Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Ahmad tutup akaun Facebook
- PPK Setiu pemenang Anugerah Peladang Jaya
- Nilai kekeluargaan utuh di Besut
Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB Ahmad Said KUALA TERENGGANU 26 Sept. - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menutup akaun Facebooknya sejak minggu lalu setelah kemudahan itu turut digunakan oleh pihak yang menyamar bagi menyebarkan fitnah terhadap diri dan kepimpinannya. Sehubungan itu beliau meminta masyarakat agar tidak mengendahkan kandungan laman Facebook menggunakan namanya kerana apa yang terus wujud selepas itu hanyalah laman-laman palsu. ''Sekarang saya tiada sebarang akuan media sosial sama ada Facebook atau Twitter. Tetapi saya dimaklumkan ada lagi yang baharu (penyamaran). Hanya URL dia saja lain daripada yang kita punya. "Kita dah tutup (Facebook) dekat seminggu. Tiada media sosial lagi dan kalau ada itu semua tipulah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini semalam. Pada 17 September lalu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Rosli Zakaria membuat laporan polis selepas menyedari kewujudan laman Facebook palsu yang menggunakan nama Ahmad dan siasatan dipercayai hampir menjejaki pihak yang terbabit. Melalui laman klon itu turut dimuatkan kononnya kerajaan negeri memberikan cuti berganda sempena sambutan Hari Malaysia. Katanya, masyarakat tidak harus mudah percaya dengan sebarang khabar yang tidak jelas asal-usulnya dan agama sendiri meminta menyiasat dahulu kesahihan sesuatu dakwaan terhadap seseorang, apatah lagi sekiranya oleh golongan fasik. Ahmad tidak menolak kemungkinan kewujudan laman klon itu ada kaitan dengan pemilihan UMNO kerana beliau mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman. "Saya dapati (melalui laman klon itu) ada ditulis kononnya saya mengurat perempuan dengan kata-kata 'Saya minat you' pada seorang individu dan ada yang tulis komen 'MB (Menteri Besar) gatal lah...'," katanya sambil ketawa. |
PPK Setiu pemenang Anugerah Peladang Jaya Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT Nawi Mohamad (kiri) menyampaikan insentif kepada nelayan sebanyak RM200 setiap seorang selepas merasmikan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Terengganu di pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam - Utusan/AZLAN BAHRUM KUALA TERENGGANU 26 Sept. - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Setiu yang mengusahakan tiga projek perniagaan utama dipilih sebagai pemenang Anugerah Pertubuhan Peladang Jaya sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di sini hari ini. PPK itu yang mempunyai 2,544 ahli dengan hampir RM660,000 unit saham mencatatkan pendapatan melebihi RM10 juta tahun lalu yang banyak disumbangkan melalui operasi stesen minyak, jualan perkakasan dan input pertanian. Bagi Anugerah Persatuan Nelayan Jaya pula dimenangi oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut manakala Anugerah Unit Peladang Jaya, menjadi milik Kampung Saujana. Sementara itu, Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Besut memenangi Anugerah Kumpulan Tani Komersial Jaya dan Kumpulan Wanita Jaya Al-Mukhtafi Billah Shah muncul pemenang Anugerah Kumpulan Wanita Jaya. Bagi Anugerah Peladang, Penternak, Nelayan dan Penternak Ikan Jaya, masing-masing menjadi milik Rosdi Daud, Jusop Mamat, Hamid Mohamad dan Abdul Wahab Yusof. Tiga lagi anugerah iaitu Anugerah Siswazah Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya, Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani serta Anugerah Industri Asas Tani Jaya, dinobatkan kepada Noor Rafidah Mustapha, Norhashimah Hashim dan Suzana Mohamed Salleh. Kesemua hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad. Yang hadir sama Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, Shamsuddin Mat Rani. Program berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Mizan, Gong Badak sehingga 30 September ini dengan pelbagai pameran dan jualan produk serta teknologi pertanian di samping pertandingan turut diadakan. Sementara itu berucap pada majlis tersebut, Nawi berkata, kempen Jom Tanam Sayur yang dijangka digerakkan oleh kerajaan negeri bulan depan bertujuan menggalakkan aktiviti kecergasan serta mengatasi masalah kekurangan bekalan sayur-sayuran. Menurut beliau, di bawah program itu, setiap keluarga digalakkan menanam jenis-jenis tanaman yang digemari untuk kegunaan harian. "Kita akan adakan kempen supaya setiap rumah menanam apa yang dia hendak makan dan dia makan sayuran segar yang dia tanam," katanya. Kata beliau, buat permulaan Kampung Durian Telur di Besut telah dipilih untuk menggerakkan kempen itu. |
Nilai kekeluargaan utuh di Besut Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT MARANG 26 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad yang menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Besut menyifatkan nilai kekeluargaan masih utuh di bahagian berkenaan. Katanya, kerana pegangan itulah, proses pemilihan kali ini yang awalnya dibayangkan oleh sesetengah pihak akan menjurus ke arah perpecahan kembali seperti sediakala apabila proses peralihan kepimpinan terus berlangsung tanpa bertanding. Beliau berkata, keadaan itu sudah menjadi tradisi di Besut apabila sesiapa yang ingin menjadi ketua akan diberi laluan oleh pemimpin terdahulu dalam suasana tenang. "Tradisi ini telah lama dilakukan di Besut, malah perpaduan amat diutamakan semasa pemilihan UMNO dan keadaan kembali bertaut. "Pemilihan kali ini saya diberikan kemenangan secara percuma tanpa bertanding sekali gus menunjukkan nilai kekeluargaan amat kuat di Besut dan saya akan cuba memikul tanggungjawab ini sebaik mungkin," katanya. Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri berkata demikian selepas menemui kumpulan nelayan di pangkalan Mercang di sini petang ini semalam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |