Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Berkongsi rezeki dengan keluarga Posted: 03 Dec 2013 11:11 PM PST WALAUPUN jawatannya yang dahulu sudah boleh dikatakan berada di puncak dan pendapatan yang diperoleh sudah cukup lumayan namun seperti ada suatu kekosongan di dalam jiwanya. Tempoh 10 tahun bekerja makan gaji sebagai pengurus pentadbiran di MK Land, pensyarah sambilan di The One Academy (Sunway) dan Penolong Pengarah Perancang Bandar dan Desa Negeri Johor, sudah cukup baginya untuk mengumpul modal pengalaman sebelum melakukan sesuatu yang menjadi minat hatinya. Malah beliau masih boleh pergi jauh lagi dan meningkat ke peringkat yang lebih tinggi kerana semasa memegang jawatan sebagai pengurus pentadbiran, beliau merupakan pengurus termuda kerana ketika itu usia baru mencecah 25 tahun. Pun demikian, bidang perniagaan masih menjadi kecintaan hatinya kerana dirinya telah dipupuk dan dibiasakan berniaga sejak berusia masih mentah. Ibunya membesarkan mereka lima beradik hasil daripada berniaga kuih dan kini mereka sekeluarga mampu hidup senang walaupun kejerihan semasa kecil masih diingati sehingga ke hari ini. "Saya masih ingat setiap malam ibu akan membuat sebanyak 15 jenis kuih dan hanya dapat tidur pada pukul dua pagi. Pukul lima pagi ibu kena bangun. Kami adik-beradik turut dikejutkan untuk menolong dan membuat apa yang perlu sebelum ke sekolah. Awal pagi, ayah pun mula menjual kuih-muih tersebut," kata Azura Shafawi, pemilik empat buah butik pakaian Ummi Riaz semasa ditemui di Utusan Malaysia baru-baru ini. Tambah Azura, dua buah butik beliau terletak di Johor Bahru, sebuah di Shah Alam dan sebuah lagi baru dibuka bulan ini di Kuala Selangor. Beliau juga mempunyai seramai 16 orang stokis di seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei. Berasal dari Johor Bahru, menurut anak kedua daripada lima beradik ini, beliau memulakan perniagaan fesyennya pada tahun 2008 dan seterusnya mengeluarkan jenama pakaian muslimah Ummi Riaz pada tahun 2010. Setelah berjaya memegang jawatan sebagai pengurus, ibunya menggalakkan beliau untuk meletakkan jawatan dan menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan. Ibunya yakin berniaga akan lebih memberikan rezeki yang luas kepada beliau. Yakin dengan kata-kata dan doa ibu, lantas pada tahun 2012, Azura berhenti kerja. Berminat dalam bidang jahitan Berminat menjahit sejak kecil, kata Azura, selain mengeluarkan pakaian yang telah siap, beliau turut menerima tempahan menjahit pakaian secara pukal untuk beberapa butik muslimah seluruh negara dan tempahan pakaian daripada beberapa jenama pereka terkenal tanah air. Kesemua tempahan tersebut disiapkan di kilang beliau yang terletak di Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan dan Perancangan Pelancongan dan Ijazah Perancang Bandar kedua-duanya daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kata Azura, beliau memberanikan diri membuka cawangan di Shah Alam dan Kuala Selangor memandangkan di sini pasarannya lebih meluas, sambutan yang baik dan lebih ramai golongan muslimah yang suka bergaya dengan fesyen-fesyen terkini. "Tahun pertama berniaga memang tidak menguntungkan. Modal dah keluar namun keuntungan masih belum nampak. Namun saya memegang konsep istiqamah, sabar dan terus berniaga kerana saya faham berniaga ini menguji kesabaran." Tahun berikutnya saya melihat ada perubahan. Pelanggan mula memberikan maklum balas yang baik. Mereka seronok dan gembira memakai keluaran Ummi Riaz dan saya juga gembira melihat mereka seronok. Malah mereka mahukan saya menghasilkan lebih banyak rekaan pakaian muslimah yang moden, bergaya dan sesuai dengan semua bentuk badan. "Dalam rekaan-rekaan saya, saya amat mementingkan keselesaan. Contohnya kurung Pahang saya. Ada pelanggan yang membeli sehingga 15 pasang kerana kata mereka, selesa dan bagi yang berbadan gempal, nampak kurus. Selain pelanggan Melayu, saya juga mempunyai pelanggan Cina yang gemar memakai baju kurung Pahang saya,'' ujar Azura yang mengaku beliau bahagia dengan bisnesnya sekarang kerana dapat membahagiakan orang lain. Menggunakan slogan ringkas, trendy dan eksklusif, Azura berkata, beliau mahu menjadi trendsetter dalam bidang bisnes pakaian yang dilakukannya ini. Memilih fabrik lycra berkualiti yang diimport untuk koleksi beliau, Azura menghasilkan koleksi terhad. Setiap keluaran hanya terdapat 30 corak dan katanya akan habis dibeli pelanggan dalam masa satu hari sahaja. Berniaga dapat bantu ramai orang Menurut Azura, melalui perniagaan beliau dapat berkongsi minat dengan pelanggan melalui koleksi pakaiannya serta berkongsi rezeki dengan adik-beradik dan pekerjanya. Bidang perniagaan kata Azura, dapat membantu ramai orang dan memberikan gaji kepada mereka. Berniaga juga memberikan kepuasan dan jika bekerja lebih akan dapat lebih. Pun begitu, beliau sentiasa menjaga keberkatan supaya mendapat rezeki yang halal dan dimurahkan rezeki. Semangat ibu, ayah dan sokongan suami sentiasa disemat di hati. Kakak dan adik lelakinya bekerja dengan beliau menguruskan bidang teknikal di butik. Dengan itu, setiap hasil usaha dan pendapatan yang diperoleh dapat dinikmati juga oleh mereka. Stokis beliau juga terdiri daripada kawan-kawan rapat. Pencapaian Azura dapat dilihat apabila beliau sering muncul dalam program-program televisyen seperti Safiyya, Hijab Stylista di TV9, Assalamualaikum dan Manjada Wajada di TV Al-Hijrah, Nona di TV3 dan Ramadan di Astro Oasis. Beliau juga sering dijemput oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB), Mara dan Tekun untuk memberikan ceramah kepada usahawan-usahawan baru dalam bidang perniagaan, berkongsi pengalaman, membuka minda dan cara memulakan perniagaan atas talian. Merancang memfrancais perniagaan seperti satu daerah utama satu butik. Mempunyai hobi melukis gambar pemandangan. Mendapat tawaran memasarkan koleksi pakaian Ummi Riaz ke China. Ibu bapanya merupakan penjual tauhu bakar terawal di Johor Bahru. Terima tempahan menjahit pakaian untuk pereka terkenal di Malaysia. Tiga atau empat hari seminggu akan berada di Kuala Lumpur dan tinggal di rumah yang dibeli di Shah Alam. Sembilan tahun mendirikan rumah tangga dan masih belum dikurniakan cahaya mata, Azura reda dengan ketentuan Illahi. Bagi Azura, beliau sentiasa bersikap positif dan yakin Allah lebih mengetahui mengapa beliau masih belum dikurniakan anak. "Saya sentiasa bersikap positif dan selalu ingat bahawa Allah mengaturkan sesuatu kerana ada alasan tertentu. Saya tidak bersedih dan mengetahui setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah akan beri pada masa yang tepat dan apabila kita sudah bersedia. "Walaupun saya masih belum mempunyai anak tetapi saya sentiasa mengisi diri dengan ilmu mengenai keibu bapaan dan berkongsi dengan kawan-kawan atau mereka yang membaca di dalam laman sosial Facebook saya. "Ada juga yang kata saya tak tahu tentang penjagaan dan didikan anak-anak kerana tidak memiliki anak. Itu tak betul kerana saya dah mula dan kena belajar dari sekarang," katanya. Pada pendapat Azura, ibu bapa harus rapat dengan anak-anak dan menganggap anak-anak seperti kawan sejak anak-anak berumur tujuh tahun lagi supaya apabila mereka membesar mereka tahu mereka boleh berkongsi apa sahaja dengan ibu bapa. "Selain itu, kebiasaannya ibu bapa sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak dan memenuhi kehendak anak. Jangan terlalu memanjakan anak-anak dan jangan pula terlalu mengongkong," kata Azura yang bersyukur kerana suami tidak pernah mendesak tentang anak. |
Posted: 03 Dec 2013 11:11 PM PST Oleh Siti Aishah Yusoff Bergaya dengan jam tangan mewah dan perhiasan yang cantik pasti memberikan kelainan kepada penampilan seseorang. Bagi menampilkan keunikan dan kelainan dalam bergaya, satu pameran A Journey Through Time VII telah dilancarkan baru-baru ini buat peminat-peminat barangan mewah tersebut. Pelbagai jenis jenama jam tangan mahal dan barangan perhiasan terkemuka dan terkenal di sekitar Asia dibawakan khas dengan rekaan yang menarik dan unik. Pameran ini yang memasuki tujuh tahun merupakan inisiatif kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dalam usaha mempromosi barangan ini kepada masyarakat luar. Pelawat yang berkunjung ke Starhill Gallery berpeluang meneroka dan melihat sendiri keunikan, produk terbaru dengan gaya mewah yang pasti memukau mata. Selain pameran jam tangan eksklusif dan barangan kemas mewah diadakan selama seminggu, pelbagai aktiviti menarik dan santai turut diadakan seperti fesyen berkawad, hidangan menarik dan persembahan oleh pemenang trio Opera Pop New Zealand Tre-Belle, Got Talent Australia 2009. Antara jenama barangan perhiasan mewah yang dipamerkan adalah Damiani, Garrard, Glubelin, Ceres, Mouawad dan banyak lagi yang pasti memberikan kelainan dan perasaan memukau. Damiani yang didatangkan dari Itali membawa koleksi rantai leher terbaharunya iaitu Sophea Loren. Rantai leher seberat 81.02 karat didatangkan dengan gabungan white gold with diamond yang pasti memukau tatkala memakainya. Damiani adalah jenama barangan mewah yang diasaskan pada tahun 1942 oleh Enricco Grassi Damiani in Valenza, Itali. Damiani juga merupakan kedai barangan perhiasan mewah yang pertama kali memasuki pasaran Malaysia. The Royal Diamond pula adalah koleksi terbaru bagi jenama ceres yang diterbangkan khas daripada house of Goenka iaitu satu tempat yang hanya menghasilkan batuan permata yang terpilih dan baik. Koleksi inspirasi Goenka's adalah gambaran keghairahan yang penuh dengan nilai kesenian yang memikat dan cantik. Setiap potongan dan rekaannya yang memukau yang mengandungi emas 18 karat dan dikelilingi dengan 1,073 batuan permata putih. Garrard pula adalah koleksi barangan kemas yang tertua di London iaitu Garrard & com pada 1735. Koleksi terbaru kali ini, Garrard menampilkan rantai leher Emerald and Diamond yang didatangkan dengan emerald dan batuan permata putih bersama-sama dengan loket yang boleh ditanggalkan jika tidak ingin memakainya. Garrard adalah antara jenama tertua di London yang membuka butik jualannya di luar United Kingdom. Koleksi terbaru l'imcomprable daripada Mouawad didatangkan dengan 637 karat permata, yang telah diiktiraf dari Genuine World Record sebagai rantai leher termahal dunia yang berharga $55 juta US. Sementara itu, pelbagai koleksi jam tangan mewah juga turut mendapat sambutan hangat daripada peminat-peminat yang mementingkan gaya dan penampilan yang menarik. Koleksi jam tangan mewah yang terlibat dalam pameran kali ini seperti Bedat & Co., Cecil Purnell, Hautlencer, Hermes, Hublot, Maitress du temp, Muarica Lacroix, Romain Jerome dan Speake-Marin yang direka dengan teknologi tinggi dan gaya mewah. Bedat &Co. merupakan koleksi jam tangan mewah dihasilkan khusus untuk golongan feminin bergaya dan santai. Jam ini didatangkan istimewa dengan 18 karat emas putih paladium digabungkan dengan 50 baguette potongan permata. Koleksi jam tangan Lady lacroix dari cecil purnell adalah jam tangan mewah yang didatangkan dari Geneva, switzerland dengan warna emas ros pada permukaannya dan gabungan biru enemal pada bahagian tali. Masterpiece MP-05 Laferrari adalah koleksi terbaru dari Hublot iaitu jam tangan mewah dari switzerland yang direka oleh Carlo Crocco pada tahun 1980. Chapter OneTransparence dari Maitres du Temps dari Switzerland yang diasaskan pada tahun 2005 oleh Steven Holtzman. Jenama ini dilancarkan di Geneva pada tahun 2008 iaitu chapter one yang direka oleh Christophe Claret, Roger Dubuis and Peter Speake-Mari. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |