{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Setanding dengan lukisan tangan

Posted:

Setanding dengan lukisan tangan

Setanding dengan lukisan tangan

RUANG pejabat Reacomp Marketing yang terletak di aras 14, Wisma Mirama, Jalan Wisma Putra pada pagi itu sedikit hening. Kelihatan beberapa orang kakitangannya sibuk melakukan tugas di meja masing-masing.

Mohd. Nawiyah Kassim, 50, tidak terkecuali. Sejak dari tadi dia tekun menyiapkan lukisan bertemakan sejarah bangsa Melayu itu.

Lakaran lukisan yang menggambarkan kedatangan Islam di Melaka satu ketika dahulu itu sudah disiapkan terlebih dulu, kini tinggal proses mewarnakannya sahaja.

Menariknya, tanpa sebarang kertas, pen, pensel, berus atau tiub-tiub warna yang lazim digunakan seseorang pelukis, lelaki yang mesra dengan panggilan Nawi itu selesa menggunakan papan kekunci komputer dan tablet grafik khas untuk mencipta karya-karyanya.

"Inilah keunikan teknologi lukisan digital. Seseorang pelukis tidak lagi perlu bimbang melakukan kesilapan apatah lagi terbeban dengan kos tinggi untuk membeli pelbagai peralatan lukisan.

"Hanya berbekalkan bakat, kreativiti dan penguasaan menggunakan perisian tertentu, mereka mampu menghasilkan karya seni bernilai tinggi setanding dengan lukisan biasa," katanya yang berasal dari Kuala Sungai Baru, Melaka.

Meminati seni lukisan sejak dari sekolah rendah, Nawi berkata, dia mula didedahkan dengan konsep lukisan digital selepas melawat satu pameran yang diadakan di ibu negara, 13 tahun lalu.

Katanya, ketika itu dia sangat kagum dan teruja melihat seorang pelukis dari luar negara melukis panorama bandar raya Kuala Lumpur menggunakan komputer.

"Saya tidak pernah bayangkan komputer juga mampu hasilkan sebuah lukisan yang indah dan sempurna. Hati saya membuak-membuak untuk mempelajarinya namun disebabkan kekangan teknologi dan kewangan ketika itu menyebabkan hasrat itu terpaksa dipendamkan seketika," ujar pelukis kulit buku novelis terkenal tanah air, Khadijah Hashim.


MOHD. NAWIAH (tengah) menunjukkan saiz lukisan yang berbeza-beza yang dilukis secara digital.


Teknologi baharu

Bagaimanapun, peluang itu hadir beberapa tahun kemudian selepas dia menyertai sebuah agensi periklanan di Kuala Lumpur.

Di syarikat itu dia mula terdedah dalam bidang grafik dan animasi termasuk penggunaan gajet dan perisian komputer berteknologi tinggi.

Pada 2011, Nawi mula menyertai Reacomp Marketing. Ia merupakan syarikat tempatan yang menawarkan pelbagai koleksi lukisan, rekaan buku dan kaligrafi bermutu tinggi di negara ini. Di bawah jenama Kancil Art Gallery (KAG), sebuah galeri dalam talian, Nawi mula mengasah bakatnya dalam teknologi lukisan digital.

Tambah anak kelima daripada 10 beradik itu, pada peringkat awal dia agak kekok melukis di komputer menggunakan gajet seperti tablet dan pen digital di samping perlu menguasai perisian Adobe Photoshop.

"Bayangkan selama lebih tiga dekad terlibat dalam bidang ini, saya sudah terbiasa dengan kertas, pensel, pen serta bermain dengan warna-warna daripada cat air, cat minyak dan sebagainya.

"Tidak hairanlah, tempoh masa sebulan dua juga diperlukan untuk mahir dan membiasakan diri. Lagi pun, pelbagai tip yang diperoleh di internet banyak membantu saya berlatih sekali gus menghasilkan hasil seni bernilai tinggi seperti pelukis-pelukis profesional," ujarnya yang gemar menghasilkan lukisan potret, sejarah dan panorama.

Pengurus KAG, Mohd. Yunus Yusof, 50, memberitahu, galeri itu ditubuhkan pada tahun 2011 dengan matlamat mengetengahkan bakat-bakat pelukis tempatan di samping mempelopori teknologi lukisan digital sebagai salah satu cabang seni yang semakin diminati pada hari ini.

Katanya, biarpun teknologi ini masih baharu di negara ini, namun mempunyai pasaran luas dan mampu dijadikan hasil seni yang menarik dan ekslusif seperti lukisan minyak.

"Lukisan minyak sememangnya cantik dan sesuai dijadikan hiasan rumah atau pejabat, namun kosnya yang mahal sehingga mencecah puluhan ribu menyebabkan tidak ramai yang mampu memilikinya.

"Bagaimanapun, dengan teknologi ini, sesiapa sahaja mampu memilikinya dengan kos serendah RM1,000 sehingga RM10,000 sebuah. Apa yang penting ia boleh diulang cetak dalam jumlah yang besar sekali gus memenuhi permintaan semua peringkat masyarakat," ujarnya.

Mohd. Yunus yang juga seorang berpengalaman luas dalam bidang seni lukisan memberitahu, biarpun menggabungkan kombinasi antara manusia dan komputer, namun penghasilan lukisan digital tetap mememerlukan ketelitian mendalam di samping pelukis yang berbakat.


MEOR KAMARUDIN (kanan) bersama Mohd. Nawiah (tengah) berbincang mengenai lukisan digital di Wisma Mirama, Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


Karya agung

Jelasnya, pihaknya tidak berkrompomi dengan soal kualiti sesebuah lukisan digital yang dihasilkan sehingga adakalanya ia sukar dibezakan berbanding lukisan minyak biasa.

"Justeru, tidak hairanlah ada dalam kalangan pelanggan kami terdiri daripada orang istana, ahli politik dan sebagainya kagum dengan kehalusan dan keunikan hasil seni yang ditonjolkan dalam setiap karya.

"Setakat ini kami mempunyai beberapa siri lukisan digital seperti siri karya agung, raja dan sultan, sejarah Melayu, artis, korporat, politik dan sebagainya," katanya.

Pada satu pameran yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini, mereka mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada peminat-peminat seni tempatan.

Tambah beliau, ketika ini KAG mempunyai beberapa pelukis yang berpengalaman luas dalam bidang grafik, ilustrasi dan seni lukis.

"Selain lukisan digital, kami juga menawarkan lukisan minyak dan kolaj di samping menyediakan reka bentuk buku seperti buku teks, jurnal, buku manual, laporan tahunan syarikat, sepanduk, kalendar di samping kaligrafi jawi, Arab serta lukisan mural," jelasnya.

Sementara itu, seorang kakitangan KAG, Meor Kamaruddin Meor Ismail, 51, mengakui penggunaan komputer sedikit sebanyak menjimatkan masa dan kos.

"Peralatan untuk melukis seperti berus, pen serta warna-warna cat air atau cat minyak bukan murah, adakalanya mencecah ratusan ringgit.

"Pada masa yang sama, tempoh untuk menyiapkan juga semakin singkat kerana pelukis boleh berkarya di mana-mana sahaja asalkan mempunyai komputer dan tablet grafik bagi tujuan itu," katanya yang berasal dari Parit, Perak.

Berpengalaman luas dalam bidang ilustrasi dan karikatur kanak-kanak serta penghasilan buku teks, Meor Kamaruddin memberitahu, sebelum ini dia sering berhadapan dengan masalah sekiranya ada antara karyanya ditolak oleh pihak penerbitan.

"Lazimnya, ia melibatkan perubahan-perubahan kecil sahaja, namun disebabkan ia dilakukan secara manual, saya perlu menghasilkan dan menghantar karya yang sama berulang kali sehingga memuaskan hati penerbit.


LUKISAN digital yang dihasilkan boleh dicetak berulang-ulang.


"Bagaimanapun, melalui teknologi digital, saya hanya perlu mengubah suainya di komputer. Apa yang lebih penting ialah saya tidak perlu risau sekiranya ia dicuri, hilang atau rosak kerana karya asal masih tersimpan di dalam memori komputer," jelasnya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, biarpun didedahkan teknologi lukisan digital pada usia yang agak lewat namun dia tetap berpuas hati kerana karya yang dihasilkan bernilai tinggi dan sukar dibezakan berbanding lukisan biasa.

"Biarpun dihasilkan menggunakan komputer, ia bukan karya picisan kerana pelukis-pelukis di galeri ini sememangnya berkemahiran tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

"Lagi pun, melalui teknologi ini kami boleh berkarya dengan lebih kreatif di samping meneroka segala teknik baharu yang ditawarkan dalam perisian berkenaan," katanya.

Dilema ibu bekerjaya selepas memiliki anak

Posted:

Dilema ibu bekerjaya selepas memiliki anak

Dilema ibu bekerjaya selepas memiliki anak


SESETENGAH ibu sanggup meninggalkan pekerjaan untuk memberi perhatian kepada anak mereka. - Gambar hiasan


SETIAP wanita bekerja yang bakal melahirkan anak, sering berhadapan dilema untuk menempatkan si manja apabila kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang. Di Malaysia, terdapat beberapa pilihan untuk kaum Hawa yang bekerjaya tetapi ia bukanlah semudah yang disangka.

Antaranya, mereka mungkin memilih untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anak dan keluarga. Namun bukan semua wanita berkeluarga mampu meninggalkan pekerjaan mereka bagi menampung keperluan keluarga.

Pilihan lain bagi kebanyakan wanita bekerjaya ialah meminta bantuan keluarga untuk menjaga anak semasa bekerja, mendapatkan pembantu rumah kepada yang mampu atau menghantar anak kepada pengasuh ataupun pusat penjagaan kanak-kanak.

Walau apa jua pilihan yang diambil, sudah tentu ada kebaikan atau kelemahannya. Ramai ibu yang khuatir untuk meninggalkan anak di bawah jagaan mereka yang bukan ahli keluarga kerana terlalu banyak kemalangan atau kes penderaan ke atas kanak-kanak dilaporkan media sejak kebelakangan ini.

Ani Fadhilah Arrif, 23, memilih untuk berhenti kerja setelah melahirkan anak sulungnya. Menurut Ani, beliau lebih selesa menjadi suri rumah sepenuh masa dan menetap di rumah mertua bagi menjamin keselamatan dan keselesaan anaknya.

"Zafri ialah anak sulung saya dan suami, Syafiq Othman, 29. Kami memang tiada pengalaman menjaga bayi. Kami sepakat menetap di rumah mertua supaya mereka boleh bantu saya menjaga anak semasa Syafiq keluar bekerja," katanya.

Lepas pantang

Ani berpendapat, tindakannya itu adalah satu keputusan yang tepat, selain dapat menimba pengalaman menjaga anak. Dia juga pernah mengalami alahan yang teruk ketika mengandung.

"Sejak lepas pantang sehingga sekarang, saya ada mencari kerja, tapi terpaksa lepaskan semuanya kerana masa kerja tidak sesuai," katanya.

Tambah Ani, kini beliau tidak menghadapi masalah menjaga anak.

Bagi seorang ibu muda, Roslina Anuar, 29, beliau dan suami pada mulanya bercadang untuk menghantar anak mereka ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak. Ketika itu dia mula diselubungi perasaan takut dan bersalah walaupun belum melahirkan anak.

"Sejak mendapat tahu saya mengandung, kami membuat keputusan untuk menghantar anak ke pusat asuhan atas faktor usia ibu bapa dan mereka tinggal jauh dari rumah kami," katanya yang bekerja dan tinggal di Ampang, Selangor.

KAJIAN membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi mereka. - Gambar hiasan


Namun sebaik anak sulung dilahirkan, Roslina dan suaminya, Jumadi Boyot, 29, mengubah fikiran dan meminta bantuan ibu Roslina yang tinggal di Kuantan, Pahang untuk mengasuh anak sulung mereka.

"Sedih tu memang sedih, tapi kami terpaksa, demi mencari rezeki. Perasaan rindu kala berjauhan hanya Allah yang tahu hingga kadangkala saya menitiskan air mata kerana terlalu rindu. Hanya gambar dan video keletah anak sebagai penawar," kata Roslina dengan nada sebak.

Bagi mengurangkan beban ibunya, setelah anak sulung mereka Husna berusia tiga tahun, Roslina menghantar anak keduanya, Hanis untuk dijaga ibunya dan mengambil Husna untuk dihantar ke rumah pengasuh di Ampang.

"Pada mulanya kami ingin menghantar Hanis dan Husna ke taska, namun Hanis menghidap kudis buta," katanya.

Keadaan itu memaksa Roslina sekali lagi meminta ibunya mengasuh Hanis manakala anak sulungnya Husna dibawa ke Kuala Lumpur.

Lain pula cerita Mashitah Mamat, 30, yang kini mengandung tujuh bulan anak sulung. Menurut Mashitah, beliau belum mengambil sebarang keputusan namun telah bersedia daripada segi mental.

"Saya tak pasti kerana pengasuh yang paling dekat dengan rumah saya sudah menjaga dua bayi lain, saya rasa terlalu ramai untuk seorang pengasuh menjaga lebih daripada dua bayi pada satu-satu masa," katanya.

Mashitah yang agak risau dengan keputusan yang bakal diambil itu berkata, beliau bersedia untuk berhenti kerja jika tidak sanggup berjauhan dengan anaknya. "Saya bercadang untuk meminta bantuan ibu di kampung menjaga anak. Rumah emak jaraknya satu jam perjalanan dari rumah saya. Jika saya terlalu sedih dan tidak dapat tumpu pada kerja kerana risaukan anak, saya mungkin akan berhenti kerja sementara menunggu anak membesar untuk masuk tadika," kata Mashitah sambil mengusap perutnya yang kian membesar.

Taska berdaftar

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Noraini Mohd. Hashim ketika dihubungi memberitahu, ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memantau pengasuh dan taska yang mereka pilih.

"Pertama, ibu bapa bekerja yang ada anak tetapi tiada pengasuh, hantarlah ke taska yang berdaftar di bawah JKM. Senarai taska yang berdaftar boleh didapati di laman web JKM," katanya.

Taska menawarkan alternatif dalam penjagaan anak. Apabila taska itu berdaftar, bermakna JKM telah semak seluruh aspek termasuk kemahiran pengasuh, keselamatan premis, kebersihan premis dan kebersihan dapur dan tandas.

"Kami juga menyarankan ibu bapa supaya kerap memeriksa keadaan fizikal, emosi dan tingkah laku anak yang dihantar kepada pengasuh dan taska," katanya.

Menurut Noraini, ibu bapa seharusnya peka tentang apa jua perubahan anak masing-masing dan tidak bersikap lepas tangan setelah anak dihantar kepada pengasuh atau pusat asuhan.

Apa jua pilihan yang dibuat oleh ibu bapa, pilihan itu sepatutnya mengutamakan kebajikan anak.

"Ibu bapa yang bertanggungjawab harus peka dan tahu setiap perubahan anak mereka dan tidak bergantung kepada pengasuh atau pusat asuhan semata-mata," ujarnya.

Banyak kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi dan menanam nilai-nilai murni dalam diri mereka. - Bernama

Payung mewah buatan Paris

Posted:

Payung mewah buatan Paris

Payung mewah buatan Paris


KOLEKSI payung Heurtault dijual pada harga serendah RM2,150 bagi lelaki dan RM1,100 untuk wanita.


SERING rosak dan hilang, payung biasanya tidak dilihat sebagai barangan mewah. Bagaimanapun anggapan tersebut tidak semestinya benar. Lebih-lebih lagi bagi seorang warga Perancis, Michel Heurtault, apabila payung rekaannya dijual pada harga ribuan euro.

Artisan berusia 48 tahun itu hanya menggunakan material terbaik untuk payung dan parasol yang direka tahan lama dan diwarisi dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Meskipun mahal, premis Heurtault di Paris manarik pelanggan dari serata dunia. Seorang puteri dari Qatar memilih pemegang payung yang dibalut dengan shagreen iaitu sejenis kulit pada kos lebih daripada 8,000 euro (RM35,000).

Permainan

"Saya memiliki minat yang mendalam tentang payung.

"Ia merupakan mainan kegemaran saya sejak kecil. Saya terpesona dengannya, ibu saya beranggapan ia sangat aneh," katanya mengimbas zaman kanak-kanaknya tatkala dia menceraikan dua kaki payung untuk menggabungkannya semula menjadi satu.

Heurtault memulakan perniagaannya sejak tahun 2008, namun sebahagian daripada peralatan yang digunakannya berusia lebih 100 tahun. Lokasi premisnya juga istimewa, ia terletak di salah satu daripada lingkungan abad ke-19 iaitu di bawah jejambat landasan kereta api lama di bahagian timur Paris yang banyak menempatkan kedai-kedai milik artis berkemahiran.

"Kesemua payung itu dihasilkan di China," katanya sambil memerhatikan pejalan kaki melintasi premisnya pada suatu hari yang lembap pada musim luruh.

"Di sini, semuanya dibuat menggunakan tangan, ia unik," jelas Heurtault yang turut membaiki dan mencipta payung untuk industri perfileman.

Rakan perniagaan Heurtault, Jean-Yves Thibert berkata, warga Australia dan Jepun menggilai parasol manakala payung memiliki pengikut tersendiri di Amerika Syarikat dan Eropah, terutamanya Austria dan Jerman.


SETIAP rekaan payung Heurtault menggunakan bahan berkualiti tinggi dan mampu bertahan untuk beberapa generasi.


Bagi wanita, item termurah di premis Heurtault dijual pada harga 250 euro (RM1,100). Payung itu diperbuat daripada sutera dengan pemegang bersalut kulit. Bagi lelaki pula, payung dijual pada harga serendah 490 euro (RM2,150) yang diperbuat daripada twil sutera dan pemegangnya daripada kayu mapel.

"Anda tidak akan menjumpai kemasan yang sama di tempat lain," kata Thibert.

Heurtault kecewa dengan apa yang dilihatnya hari ini sebagai budaya pakai buang.

"Benda menjadi semakin murah, ia tidak tahan lama, mudah rosak dan dibuang. Payung kami dihasilkan untuk tahan selama beberapa generasi.

"Pada tahun 1950-an, orang tidak kehilangan payung, mereka menjaganya dengan baik. Hari ini seorang gadis membeli payung pada harga 10 euro (RM43). Sudah tentu payung itu tidak tahan lama," katanya.

Pilih material

Heurtault melakukan perkara yang berbeza. Pelanggan boleh membeli payung yang ditempah khas, memilih pemegang, fabrik, corak dan material.

"Inilah kemewahan sebenar, ia tidak sama," kata Thibert sambil menunjukkan koleksi pemegang payung antik yang diambil dari seluruh Perancis. Salah satunya diperbuat daripada gading bertatahkan mutiara.

Heurtault turut memberi perkhidmatan untuk industri perfileman. Baru-baru ini dia menghasilkan parasol yang digunakan dalam kisah Cinderella versi filem yang dibintangi Cate Blanchett dan Woody Allen. Penggambarannya dilakukan di Cote D'Azur, Perancis.

"Pembekal kostum bagi filem-filem berlatar belakang zaman dahulu mencari saya sebab mereka tidak mempunyai pilihan lain. Kaedah tradisional untuk menghasilkan payung telah lama hilang," jelas Heurtault yang turut memulakan kerjayanya sebagai pembekal kostum dan pernah bekerja untuk opera dan menghasilkan korset untuk Christian Dior.

Heurtault turut dinamakan sebagai Master of Art baru-baru ini iaitu satu pengiktirafan yang diberikan oleh Perancis untuk artisan profesional dan berkemahiran tinggi.

"Ia merupakan pengiktirafan tertinggi bagi seorang artisan. Saya melihatnya sebagai satu kenaikan taraf berasaskan merit,"katanya bangga. - AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat