Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Kuala Nerus perlu kelulusan majoriti
- Tahaluf: Pas tidak amal politik Islam sebenar
- Selamatkan Hutan Lipur Bukit Bakar
Kuala Nerus perlu kelulusan majoriti Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB Ahmad Said (dua, kanan) diberikan penerangan mengenai Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus sambil diperhatikan oleh Adzlan Mohd. Dagang (belakang, dua kiri) di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 19 Sept. - Usaha menjadikan Kuala Nerus sebagai daerah baharu dapat dipercepatkan tanpa berdepan banyak halangan jika rakyat khususnya masyarakat setempat membantu mengembalikan sokongan majoriti dua pertiga kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, proses ke arah itu mungkin berdepan kesukaran kerana menuntut kelulusan dua pertiga Dewan Undangan Negeri dan Parlimen selain turut melibatkan persempadanan semula. Namun, katanya, perancangan awal perlu dibuat kerana melibatkan proses yang panjang iaitu antara lima hingga 10 tahun dengan merangka dan melaksana pelbagai prasarana sokongan untuk kemudahan rakyat. Menurut beliau, cadangan itu juga perlu disesuaikan dengan keperluan masa depan yang pastinya melibatkan banyak kos. "Soal mengatasi masalah banjir juga mungkin mencecah RM300 juta," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Publisiti Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus di Dewan Sivik Padang Nenas, di sini, hari ini. Promosi selama sebulan yang akan berakhir 2 Oktober ini memberi peluang kepada orang awam menyemak laporan kajian berkenaan yang dipamerkan di tiga tempat termasuk di lobi pejabat cawangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (Gong Badak) untuk ulasan dan bantahan. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar dan Air negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman; Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd. Dagang; Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa, Kamalruddin Shamsudin dan pengarah negeri, Mohd Anuar Maidin serta Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Ismail. Kawasan pusat pentadbiran daerah Kuala Nerus akan meliputi keluasan 462.7 hektar yang bakal merangkumi penyediaan bagi kemudahan pentadbiran pelbagai jabatan dan agensi, premis perniagaan, perumahan, rekreasi, ibadat di samping bakal dilengkapi laluan enam lorong. Terdahulu ketika berucap dalam majlis tersebut, Ahmad berkata, jawatankuasa khas dibentuk bagi merealisiasikan penubuhan daerah baharu melalui pembangunan dalam beberapa fasa dan peruntukan sebanyak RM20 juta diluluskan bagi peringkat awal penyediaan tapak. Katanya, usaha telah dimulakan dengan pengambilan balik tanah di samping pembinaan jalan dan perparitan di lokasi yang terletak kira-kira 14 kilometer dari pusat bandar raya, meliputi kampung Baroh Tok Jiring, Gong Badak dan kawasan perindustrian. "Kuala Nerus sebagai suatu daerah bagi memesatkan proses pembangunan dan kemajuan di kawasan Kuala Terengganu Utara dan ini merupakan sebahagian daripada manifesto BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang sedang kita tunaikan. "Daerah baharu akan memberikan banyak manfaat kepada penduduk apabila semua jabatan dan agensi kerajaan akan berada di situ untuk memberi perkhidmatan kepada mereka selain dapat meningkatkan lagi peluang-peluang ekonomi dan suasana kehidupan lebih baik," ujarnya. Katanya, perkembangan daerah itu kelak akan turut dipacu dengan pembinaan jambatan baru Pulau Sekati, jambatan angkat muara Sungai Terengganu dan jambatan baharu di Manir yang akan melancarkan lagi perhubungan dengan pusat bandar raya. |
Tahaluf: Pas tidak amal politik Islam sebenar Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT KOTA BHARU 19 Sept. - Pas disifatkan tidak mengamalkan politik Islam sebenar apabila mahu terus bertahaluf siyasi dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang meskipun tindakan tersebut jelas menyebabkan sokongan pengundi Melayu kepada parti itu merosot. Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Prof. Madya Mohd. Noor Deris berkata, pemimpin Pas seharusnya tidak menolak cadangan Dewan Ulama yang meminta kerjasama tersebut dikaji semula demi kebaikan Pas. "Tindakan Pas ingin terus bersama sekutunya bukan politik Islam yang sebenar malah tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada umat Islam. "Tidak mustahil satu hari nanti kedaulatan agama Islam akan runtuh dan menyebabkan umat Islam berpecah-belah sesama mereka," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini semalam. Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan Pas akan tetap bertahaluf siyasi dengan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan pembangkang meskipun Dewan Ulama mahu kerjasama tersebut dikaji semula. Sementara itu, bekas Pengarah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) Kelantan, Zubir Che Ahmad berkata, tindakan Pas untuk terus bersama dengan sekutunya tersebut dilihat bukan perjuangan Islam yang sebenar. "Tindakan tersebut menunjukkan mereka tidak jujur dengan apa yang telah mereka perjuangkan selama ini. "Perjuangan mereka seolah-olah mempermainkan agama kerana masih mahu bekerjasama dengan pihak yang sudah jelas menolak Islam," katanya. Katanya lagi, tindakan Pas juga seperti bersandiwara dengan umat Islam dan tidak memahami falsafah Islam yang sebenar. |
Selamatkan Hutan Lipur Bukit Bakar Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR tandas dalam keadaan serba uzur di Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang. MACHANG 19 Sept. - Hutan Lipur Bukit Bakar, namanya tidak pernah asing bagi masyarakat tempatan. Ia merupakan sebuah pusat rekreasi yang di dalamnya terhimpun segala khazanah alam yang begitu menarik untuk diterokai. Panorama hijau yang memenuhi setiap ruang ternyata memukau pesona pengunjung tatkala melewati kawasan hutan tropika di perbukitan itu. Malah, udara nyaman dan gemersik jeram menyilau batu-batu pasir saban waktu memercik iklim yang sedikit dingin serta menyegarkan tambah menyerlahkan lagi keindahan seni bahasa alam yang sedia terakam di sebaliknya. Keindahan itu pula sesungguhnya berupaya menjadikan Hutan Lipur Bukit Bakar sebagai destinasi pelancongan terindah di negeri ini selain sesuai dijadikan tempat rekreasi bagi memenuhi aktiviti sosial seperti berkhemah mahupun bersantai sama ada secara individu, berkumpulan atau bersama keluarga. Malangnya, kemudahan yang terdapat di destinasi terbabit gagal menarik minat atau kemahuan pengunjung untuk berbuat demikian. Mana tidaknya, infrastruktur dan prasarana yang sedia ada kelihatan bagai tidak diselenggara dengan baik sehingga banyak yang rosak dan tidak dapat digunakan. Misalnya, apa yang berlaku terhadap sebuah dewan terbuka yang terletak di suatu sudut kawasan tersebut seolah-olah menggambarkan ia telah terlalu lama tidak dipedulikan apabila disaluti lumut hijau selain dicemari ranting-ranting kayu dan daun-daun kering. Bangunan dewan terbuka Hutan Lipur Bukit Bakar di Machang hampir disaluti lumut yang menggambarkan seolah-olah ia telah lama tidak dipedulikan. Malah, tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini digamit rasa bimbang akan kemudahan tersebut dijadikan sarang maksiat dan judi oleh pihak tidak bertanggungjawab memandangkan kelihatan daun terup berselerakan di lantai dewan berkenaan. Bangunan tandas yang difahamkan sudah tidak digunakan turut terbiar semakin usang dilitupi semak samun bukan sahaja menyakitkan mata memandang, malah lebih menakutkan jika ia menjadi sarang makhluk berbisa yang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung. Papan tanda yang menjadi panduan utama para pengunjung kelihatan lusuh dengan huruf atau perkataan agak kurang jelas menimbulkan kekeliruan apabila tidak diganti baharu. Kawasan sekitarnya nampak suram, hanya sesekali kelihatan kelibat dua hingga tiga orang pengunjung memasuki kawasan terbabit kemudian selang beberapa minit berlalu pergi. Persoalannya, kenapa lokasi yang dianggap berpotensi itu terbiar yang lama kelamaan tidak mustahil sejarah kewujudannya akan lenyap dalam amukan waktu, walhal nilainya sangat tinggi dari sudut pembangunan ekonomi dan sosial yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk tempatan. Hutan Lipur Bukit Bakar terletak di Kampung Limau Nipis dekat sini mula dibuka dengan rasminya pada 1975. Ia merupakan sebuah kawasan rekreasi paling popular di daerah ini. Keluasannya meliputi 3.14 hektar terletak dalam kompartmen enam Hutan Simpan Ulu Sat. Beberapa penduduk tempatan meminta pihak berkenaan menaik taraf kawasan terbabit agar suatu hari kelak ia berupaya menjadi pusat pelancongan terkenal di negeri ini. Mereka berpendapat pusat rekreasi yang kaya dengan flora dan fauna itu mampu dijadikan produk pelancongan sekiranya dibangunkan secara tersusun dan strategik. Seorang penduduk, Wan Khatijah Wan Ali, 48, berkata, suatu ketika dahulu kawasan tersebut memang menjadi tumpuan ramai pengunjung terutama pada musim cuti sekolah dan hujung minggu kerana kawasannya yang menarik. Bagaimanapun katanya, sekarang ini situasi tersebut sudah tidak dapat dirasai lagi apabila pengunjungnya amat berkurangan berbanding 20 tahun lalu. Dahulu kita boleh lihat orang beriadah, berkhemah sampai dua tiga malam di sini tapi sekarang ini jarang diadakan," katanya ditemui di sini baru-baru ini. Bagi Zulkifli Nordin, 29, pula, jika kawasan terbabit dibangunkan dengan segala kemudahan secara tidak langsung dapat membantu penduduk tempatan menambah peluang pendapatan melalui pelbagai aktiviti seperti berniaga secara kecil-kecilan. Apabila membangun sudah semestinya kawasan ini akan menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negeri. Dengan itu penduduk tempatan mempunyai ruang lebih luas untuk menambah sumber pendapatan keluarga di kawasan sendiri," katanya. Norhafisahima Mohamad, 17, pula meminta pihak bertanggungjawab menaik taraf pusat rekreasi itu mengikut perkembangan semasa bagi memastikan keselesaan kepada pengunjung setiap kali bertandang ke kawasan terbabit. Sementara itu Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya mempunyai kerangka atau pelan tertentu dalam usaha membangunkan pusat tersebut bagi membantu memajukan sektor pelancongan negeri ini khususnya. Namun, ia menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian kerana kawasan terbabit berada di bawah kuasa penuh kerajaan negeri. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |