{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Delegasi negeri jumpa menteri

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 11 Sept. - Perak muncul negeri pertama yang mengadakan pendekatan proaktif dengan membawa delegasi peringkat negeri untuk mengadakan kunjungan dan perbincangan secara terus dengan kementerian peringkat Pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berkata, beliau yang mengetuai delegasi itu yang turut disertai oleh ahli Exco, ketua-ketua jabatan dan agensi utama peringkat negeri, sudah membuat kunjungan ke Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurutnya, menerusi kunjungan seperti itu, delegasi kerajaan negeri berpeluang mengadakan perbincangan dengan menteri berkaitan perancangan dan projek-projek yang perlu diberikan fokus kepada negeri ini.

"Bagi saya ini merupakan satu pendekatan yang proaktif dan Perak merupakan satu-satunya negeri yang menggunakan pendekatan seumpama ini yang mana saya sendiri bertemu dengan menteri.

"Tidak rugi jika saya ambil pendekatan ini iaitu dengan cara membawa delegasi peringkat negeri dan berbincang tentang pelbagai perkara dengan pihak kementerian.

"Menerusi perbincangan seperti ini kita dapati banyak perkara yang boleh diselesaikan apabila kita duduk bersemuka dengan menteri berkaitan," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Menurut Zambry, menerusi lawatan tersebut akan memberi peluang kepada kerajaan negeri mengadakan pembincangan secara terus dengan kementerian berkenaan tentang projek-projek yang bakal dilaksanakan di negeri ini.

Selain itu, kita juga mengemukakan cadangan-cadangan tentang projek yang sesuai untuk cadangan pembangunan terutamanya memajukan lagi sektor perindustrian di negeri ini.

"Dalam pertemuan dengan MITI contohnya, kerajaan negeri mengemukakan beberapa cadangan berkaitan membangunkan industri seperti pembangunan semula zon-zon perindustrian di Perak.

"Hasil perbincangan tersebut, kementerian itu menyatakan kesediaan untuk menyediakan kertas kerja untuk dihantar ke Kabinet bagi cadangan beberapa projek yang akan memajukan lagi industri negeri ini," katanya.

Tambah Zambry, antara cadangan projek yang akan meningkat industri negeri ini ialah pemasangan saluran paip gas petroleum cecair (LPG) dari Ayer Tawar ke Kawasan Perindustrian Lahat di sini sepanjang 68 kilometer

"Untuk penyediaan infrastruktur projek ini, MITI bersetuju untuk memberikan keutamaan dan dengan wujudnya kemudahan ini kelak, bukan sahaja akan meningkatkan industri di Lahat sahaja, tetapi juga di Lembah Kinta dan Perak keseluruhannya," ujarnya.

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang arah tutup 21 restoran kotor

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

SEORANG pegawai Jabatan Kesihatan menangkap lipas yang berkeliaran di sebuah restoran tomyam dalam operasi di sebuah kedai di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang, malam kelmarin. - BERNAMA

PULAU PINANG 11 Sept. - Setiap hari premis makanan yang terletak di Bukit Gambir itu dipenuhi pengunjung untuk menikmati pelbagai makanan laut terutama tomyam yang menjadi menu utama di situ.

Namun, siapa sangka di sebalik premis yang begitu popular di kalangan penduduk di sini sebenarnya kotor dan tidak diurus dengan baik oleh pemiliknya.

Bukan sahaja sampah dan sisa makanan bertaburan di kawasan dapur, bekas untuk menyimpan bahan mentah dan memasak dipenuhi lipas selain diletakkan begitu sahaja di atas lantai.

Akibat tidak menjaga kebersihan, premis tersebut diarah tutup dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan negeri bermula pukul 6 petang semalam dan berakhir 1 pagi.

Sebanyak 21 restoran diarahkan tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan 53 pengendali makanan dikompaun atas pelbagai kesalahan yang dikesan dalam operasi berkenaan.

Operasi di seluruh negeri itu turut mendapat kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Pemeriksaan dan penutupan premis makanan itu susulan daripada pemantauan yang dilakukan sepasukan pegawai khas Jabatan Kesihatan negeri setelah mendapati ada beberapa kedai makanan dikenalpasti sebagai tidak bersih.

Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan negeri, Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 40 premis diperiksa.

Menurutnya, kesemua pemilik premis yang diarahkan ditutup perlu melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Beliau menjelaskan, premis perniagaan berkenaan hanya boleh dibuka sekiranya Jabatan Kesihatan negeri berpuas hati dengan tahap kebersihan kedai berkenaan.

"Pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan kebersihan premis makanan di negeri ini berada pada tahap baik dan memuaskan.

"Jabatan Kesihatan negeri berharap pengusaha makanan mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab mereka untuk menjaga premis masing-masing agar sentiasa bersih dan selamat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ku Nafishah berkata, selain itu, lebih 70 peratus pekerja premis didapati tidak mengikuti kursus pengendalian makanan yang ditetapkan.

"Kita minta pemilik premis lebih bertanggungjawab dalam isu pengendalian makanan kerana perkara itu merupakan salah satu faktor premis mereka boleh diarah tutup," katanya.

Beliau berharap, para pelanggan dapat menilai terlebih dahulu tahap kebersihan sesebuah premis makanan sebelum menikmati hidangan bagi mengelak sebarang penyakit termasuk keracunan makanan.

Perlukan bantuan RM600,000

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 11 Sept. - Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Tikam Batu dekat sini memerlukan peruntukan kewangan kira-kira RM600,000 untuk pembinaan semula bangunan dua tingkat menggantikan yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

Pegawai Daerah Kuala Muda, Ahmad Fisol Md. Noor yang mengetuai jawatankuasa pembinaan berkata, buat masa ini, pihak berkuasa tempatan telah meluluskan pelan pembangunan projek tersebut dan dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, bangunan baharu tersebut akan dilengkapi ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.

Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah akan menyumbang sebanyak RM100,000 bagi menampung kos pembinaan.

Sementara kos selebihnya adalah daripada sumbangan korporat dan orang ramai," katanya ketika melawat tapak asrama tersebut di sini semalam.

Dalam lawatan itu, pihak pejabat daerah dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Agama Kuala Muda turut melakukan gotong-royong merobohkan kesan bangunan asrama yang terbakar.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya turut menjalankan kutipan derma di 72 masjid sekitar daerah itu.

Setakat ini, jumlah terkumpul adalah sebanyak RM26,070. Kita akan teruskan kutipan derma sekiranya perlu," katanya.

Pengerusi Mantab, Mazlan Osman pula berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menghulurkan sumbangan selama ini.

Mana-mana pihak yang ingin menderma, boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 070430-1103-0975 atau akaun Maybank (552-107302-594) atas nama Maahad Tahfiz Al Barakah dan Pusat Pendidikan Al Barakah," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat