Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST Phoon Eyin begitu yakin ketika memperagakan langkah pendekar dalam acara qiangshu di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, semalam. NAY PYI TAW - Namanya tidak pernah disebut sebagai salah seorang prospek untuk meraih emas, namun tanpa disangka, atlet pelapis wusyu muda negara, Phoon Eyin yang berjaya menghadiahkan pingat emas ke-1,000 Sukan SEA buat Malaysia dalam acara qiangshu wanita. Kejayaan Phoon Eyin memberikan kelegaan kepada kontinjen negara selepas harapan yang diletakkan kepada Huo Mun Hua dan Diana Bong Siong Lin terkulai apabila kedua-duanya gagal mengaut emas dalam acara masing-masing. Beraksi dalam acara terakhir wusyu pada hari ketiga, atlet yang baru sahaja selesai mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu membuat kejutan apabila berjaya mengalahkan beberapa peserta pilihan dari Vietnam dan Indonesia. Turun sebagai peserta pertama membuat persembahan bersenjatakan tombak ini, pungutan 9.67 mata yang dilakukan oleh gadis manis dari Seremban ini gagal dipintas oleh Duong Thuy Vi dari Vietnam yang sekadar mengutip 9.59 mata. Seorang lagi pencabarnya, Lovita Thalia Sosrodjojo dari Indonesia hanya mampu melakukan 9.40 mata sekali gus memberikan emas menjadi milik Malaysia. Phoon Eyin yang ditemui berkata, dia sebenarnya hanya mahu mendapatkan pengalaman kerana ini merupakan kali pertama dia menyertai Sukan SEA. ''Tujuan saya sertai Sukan SEA bukan mahu dapatkan apa-apa, sekadar mahu dapatkan pengalaman kerana saya masih baru lagi bersaing di peringkat tertinggi. ''Sebelum saya membuat persembahan tadi, tiada tekanan dirasai oleh saya walaupun tahu (Diana dan Mun Hua) gagal mendapatkan emas. ''Cuma apabila sudah selesai semua atlet membuat persembahan, saya memang terkejut apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang dan catatan 9.67 memang tertinggi yang saya pernah lakukan," katanya di Stadium Tertutup Wunna Theikdi di sini, semalam. Pada masa sama, dia sendiri berasa terharu kerana namanya pasti akan kekal dalam lipatan sejarah sukan negara kerana menjadi atlet yang menjadi pemenang pingat emas ke-1000 Sukan SEA. ''Pingat emas ini adalah untuk seluruh rakyat Malaysia dan memang rasa teruja kerana selain memenangi emas, ini juga menjadi pingat ke-1,000, ia bagaikan satu bonus," katanya yang juga pemenang pingat gangsa pada Kejohanan Dunia Kuala Lumpur, bulan lalu. Sementara itu, jurulatih wusyu negara, Yoong Thong Foong, mengakui, emas yang hadir memang satu kejayaan yang tidak diduga oleh dirinya sendiri. ''Saya tahu acara ini menjadi kekuatannya tetapi apabila melihat dia melakukan catatan 9.67 mata dan peserta Vietnam ada melakukan kesilapan, tiba-tiba perasaan saya sudah kuat mengatakan, emas ini akan menjadi Malaysia. ''Sekurang-kurangnya emas menjadi penebus kepada kegagalan Diana dan Mun Hua hari ini, saya berasa lega kerana sasaran kami untuk mendapatkan tiga pingat emas telah tercapai," katanya. - Utusan |
Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST Ong Kim Swee mengendalikan latihan skuad Harimau Muda di Stadium Zayar Thiri, Nay Pyi Taw, semalam. Skuad negara akan menentang Brunei dalam perlawanan sulung mereka, hari ini. NAY PYI TAW - Tidak ada sebarang perasaan ghairah buat pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee untuk menyasarkan angka jaringan besar apabila bertemu Brunei pada perlawanan sulung skuad bola sepak negara dalam Kumpulan B, hari ini. Walaupun baru sahaja melihat pesaing utama, Vietnam kenduri gol membelasah Brunei 7-0 pada perlawanan sulung Kumpulan B, Ahad lalu, fokus Kim Swee hanya satu iaitu mahu mengutip tiga mata. Jelasnya, sebaik sahaja wisel permainan dimulakan, mereka akan terus memburu jaringan bagi memastikan kemenangan tanpa memberikan sebarang belas kasihan terhadap Brunei. "Permulaan yang baik cukup penting dalam mana-mana kejohanan, namun saya tidak fikirkan mengenai soal menang besar atau tidak. "Apa yang penting, tiga mata menjadi milik kita sebagai pencetus keyakinan dalam menghadapi perlawanan seterusnya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad bola sepak di Stadium Zeyar Thiri di sini, semalam. Mengulas aksi Brunei bertemu Vietnam, kelmarin, Kim Swee mengingatkan pasukan itu kekurangan pengalaman ekoran pernah digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) selama dua tahun sebelum ini. "Dalam situasi ini, kita kena faham yang Brunei sudah lama tidak bermain di peringkat antarabangsa dan masih mencari-cari rentak. "Sedangkan Vietnam saya lihat menggunakan pemain yang sama dalam tempoh tiga tahun lalu iaitu di peringkat AFC Bawah 19, Bawah 22 dan AFF Bawah 19. "Namun, Brunei dapat bertahan dengan baik sehingga minit ke-25 sebelum Vietnam mendapatkan gol pertama. "Jika itu terjadi kepada kita iaitu sukar bagi mendapatkan gol awal malahan sehingga berakhir babak pertama, kita kena cuba dapatkan sehingga berakhir permainan," katanya. Berpuas hati dengan mutu padang di Zeyar Thiri, Kim Swee masih berahsia siapa pilihan penyerang yang akan digunakan untuk menggempur kubu Brunei. "Saya ada tiga penyerang yang boleh digunakan sama ada Izzaq Faris (Ramlan) yang boleh digunakan jika kita mahu menggunakan hantaran tinggi. "Dua lagi penyerang, Ahmad Hazwan Bakri dan Rozaimi (Abd. Rahman) pula mempunyai kelebihan tersendiri dan semua bergantung kepada corak permainan yang saya akan gunakan nanti," katanya. - UTUSAN |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |