{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Penduduk dakwa sukar bernafas

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Empat anggota Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan memeriksa tong mengandungi bahan kimia yang dijumpai berhampiran tong sampah di Pejabat LKIM Geting, dekat Tumpat, Kelantan, semalam. - Utusan/YATIMIN ABDULLAH

TUMPAT 24 Sept. - Dua buah keluarga dari Kampung Tebing, Pengkalan Kubor dekat sini mendakwa sukar bernafas serta mengalami kegatalan di bahagian mata dan badan apabila gas dari tong yang mengandungi Hydrogen Peroxide meruap dalam kejadian malam tadi.

Bahan kimia tersebut dijumpai dalam tong yang diletakkan berdekatan tong sampah di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Geting dekat sini.

Ketua Unit Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat), Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Sabri Ismail berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian tersebut kira-kira pukul 10.44 malam.

Katanya, sebanyak 12 anggota pasukan Hazmat termasuk anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, menemui 10 tong yang mengandungi bahan kimia berkenaan dan dipercayai digunakan untuk tujuan mereputkan ikan.

"Siasatan masih diteruskan dan pihak kami tidak pasti bahan tersebut diperoleh dari mana. Namun, kami percaya digunakan untuk proses mereputkan ikan.

"Bahan kimia ini boleh bertindak balas dengan haba dan akan meruap serta boleh menjejaskan kesihatan, bagaimanapun keadaan terkawal," ujarnya ketika ditemui di sini malam tadi.

Tambahnya, pihaknya berjaya memindahkan bahan tersebut dan diletakkan di tempat selamat buat sementara waktu sebelum diserahkan kepada pihak berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk, Zarina Mohammad berkata, kepulan asap yang dipercayai daripada bahan kimia tersebut mula kelihatan kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin.

Anak-beranak warnai saingan perebutan jawatan UMNO Kota Bharu

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Kamarudin Abdullah dan Sukinah Ishak bersama Sharul Nasrun Kamarudin menunjukkan borang pencalonan pada Majlis Penamaan Calon Jawatankuasa Bahagian, Jawatankuasa Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian, di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 24 Sept. - Pemilihan UMNO di Bahagian Kota Bharu akan menyaksikan anak-beranak bertanding merebut beberapa jawatan penting di bahagian itu.

Masing-masing telah menawarkan diri bertanding bagi merebut jawatan Naib Ketua UMNO, Ketua Pemuda dan menjadi calon G2 Wanita bahagian Kota Bharu.

Bekas Setiausaha Kerja UMNO negeri, Datuk Kamarudin Abdullah yang pernah memegang beberapa jawatan penting UMNO bahagian itu dan mempunyai pengalaman luas selama 44 tahun dalam politik akan bertanding merebut jawatan Naib Ketua UMNO bahagian itu menentang bekas Ketua Pemuda, Datuk Rosmadi Ismail.

Anaknya, Shahrul Nasrun Kamarudin yang juga Presiden Belia Gagasan 1Malaysia-Suara Generasiku bertanding jawatan Ketua Pemuda dalam saingan tiga penjuru dan ibunya pula, Datin Sukinah Ishak menjadi calon G2 Wanita bahagian.

Kamarudin berkata, dengan pengalaman yang ada termasuk pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda, Setiausaha UMNO bahagian dan beberapa lagi jawatan lain, beliau akan kembali bertanding bagi mengubah persepsi masyarakat sebelum ini bahawa UMNO di Kota Bharu sudah 'karam di lautan' selepas sering kali tewas pada pilihan raya.

Katanya, beliau turut akan mengambil inisiatif bagi membuat pembaharuan memperkukuhkan cawangan-cawangan yang lemah di bahagian itu, di samping berusaha menambah ahli baharu.

"Pada Pilihan Raya Umum baru-baru ini UMNO di Kota Bharu tidak menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) dan lebih menyedihkan kita tewas dengan majoriti yang sangat besar.

"Justeru, saya menawar diri bagi membantu membuat pembaharuan bagi memperkasakan kembali UMNO di bahagian ini menghadapi pilihan raya akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Shahrul yang merupakan calon paling muda bertanding pada pemilihan UMNO bahagian di negeri itu pula berkata, sekiranya diberikan peluang menerajui kepimpinan Pemuda di Kota Bharu, beliau akan mengunakan pendekatan baharu dalam mendekati golongan belia untuk kembali menyokong UMNO.

"Saya akan memperjuangkan golongan belia di sini dan mendekati generasi ini supaya mereka tampil sama menyuarakan pandangan dan idea dalam memperkasakan UMNO.

"Saya akan menerapkan budaya baharu iaitu mengurangkan protokol dan kerenah birokrasi di dalam usaha mendekatkan diri golongan ini," katanya.

Tambahnya, semua sedia maklum pada pilihan raya lalu, golongan belia adalah penyumbang terbesar kepada kemenangan pakatan pembangkang di Kota Bharu.

Katanya, dengan pengalaman luas menerajui beberapa persatuan belia di negara ini akan menjadi kekuatan dalam menarik minat golongan muda kembali menyokong UMNO, seterusnya membantu parti yang menjadi kekuatan orang Melayu itu kembali merampas Parlimen Kota Bharu pada pilihan raya akan datang.

Mat Yusoff tarik diri pertahan jawatan Timbalan Ketua UMNO

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

KOTA BHARU 24 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mat Yusoff Ab. Ghani memutuskan untuk tidak meneruskan hasrat bertanding mempertahankan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang pada pemilihan Oktober ini bagi memberi ruang kepada muka baharu memegang jawatan itu.

Keputusan beliau itu sekali gus akan memberi peluang kepada ADUN Paloh yang juga Naib Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Nozula Mat Diah memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding.

Mat Yusoff yang memegang jawatan berkenaan sejak tahun 2008 berkata, beliau mengambil keputusan itu sebagai memberi ruang kepada Nozula meneruskan perjuangan sebelum ini dalam usaha memperkasakan parti dan membela nasib rakyat, khususnya di bahagian itu.

Katanya, beliau telah mengkaji dengan sedalam-dalam tentang keputusan itu, selain mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk Ketua UMNO bahagian, Tengku Razaleigh Hamzah dan mereka tidak menghalangnya.

Ujarnya, keputusan itu adalah langkah terbaik untuk perpaduan dan kepentingan parti di bahagian itu dan beliau berharap penggantinya nanti akan melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan itu dengan baik demi kesejahteraan rakyat di Gua Musang.

"Saya akan menghantar surat penarikan diri itu sebelum tempoh bertenang 72 jam yang tamat pada pukul 5 petang ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakangnya sebelum ini akur dengan keputusan itu dan memberi sokongan penuh kepada Nozula meneruskan perjuangan.

Sementara itu Nozula berkata, beliau akan memikul amanah sebagai Timbalan Ketua UMNO bahagian selepas ini dengan sebaiknya bagi membantu perjalanan UMNO di Gua Musang, khususnya dalam usaha menyelaraskan ahli-ahli cawangan di bahagian itu.

Tambahnya, beliau juga akan mengutamakan perjuangan membela nasib rakyat, khususnya di

pedalaman dan mengubah golongan peneroka ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.

Katanya, dalam usaha memberi perubahan yang lebih baik di bahagian itu, sememangnya kepimpinan di Gua Musang perlu diberi nafas baharu sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu transformasi di dalam parti.

"Tengku Razaleigh telah banyak berjasa di Gua Musang dan saya akan membantu beliau dalam usaha memperkemaskan lagi parti di bahagian itu. Hasrat Tengku Razaleigh sebelum ini juga mahu saya bertanding jawatan itu dan saya akan bergandingan dengan beliau (Tengku Razaleigh) menguruskan parti selepas ini, seterusnya membawa kebaikan kepada rakyat.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Mat Yusoff kerana membuka ruang kepada saya. Dengan keputusan itu, tidak akan ada pertandingan merebut jawatan dan merupakan keputusan yang baik demi perpaduan, selain akan memperkemaskan lagi parti," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat