Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Boikot peniaga kaut untung lebih
- Warga pendidik di Kelantan sambut baik
- Saiful Bahari tawar tanding Naib Ketua UMNO
Boikot peniaga kaut untung lebih Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT Oleh RADHUAN HUSSAIN Roslee Daud (dua dari kanan) mendengar luahan seorang peserta dalam kalangan ibu tunggal yang menghadiri Kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 di Kuala Terengganu, semalam. - Utusan/Azlan Bahrum KUALA TERENGGANU 9 Sept. - Orang ramai disaran memboikot peniaga yang bersikap tamak dan cuba mengaut keuntungan berganda dengan bertindak menaikkan harga barang atau makanan. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud berkata, tindakan seumpama itu wajar dilakukan bagi menyedarkan peniaga yang cuba mengambil kesempatan atas kenaikan harga minyak walaupun tidak banyak terjejas. Katanya, pengguna perlu bijak menilai setiap harga barangan yang dijual di premis perniagaan sebelum membuat keputusan termasuk memulau peniaga tidak bertanggungjawab yang mengenakan harga melampau. "Kita sarankan kepada rakyat, kalau mereka tahu ada kedai jual murah, berurusan di kedai itu tetapi kalau ada kedai mahal, tak payah pergi ke situ. "Sepatutnya, pengguna kena fikir dan tahu untuk memboikot kalau ada mana-mana peniaga cuba cari jalan untuk mengaut untung lebih cepat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), dekat sini hari ini. Roslee diminta mengulas tindakan kerajaan bagi mengekang para peniaga yang cuba mengambil kesempatan atas kenaikan harga minyak dengan bertindak menaikkan harga jualan sehingga membebankan para pengguna di negeri ini. Menurut beliau, pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan para peniaga mematuhi tanda harga yang ditetapkan. Beliau menegaskan, pihaknya juga tidak akan bertolak ansur dengan peniaga degil yang mengenakan harga keterlaluan dan mereka terbabit akan diberi notis bagi menyatakan penjelasan mengenai tindakan menaikkan harga itu. "Sekiranya gagal dan masih mengenakan harga mahal, mereka akan dikenakan kompaun RM100 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya. Roslee bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada sebarang aduan kenaikan harga barangan jualan di negeri ini dan tambah beliau, orang ramai perlu berani berbuat demikian bagi membolehkan pemantauan dilakukan demi kepentingan semua pihak. |
Warga pendidik di Kelantan sambut baik Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT Faridah, Rosmawaty, Kamarul, KOTA BHARU 9 Sept. - Warga pendidik di Kelantan menyambut baik inisiatif kerajaan untuk mewujudkan 10,000 jawatan pembantu pentadbiran di sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan beban guru dalam tanggungjawab pentadbiran. Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Parang Puting, Sharifah Faridah Syed Bulat, 57, berkata, semua guru sememangnya melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi dalam mendidik murid. Bagaimanapun, katanya, ada ketikanya guru terlibat dalam kerja-kerja pentadbiran di sekolah dan ia sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan mereka dalam melaksanakan pembelajaran dan pengajaran (P&P). Justeru kami mengalu-alu apabila terdapat usaha di pihak kerajaan bagi mewujudkan jawatan pembantu tadbir di sekolah kerana pastinya dapat mengurangkan beban tugas guru," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Dia diminta mengulas rancangan kerajaan mewujudkan 10,000 jawatan pembantu tadbir di sekolah bagi membantu meringankan beban guru dalam tanggungjawab pentadbiran. Bagi guru sekolah SK Sering, Rosmawaty Mamat, 42, pula, inisiatif kerajaan itu dilihat mampu memperkasa tugas dan peranan guru di sekolah iaitu mendidik murid bagi melahirkan modal insan kelas pertama. Justeru, rancangan kerajaan untuk mengwujudkan jawatan berkenaan mampu membantu guru melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan," katanya. Guru SK Pendidikan Khas, Lati, Pasir Mas, Kamarul Hafiz Kamaruzzaman, 26, pula melahirkan rasa gembira kerana kerajaan amat peka dengan permasalahan yang dihadapi oleh warga pendidik di sekolah. Banyak perkara menjadi tanggungjawab guru untuk dilaksana dalam mencapai wawasan pendidikan negara, antaranya pelaksanaan Ko-Standard Sekolah Rendah yang memerlukan setiap projek disiapkan bersama bahan bukti. Kerja itu cukup mencabar guru dan dengan mewujudkan jawatan pembantu pentadbiran di sekolah, ia mampu mengurangkan beban kerja berkenaan," katanya. Guru SK Tengku Indera Petra, Hazlee Yusoff, 38, turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan itu mengambil kira beban tugas guru. Dengan bantuan pembantu tadbir ini, guru tidak lagi terbeban dengan kerja perkeranian dan mampu memberi tumpuan mendidik murid untuk menjadi warga negara bangsa yang seimbang," katanya. |
Saiful Bahari tawar tanding Naib Ketua UMNO Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT Saiful Bahari KUALA TERENGGANU 9 Sept. - Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahari Baharuddin yang melepasi had umur kini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Marang pada pemilihan tidak lama lagi. Menurut Saiful Bahari, sampai masanya beliau bertanding di peringkat lebih tinggi untuk membantu memberi nafas baru kepada UMNO Marang. "Selain itu, langkah ini dibuat bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk 'meremajakan' parti," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Jawatan berkenaan bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru dengan penyertaan bekas Ketua Pemuda UMNO Marang, Rozi Mukhatar dan seorang kontraktor, Datuk Mohd. Zafi Razik yang turut menawarkan diri. Saiful Bahari mula berkecimpung dalam arena politik sejak tahun 1986 sebelum dipilih mengetuai Pergerakan Pemuda Bahagian Marang dan Ketua Pemuda UMNO negeri sejak lima tahun lalu. Dalam pada itu, ketika ditanya mengapa beliau memilih bertanding jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Marang dan bukannya Ketua UMNO Bahagian Marang, jelas Saiful Bahari, beliau enggan terburu-buru untuk mengepalai UMNO bahagian tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |