Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Usaha Cakra tempa namaAGAK sukar buat penyanyi baharu untuk mendaki puncak kerjaya jika tidak dibekalkan dengan lagu-lagu yang berkualiti dan senang ditangkap oleh telinga para pendengar. Tidak hanya bergantung pada melodi dan lirik yang digarap puitis, suara yang melantunkan lagu juga turut memainkan peranan yang penting dalam jatuh bangunnya karier penyanyi itu. Senario seperti ini digambarkan secara tepat oleh Cakra Khan, penyanyi yang kini popular dengan lagu berjudul Harus Terpisah. Lagu yang begitu cepat mendapat perhatian pendengar itu bukan sahaja mampu mengubah karier Cakra di tanah tempat tumpah darahnya, Indonesia, malah di negara-negara serantau yang lain seperti Malaysia dan juga Singapura. Ditambah dengan keupayaan vokal yang luar biasa, nama Cakra seakan-akan melonjak naik seiring dengan populariti single pertamanya itu. Beberapa bulan yang lalu, anak muda kelahiran Pengandaran, Indonesia ini pernah dikhabarkan untuk datang ke Malaysia bagi mempromosikan album sulungnya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. Namun, rangka promosi yang dijangka berlangsung pada 24 November itu terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu. Ketika berpeluang bertemu dengan Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman pada malam pertama Konsert Destini yang diadakan di Dewan Agong Tunku Canselor Universiti Shah Alam, Selangor minggu lalu, penyanyi berbintang Pisces ini menjelaskan, pihak pengurusannya ada menerima usul mengenai promosi itu tetapi tidak mendapat maklum balas selanjutnya mengenai perancangan tersebut. Tiada pengesahan "Pihak pengurusan saya di Indonesia ada menerima usul mengenai rangka promosi yang akan diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. Tetapi, ia hanyalah perancangan awal tanpa mendapat sebarang pengesahan daripada kedua-dua belah pihak. "Setelah agak lama menunggu pengesahan daripada pihak penganjur dari Kuala Lumpur, kami diberitahu bahawa rangka promosi itu sebenarnya tidak dirancang secara rasmi. "Justeru, perancangan untuk datang ke Malaysia terpaksa dibatalkan," katanya. Ketika ditanya mengenai reputasinya yang kelihatan sedikit tercalar akibat pembatalan persembahannya di Malaysia, ujarnya: "Saya cuba sehabis baik dalam menyelesaikan perkara itu agar tiada perselisihan faham berlaku antara pihak pengurusan, penganjur mahupun peminat. "Pihak pengurusan saya di Indonesia berusaha sebaik mungkin dalam memperbetulkan keadaan dengan menghubungi pihak penganjur supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Tambahnya: "Sepanjang menceburkan diri dalam bidang nyanyian, saya tidak pernah terjebak dengan sebarang masalah. Jadi, saya rasa lebih baik agar masalah seperti ini diselesaikan supaya kedua-dua belah pihak masih boleh berkerja sama pada masa akan datang." Cakra turut berkongsi, promosi yang baik bukan berlangsung dalam masa yang singkat. Baginya, dia memerlukan masa yang lebih untuk memperkenalkan karya-karyanya serta bertemu dengan para peminat. PERSEMBAHANNYA bersama Datuk Rossa memukau penonton menerusi lagu Terlanjur Cinta. "Untuk sebuah promosi yang berkesan, saya memerlukan masa yang lama di sini. Paling kurang tujuh hari. "Dalam tempoh itu, mungkin lebih ramai dapat mengenali saya dengan lebih dekat lagi," ujar Cakra yang sememangnya mahu ke Malaysia dan bertemu dengan peminat sejak hujung tahun lepas lagi. Bukan anak orang berada Dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, Cakra menjelaskan, dia terpaksa menyanyi pada usia yang sangat kecil kerana keluarganya tidak mampu untuk memberikan duit untuk membeli makanan ringan. "Saya mula menyanyi ketika usia tujuh tahun. Ketika itu saya memerlukan duit untuk membeli jajan (makanan ringan). Selain itu, saya turut berniaga buah dan aiskrim di sekolah tempat saya belajar. "Kerja-kerja seperti itu terpaksa dilakukan bagi membiasakan diri untuk berdikari tanpa bergantung harap sepenuhnya dengan keluarga saya," tutur anak bongsu daripada dua beradik ini dengan nada merendah diri. Anak muda ini ternyata tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan cita-citanya untuk bergelar penyanyi. Bermula seawal tujuh tahun sebagai penyanyi irama dangdut, Cakra kemudian mula dikenali sebagai selebriti YouTube kerana gemar memuat naik rakaman videonya menyanyikan lagu-lagu popular daripada penyanyi-penyanyi antarabangsa. Bukan artis segera Sambil tertawa, Cakra mengakui bahawa dia tidak begitu arif tentang fungsi sebenar laman perkongsian video tersebut dan sering mendapatkan bantuan rakan-rakannya yang banyak membantu dalam membuka akaun peribadinya. "Saya tidak mempunyai komputer peribadi dan sambungan internet di rumah. Saya juga tidak mampu membeli kamera video untuk merakamkan lagu-lagu dalam bentuk video yang telah saya nyanyikan.
"Justeru, dengan kamera yang dipinjam daripada seorang rakan, saya merakamkan lagu-lagu yang saya suka di rumah sebelum pergi ke warung internet (kafe siber) untuk dimuat naik," katanya. Bagaimanapun, Cakra menjelaskan, bakatnya dicungkil bukan melalui puluhan video saduran yang ada pada akaun YouTubenya. Ujarnya, pihak syarikat rakamannya di Indonesia, MyMusic Records menyedari tentang kebolehannya menyanyi ketika menonton persembahannya di sebuah kafe tahun lalu. "Sejujurnya, saya dilamar untuk menjadi artis rakaman bukan kerana hobi menyanyi dan memuat naik video-video di akaun YouTube. "Bakat saya dikesan ketika saya sedang menyanyi disebuah kafe di ibu kota. Ketika itu, seorang wakil daripada MyMusic datang kepada saya dan meminta demo untuk dipertimbangkan. "A lhamdulillah, tidak lama selepas itu, saya telah mengikat kontrak bersama mereka sebagai artis rakaman. Proses tersebut berjalan dengan begitu pantas sekali," tutur Cakra. Teruja dengan konsert amal Cakra terbang ke Malaysia bagi menggantikan tempat vokalis kumpulan Ungu, Pasha yang dijadualkan mengadakan persembahan pada Konsert Destini yang berlangsung selama dua malam berturut-turut. Mengambil tempat penyanyi yang sering berduet dengan Datuk Rossa itu untuk malam pertama, Cakra memberitahu, dia begitu teruja dengan undangan tersebut walaupun hanya diberitahu lebih kurang seminggu sebelum berlangsungnya konsert tersebut. "Ketika diberitahu tentang persembahan ini, saya begitu gembira dan teruja kerana bukan sahaja dapat menghiburkan para peminat buat pertama kalinya, tetapi pada masa yang sama dapat memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan," katanya yang begitu tertarik dengan konsep penganjuran konsert tersebut. Konsert yang dianjurkan bagi mengumpulkan dana untuk pelajar-pelajar miskin itu diterajui oleh nama-nama besar dalam industri nyanyi Malaysia dan Indonesia termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Rossa dan Amy Search. | ||
Letusan cahaya Konsert Destini Posted: Letusan cahaya Konsert DestiniKONSERT DESTINI mungkin dijadikan acara tahunan kerana mendapat sambutan yang menggalakkan sepanjang dua malam penganjuran. BUKAN mudah untuk menggabungkan penyanyi-penyanyi terkemuka tempatan dan luar negara dalam sebuah konsert berskala besar. Lebih-lebih lagi, konsert itu dianjurkan bagi tujuan membantu para pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran. Itulah keistimewaan Konsert Destini, sebuah konsert amal anjuran Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) yang berlangsung selama dua hari berturut-turut di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, pada 21 dan 22 Disember lalu. Mengangkat cahaya sebagai elemen utama pada dua malam penganjuran, pujian harus diberikan kepada pihak produksi yang begitu teliti dalam menganjurkan konsert tersebut. Sistem bunyi, pencahayaan dan band yang mengiringi sepuluh penyanyi yang membuat persembahan bergerak selari dalam menghidupkan konsert yang dihadiri seramai 8,000 penonton itu. Persembahan mantap Pentas DATC dibuka dengan persembahan bertenaga daripada penyanyi berkulit hitam manis, Dayang Nurfaizah. Penyanyi bersuara gemersik yang memenangi anugerah Vokal Terbaik Di Dalam Lagu Wanita pada Anugerah Industri Muzik ke-20 baru-baru ini rancak mengalunkan lagu popularnya, Dayang Sayang Kamu. Usai menyanyikan lagu yang begitu sinonim dengan dirinya, Dayang kemudian membawa penonton mengulit kenangan dengan mendendangkan lagu berhantunya, Seandainya Masih Ada Cinta. GELAGAT Neelofa yang bertindak sebagai pengacara konsert mengusik Adib (kiri) dan Ashraf (kanan) sebelum Siti Nurhaliza mengadakan persembahan. Selain Dayang, penyanyi rock terkemuka tanah air, Awie turut mendendangkan beberapa buah lagu malar hijau pujaan ramai seperti Bujang Senang, Sejati dan Terima Kasih. Pada malam kedua persembahan, penyanyi yang pernah popular menerusi filem Sembilu itu turut menerima kunjungan pelakon komedi, Usop Wilcha, atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri sambil melambai-lambaikan tangan kepada penyanyi itu. Turut memberikan persembahan yang menarik, penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor. Penonton dihiburkan dengan rantaian lagu-lagu popular seperti Sweet Child of Mine dan Ikut Rentakku. Dua penyanyi yang dilahirkan program pencarian bakat, Akademi Fantasia, Hafiz dan Adira berjaya mencuri tumpuan penonton apabila kedua-dua mereka menyanyikan lagu Ombak Rindu, lagu runut bunyi yang dipetik daripada filem bertajuk sama yang diberi nafas baharu. Impak dua datuk Persembahan pada malam itu diteruskan lagi dengan kemunculan penyanyi terkenal dari Indonesia, Datuk Rossa. Menyanyikan lebih enam buah lagu, suasana DATC bertukar hangatkan apabila penyanyi Cakra Khan muncul untuk berduet dengannya menerusi lagu Terlanjur Cinta. Pada malam kedua, tempat Cakra diganti oleh Pasha, vokalis band Indonesia terkenal, Ungu. Rossa ternyata gembira kerana diundang untuk menjayakan konsert tersebut. Pasha muncul untuk berduet bersama Datuk Rossa menerusi lagu Terlanjur Cinta. Katanya: "Saya begitu tertarik dengan konsep yang digunakan oleh pihak penganjur untuk mengumpulkan dana. Mungkin idea bernas ini dapat dibawa pulang ke Indonesia." Tidak dinafikan, kemunculan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza merupakan acara kemuncak pada kedua-kedua malam penganjuran Konsert Destini. Mengalunkan lagu-lagu seperti Destinasi Cinta, Cindai dan Lebih Indah, Siti Nurhaliza bijak bermain dengan mood penonton dengan seleksi lagu-lagu baharu dan lama pilihannya. Walaupun Konsert Destini dianjurkan bagi tujuan amal, elemen kejutan turut diselitkan bagi memberikan sesuatu yang istimewa kepada para penonton. Setelah membuat kemunculan awal beberapa jam sebelum tamatnya konsert, rocker terkenal, Amy Search muncul daripada celah-celah ribuan penonton yang sedang menonton sambil menyanyikan lagu Isabella. Lagu hit yang dipetik daripada album Fenomena itu masih mampu membuatkan para penonton ikut menyanyi bersama. Lebih istimewa, penyanyi-penyanyi lain yang turut sama menjayakan konsert tersebut naik ke atas pentas beramai-ramai sambil menyanyikan lagu tersebut. Secara keseluruhan, Konsert Destini yang berdurasi selama 2 jam 30 minit itu cukup segala rencahnya. Walaupun pada awal ramai yang menganggap konsert tersebut bakal dilabel hambar, namun begitu, tiada satu momen longgar yang mampu membuatkan penonton beralih arah daripada terus menonton persembahan dua malam yang menelan belanja sebanyak RM700,000 itu. - IZWAN MOHD. ISA | ||
Posted: Hi-5 sedia ceriakan MalaysiaKELIMA-LIMA bintang Hi-5 ini teruja untuk berjumpa dan beramah mesra dengan peminat cilik mereka di sini. BUAT julung-julung kalinya para pelakon yang membintangi rancangan televisyen kanak-kanak popular Hi-5 bakal membuat persembahan istimewa di Rumah Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), Sentul, Kuala Lumpur pada 28 dan 29 Disember ini sempena musim cuti persekolahan. Acara yang dikenali sebagai Hi-5 House Party itu dianjurkan oleh Hi-5 Operatios Pte. Ltd. serta The Wonderland+ akan menampilkan pelakon utamanya seperti Stevie Nicholson, Lauren Brant, Dayen Zheng, Ainsley Melham dan Mary Lascaris. Dalam sidang akhbar yang diadakan bersama Hi-5 pada bulan lalu, mereka melahirkan rasa teruja untuk menghiburkan sekali gus beramah mesra dengan peminat cilik mereka dari Malaysia.
Sementara itu, menerusi kenyataan akhbar daripada The Wonderland+, Hi-5 akan menghiburkan peminatnya dengan lagu-lagu hit mereka. "Dalam acara Hi-5 House Party ini, pengunjung yang hadir akan dihiburkan dengan persembahan lagu popular Hi-5 seperti L.O.V.E, Ready Or Not dan Wish Upon A Star serta dua lagu baharu mereka iaitu Dance With The Dinasours dan Come On In. "Selain itu, pengunjung yang terdiri daripada kanak-kanak juga tidak harus melepaskan peluang untuk mencuba semua permainan yang disediakan seperti sorok dan cari, kata chats, patung muzik, mari meneka dan pertandingan limbo," jelas kenyataan akhbar berkenaan. Persembahan akan berlangsung dalam tiga sesi iaitu pada pukul 11 pagi, 2.30 petang dan 6 petang. Bagi yang belum mendapatkan tiket persembahan, jangan ketinggalan membelinya kerana ia masih dijual. Tiket-tiket berharga RM103, RM183 dan RM253 menerusi laman web www.ticketpro.com.my atau menghubungi talian 03-7880 7999 atau 03-4047 9000. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |