi semangat kepada para pemain," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |