Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Dana RM137j perkasa usahawan
- Program Kecemerlangan Akademik bantu 20,000 pelajar pedalaman
- Azam Niaga: 193 peniaga kecil terima bantuan RM1j
Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI KUALA TERENGGANU 20 Sept. - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memperuntuk dana hampir RM137 juta bagi melaksana pelan tindakan strategi lima tahun (2013-2017) pembangunan usahawan di negeri ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Razali Adis berkata, pelan tersebut memberi tumpuan termasuk meningkatkan akses kepada dana usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), meningkatkan pasaran, menambah jaringan komuniti dan budaya keusahawanan serta menambah akses kepada infrastruktur. Katanya, dana tersebut memberi manfaat kepada sebanyak 22,430 usahawan di negeri ini melibatkan sejumlah RM55.5 juta yang disediakan bagi meningkatkan akses usahawan PKS, meningkatkan pasaran (RM35.5 juta) dan menambah nilai aktiviti dan daya saing PKS (RM16 juta). "Selain itu, sebanyak RM2.6 juta lagi diperuntuk bagi program meningkatkan jaringan komuniti dan budaya keusahawanan melibatkan 11,200 usahawan dan RM13.4 juta pula bagi menambah akses kepada infrastruktur melibatkan 73 unit premis. "Pelan pembangunan itu merupakan antara Aku Janji Barisan Nasional (BN) Terengganu menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi memberi kemudahan serta meningkatkan daya saing usahawan di negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Program Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Zon Timur dan Festival Coklat dan Bakeri 2013 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam. Sempena majlis perasmian program itu, YPU turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pusat Pembangunan Usahawan dan Penyelidikan (Cedar) dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) bagi terus memperkasakan usahawan di negeri ini. Mengulas lanjut, Che Razali berkata, Program Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Zon Timur dan Festival Coklat dan Bakeri 2013 itu adalah salah satu pihaknya membantu usahawan di setiap daerah di negeri ini. Tambahnya, program kali ketiga dianjurkan pihaknya itu disertai sebanyak 136 usahawan termasuk dari Pahang, Kelantan, Sarawak, Perlis, Johor dan Pulau Pinang. "Tahun lalu, kita menerima kira-kira 17,500 pengunjung dengan penglibatan sebanyak 135 usahawan dan kita harap tahun ini kita sasarkan sebanyak 500,000 pengunjung," jelasnya. |
Program Kecemerlangan Akademik bantu 20,000 pelajar pedalaman Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT Penceramah jemputan memberi panduan dan tunjuk ajar kepada pelajar dalam Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi di Sekolah Menegah Kebangsaan Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 20 Sept. - Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi yang diperkenal sejak tiga tahun lalu berjaya membantu lebih 20,000 pelajar di kawasan pendalaman menghadapi peperiksaan besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Program anjuran Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia itu juga terbukti keberkesanannya selepas setiap sekolah yang terlibat menunjukkan peningkatan dalam pencapaian setiap tahun. Pembantu Penyelidik dan Projek Pendidikan SMP, Ahmad Buhari Marzuki berkata, program berkenaan bertujuan membantu pelajar pedalaman mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. "Sebelum program dibuat, SMP akan turun padang meninjau latar belakang sekolah terlebih dahulu bagi memastikan pelajar terbabit berpeluang mengikuti program ini. "Ini adalah program yang ketiga untuk tahun ini bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknik menjawab soalan beberapa mata pelajaran penting seperti Sejarah, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik," katanya ketika ditemui dalam program berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas, di sini hari ini. Seramai 200 pelajar daripada enam buah sekolah menengah di sekitar Ketereh dekat sini, terdiri daripada calon yang akan menduduki SPM menyertai program berkenaan. Antara sekolah yang terlibat adalah SMK Kok Lanas, SMK Ketereh, SMK Kadok, SMK Chengal, SMK Pangkal Kalong dan SMK Melor. Program dua hari itu membuka ruang kepada mereka mengikuti bimbingan empat mata pelajaran utama dalam SPM selain ceramah motivasi. Sementara itu, Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, Unit Pendidikan Utusan Malaysia akan terus bekerjasama dengan SMP dalam membantu pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan. "Dalam program ini, Utusan Malaysia bertindak sebagai perunding pengisian bagi memberi perkongsian ilmu yang sangat berguna kepada peserta," katanya. |
Azam Niaga: 193 peniaga kecil terima bantuan RM1j Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT Madihah Ab. Aziz (tiga kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima bantuan Azam Niaga di Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 20 Sept. - Seramai 193 peniaga kecil di sini, menerima pelbagai bentuk bantuan dianggarkan bernilai hampir RM1 juta di bawah program Azam Niaga. Pengerusi Persatuan Kebajikan Wanita Kota Bharu (PKWKB), Madihah Ab. Aziz berkata, bantuan tersebut diperuntukkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui PKWKB bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi kumpulan sasaran. "Keseluruhan penerima dipilih berdasarkan senarai E-kasih, setelah melalui beberapa proses tertentu bagi mengenal pasti mereka yang layak. "Kita harap penerima memanfaatkan sepenuhnya bantuan ini untuk menambah pendapatan masing-masing," katanya ketika ditemui dalam majlis Pengagihan Bantuan Azam Niaga di sini hari ini. Dalam majlis itu, sebanyak 20 jenis bantuan berbentuk barangan bernilai antara RM4,000 hingga RM5,000 setiap satu diagihkan mengikut bidang perniagaan masing-masing termasuk mesin jahit, mesin rumput dan gunting rambut. Menurut Madihah, usaha itu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kumpulan terbabit supaya dapat bebas daripada kelompok miskin tegar yang dilihat masih serius ketika ini. Katanya, setiap bantuan akan dipantau jawatankuasa khas bagi memastikan sumbangan tersebut tidak disalah guna. Dalam pada itu, Madihah memberitahu, PKWKB akan menyusun beberapa aktiviti berkaitan bagi membimbing peniaga kecil memajukan aktiviti perniagaan masing-masing. "Kita akan lihat kepada keperluan sama ada dengan cara menghantar kursus atau mengikuti bengkel berkaitan supaya mereka lebih terdedah dengan ilmu-ilmu dan pengetahuan mengikut bidang masing-masing. Untuk itu, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Kelantan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |