Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Cinta pandang pertamaDI sebalik kehangatan acara Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) yang berlangsung di di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada Jumaat lalu, kehadiran pasangan sensasi, Johan As'ari dan Lana Nodin pastinya lebih mencuri tumpuan ramai. Ia berpunca daripada kenyataan yang dibuat oleh Johan yang ingin menyunting pelakon seksi itu sebagai isteri selepas tiga hari berkenalan dengan lebih akrab. Menyedari kedua-duanya menjadi tumpuan, terutamanya para wartawan yang sedang membuat liputan majlis tersebut, pujian wajar diberikan kepada Johan dan Lana kerana sudi meluangkan masa untuk ditemu bual dan melayan dengan baik setiap pertanyaan daripada wartawan. Johan, 26, yang diajukan pertanyaan mengenai 'drama' terbaharu yang dicetuskannya itu menjelaskan, segala keputusan yang dibuat adalah disebabkan dirinya yang sudah jatuh cinta dengan pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Astana Idaman 3 itu. "Semuanya bermula apabila saya membaca artikel dalam sebuah majalah hiburan mengenai Lana yang ingin mencari seorang suami beriman. Kemudian ditakdirkan kami telah bertemu dalam sebuah majlis hiburan pada 18 November lalu. "Sebelum itu, kami memang tidak pernah berjumpa dan saya cuma mengenali dirinya sebagai seorang pelakon. Bagaimanapun, sewaktu pertemuan itu saya akui sudah jatuh cinta pandang pertama kepadanya," ujar pelakon yang cukup popular dengan watak Botak dalam drama bersiri Juvana itu. Bercerita lebih lanjut mengenai perhubungan yang terjalin, Johan memberitahu, ketika majlis tersebut mereka sempat bertukar nombor telefon. Kemudian, pada sebelah malamnya pula mereka mengaturkan pertemuan bertemu di sebuah pusat beli- belah terkenal. LANA tertarik dengan Johan kerana keberanian lelaki berusia 26 tahun itu melamar dirinya hanya selepas tiga hari berkenalan. Ujarnya, dalam pertemuan itu banyak perkara yang dibualkan, termasuklah luahan hati Lana yang memberitahu ingin membuat perubahan terhadap dirinya. Johan pula mengakui, dia banyak memberikan kata-kata nasihat buat wanita itu. "Keesokan harinya kami bertemu sekali lagi dan saya berasa cukup selesa sepanjang bersama dengan dirinya. Mulai saat itu, saya sudah tetapkan pendirian bahawa dia merupakan gadis yang saya cari untuk dijadikan sebagai isteri. "Justeru, pada hari ketiga saya terus melamar Lana dan meluahkan isi hati saya untuk memilihnya sebagai isteri. Mulanya dia memang agak terkejut tetapi tidak sangka pula dia menerima lamaran saya itu," ujarnya. Ketika ditanya mengenai maklum balas yang diterima daripada ahli keluarganya pula, Johan menyatakan, setakat ini kedua-dua ibu bapanya sekadar berpesan supaya masing-masing saling kenal-mengenal terlebih dahulu sebelum mengambil langkah yang lebih serius. Selain itu, pelakon berkenaan turut menafikan bahawa ibunya meluahkan rasa terlalu kecewa sehingga memuat naik gambar di laman sosial Instagram seperti yang tersebar di internet. "Mengenai perkara tersebut ia merupakan salah faham kerana ibu saya memuat naik gambar itu kerana berasa sedih apabila salah seorang saudara terdekat kami telah meninggal dunia," jelasnya. Berkenaan dengan keputusan untuk mendirikan rumah tangga pula, Johan memberitahu, buat masa ini masih belum ada tarikh tertentu lagi, namun berharap ia dapat dilangsungkan segera memandangkan usianya yang kini sudah menjangkau 26 tahun. "Insya-Allah, sekarang kami mengharapkan doa yang terbaik agar hubungan ini terus berkekalan. Paling utama, sebagai seorang lelaki saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada Lana. "Lagipun, saya cukup gembira melihat banyak perubahan terhadap diri Lana terutama sekali penampilan dirinya sekarang. Misalnya, dia ikut permintaan saya supaya tidak memakai skirt apabila kami keluar bersama," ujarnya. Menurutnya, buat masa ini dia dan Lana perlu kuat mengharungi segala cabaran yang mendatang, terutamanya untuk mengambil hati keluarga masing-masing agar hubungan yang akan dibina mendapat restu. PASANGAN ini berharap mereka dapat bercinta selepas berkahwin. Tidak bercinta Memandangkan sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan Shila Amzah sehingga ada yang beranggapan mereka bercinta, Johan menegaskan, hubungannya dengan penyanyi itu tidak pernah lebih daripada seorang sahabat. Jelasnya, sepanjang perkenalan dengan penyanyi tersebut, mereka langsung tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan cinta dan disebabkan itu tidak perlu timbul sebarang isu apabila dia memilih Lana sebagai isteri. "Selama ini, saya atau Shila tidak pernah cakap yang kami ini bercinta kepada mana-mana pihak. Jadi, janganlah salahkan Lana sehingga melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya. "Kalau ada sebarang tuduhan negatif yang dilemparkan terhadap saya atau Lana, kami memang tidak boleh berbuat apa-apa. Apa yang jelas, saya bebas untuk memilih sesiapa sahaja wanita yang ingin dijadikan teman hidup," tegasnya. Mengenai tindakan Shila yang telah memadam gambar mereka berdua serta mengeluarkan namanya daripada senarai rakan di akaun Instagram, Johan menyatakan, itu adalah hak penyanyi tersebut untuk berbuat demikian. "Saya ada terdengar cerita tentang tindakan Shila yang meluahkan kekecewaannya menerusi Instagram miliknya. Apa yang boleh saya katakan, saya masih lagi terus menganggapnya sebagai seorang sahabat," luahnya. Cinta selepas kahwin Turut menemani kekasih hati semasa ditemu bual wartawan, pelakon Lana Nodin berkata, pada usia yang sudah mencecah 34 tahun, dia memang ingin mencari seorang lelaki yang mampu membimbingnya ke arah kebaikan. Selain itu, pendirian Johan yang menyatakan hasratnya untuk bercinta selepas kahwin menyebabkan dia tertarik dan lantas bersetuju apabila pelakon tersebut melamarnya sebagai isteri. "Pada mulanya, saya ada bertanya Johan sama ada dia mempunyai kekasih atau tidak sekarang memandangkan saya pernah terdengar cerita yang mengatakan dia bercinta dengan Shila Amzah.
"Kemudian, dia (Johan) memberitahu yang dia dan Shila tidak pernah bercinta dan untuk membuktikan kata- katanya itu dia terus menghubungi ibu Shila. Saya sendiri dengar setiap butir perbualan mereka dan itu yang membuat saya percaya sepenuhnya kepada Johan," jelasnya. Mengenai tuduhan yang dilemparkan dengan mengatakan dirinya mahu berubah semata-mata kerana Johan, pelakon itu berkata, segala perubahan yang ingin dilakukannya itu adalah hasrat yang lahir dari dalam dirinya sendiri tanpa pengaruh sesiapa. Bagaimanapun, Johan memang banyak memberikan sokongan dan tidak pernah memaksanya untuk berubah secara drastik. Dia juga menasihati Lana agar perubahan yang ingin dilakukan itu perlu dilakukan secara berperingkat. "Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang akan bertudung kerana Johan. Sekalipun saya akan bertudung nanti, semuanya atas kehendak dan kerelaan diri sendiri. "Secara jujurnya, saya amat terharu kerana masih ada lelaki yang baik seperti Johan, ikhlas menerima diri saya seadanya, meskipun banyak keburukan yang pernah dilakukan dahulu. Sekarang ini saya mampu doakan yang terbaik agar perhubungan ini terus berkekalan," jelasnya mengakhiri temu bual. | ||
Posted: Ironi kematian Paul WalkerTRAGIS... Keadaan kereta Porsche Carrera GT 2005 yang dipandu oleh rakan Walker yang juga seorang pelumba, Roger Rodas terbakar selepas merempuh sebatang pokok. Walker dan Rodas mati di tempat kejadian. BULAN Disember menjengah dengan membawakan kisah sedih kepada penggemar siri filem perlumbaan kereta jalanan Fast & Furious apabila pelakon utamanya, Paul Walker menemui ajal dalam satu kecelakaan jalan raya di California, Amerika Syarikat (AS) semalam. Ironinya, pelakon yang sinonim dengan watak yang memperlihatkan dirinya sebagai ikon lumba kereta ini sememangnya pakar dalam bidang perlumbaan automotif dan pernah menyertai beberapa perlumbaan di AS. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh portal berita CNN, pegawai pengantara Walker, Ame van Iden mengesahkan kejadian tersebut melalui laman sosial Facebook dan Twitter milik aktor berkenaan. Menerusi kemas kini status tersebut, dia menjelaskan: "Kami dengan berat hati mengesahkan bahawa Paul Walker telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya hari ini. Ketika itu, dia dalam perjalanan menghadiri satu acara untuk badan amalnya, Reach Out Worldwide. "Dia menumpang kereta seorang rakan, mereka terkorban dalam tragedi tersebut." PAUL WALKER meninggal dunia pada usia 40 tahun. Satu ironi apabila pelumba kereta dan pemegang watak pemandu kereta lumba ini menemui ajal kerana pemanduan melebihi had laju. Jurucakap itu yang juga dikenali sebagai Pasukan PW menyatakan bahawa mereka terkejut dan amat sedih dengan berita tragis itu. Walker, 40, mati di tempat kejadian apabila kereta jenis Porsche Carrera GT 2005 yang dipandu oleh rakannya yang juga seorang pelumba kereta, Roger Rodas terbakar selepas merempuh sebatang pokok. Pegawai Polis dari Pejabat Syerif Daerah di Los Angeles, Brian Allen, berkata, kemalangan tragik itu berpunca daripada pemanduan yang melebihi had laju. Seiring dengan watak Brian O'Conner menerusi francais filem Fast & Furious, Walker yang juga merupakan peminat tegar kereta-kereta berkelajuan tinggi pernah menyertai beberapa pertandingan perlumbaan kereta termasuklah Redline Time Attack. Dia juga pernah berlumba dengan Roger menerusi siri pertandingan Pirelli World Challenge. Selain itu, aktor tersebut turut memiliki beberapa kereta lumba termasuklah Nissan Skyline R34 GT-R V-Spec II yang digunakan oleh Brian dalam 2 Fast 2 Furious. Legasi pecah panggung Watak Brian yang cukup sebati dengan dirinya menerusi siri filem Fast & Furious sangat meninggalkan kesan dalam hati dan minda para penonton. Masakan tidak, Walker sendiri mengakui sering disapa sebagai Brian ketika berjumpa dengan para peminat. Mungkin kisah seorang polis yang mengambil keputusan untuk membanteras penjenayah menjadikan watak tersebut digilai peminat, terutamanya golongan wanita. "Saya sering disapa begitu. Orang mengenali saya sebagai watak Brian lebih ramai daripada orang mengenali Paul Walker. "Bila orang menyapa 'Hi Paul Walker!' bulu roma saya seakan-akan meremang. Namun, bila ada yang memanggil saya Brian, saya seperti tidak kisah. Saya suka dengan nama Brian," ujarnya dalam satu temu bual akhir ketika menjalani penggambaran Fast & Furious 7 yang dijangka berada di pawagam pada 2014 di Atlanta akhir bulan lalu. MULA bersama francais filem The Fast and the Furious sejak tahun 2001, Walker yang memegang watak Brian akan muncul buat kali terakhir menerusi edisi ketujuh filem itu, Fast & Furious 7 pada tahun depan. Watak berat dalam Hours Pelakon berketuruan Irish-Jerman ini juga bakal muncul dengan filem berjudul Hours, antara filem terakhir lakonannya sebelum menemui ajal. Dalam filem tersebut, Walker yang pernah terbang ke Haiti untuk membantu mangsa gempa bumi di sana, memegang watak Nolan, seorang bapa yang berusaha untuk menyelamatkan anak perempuannya yang baru lahir daripada ancaman bencana Taufan Katrina. Menurutnya lagi, watak tersebut merupakan watak paling berat dan mencabar yang pernah dibawa sepanjang penglibatannya sebagai pelakon. "Apa sahaja yang saya dapat di dalam jiwa, tidak dibeza-bezakan. Jika anda betul-betul hidup dengan watak dalam sesebuah filem itu, ia sama sahaja seperti anda hidup di kehidupan sebenar. "Kejayaan saya dalam filem adalah kejayaan saya dalam dunia sebenar. Jika saya berjaya, saya berasa bangga kerana saya belajar sesuatu yang baharu dalam kerjaya saya. Sejujurnya, kita akan menjadi lebih cekal jika terus diuji," ujarnya ketika berbicara tentang watak tersebut. Walaupun nama Paul Walker mula melonjak naik selepas dia membintangi The Fast and the Furious pada tahun 2001, namun pada awal pembabitannya dalam bidang lakonan, dia pernah membintangi beberapa drama bersiri termasuklah Throb dan The Young and the Restless. Selepas mula dikenali, dia kemudiannya mendapat tawaran untuk membintangi filem-filem berbajet besar seperti Eight Bellow, Into The Blue dan Takers. | ||
Posted: Elemen kejutan penuh impak
ADA debaran jantung yang tiba-tiba menggila saat teater Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang (MKARG) dipersembahkan pada malam prebiu di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. Terbuai dalam sentimen ritual, tari dan drama, makyung kali ini dipersembahkan dengan cara lebih moden. Namun begitu, elemen tradisional masih melatari persembahan MKARG yang dibintangi oleh pengiat teater tersohor, Rosnan Rahman bersama dua aktres hebat Datin Sofea Jane dan Vanida Imran. Pengarah pementasan itu, Fatimah Abdullah, menyuntik kelainan apabila menjadikan MKARG sebuah teater moden supaya ia menjadi tarikan kepada penonton khususnya golongan muda. Tidak hanya dimodenkan, Fatimah juga menyelitkan unsur-unsur kejutan dalam teater yang berlangsung selama tiga jam itu. "Unsur-unsur tradisonal itu saya tidak tinggalkan. Dan saya juga tidak menjadikan teater ini terlalu moden dan menjolok mata. Masih boleh diterima oleh pengiat seni tempatan. "Mengenai unsur-unsur kejutan pula, sengaja saya selitkan seperti yang diinginkan oleh Rosnan dalam teater ini. Secara keseluruhan saya cukup berpuas hati dengan persembahan setiap pelakon pada malam ini. "Cuma dari segi masa, mungkin saya akan pendekkan dan perbaiki beberapa bahagian. Memang teater MKARG ini sepatutnya berlangsung selama dua jam. Namun, disebabkan ada beberapa bahagian muzik dan tarian yang panjang ia meleret sehingga tiga jam," tutur Fatimah yang mendedahkan bakal bersara daripada pengarahan teater makyung selepas ini dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pelapis baharu. Derai tawa Pentas panggung teater MKARG dimulakan tepat pada pukul 9 malam Jumaat lalu dengan alunan muzik dan tarian mengadap rebab oleh Rosnan yang membawa peranan sebagai Anak Raja Gondang. Suasana yang asyik itu tiba-tiba bertukar menjadi derai tawa apabila Sabri Yunus muncul di atas pentas. Lakonan yang tidak perlu dipertikaikan, dialog-dialog improvisasi (secara tiba-tiba) yang dilontarkan Sabri juga cukup melucukan. Sehinggakan ada bait-bait dialog yang tidak difahami Rosnan yang berasal dari Kedah itu. "Sabri memang suka buat kejutan. Memang gementar juga bila ada dialog Sabri yang saya tidak faham tetapi saya cuba serasikan dan meneruskan lakonan di atas pentas," ujar Rosnan pula. Kisah Anak Raja Gondang diteruskan apabila baginda meminta kebenaran ayahanda dan bondanya untuk mengembara ke negara orang. Sebelum mengembara, baginda berpesan kepada bondanya, Puteri Gak Petera mengenai petanda selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri istana.
Kata baginda, jika pohon selasih itu layu di sebelah kiri bermakna dia dalam kesusahan dan sekiranya segar, dia dalam kesenangan. Maka, selepas itu bermulalah pengembaran Anak Raja Gondang dengan identiti yang terselindung. Baginda kemudiannya bertemu dengan tujuh orang puteri dan akhirnya telah jatuh cinta dengan Puteri Bongsu, lakonan Vanida Imran. Malangnya, cinta kedua-duanya tidak direstui keluarga kerana Puteri Bongsu ingin dijodohkan dengan anak raja negeri lain. Akibatnya, Anak Raja Gondang yang tidak diketahui identiti itu ditangkap dan dipasung. Kemunculan pelakon Vanida dan Sofea Jane sebagai Puteri Bongsu dan Puteri Sulung memang ditunggu-tunggu oleh para penonton. Sikap cemburu Puteri Sulung terhadap Puteri Bongsu membuatkan penonton tertarik untuk mengetahui kesudahan hubungan Puteri Bongsu dengan Anak Raja Gondang. Berkongsi persembahan pertamanya, Vanida menganggap teater tersebut paling mencabar pernah dipentaskannya. "Selama saya berlakon teater, inilah pementasan paling mencabar yang pernah saya buat. Bagaimanapun, saya bersyukur mempunyai ramai guru yang mengajar dan membimbing saya terutama memantapkan dialek Kelantan dalam teater ini," jelasnya. Sementara itu, menurut Sofea pula, dia berasa sangat teruja menjadi sebahagian dalam teater makyung. Begitupun, dia menganggap dirinya budak baru belajar ketika menyertai teater makyung itu. Penggunaan kostum dan prop yang cantik juga membantu memantapkan persembahan teater MKARG. Malangnya, penggunaan dialek Kelantan menyukarkan penonton yang tidak memahami loghat negeri tersebut. Sari kata dalam bahasa Melayu atau Inggeris patut disediakan bagi memudahkan pemahaman penonton luar. Teater itu membariskan pelakon terkenal tanah air yang terdiri daripada Rosnan Rahman, Vanida Imran, Datin Sofea Jane, Sabri Yunus dan Isey Fazlisham. Pementasan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur itu bermula pada 29 November lalu dan bakal berakhir hari ini . – FATEN SAPHILLA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |