{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Proses pemilihan paling bersih

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN dan MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 22 Sept. - Langkah pembukaan pusat penamaan calon di setiap pejabat UMNO bahagian dan Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan menjadikan proses pemilihan parti itu kali ini merupakan yang paling bersih pernah diadakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Kelantan, Datuk Hassan Harun (gambar) berkata, langkah tersebut berjaya menghalang berlaku kegiatan mensabotaj kertas pencalonan sehingga menyebabkan ada calon yang sepatutnya layak tetapi gagal.

Selain itu katanya, sistem tersebut juga memberi ruang kepada ahli UMNO yang layak untuk mencabar mana-mana jawatan selaras dengan demokrasi yang dicanang oleh pucuk pimpinan parti.

"Inilah yang kita mahukan iaitu proses berjalan dengan lancar tanpa masalah dan tidak berlaku sebarang aktiviti mengoyak kertas pencalonan atau ugut mengugut antara calon.

"Contohnya, di sini ada beberapa pemimpin yang mahu mencabar jawatan Ketua UMNO Bahagian menghantar borang pencalonan kerana dilakukan di pejabat bahagian, macam-macam perkara boleh berlaku," katanya dalam sidang akhbar semasa memantau proses penamaan calon bagi pemilihan parti itu Oktober ini di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di sini semalam.

Menurut Hassan, contoh terbaik boleh dilihat dengan kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin yang datang ke pejabat itu untuk menghantar borang pencalonannya bagi mencabar jawatan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang yang disandang oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Kata Hassan, pemimpin-pemimpin lain turut mengambil peluang tersebut termasuk di kawasan UMNO Bahagian Rantau Panjang yang yang menyaksikan enam individu telah menghantar borang untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian.

"Tiada seorang pun yang akan tertinggal sekiranya mereka mahu bertanding kerana borang pencalonan akan selamat sampai kepada kami untuk diproses.

"Inilah sebenarnya yang perlu diketahui oleh masyarakat selaras dengan hasrat pucuk pimpinan iaitu UMNO adalah parti yang mengamalkan demokrasi dengan baik secara telus," tambah beliau.

PPDNKK patah cubaan seludup 111,000 liter diesel

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

Alwi Abdul Hamid (kiri) melihat lori tangki yang disita dalam serbuan penyeludupan diesel di Kemaman, Terengganu, kelmarin.

KEMAMAN 22 Sept. - Bahagian Penguat Kuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) daerah ini berjaya mematahkan cubaan menyeludup diesel subsidi yang sedang dimuatkan ke dalam kapal selepas merampas sejumlah 111,000 liter bahan bakar itu di jeti persendirian Bukit Kuang di sini semalam.

Serbuan dilakukan pada pukul 3 pagi turut menahan empat pekerja dan merampas sebuah kapal dan lori tangki yang digunakan untuk kegiatan itu.

Ketua Penguat Kuasa PPDNKK Terengganu, Alwi Abdul Hamid berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam mengenai penyelewengan itu dan melakukan penyamaran sebagai pemancing bagi menyiasat kegiatan di jeti tersebut.

Menurut beliau ketika diserbu, kapal itu memuatkan sejumlah 100,000 liter diesel manakala sejumlah 10,980 liter bahan bakar itu masih berada dalam lori tangki.

"Nilai keseluruhan minyak, sebuah kapal dan lori yang dirampas dianggarkan RM1.5 juta. Pihak kami masih menahan empat pekerja termasuk pengendali kapal itu untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam. Yang turut hadir, Ketua Penguat Kuasa Cawangan Kemaman, Wan Mohd. Mazuki Wan Abdul Kadir.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama dan RM250,000 atau lima tahun bagi kesalahan kedua atau seterusnya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyelewengan diesel supaya membuat aduan bagi mengelak ketirisan dalam pemberian subsidi yang melibatkan begitu besar peruntukan oleh kerajaan untuk rakyat daripada kumpulan sasar.

Menurut beliau, pihaknya akan terus berusaha mempertingkatkan operasi dan berharap orang ramai turut berperanan agar gejala ini dapat dibanteras dengan lebih berkesan.

Sementara itu, beliau memberitahu sehingga bulan ini, sebanyak 62 kes berkaitan dengan penguatkuasaan telah direkodkan oleh Cawangan Kemaman dengan RM105,463 nilai rampasan dan RM22,150 nilai kompaun berjaya dikutip.

Program kecemerlangan Utusan, SMP dapat reaksi positif pelajar

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

Sebahagian daripada pelajar yang menyertai Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi kelolaan Sekretariat Malaysia Prihatin dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia di SMK Kok Lanas, Kelantan, kelmarin.

KOTA BHARU 22 Sept. - Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi kelolaan Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia mendapat reaksi positif daripada 200 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah Ketereh di sini.

Pengetua SMK Kok Lanas, Dr. Sanusi Mat Yajid berkata, program itu merupakan kali yang kedua dianjurkan di sekolah tersebut bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi pelajaran.

"Program ini ternyata memberi banyak manfaat kepada peserta terutama cara untuk menghadapi peperiksaan selain Utusan Malaysia turut memainkan peranan dalam memberi pengisian maklumat kepada pelajar.

"Melalui program ini, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi dalam akademik, malah membentuk sahsiah diri," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penutup Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi di sini semalam.

Menurut Sanusi, suntikan daripada program itu juga telah menunjukkan kesan positif apabila berlaku peningkatan dalam peratusan lulus semua mata pelajaran di peringkat sekolah itu.

Sementara itu seorang peserta, Nabila M. Yusof, 17, berkata, melalui program tersebut dia mendapat banyak ilmu pengetahuan yang dapat digunakan untuk peperiksaan nanti.

"Selain dapat menimba ilmu, saya juga berpeluang bertemu rakan-rakan dari sekolah lain untuk berkongsi maklumat mengenai pelajaran," katanya.

Rakannya, Nur Farehah Mohd. Nadzri, 17, pula berkata, program itu sangat bermanfaat kerana para peserta dapat berkongsi cara mengharungi peperiksaan yang bakal menentukan masa depan mereka.

"Program ini cukup berbeza kerana pelajar turut berpeluang mendengar ceramah motivasi daripada para penceramah yang berpengalaman," katanya.

Seorang lagi pelajar, Nurul Amirah Ismail, 17, berkata, setiap aktiviti yang dilaksanakan dalam program itu sangat menarik selain dapat mendidik pelajar cara menguruskan masa dengan bijak.

"Saya berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan peserta yang mengikuti program ini dapat memberikan yang terbaik dalam peperiksaan nanti," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat