{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Jaga nama baik negara - Sultan

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

SULTAN Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Nur Zahirah (kiri) bersalaman dengan para jemaah haji di Kompleks Haji dan TH Hotel Terengganu, Kuala Terengganu, semalam. Turut kelihatan Ahmad Said (tiga dari kanan). - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

KUALA TERENGGANU 23 Sept. - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menasihatkan jemaah haji sentiasa menjaga nama baik negara dan tidak terpengaruh dengan pergolakan politik yang melanda negara-negara Asia Barat.

Menurut baginda, mereka tidak harus mudah terikut-ikut dan terjebak dengan senario di negara berkenaan sehingga boleh turut menjejaskan ibadat selain nama baik negara dan hubungan dengan Arab Saudi.

Ikutilah segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi supaya segala urusan dapat dipermudahkan dan berjalan lancar," titah baginda sewaktu menyempurnakan majlis Pelepasan Jemaah Haji Ke Tanah Suci Mekah di Kompleks Haji dan TH Hotel, dekat sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd. Zuber Embong, barisan Exco Kerajaan negeri serta para pembesar dan kenamaan negeri.

Baginda turut menarik perhatian bahawa Islam memerlukan pengorbanan besar ketika menjalani ibadat haji dalam usaha mendapatkan haji mabrur.

Pengorbanan jitu itu bermula dengan persiapan jemaah dari segi mental, fizikal dan spiritual yang perlu berada pada tahap terbaik. Beta menasihatkan para jemaah sentiasa menjaga kebersihan diri dan sekeliling supaya kesihatan tidak terjejas," titah Sultan Mizan.

Baginda turut teruja dengan komitmen Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan terbaik di Kompleks Haji di sini, yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi memastikan kelancaran dan keselesaan para jemaah haji.

Pada majlis itu, sebanyak 279 jemaah berangkat mengerjakan ibadat haji dengan menaiki penerbangan kedua secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini ke Jeddah, Arab Saudi selepas yang pertama pada 17 September lalu, manakala penerbangan terakhir Khamis ini.

Ini merupakan tahun keenam penerbangan terus dari negeri ini ke Jeddah dan sebanyak 1,630 jemaah haji dari Pantai Timur terutama Terengganu berlepas dari sini bagi mengerjakan ibadat haji di Mekah tahun ini.

Kerjasama UMNO-Pas perlu disegerakan

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

KOTA BHARU 23 Sept. - Kerjasama antara UMNO dan Pas perlu segera dilaksana bagi menyatupadukan orang Melayu serta umat Islam di negara ini.

Bekas Pengarah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) Kelantan, Zubir Che Ahmad berkata, kerjasama itu perlu dilihat sebagai satu bentuk jihad.

Menurutnya, kepercayaan serta keyakinan seharusnya diberikan kepada sesama umat Islam supaya segala kebaikan dapat dinikmati bersama-sama.

Sebagai umat Islam, kita tidak sepatutnya menolak ke arah perpaduan ummah apatah lagi kita berada dalam satu rumpun yang sama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang menyifatkan kerjasama antara UMNO dan Pas bukan perkara mustahil untuk menyumbang kepada kestabilan politik di negara ini.

Tambah Zubir, kedegilan Pas menolak sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO perlu diperbetulkan bagi mengelak berlaku perpecahan sesama umat seperti yang berlaku di negara lain.

Kita harus menerima dengan hati terbuka untuk bersatu. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri dan mengikut hawa nafsu dalam berpolitik," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof. Madya Mohd. Noor Deris (gambar) turut berharap kerjasama tersebut dapat dijalinkan demi kepentingan umat Islam serta mengelak permusuhan sesama sendiri.

Negara kita sudah mencapai kemerdekaan, jadi sudah sampai masanya UMNO dan Pas bersatu padu dan mengubah segala kesilapan yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Tambah beliau, sekiranya UMNO dan Pas tidak bersatu, berkemungkinan besar api perbalahan antara kedua-dua parti tersebut bertambah teruk.

Saya turut berharap kedua-dua parti ini dapat menjalinkan kerjasama bagi menjamin perpaduan sesama umat Islam di negara ini," katanya.

1,567 calon bertanding di Terengganu

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

KUALA TERENGGANU 23 Sept. - Jawatankuasa Pemilihan UMNO Terengganu menerima 1,567 borang pencalonan daripada mereka yang menawarkan diri untuk berada dalam barisan kepimpinan empat peringkat.

Pengerusinya, Datuk Muda Mamat memberitahu, daripada jumlah itu, 601 borang bagi pemilihan di peringkat bahagian, manakala pergerakan Wanita (311), Pemuda (399) dan Puteri (256).

Katanya, kesemua nama calon yang disenaraikan selepas pukul 5 petang semalam adalah muktamad, bagaimanapun akan ditapis oleh ibu pejabat bagi memastikan mereka bebas jenayah mahupun rasuah dan keputusan penuh akan diumumkan pada hari Selasa depan.

Menurut Muda, bagi melancarkan proses pemilihan sayap parti pada 12 Oktober dan bahagian 19 Oktober, parti akan turut mendapat bantuan tenaga pelajar daripada institusi pengajian tinggi kira-kira 100 orang untuk setiap bahagian.

Saya difahamkan ini bagi membantu mempercepatkan proses pengiraan undi pada hari terbabit dan lokasi pengundian akan dimaklumkan tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri, di sini malam tadi.

Beliau menjangkakan proses pengundian akan mengambil masa selama lima jam iaitu bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang manakala proses pengiraan mengambil masa kira-kira empat jam dan keputusan akan dapat diberikan kepada pihak media sekitar pukul 6 petang atau 7 malam.

Pada pemilihan kali ini, Terengganu menyaksikan kesemua jawatan Ketua UMNO bahagian dicabar termasuk di Kemaman yang akan dipertahankan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said," ujarnya.

Ahmad disaingi oleh bekas Penghulu Mukim Jabor, Mat Dalam Awang yang juga bekas Pengerusi Tetap UMNO bahagian.

Daripada lapan jawatan itu, hanya Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Idris Jusoh yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan di saat-saat akhir, sebaliknya memilih untuk jawatan lebih rendah iaitu Naib Ketua UMNO bahagian.

Datuk Ahmad Shabery Cheek (Kemaman) merupakan calon tunggal yang menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian negeri ini tanpa bertanding, manakala Idris bagi jawatan Naib Ketua (Besut) .

Kedua-duanya juga merupakan wakil negeri ini untuk bertanding jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO, manakala Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin bagi jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat