{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Dadah punca utama jenayah

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 15 Sept. - Faktor utama perlakuan jenayah di negeri ini adalah berpunca daripada pengambilan dadah, kata Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim.

Menurutnya, kecurian kenderaan termasuk motosikal merupakan kes jenayah yang sangat ketara berlaku di negeri ini.

"Kes melibatkan curi kenderaan kereta, motosikal membimbangkan masyarakat kerana hampir setiap hari kita dengar berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam forum 'Kembali Ke Pangkuan Masyarakat' dalam Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur Tahun 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mazlan berkata, kes curi kenderaan juga antara yang tertinggi dalam kes berulang berbanding samun, rompak dan lain-lain kes.

Beliau berkata, jenis kereta lama menjadi sasaran utama penjenayah terbabit kerana ia dilihat berpotensi sebagai alat ganti.

"Kereta lama bermasalah dengan alat ganti tetapi masih diperlukan maka mereka guna peluang ini. Justeru, pihak polis sekarang ini memfokuskan kepada kes jenayah melibatkan harta benda," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha mencegah kejadian jenayah daripada terus berleluasa.

Katanya, bagi menjayakan hasrat tersebut pihak polis turut mengadakan pelbagai aktiviti melibatkan komuniti antaranya Komuniti Kepolisan dengan cara turun ke akar umbi bersama masyarakat.

Kawasan lampu isyarat jadi tumpuan pengemis

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

KOTA BHARU 15 Sept. - Trend pengemis yang lazimnya meminta sedekah di kaki lima, pasar raya dan restoran kini bertukar wajah ke jalan raya dan sasarannya adalah kawasan sekitar lampu isyarat.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, persimpangan lampu isyarat Kubang Kerian dan di pekan Melor dekat sini antara lokasi sering menjadi tumpuan pengemis terbabit meraih simpati pemandu ketika sedang berhenti dalam lampu merah.

Pengemis terbabit bergerak dari sebuah kereta ke kereta lain di persimpangan berkenaan meminta sedekah daripada pemandunya.

Seorang penduduk tempatan, Shamsulbahari Ibrahim, 45, berkata, hampir setiap hari pengemis lelaki berusia 40-an meminta sedekah daripada pemandu yang berhenti di persimpangan tersebut.

Menurutnya, masa pergerakan pengemis terbabit tidak menentu sama ada pada sebelah pagi atau petang dengan mengetuk tingkap beberapa buah kereta dan meminta sedekah.

"Kalau pemandu tidak melayan permintaannya dia akan pergi mencuba nasib ke kereta lain sementara menunggu lampu isyarat warna hijau menyala.

"Sebelum ini, tidak berlaku pengemis seperti ini di sini tetapi sejak kebelakangan ini boleh dikatakan setiap hari ada kelibat mereka," katanya ditemui di sini hari ini.

Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja mengundang bahaya kepada pengemis terbabit tetapi mengganggu lalu lintas terutamanya pada waktu puncak ketika aliran trafik sesak.

Sehubungan itu, dia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan sebelum keadaan menjadi semakin serius.

JPNIN peruntuk RM68,000 kepada 68 sekolah punyai Kelab Rukun Negara

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

KOTA BHARU 15 Sept. - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memperuntukkan sebanyak RM68,000 kepada sekolah yang mempunyai Kelab Rukun Negara di negeri ini pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPNIN, L. Gandesan berkata, ia bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan pelajar melalui aktiviti atau program berkaitan yang direncanakan menerusi kelab tersebut.

Katanya, jumlah tersebut melibatkan 68 buah sekolah di negeri itu dengan setiap sekolah menerima peruntukan sebanyak RM1,000.

"JPNIN berhasrat Kelab Rukun Negara ditubuhkan di setiap sekolah di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program My Rukun Negara Peringkat Negeri Kelantan, di sini semalam.

Yang turut hadir, wakil JPN Kelantan, Wan Zain Wan Abdullah dan Pengarah JPNIN Kelantan, Safidah Abu Samah.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 5,811 sekolah di seluruh negara telah menubuhkan kelab berkenaan dan pihaknya berharap lebih banyak sekolah akan menubuhkan kelab tersebut pada masa akan datang.

Katanya, dengan adanya kelab tersebut membolehkan murid dan pelajar menjalankan aktiviti di kelas dan sekolah selain melibatkan komuniti setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, JPNIN kini dalam proses mewujudkan projek Generasi Uniti (U Gen) yang memberi penekanan terhadap belia di bawah program Rukun Tetangga.

Beliau berkata, program tersebut akan diadakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dan mungkin akan dilancarkan pada tahun hadapan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat