Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Kejutan skuad chinloneDaripada NORZASRUDIN MOHAMED NOR
NAY PYI TAW, Myanmar - Skuad chinlone negara melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul dua pingat gangsa pada Sukan SEA 2013 di Stadium Tertutup Wunna Theikdi B semalam. Pingat pertama kontinjen Malaysia pada edisi ke-27 temasya dwitahunan itu diperoleh menerusi skuad lelaki dan wanita dalam acara Tahap 3. Skuad lelaki yang dibimbing Nurudin Pawi berjaya mengutip 246 mata untuk menduduki tempat keempat keseluruhan di belakang Myanmar (660 mata), Thailand (407 mata), Laos (344 mata), manakala Singapura di tempat tercorot (156 mata). Pingat emas yang ditawarkan semalam menjadi milik tuan rumah, Myanmar selepas menewaskan Thailand 660-404 pada perlawanan akhir. "Saya berpuas hati dengan kejayaan ini. Meskipun hanya memenangi pingat gangsa, saya tetap gembira. "Pada awalnya, kami tidak diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi pingat selain hadir ke Myanmar menerusi Kategori B. Kami juga tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menjalani latihan intensif. "Persiapan kami tidak mencukupi dan sekadar berlatih kurang daripada dua bulan. Namun, kejayaan ini menebus kembali segala kerja keras yang kami lakukan selama ini," kata Nurudin kepada Kosmo! semalam. Pada aksi semalam, skuad lelaki negara berjaya mengutip 79 mata pada set pertama, 85 mata (set kedua) dan 82 mata (set ketiga). Nurudin berkata, beliau meletakkan sasaran untuk memenangi sebutir lagi pingat gangsa dalam acara Tahap 2 yang akan berlangsung hari ini sebelum melengkapkan saingan dengan memenangi pingat perak dalam acara Tahap 1 di lokasi yang sama esok. "Myanmar mempunyai kemahiran yang tinggi dalam sukan ini, manakala Thailand pula berlatih di Myanmar. Selepas ini, kami akan menjalani latihan yang lebih khusus sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2015 di Singapura," kata Nurudin. Sementara itu, kejayaan skuad wanita pula hadir selepas anak-anak buah Mohd. Fikri Mohd. Nor menamatkan saingan di tempat keempat. Skuad wanita negara mengutip 40 mata pada set pertama, 42 mata (set kedua) dan 46 mata (set ketiga) untuk mengumpul keseluruhan 128 mata, sekali gus berada di belakang Myanmar (514 mata), Thailand (363 mata) dan Kemboja (138 mata). Pingat emas dalam acara wanita bagi sukan tradisi Myanmar yang buat pertama kalinya dipertandingkan pada Sukan SEA ini, sekali lagi dimenangi pasukan tuan rumah yang mudah menewaskan Thailand 534-375 pada aksi final. | |
Prestasi atlet keutamaan negara Posted: Prestasi atlet keutamaan negaraOleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI AMIRUDDIN Embi (dua dari kiri) melihat peralatan yang akan digunakan oleh atlet menembak negara pada Sukan SEA di Myanmar nanti ketika meninjau latihan skuad negara di Bukit Jalil semalam. PRESTASI barisan atlet muda pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar akan menjadi keutamaan negara. Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA, Datuk Wira Amiruddin Embi berkata, walaupun sasaran pingat emas menjadi keutamaan namun peningkatan mereka untuk menghadapi Sukan Asia dan Komanwel tahun depan harus menjadi perhatian utama. "Saya tahu semua orang mahu mengetahui mengenai (sasaran) pingat emas tetapi kita kena ingat bahawa persatuan sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN) juga mahu melihat perkembangan atlet-atlet muda ini, terutamanya persediaan menghadapi Sukan SEA 2015 dan juga ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017. "Kami juga berharap Sukan SEA tahun ini sebagai persiapan untuk atlet-atlet elit sebelum beraksi di Sukan Asia, Komanwel dan seterusnya mungkin ke Sukan Olimpik. "Memang benar emas sebagai sasaran utama kami tetapi kami mempunyai satu lagi sasaran untuk melihat mereka lebih menyerlah dalam setiap acara yang mereka sertai," kata Amiruddin. Amiruddin berkata sedemikian selepas melakukan lawatan di Lapang Sasar MSN, Gimnasium 3 MSN Bukit Jalil, semalam. Dalam pada itu, beliau turut memberikan nasihat kepada kesemua atlet menembak negara supaya tidak berasa gentar ketika beraksi pada temasya di Myanmar nanti yang dijadualkan bermula secara rasminya pada 10 Disember ini. "Walaupun hanya enam acara sahaja yang dipertandingkan pada Sukan SEA tetapi saya telah memaklumkan kepada mereka supaya mengambil perkara ini sebagai satu cabaran. "Kami mahu mendengar lagu Negaraku berkumandang dan bendera Jalur Gemilang berkibar di bumi Myanmar," ujar Amiruddin. Seramai 14 atlet menembak akan beraksi di Myanmar dalam tiga acara berbeza iaitu 10m air pistol, 50m pistol dan 50m raifal prone untuk kategori lelaki dan wanita. Dalam pada itu, pengurus pasukan menembak, Datuk Sabiamad Abdul Ahad meletakkan satu sasaran emas pada temasya dwitahunan itu dalam acara 50m raifal prone. "Sasaran kami hanya satu emas, saya jangka kami juga boleh dapat pingat-pingat lain tetapi saya lihat ia sebagai bonus sahaja. "Acara yang kami agak menyerlah tidak dipertandingkan di Myanmar. Sebenarnya dalam sukan menembak ada 18 acara kesemuanya tetapi hanya enam sahaja yang dipertandingkan pada temasya kali ini. "Sasaran kami dalam acara raifal (prone) wanita," tambah Sabiamad. Skuad menembak negara mempunyai kelebihan dalam acara 50m raifal 3 Posisi dan 10m air raifal wanita seperti yang dilakukan oleh Nur Suryani Mohamed Taibi ketika meraih dua emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia tetapi acara tersebut tidak dipertandingkan kali ini. Atlet yang beraksi dalam acara 50m raifal prone wanita ialah Nur Suryani, Muslifah Zulkifli dan Haslisa Hamed. | |
Wusyu buru emas ke-1000 negara Posted: Wusyu buru emas ke-1000 negaraOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE BARISAN atlet wusyu negara yang bakal menggalas cabaran pada Sukan SEA 2013 di Myanmar minggu depan. "SUBJEKTIF". Perkataan ringkas itu memberikan makna yang cukup besar buat atlet wusyu negara menjelang temasya Sukan SEA 2013 yang bakal membuka tirainya di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 11 hingga 22 Disember ini. Tatkala harapan peminat sukan tempatan dilihat cukup besar terhadap skuad wusyu negara dalam usaha mencipta sejarah memburu emas Sukan SEA yang ke-1000, namun segala-galanya bukan terletak di tangan mereka sahaja. Atas kertas, kemampuan atlet wusyu negara sememangnya tidak boleh dipertikai lantaran status sebagai antara kuasa besar di rantau Asia Tenggara terutamanya apabila meraih tiga butir emas dalam dua edisi terdahulu berturut-turut di Vientiane, Laos (2009) dan juga 2011 di Palembang, Indonesia. Enggan menjadikan senario itu sebagai alasan, ketua jurulatih wusyu negara, Yoong Thong Foong percaya anak-anak buahnya mampu memburu sekurang-kurangnya tiga emas sekiranya berjaya 'bertarung dengan diri sendiri'. "Sebagai sukan subjektif, apa juga kemungkinan boleh berlaku. "Kecemerlangan atlet negara dalam Kejuaraan Dunia baru-baru ini juga tidak boleh dijadikan ukuran. "Apa yang penting, pemain mampu memberikan aksi yang terbaik ketika di Myanmar nanti," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. Thong Foong yang membimbing skuad negara sejak 2003 memberitahu, anak-anak buahnya tidak pernah terfikir untuk mempertikaikan sebarang keputusan pengadil jika nasib tidak menyebelahi mereka. Menurut beliau, tuan rumah pastinya memiliki kelebihan dalam mana-mana pertandingan namun ia tidak boleh dijadikan alasan jika gagal meraih sebarang pingat. "Saya sering mengingatkan atlet supaya menjadikan diri sendiri sebagai musuh, bukannya mempertikaikan keputusan pengadil jika gagal. "Mereka perlu mengelak daripada melakukan kesilapan. "Jika atlet mampu memberikan yang terbaik seperti mana ketika menjalani latihan, saya tidak nampak sebarang sebab mengapa kami gagal memburu emas ke-1000 buat kontinjen negara dalam sejarah temasya Sukan SEA. "Jadi, saya harap mereka tampil tanpa sebarang tekanan dan menerima sebarang keputusan pengadil dengan hati yang terbuka," jelas beliau. Menurut Thong Foong, selain Myanmar, beliau juga menjangkakan cabaran sengit daripada atlet Vietnam dan Indonesia pada temasya kali ini. Bagaimanapun, skuad wusyu negara dilihat menerima tamparan awal pada temasya kali ini apabila pemenang pingat emas temasya edisi 2011, Lee Yang dikatakan kurang cergas gara-gara mengalami kecederaan pergelangan kaki. Namun jelas Thong Foong, beliau tidak terlalu panik dengan situasi itu apabila kembali diperkuatkan dengan kehadiran pemenang pingat emas edisi 2009, Loh Jack Chang kali ini. Selain itu katanya, dua lagi pemenang pingat emas di bumi Palembang iaitu Kevan Cheah Peng Heng dan Tai Cheau Xuan juga kekal beraksi kali ini sekali gus mencerahkan peluang memburu kemilau pingat di bumi Myanmar. Kecemerlangan srikandi negara, Diana Bong Siong Lin juga dijangka menjadi antara prospek pingat yang wajar diberikan perhatian kali ini. "Sejujurnya, saya enggan memberikan tekanan kepada mana-mana atlet bagi memburu pingat. "Bagi saya, kesemua atlet berpotensi memburu pingat dan mengharumkan nama negara. "Jadi, saya harap mereka dapat mengekalkan prestasi yang terbaik selain mengelak daripada mengalami kecederaan," jelas Thong Foong. Menurut Thong Foong, beliau juga mensasarkan skuad wusyu negara mampu meraih emas menerusi acara Changquan wanita, Taijiquan lelaki dan Nanquan lelaki dalam disiplin Taolu (persembahan). "Bukan mahu menidakkan kemampuan atlet Sanda (seni tempur), tetapi saya lihat kami memiliki kelebihan dalam disiplin Taolu. "Seandainya atlet disiplin Sanda berupaya menyumbang pingat, ia dianggap satu bonus," katanya. Cabaran skuad wusyu negara bakal digalas sembilan atlet lelaki dan lima atlet wanita bagi memburu sebanyak 18 pingat emas ditawarkan pada temasya kali ini. Bagi Dianan Bong yang sekadar membawa pulang pingat gangsa dalam acara nandao-nangun di Palembang dua tahun lalu, dia pastinya mahu menebus kekecewaan itu kali ini. Namun, anak jati Sungai Tapang, Kuching, Sarawak itu enggan terlalu tertekan dengan situasi itu apabila hanya mensasarkan satu pingat di Myanmar. "Saya mensasarkan satu pingat, tidak kira warna apa. "Buat masa ini, perasaan gementar dilihat menjadi musuh utama saya ketika di Sukan SEA kelak. "Kejayaan pada Kejuaraan Dunia baru-baru ini (emas acara nandao dan perak acara nangun) juga tidak boleh dijadikan alasan untuk terlalu yakin kerana Sukan SEA merupakan pentas yang berbeza," kata Diana. Ini merupakan penampilan keempat buat Diana Bong, 28, di pentas Sukan SEA. Dia berjaya meraih pingat emas acara nanquan-nandao-nangun di Korat 2007 sebelum meraih emas acara nangun-nandao di Vientiane, Laos dua tahun kemudian. Seorang lagi atlet negara, Wong Weng Son, 21, tetap berazam mahu melakar kejutan pada penampilan pertamanya di pentas Sukan SEA kali ini. Mula bergiat aktif dalam sukan wusyu sejak empat tahun lalu, Weng Son percaya dia mampu membuktikan sesuatu berdasarkan kejayaannya meraih dua emas pada temasya Sukan Perpaduan Islam di Palembang baru-baru ini. "Jika dapat satu pingat, ia sudah cukup baik. Sudah tentu saya gembira jika mampu membawa pulang pingat emas namun perak atau gangsa juga besar ertinya buat saya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |